Samseng Lebih Berkuasa Daripada Khir Toyo?
Difahamkan kerajaan negeri Selangor kerugian lebih RM30 juta sejak enam bulan kebelakangan ini akibat  aktiviti mencuri pasir yang begitu berleluasa di negeri itu.

Menteri Besar Dato Seri Khir Toyo, lebih cenderung untuk menyalahkan pihak berkuasa Pejabat Tanah dan Daerah kerana gagal membanteras aktiviti tersebut. Manakala pihak berkuasa PTD pula mendakwa pencuri-pencuri pasir menggunakan khidmat samseng untuk menghalang kegiatan mereka dari diganggu-gugat.

Khir sendiri mengakui menerima laporan beberapa orang Pegawai Daerah (DO) diugut melalui panggilan telefon  kerana cuba menghalang kegiatan terkutuk itu. Malah menurut Khir lagi, terdapat kes seorang ADO menerima ugutan samseng secara berdepan sewaktu bertugas di pejabat.

Persoalannya, di manakah logiknya alasan tersebut? Apakah samseng telah menguasai Selangor negeri yang didakwa Khir lebih Islamik kerana berjaya mewujudkan 43 buah pusat pengajian Tahfiz Al-Quran, berbanding Kelantan hanya terdapat 9 buah pusat yang pengajian yang sama. Andai demikian tukarkan sahaja Selangor Darul Ehsan kepada Selangor Darul Samseng.

Jika Khir tidak berbohong,ternyata kesamsengan yang ditunjukkan selama ini terbatas kepada aktivis BA sahaja tetapi kecut telur apabila berdepan dengan samseng yang diupah oleh perompak harta rakyat.

Khir Toyo juga menafikan aktiviti itu ada kaitan dengan unsur `politiking` di dalam pemberian permit pengeluaran bahan berkenaan oleh pihak berkuasa Pejabat Tanah dan Daerah. Kata Khir: “Semuanya tidak ada kena mengena dengan pemilik permit, kecurian dilakukan oleh pencuri semata-mata, tak lebih daripada itu.”

Kenyataan Khir itu jelas bercanggah dengan kenyataan yang dibuat oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar  Dato` Mokhtar Dahlan sebelum ini yang terus terang mendakwa pemegang permit sendiri terlibat di dalam kes kecurian pasir itu. Di antara keduanya siapa yang berbohong?

Hanya Jentera Pengorek Bakal Ditahan

Menyedari pembohongannya sudah dikesan oleh rakyat, kelmarin 24 Disember 2004, Menteri Besar yang dikatakan cukup kuat membedal rasuah itu,sekali lagi mempamerkan aksi sumbangnya dengan membuat kenyataan bahawa pasukan Polis, FRU dan Rela akan ditugaskan untuk memastikan aktiviti mencuri pasir dapat dihentikan.

Sebagai langkah awal, beliau telah mengarahkan semua jentera berat pengorek pasir supaya dikeluarkan daripada kesemua kawasan yang terlibat dalam tempoh sebulan. Sekiranya ketika operasi pemindahan itu dijalankan, terdapat pemandu-pemandu yang masih berdegil menjalankan kerja mengorek pasir, mereka akan ditahan untuk soal siasat.

Difahamkan sebahagian jentera berat itu kini sengaja ditinggalkan oleh sang pencuri. Kebanyakannya `excavator` lapok yang telah diubahsuai khusus untuk kerja-kerja berkaitan. Kebiasaannya jentera sebegitu akan dibiarkan tersadai sehingga menjadi besi buruk oleh pemiliknya selepas selesai satu-satu projek.

Maknanya skuad yang akan memindahkan jentera berkenaan sekadar memindahkan besi-besi buruk untuk dilonggokkan di lokasi-lokasi tertentu, kemudian dipamerkan kepada umum sebagai simbol bahawa kerajaan pimpinan Khir Toyo telah pun membanteras dan menghukum pencuri pasir.

Apakah maksud kenyataan Khir bahawa pihaknya akan menggunakan khidmat pasukan Polis, FRU dan Rela di dalam usaha membanteras kegiatan biadab itu, hanya tertumpu sewaktu operasi pemindahan besi-besi buruk itu sahaja?  Elok sungguh, kalau dulu FRU sibuk mengganggu program-program reformasi dan BA, tapi kini sibuk menjaga kerja-kerja pemindahan besi buruk!

Kesimpulannya gejala keji seperti kecurian pasir ini tidak akan dapat dibanteras selagi mana rasuah dan salah guna kuasa bermaharajalela di kalangan mereka yang berautoriti. Tak kira lah sama ada mereka kaki tangan kerajaan atau ahli politik, jika dosa pahala ditolak ke tepi, nescaya amanah dan kepercayaan rakyat dikhianati.

Sifirnya amat mudah; DO mengeluarkan permit kerana memenuhi kehendak Umno. DO tidak boleh berkeras kerana seorang Ketua Umno Cawangan kadangkala lebih berkuasa daripada DO.

Permit yang diperolehi digadaikan kepada pengusaha yang kebanyakannya tauke-tauke Cina. Perangai semula jadi Umno tak mahu bersusah payah cukup dengan goyang kaki penghujung bulan terima habuan. Didorong nafsu tamak pengusaha berpakat dengan pemegang permit untuk mengorek kawasan melebihi had yang dibenarkan. Di tahap ini sogok-menyogok mula berperanan untuk menutup tembelang.

Apabila tembelang mula dihidu oleh rakyat, ketika itulah masing-masing saling salah menyalahkan antara satu dengan lain. Justeru siapa sebenarnya samseng pencuri pasir? Jawabnya mudah, Khir Toyo, Umno dan suku sakatnya!

- Inderaloka  - 25.12.2003 - 10.20 pg (suntingan M@RHAEN)

MAKLUMAN: Sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan, sila daftarkan emel anda ke Mailing List M@RHAEN. (klik untuk membaca penerangan berkaitan Mailing List M@RHAEN)

Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Dapatkan maklumat terkini di Forum M@RHAEN.



Tapak Utama: http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.

Click Here!
Hantar artikel ini kpd sahabat: