Pemecatan Lokman: MPT Pening, Azmin Ali Runsing?
Adalah kurang tepat
sanggahan segelintir pemimpin keADILan terhadap tindakan Ezam Mohd Noor memecat Lokman Noor Adam selaku Setiausaha Pergerakan Pemuda berkuatkuasa kelmarin 26 Januari 2004, sebagai kurang beretika.

Kata mereka Lokman seharusnya terlebih dahulu diberi peluang untuk membela diri sebelum dipecat. Tindakan Ezam itu dianggap tergesa-gesa kerana belum terbukti Lokman menjadi `gunting dalam lipatan` seperti mana yang didakwa.

Persoalan utama yang harus difahami oleh segelintir pemimpin keliru itu adalah Ezam tidak pernah memecat keahlian Lokman daripada keADILan. Ezam hanya menyingkirkan Lokman daripada jawatan Setiausaha Pergerakan Pemuda sahaja.

Berdasarkan Perlembagaan parti, termasuk Pergerakan Pemuda, lantikan Setiausaha adalah hak Ketua yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun.

Perkhidmatan Setiausaha itu pula boleh ditamatkan bila-bila masa jika tidak diperlukan lagi oleh Ketua atas sebab-sebab tertentu termasuk tahap prestasi.

Tidak dinafikan Lokman mampu memainkan peranan sebagai SU Pemuda, tetapi itu bukanlah tiket buat anak muda itu menjadi perasuk yang boleh memudaratkan parti. Penulis tidak meragui dakwaan Ezam bahawa beliau mempunyai bukti yang kukuh terhadap keterlanjuran Lokman menghasut rakan-rakannya untuk menyertai Umno.

Jika benar seperti pengakuan Lokman bahawa beliau masih lagi menjadi ahli keADILan terserahlah kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk bertindak. Di sinilah letaknya peluang Lokman untuk membela diri bagi membuktikan sama ada beliau bersalah atau pun sebaliknya.

Harus diingat, bukan sahaja Jawatankuasa Disiplin Parti malah Majlis Pimpinan Tertinggi sendiri tidak boleh mempertikaikan tindakan Ezam memecat Lokman selaku SU Pergerakan Pemuda kerana itu adalah hak beliau yang dijamin oleh Perlembagaan parti.

Apa Tindakan MPT dan Azmin Ali?

Kesan tindakan tegas pemuda gagah berani itu benar-benar memeranjatkan semua pihak di dalam keADILan khususnya kepada golongan yang kemungkinan sudah lama menyembunyikan agenda peribadi masing-masing di sebalik kelantangan menyuarakan visi politik baru.

Bayangkanlah apa akan terjadi sekiranya MPT dan Naib Presiden keADILan YB Azmin Ali enggan memecat Lokman. Ertinya Ezam terpaksa menanggung risiko untuk dipinggirkan daripada arus perdana parti.

Penulis katakan begitu kerana Lokman juga merupakan salah seorang Ahli MPT dan Azmin Ali selaku Ketua Badan Perhubungan keADILan Selangor telah melantik Lokman sebagai Ketua Penerangan Negeri sejurus bekas tahanan ISA itu dibebaskan dari Kem Kemunting enam bulan sudah.

Ertinya MPT dan Azmin wajib memilih di antara Ezam atau pun Lokman. Apa pun pilihan tepat dan terbaik adalah memihak kepada Ezam kecualilah MPT dan Azmin sudah hilang akal.

Pada hemat penulis, tindakan berani `penghayat ulung perjuangan Anwar` itu dilihat sebagai amaran keras sekali gus untuk membersihkan parti daripada anasir-anasir yang cuba memperdagangkan `isu Anwar Ibrahim` untuk kepentingan tembolok masing-masing.

Bukan lagi menjadi rahsia bahawa memang benar terdapat beberapa individu yang bertaraf pemimpin memandai-mandai berurusan dengan Umno konon untuk membebaskan Anwar sejak akhir-akhir ini lebih-lebih lagi sesudah Tun Kepala Taik Mahathir tidak lagi bergelar PM.

Kenyataan tegas Anwar Ibrahim ketika rayuan ikat jaminnya di Istana keADILan Disember tahun lepas yang mengingatkan seluruh pemimpin dan ahli keADILan bahawa jangan digadaikan perjuangan dan prinsip semata-mata untuk pembebasan beliau, menjelaskan `dealing` memandai-mandai memang berlaku.

Sebenarnya `dealing` memandai-mandai itu lebih menjurus kepada perdagangan politik sempit musibat-musibat terlibat bukan untuk perjuangan Anwar dan rakyat marhaen.

Dua Lagi Akan Terjun?

Terbaru pecah khabar kononnya seorang lagi pimpinan pemuda keADILan akan kembali ke pangkal jalan yang sesat. Tokoh ini dikatakan pernah berdatuk saudarakan bekas pemimpin besar Umno yang kini uzur tetapi masih pekat membenci Anwar.

Pemuda itu juga diberitakan pernah menangis teresak-esak (versi Mahathir) dalam Persidangan Agung Tahunan (PAT) Pemuda keADILan di Kemaman tahun 2001 kerana terkenangkan sahabat baiknya Lokman yang sedang meringkuk di Kem Kemunting ketika itu.

Natijahnya dengan tangisan versi Mahathir itu, beliau berjaya meraih simpati perwakilan pemuda untuk meletakkan beliau di salah satu kerusi penting pimpinan Pemuda keADILan.

Di antara kejayaan gemilang beliau sepanjang memimpin Pergerakan Pemuda keADILan semasa ketiadaan Ezam ialah membatalkan `Perhimpunan Black 14 2003` yang diaturnya sendiri dengan alasan takut keADILan dilabel oleh Umno sebagai penjana keganasan.

Seorang lagi tokoh yang dihebohkan sedang berkira-bicara untuk memperhambakan diri semula kepada Umno ialah pemuka keADILan Selangor.

Beliau juga ahli MPT. Kata orang tokoh pertengahan umur yang kurang menyerlah ini adalah `proksi Mike Tyson` di dalam keADILan sejak parti itu ditubuhkan.

Walau apa pun diharapkan berita ini tidak benar. Kalau pun ada kebenarannya semoga pendedahan awal ini sikit sebanyak boleh menyedarkan mereka supaya berfikir seribu kali sebelum berhasrat menjadi pengkhianat perjuangan rakyat kerana sesuap nasi.

Namun jika sudah jazam hati untuk kembali ke pangkal jalan yang sesat, ucapan yang paling layak mengiring mereka adalah: Selamat Berambus Polong Tak Bertuan!

- Inderaloka  - 27.01.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN