Pembebasan DSAI: Serahkan Semula Perjuangan Kepada Rakyat!
Reformis jalanan-kampungan dan warga parti `kelas dua`

Kekerapan slogan yang diulang-ulang dalam langkah untuk merealisasikan sesuatu tuntutan itu kadangkala mengundang kebosanan yang bukan kepalang. Kebosanan itu bukanlah didorong semata-mata kerana ketidakyakinan terhadap tuntutan yang diperjuangkan,bahkan lebih berfokus kepada gelagat serta tindak tanduk para penggerak utamanya.

Sebagai rakyat marhaen yang tidak pernah mengaut secebis pun laba ketika DSAI berada di dalam kerajaan,penulis tetap menyokong visi perjuangan beliau hingga ke saat ini.

Meskipun tahap sokongan tersebut tidaklah sehebat nama-nama besar yang sedari dulu dan kini mengungguli visi perjuangan Anwar, namun tanpa kehadiran para penyokong yang kurang ternama dan kadangkala langsung tidak dikenali seperti penulis serta reformis jalanan–kampungan lain, sudah pasti `gerakan reformasi` hanya tinggal sekadar bahan bualan kosong suatu hari nanti.

Beberapa nama besar yang sering mendabik dada sebagai hardcore Anwar dulu kini dan selamanya, dilihat sebagai punca utama gerakan reformasi berada pada tahap hidup segan mati tak mau seperti sekarang. Ternyata keladak dan daki politik lama masih sukar untuk dikikis daripada batang tubuh dan jiwa mereka.

Egoistik yang menebal, seolah-olah mereka masih menjadi orang kanan Anwar terus dijadikan sandaran untuk memukau para penyokong gerakan reformasi bagi memaksakan idea atau arahan mereka tidak diingkari. Sebarang percanggahan pendapat yang dilontarkan oleh para penyokong kepada mereka akan dilabel sebagai bertentangan dengan kemahuan Anwar. Lalu wujudlah apa yang dinamakan sebagai; group itu baik dengan kita, group itu pula tak ok dengan kita!

Ahli-ahli parti atau pun para pemimpin keADILan di peringkat pertengahan dan bawahan pula meskipun belum ada lagi yang dipecat kerana tidak berlaga angin dengan hardcore Anwar itu, tetap berdepan dengan risiko untuk diklasifikasikan sebagai `warga parti kelas dua` yang sudah tentu berbeza layanannya dengan warga parti first class .

Di antara bentuk layanan terhadap warga parti first class; program-program parti anjuran mereka sentiasa diraikan oleh para pemimpin besar - jarang dihampakan. Manakala program anjuran warga parti kelas dua kerap kali diisi oleh `pemimpin bidan terjun` atau kadangkala dibiarkan penganjur terkapai-kapai membohongi khalayak untuk menjaga nama baik para pemimpin besar tadi.

Ertinya para pemimpin besar (sebut sebagai besar kepala) itu hanya akan respons terhadap golongan yang sekasta dengan mereka sahaja. Politik baru apa ini?

Pembebasan Anwar: Perjuangan rakyat bukan perjuangan pemimpin!

Pemimpin-pemimpin besar yang masih diulit mimpi dengan gah mereka sebagai hardcore DSAI, harus segera sedar atau disergah bahawa zaman itu sudah berlalu hampir setengah dekad.

Meskipun ada di antara mereka sudah terbukti begitu efisien mengatur pelbagai rencana di dalam mengangkat nama Anwar di persada politik tanah air dan di pentas internasional, namun hari-hari penuh sanjungan itu berbeza dengan situasi mutakhir ini.

Jika dulu `nasib rakyat` menjadi salah-satu agenda besar perjuangan Anwar, tapi kini `nasib Anwar `pula yang menjadi di antara agenda perjuangan rakyat. Justeru pengurusan agenda perjuangan itu haruslah mengutamakan kemahuan rakyat berbanding dengan percaturan sesetengah pemimpin besar yang tamakkan kedudukan.

Rakyat marhaen sudah jemu apabila setiap kali kes DSAI didengar timbul pelbagai spekulasi yang digarap menurut persepsi broker-broker politik dan bebudak suruhan para pemimpin besar (sebut pemimpin besar kepala) semata-mata. Konon ada perbincangan sulit; dulu dengan Mahathir kini dengan Pak Lah pula! Bukan andaian separa-mitos itu yang harus didengarkan lagi kerana ia telah diulang-ulangi sejak sekian lama tanpa sedikit pun kebenarannya.

Apa pun pujian harus diberi kepada FAC (Free Anwar Campaign) yang dikesan agak bersungguh-sungguh jika dibandingkan dengan beberapa kerat pemimpin besar yang hanya kaya dengan kelentungan. Namun FAC wajar melebarkan aktivitinya ke peringkat akar umbi.

Wibawa FAC di peringkat internasional mungkin sudah tersohor, tetapi warga luar itu hanya bertindak selaku pendesak yang kurang `power` sekiranya tidak disertai dengan kesungguhan rakyat marhaen sendiri untuk menentukan keberkesanannya. Sekiranya cengkaman para pemimpin besar (sebut pemimpin besar kepala) menjadi penghalang kepada kelancaran FAC, sewajarnya FAC membebaskan diri daripada cengkaman itu.

Selagi parti keADILan terus mengutamakan nafsu politik segelintir orang yang masih terbawa-bawa dengan kebesaran zaman silam, selama itulah DSAI akan menderita bersama `kebesarannya` di sel sempit Penjara Sungai Buloh sehingga tamat tempuh hukuman ke atasnya.

Kembalikanlah perjuangan untuk membebaskan wira rakyat itu kepada rakyat. Masih belum terlambat buat para pemimpin besar itu bertafakur sebentar untuk bermuhasabah diri. Mereka tidak berhak mendakwa sebagai orang kuat Anwar, semata-mata kerana mereka pernah rapat dengan Anwar!

Anwar adalah kepunyaan rakyat Malaysia dan warga dunia yang menyintai keadilan serta kebenaran. Himpunkan semula para reformis jalanan-kampungan dan ahli-ahli serta penyokong parti yang selama ini dipinggirkan. Mereka masih punya potensi untuk mendorong rakyat marhaen menggegarkan KL dan Putrajaya dengan teriakan yang pasti membingitkan telinga penguasa zalim!

Ezam, Tian Chua, Badrul Amin, Hisham, Nassir, Lokman, Sanusi, Pak Din, Badrul Hisham, Saari, Nora, A.Ghani, Raja Komando dan ramai lagi para pejuang serta reformis masih berupaya mengumpulkan semula penyokong untuk membina semula kekuatan gerakan reformasi, sekiranya mereka dapat meletakkan diri sebagai `pejuang rakyat tulen` bukan sekadar berperanan sebagai pemburu kerusi empuk yang seronok dipanggil YB!

- Inderaloka  - 11.12.2003 (suntingan M@RHAEN)

Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Dapatkan maklumat terkini di Forum M@RHAEN.



Tapak Utama: http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.

Click Here!
Hantar artikel ini kpd sahabat: