AWAS! Bila Watak Qarun Pegang Harta Negeri 
Oleh Ibn Sabah
PRU Sabah: Bila Rakyat Masih Boleh Dibeli

"Kalau rakyat masih boleh dibeli", kata seorang sahabat penulis ketika kami bertemu di Kota Kinabalu. Dia mengulas tentang senario politik Sabah mutahkir ini, apakah kemungkinan-kemungkinan perubahan besar bakal menjadi kenyataan di bumi Sabah. Negeri yang dibanjiri PTI dan warga asing dari Selatan Filipina dan Indonesia. Termasuk kemasukan warga asing dari Pakistan, selain warga Afrika dan negara-negara Asia. Tidak termasuk pelancong warga asing dari Barat.

Menariknya di Sabah ialah pilihanraya umum negeri semakin dekat dan semakin dekat. UMNO/BN sudah mendabik dada sejak mereka merampas kuasa dari PBS pada 1994 dulu secara menculik YB PBS di tengah jalan. Rakyat, pemerhati politik dan apa lagi ahli politik tahu benar sepak terajang politik UMNO/BN ketika mereka tidak berdaya melawan musuh politik secara demokrasi. Itu sajalah, culik atau sogok/umpan dengan kebendaan YB mata duitan dan pangkat mudahlah diatur urusan percaturan politik seterusnya. Bila kuasa sudah berada dalam genggaman banyak perkara boleh diatur dengan mudah selagi kuasa + wang + pangkat + projek dikuasai sepenuhnya. Inilah formula kenapa UMNO/BN boleh terus mencengkamkan kuasanya ke atas rakyat. Rakyat boleh dirasuah, boleh dibeli dengan RM sekian dan balasannya rakyat mesti undi calon UMNO/BN. Tidak hairan rakyat boleh diperbodoh melalui sogokan/rasuah RM dan kebendaan itu. Seorang yang bergelar YB pun semudah itu menerima sogokan/rasuah politik asal mahu berpaling tadah masuk UMNO/BN.

Ertinya, UMNO/BN hanya hidup bergantung kepada talian hayat RM, kebendaan, pangkat, kuasa dan pengaruh yang masih tersisa itu.

Benar dan tepat sekali ulasan, Adun Jengka, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Umno sekarang sudah rosak teruk dan tidak berupaya lagi dibaiki. "Orang Umno tidak akan nampak kelemahan parti itu, sekiranya masih berada di dalam.

Bagaimanpun sekiranya mereka melihat dari luar sudah tentu nampak dengan jelas segala keburukannya," katanya.

Beliau juga berkata, parti itu bakal berdepan dengan kehancuran memandangkan tradisi berebut jawatan dan pangkat menjadi agenda sebahagian besar pemimpin parti tersebut.

Tiada Lagi Harapan UMNO/BN Di Sabah

Walaupun sahabat penulis berhujah 'UMNO/BN boleh bermaharajagila di Sabah' sebab rakyat Sabah boleh dibeli, ada pengundi hantu yang akan mengundi UMNO/BN, SPR juga menyokong dalam diam kepada UMNO/BN, malah RTM, Polis dan jabatan kerajaan juga sedia membantu. Bahkan ada jabatan/agensi kerajaan turut bersedia menjadi markas UMNO/BN khususnya RTM dan Kementerian Penerangan menjadi Jawatankuasa Publisiti UMNO/BN, Polis menjadi Jawatankuasa Keselamatan Parti UMNO/BN. SPR walaupun dimaklumi sebagai badan bebas yang berada di bawah bumbung Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, nampaknya tidak benar-benar menjadi kenyataan ia sekadar indah pada slogan 'ADIL, CEKAP & TELUS'.

Kerana hujah pembangkang yang menyatakan bahawa UMNO/BN tidak akan menang dalam mana-mana pilihan raya kalau mereka TIDAK MEMPERKUDAKAN jabatan/agensi kerajaan secara menggila setiap kali hampir atau musim pilihan raya.

Di Sabah, ketika Berjaya/BN yang diketahui ramai adalah parti pemerintah paling kuat dan kaya, dan disokong serta didokongi kuat oleh UMNO/BN dan Dr Mahathir pada pilihan raya umum negeri 1985. Hinggakan Mahathir dalam satu kempen pernah katakan: Akan timbul tenggelam bersama Berjaya. Tetapi, akhirnya Berjaya ditumbangkan oleh gabungan pembangkang PBS dan USNO, termasuk Presiden Berjaya dan KM Sabah, Datuk Harris Salleh kalah di DUN Tenom kepada Datuk Kadoh Agundong calon tidak ternama dari PBS. Ini satu bukti nyata. Kekuatan, kekayaan kebendaan, pengaruh dan kekuasaan yang dimiliki parti yang memerintah akan hilang bila tiba masanya. Begitulah UMNO/BN di Sabah. Tidak mustahil UMNO/BN yang dikepalai Datuk Musa Aman sekarang akan gulung tikar pada pilihan raya umum negeri yang semakin dekat. Walaupun tempoh parti pemerintah UMNO/BN sekarang masih panjang sehingga April 2004 dan paling lewat pada Jun 2004.

Trend membubarkan DUN sebelum tamat tempoh akan menjadi amalan UMNO/BN. Mereka akan bubarkan DUN bila mereka merasakan boleh menang lagi. Pembubaran DUN Sabah kali ini akan menjadi saksi parti yang menguasai 2 penggal DUN Sabah akan turun takhta.

Mungkinkah pembangkang Sabah yang terdiri daripada BA/KeADILan/PAS, PASOK, DAP, BERSATU sebuah parti baru, BERSEKUTU dan SETIA mampu menumbangkan keangkuhan UMNO/BN di Sabah. Kita tunggu ombak besar pembangkang Sabah bergerak!!!

Dalil UMNO/BN Bakal Gulung Tikar

Dari segi pengaruh, kuasa, kekayaan, mendabik dada menjadi juara pembangunan dan licik memperkuda sesiapa jua. Pendekatan inilah yang akan menjadi talian hayat UMNO/BN di Sabah. Berkesankah lagi?

Dalam tempoh 1994 hingga 2003 UMNO/BN menguasai politik Sabah lebih kurang 9 tahun dengan 7 ketua menteri bergilir. Sepatutnya lebih banyak perkara untuk Sabah, rakyat, ekonomi, sosial, pendidikan dan pentadbiran negeri telah ditangani dan setidak-tidak yang baik bertambah baik dan cemerlang. Yang kurang dibaiki. Yang lemah dibantu atau dibaiki. Yang salah urus diperbetulkan. Namun, 7 ketua menteri yang bergilir itu agenda besar mereka lebih terarah kepada menjaga kawasan mereka dengan membanyak atau melonggokkan sebanyak mungkin projek di kawasan tertentu. Mungkin semasa KM bergilir kepada Tan Sri Bernard Dompok tidak begitu kedengaran kisahnya melonggokkan projek ke kawasan pilihannya.

Sembilan tahun memegang tampuk pemerintahan negeri dengan 7 ketua menteri. Kita tidaklah menafikan langsung tak ada mereka laksanakan. Banyak pembangunan, ada projek sana-sini dan pelbagai lagi. Baguslah. Itulah tanggungjawab seorang yang bergelar ketua dalam sebuah negeri.

Tetapi, yang mengecewakan rakyat Sabah. Mereka membuat pembangunan sana-sini. Dalam masa lain mereka runtuhkan pembangunan di tempat lain. Sebagai contoh dalam kes Yayasan Sabah, SAFODA, Ko-Nelayan dan beberapa lagi agensi kerajaan yang ditimpa malang dalam masa UMNO/BN menerajui kerajaan negeri. Yayasan Sabah telah membuang ramai pekerjanya dengan alasan mahu memperkemaskan pengurusan Yayasan Sabah. Tetapi, dalam proses itu banyak rakyat menjadi mangsa dibuang kerja atau hilang pekerjaan dalam skim VSS. Nasib baik mereka diberi pampasan setimpal. Kes SAFODA pula berbeza. Sekalipun SAFODA satu agensi kerajaan negeri yang menanggung kerugian. Bab kerugian satu perkara. Bab pengurusan SAFODA satu perkara lagi, apakah sejak ditubuhkan dengan objektif/matlamatnya yang sebaik itu SAFODA boleh jatuh bankrap dan rugi. Apakah SAFODA mengalami kerugian dalam keadaan ia memiliki pelbagai dana dan peruntukan, sehingga terpaksa menimpakan petaka kerugian itu kepada beberapa orang pegawainya sehingga menjadi mangsa dibuang/ditamatkan dari tugas. Dengan lain bahasa, dipecat atau diberambuskan dengan sedikit imbuhan yang tidak setimpal. Pada hal, sebahagian mereka telah menjadi pegawai di SAFODA berpuluh/berbelas tahun.

Beban Hutang Sabah

Pelik juga dalam kita membangun, kaya raya, mewah dan kerajaan yang kuat. Tiba-tiba hutang negeri melambung hingga RM5 billion. Tujuh Ketua Menteri bergilir, ertinya ada tujuh kepala/otak berfikir bagaimana sewajarnya kerajaan negeri Sabah yang mereka merupa ketua eksikutif negeri membangunkan Sabah tanpa perlu banyak berhutang.

Di sini, tentu rakyat yang celik mata dan berfikiran jauh akan menyoal kenapa pimpinan UMNO/BN tidak mampu memperbaiki kedudukan kewangan negeri. Sedangkan sudah 7 ketua menteri bergilir dilantik menjadi KM Sabah. Kewangan negeri bukan semakin baik, sebaliknya semakin tenat.

Pada hal, kerajaan persekutuan setiap kali membentangkan budget negara telah ditentukan peruntukan kepada negeri-negeri. Jadi, ke mana perginya berbillion dan jutaan peruntukan itu sehingga beban hutang negeri, bukan berkurang tetapi semakin melambung tinggi.

Berhutang untuk membangun negeri. Kenapa masih ramai rakyat Sabah berada dalam status miskin dan Sabah masih berada dalam negeri-negeri yang miskin.

Dalil Kewangan Kerajaan Negeri Tenat

Bukti kewangan negeri tenat ialah pembayaran bonus setengah bulan gaji yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan dalam pakej merangsang ekonomi. Yang menjadi tradisi akan diikuti oleh kerajaan negeri-negeri. Kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu yang ditadbir BA(PAS/KeADILan) pun telah memberikan bonus setengah bulan gaji kepada kakitangan kerajaan negeri mereka, sebagaimana kerajaan persekutuan berikan kepada kakitangan persekutuan.

Ketenatan kewangan negeri. Satu lagi dalil kukuh kenapa UMNO/BN bakal gulung tikar dari pentas politik Sabah dan terpaksa melelong bangunan UMNO yang belum siap, seperti Berjaya dulu terpaksa melelong bangunan kerana bankrap politik dan bankrap kewangan.

Inilah, bila orang berjiwa Qarun memegang harta. Orang tahu Qarun adalah satu-satunya manusia terkaya di dunia ini sehingga kisahnya dicatatkan dalam al-Quran. Tetapi, Qarun menjadi manusia kaya tidak langsung memberikan manfaat kepada orang lain. Qarun mengumpul segala kekayaannya sekadar mahu melampiaskan nafsunya dan kroni-kroni yang setia kepadanya.

Apakah Sabah dikuasai oleh ahli ekonomi yang berjiwa Qarun dan dipimpin oleh kalangan manusia yang berjiwa seperti Firaun, Namrud dan Soros???????

Ibn Sabah,
11.8.2003M. (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!