Tanpa Khir Toyo Umno Tetap Rasuah
Tanpa Khir Toyo BA Rugi?

BA Selangor akan rugi sekiranya Dr. Khir Toyo tidak lagi mengepalai Jentera Pilihan Raya Umno BN pada PRU akan datang. Demikian andaian sesetengah pihak daripada kalangan pimpinan dan penyokong BA.

Menurut mereka `isu rasuah Khir Toyo' dengan sendirinya akan menjunam apabila seorang tokoh lain diketengahkan oleh Umno bagi menggantikan Dr Khir  sebagai MB.

Lebih-lebih lagi bakal calon MB yang akan dijaja oleh Umno di dalam kempen PRU nanti, membawa perwatakan agak bersih dan tidak kontroversial.

Dato Shafie Salleh Timbalan Menteri Kewangan merangkap MP Kuala Langat dikatakan memiliki ciri-ciri tersebut. Tambahan pula beliau merupakan bekas penyokong DSAI.

Faktor Shafie dikira amat berkesan untuk menarik pengundi atas pagar dan ahli-ahli Umno yang masih menyokong DSAI agar kembali memihak kepada BN setelah golongan berkenaan mengundi BA pada PRU 1999.

Seterusnya para spekulator tadi merumuskan bahawa peluang BA untuk menang di Selangor pada PRU akan datang adalah cerah jika `status-qou` Khir Toyo tidak berubah. Isu rasuah dan penyelewengan MB Muda itu sudah pasti digarap seberkesan mungkin supaya rakyat memihak kepada BA.

Anwar Tidak Pernah Berkompromi Dengan Rasuah Walau Sesaat

Spekulasi para pengandai BA itu, tidak semestinya tepat. Boleh jadi betul, boleh jadi meleset. Dalam ertikata lain itu bukanlah` pandangan rasmi` BA Selangor secara kolektif.

Apa pun, penulis agak terpanggil untuk memperbetulkan persepi para spekulator berkenaan terhadap pengundi atas pagar dan ahli-ahli Umno yang masih menyokong DSAI.

Sokongan mereka kepada BA dalam PRU 1999 adalah atas dasar kebenaran prinsip perjuangan Anwar Ibrahim. Meskipun kebanyakan mereka tidaklah sehebat dan sekomited penyokong-penyokong `tulen` BA yang lain, jangan sesekali dipermudah-mudahkan maruah mereka.

Kalaulah rasuah itu boleh dikompromikan untuk kepentingan politik, sudah tentu Anwar Ibrahim tidak perlu mengharungi derita bukan kepalang seperti sekarang.

Apakah Anwar Ibrahim tidak pandai bermain politik semata-mata kerana beliau enggan melayani kerakusan Mahathir daripada terus memperkosa hak dan membelasah harta rakyat?

Kenyataannya, Anwar tatkala itu (1997–1998) masih mempunyai pilihan. Beliau hanya perlu mengaminkan segala kebejatan Mahathir jauh sekali daripada `menderhakainya`, nescaya kerusi PM ketika ini milik Anwar.

Ternyata Anwar menolak secara total pendekatan politik murahan seperti itu dan beliau terpaksa membayar dengan harga paling mahal kerana mempertahankan prinsip.

Ertinya Wira Rakyat Terbilang itu telah membuktikan bahawa beliau tidak pernah berkompromi dengan rasuah, penyelewengan dan segala macam kebobrokkan walau sesaat.

Peringatan Buat Para Spekulator BA Selangor

Mengandaikan kedua-dua golongan pengundi berkenaan akan berbondong-bondong murtad daripada BA untuk kembali memangkah BN pada PRU akan datang adalah suatu kezaliman.

Tidak dinafikan pada ketika ini pun sudah ada yang murtad, tetapi bilangannya amatlah sedikit dan itu bukanlah fenomena baru yang melanda alam perjuangan. Mungkin tak tahan ujian, mungkin juga disogok dan sebagainya.

Tetapi harus diingat bilangan yang terus menyertai BA daripada kalangan atas pagar dan ahli-ahli Umno penyokong DSAI pun tak kurang ramainya.

Penulis tahu kebanyakan pemimpin dan penyokong tulen BA Selangor cukup hebat, tetapi kehebatan itu masih belum cukup untuk merampas Selangor daripada BN. Silap-silap kerusi yang dimiliki sekarang pun tergugat.

Apa yang perlu dititik beratkan adalah keterbukaan sikap yang lebih meluas. Usahlah melulu tak tentu fasal.

