Air: Sambil Menyelam Minum Air 
Oleh Ibn Sabah
Air: 'Sambil Menyelam Minum Air'

Itulah bunyi pepatah orang tua-tua bangsa Melayu dahulu. Ia masih relevan sepanjang masa. Ia juga bermaksud satu pekerjaan dapat dua faedah atau mengambil kesempatan dari satu pekerjaan yang dilakukan seseorang yang melakukan satu kerja dengan harapan akan memperolehi dua hasil sekali gus. Atau pepatah ini hampir dengan maksud satu lagi pepatah Melayu 'Ada Udang Di Sebalik Batu'.

Khalayak rakyat marhaen, penulis dan wartawan turut menyentuh panjang lebar tentang sikap kepimpinan UMNO/BN yang dikepalai Mahathir yang konon sejak dulu menjerit ke sana ke mari mahu bela orang Melayu, tetapi dalam isu perjanjian air dengan Singapura mereka menjadi orang yang begitu kerdil. Dengan perjanjian Royalti Minyak di Terengganu mereka sanggup pijak-pijak perjianjian yang termaktub dan masih sah itu. Kenapa para pemimpin UMNO/BN buat sebegitu buruk kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia sendiri di Terengganu. Inikah yang dinamakan UMNO membela Melayu? Penutupan dua buah MRSM di Terengganu; satu di Dungun dan satu di Kemaman. Apakah menutup MRSM di negeri majoriti Melayu/Islam itu bererti membela orang Melayu di Terengganu? Benar apa disentuh akhbar Harakah bahawa pimpinan UMNO sekadar berani dan tunjuk kuat kepada anak bangsa sendiri konon merekalah hebat, sebagaimana yang dikatakan oleh Subky Latif: Dr. Mahathir menunjukkan kehebatannya memperleceh perjanjian royalti minyak Petronas dengan Terengganu. Dia menunjukkan ranggi merampas royalti itu dan perjanjian itu tidak dihormati. Tetapi tidak sanggup berbuat apa-apa dengan perjanjian menjual air kepada Singapura.

Gagal Dalam Isu Air Dengan Singapura

Kepimpinan UMNO/BN yang menerajui pemerintahan dalam negara ini sekadar pintar bersilat lidah dan kelentong. Mereka menunjuk konon bijak mentadbir negara tapi bodoh mengurus perjanjian air dengan Singapura yang berlarutan sehingga kini, sampai terpaksa berhujah melalui iklan isu air dalam surat khabar. Untuk menarik simpati rakyat. Ini juga satu tindakan 'sambil menyelam minum air'. Untuk menutup kegagalan itu. Mereka alihkan kepada isu air di Kuala Lumpur dan Selangor dengan tindakan mahu mengurus semua urusan air di negeri-negeri di seluruh Malaysia. Perjanjian air pun belum dapat diselesaikan dengan baik. Kenapa tiba-tiba mahu mencari beban lagi dengan mengambil alih semua urusan air di negeri-negeri di Malaysia.

Mereka bertindak seperti yang dikatakan pepatah Melayu itu 'sambil menyelam minum air'. Mungkin UMNO/BN mahu kontrol semua peruntukan pengurusan air melalui JKR atau Kementerian Kerjaraya. Kemudian setiap projek akan diagihkan kepada kroni, sambil mahu mendapatkan komisen dana tabung pilihanraya UMNO/BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-11.

Yang Tersurat Dan Tersirat

Kerajaan Persekutuan beria-ia benar mahu menguruskan urusan air di negeri-negeri. Kelihatan tindakan itu 'sambil menyelam minum air'. Satu kerja dapat banyak faedah. Hebohkan seantero dunia kerajaan pusat mahu ambil alih urusan air di negeri-negeri melalui endorsment dalam satu mesyuarat dengan memanggil semua wakil kerajaan negeri termasuk wakil dua kerajaan negeri bukan dikuasai UMNO/BN, Kelantan dan Terengganu.

Nampak sangat percaturan pengambil-alihan urusan air ini 'sambil menyelam minum air'. Satu kerja banyak faedah UMNO/BN dapat dari segi politik, ekonomi, kroni dapat projek dan komisen setidak-tidaknya boleh dikambus ke dalam saku tabung pilihan raya UMNO/BN untuk menghadapi pilihan raya 2004 nanti. Itulah perancangan jangka pendek mereka. Mahu untung cepat dan kekal berkuasa. Itu rancangan UMNO/BN. BA (PAS, KeADILan, PRM), parti pembangkang lain DAP dan lain-lain juga sudah menyusun strategi bagi menumbangkan UMNO/BN dalam pilihan raya 2004. Namun, hakikatnya perancangan manusia setakat mana yang terdaya. Hanya perancangan Allah jua yang pasti. Jadi, dalam banyak perancangan dan strategi atau pendekatan yang kita lakukan bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang. Sebagai orang beriman kita dituntut supaya sentiasa berdoa mudah-mudahan segala gerakkerja yang dilakukan itu mendapat restu dan keredhaan di sisi Allah jua hendaknya.

Ibn Sabah,
9.8.2003M. (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!