Tidak menjadi sebarang kecacatan kepada BA Selangor sekiranya mengikhlaskan  hati untuk bersangka baik terhadap para-para mualaf (golongan atas pagar dan ahli Umno yang baru menyertai BA) dan `silence supporters` yang lain.

Bersangka buruk kepada penyokong BA yang belum menyertai mana-mana komponen BA, samalah juga bersangka buruk terhadap Anwar Ibrahim

Sesungguhnya sokongan mereka terhadap BA dari tahun 1999 sehingga kini berpunca daripada kefahaman dan penghayatan terhadap perjuangan murni Anwar. Tidaklah mereka mengkhianati kefahaman dan penghayatan itu semudah yang dispekulasikan!

Ingatlah pesanan orang tua-tua `Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa`.

Umno Itu Rasuah, Rasuah Itu Umno

Para pendokong dan penggerak BA tidak perlu membimbangi apa-apa, sekalipun Khir Toyo dipindahkan untuk bertanding di kerusi Parlimen, isu rasuahnya tetap relevan dan menyengat.

Selagi dia masih hidup selama itulah dosa rasuahnya akan terus didedahkan kepada rakyat jelata.

Soal dasarnya, BA bukan bertarung dengan Umno BN atas nama kelompok atau individu. Perjuangan BA adalah untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.

Kebetulan Umno BN adalah pendokong kezaliman dan kebatilan. Justeru itu pertarungan di antara keduanya tidak akan terhenti tanpa sebarang sebab yang munasabah.

Khir Toyo terjun kedalam `kawah besar rasuah` bukan setakat didorong oleh nafsu tamaknya sahaja, malah Umno itu sendiri berperanan menyediakan prasarana paling sempurna untuk sesiapa sahaja yang bercita-cita menjadi pengamal rasuah.

Dasar dan falasafah parti yang tidak terikat kepada dosa dan pahala serta pragmatik menjela-jela memudahkan Umno untuk bertukar  warna dan wajah.

Warna dan wajah Yahudi boleh, komunis boleh, kapitalis bole,sosialis boleh……. asalkan jangan Islam - keadilan serta kebenaran!

Parti yang tidak terikat kepada dosa pahala, kebenaran dan keadilan akan membudayakan pelbagai kesongsangan untuk menghancurkan kemuliaan (karamah) insan. Pemujaan dan pemuasan tuntutan  nafsu serakah menjadi matlamat perjuangan mereka.

Lihat sahaja realiti yang menghantui Selangor. Semenjak Allahyarham Dato’ Harun menjadi MB sehingga kini Khir Toyo, tiada seorang pun yang berjaya membersihkan diri daripada amalan rasuah.

Tukarlah seribu kali, selagi terasnya Umno, selama itulah rasuah bermaharajagila, bukan sahaja di Selangor malahan di seluruh negara. Umno BN `secara total` sudah `korup` dari setinggi-tinggi pemimpin sehinggalah sekecil-kecil ketua cawangan.

Tidak timbul soal Dato’ Shafie akan lebih menyulitkan BA Selangor dalam mengharungi kempen  pilihan raya  berbanding Khir Toyo. Kedua-duanya tetap serupa kerana dicetak dengan acuan yang sama.

Kalaulah Shafie benar-benar bersih dan baik, mengapa dia menyertai parti yang tidak baik?

Orang yang baik dan bersih lazimnya pandai menilai baik buruk sesuatu perkara. Sesudah penilaian dibuat dia pasti memilih yang baik.

Jika Shafie benar-benar bersih dan baik sudah lama dia meninggalkan Umno untuk menyertai BA sebagai menyahut seruan Anwar Ibrahim yang pernah disokongnya satu ketika dulu.

Atau setidak-tidaknya Shafie memberanikan diri menegur salahlaku Khir Toyo yang sewenang-wenangnya membaham rasuah.

Sampai kiamat pun Shafie dan siapa sahaja tokoh Umno tidak berani menegur kerakusan rakan mereka mengkhianti amanah rakyat, kerana mereka sama-sama menyimpan niat : “Hari ini you jadi MB, you bahamlah sepuas-puasnya, esok bila sampai giliran I, I pulalah yang jadi King.”

Kesimpulannya, di mana sahaja ada Umno, di situ ada rasuah. Umno Itu Rasuah, Rasuah Itu Umno. BA jangan gusar! Teruskan kerja perjuangan, rakyat jelata tidak lagi mudah diperbodoh-bodohkan oleh Umno!

- Inderaloka  - 24.01.2004 (suntingan M@RHAEN)
Operasi Pasir: Jengkaut Diberkas, Perompak Terlepas

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN