Lokman Ibarat Melukut di Tepi Gantang
Betapa kuatnya pun deformis Lokman Noor Adam menaluk (meraung) untuk diterima semula sebagai warga Reformasi, dia harus  bersedia menerima hakikat bahawa gelaran reformis yang pernah terpasak pada batang tubuhnya tidak mungkin diperolehi lagi untuk menghiasai diri .

Umno parti korup pada peringkat awal  kelihatan begitu ghairah mencanangkan kepada umum betapa keADILan kian menjunam relevansinya tiba-tiba terkedu apabila Lokman mengakui bahawa segala tuduhan rasmi yang dilemparkan kepada parti pimpinan DS Wan Azizah Ismail itu adalah palsu belaka.

Ertinya Umno terpedaya oleh penipuannya sendiri setelah berjaya merangsang  Lokman untuk berbuat begitu. Perihal bekas SU Pemuda keADILan itu terberahi untuk mendakap semula Umno sebelum ini tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun, termasuk Lokman sendiri.

Lokman di dalam kenyataannya seperti yang dilaporkan oleh Harakahdaily pada 30 Januari 2004 bahawa keputusannya untuk terus bersama dengan keADILan memerangi Umno BN pada p/raya akan datang dibuat setelah berpuas hati dengan penjelasan terperinci pucuk pimpinan parti terhadap dakwaannya sebelum ini, ketika hadir untuk  membela diri dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 28 Januari lalu.

Benarkah begitu? Jika benar mengapa Lokman diberitakan marah-marah dan mengedarkan kenyataan rasmi yang memuatkan dakwaan palsu kepada media sebaik-baik sahaja sesi pembelaan dirinya berakhir pada hari berkenaan.

Lantas faktor apa yang mendorong deformis itu menarik balik dakwaannya setelah 48 jam memfitnah Dr.Wan Azizah, Ezam dan Azmin sebagai `pemakan` duit parti? Fitnah tetap dosa besar meskipun hanya sesaat dihamburkan.

Tidak ada sebab mewajarkan  `keinsafannya` itu melainkan sesudah menyedari bahawa Umno yang dimandaminya tidak sudi melayaninya lagi, manakala para reformis dan penyokong BA pula mula mengecopnya sebagai pembelot.

Situasi bak `belukang hanyut` yang menimpa dirinya itulah membingkaskan Lokman untuk tersentak daripada khayalannya. Semudah dia memburuk-burukkan keADILan, begitulah senangnya dia rujuk semula.

Kalau Lokman benar-benar sudah bertaubat, tidak memadai sekadar menarik balik tuduhan palsunya tadi bahkan dia wajib memohon maaf secara terbuka kepada Wan Azizah, Ezam, Azmin dan seluruh warga keADILan dan BA termasuk para reformis.

Tak kurang juga pentingnya bekas ahli MPT keADILan itu perlu mendedahkan  identiti  anasir-anasir yang didakwanya cuba memecah-belahkan parti.

Jika K3P (Kumpulan Polong Perasuk Perjuangan) benar-benar wujud di dalam keADILan Lokman tidak perlu melindungi para pengkhianat itu lagi demi menebus dosa yang telah dilakukannya terhadap perjuangan rakyat (Anwar).

Apa pun yang dilakukan oleh Lokman selepas ini bagi memulihkan kecederaan (kecacatan) parahnya, dia tidak seharusnya merasa malu untuk diklasifikasikan bagai melukut di tepian gantang di dalam wadah perjuangan Reformasi.

Maksud peribahasa itu seribu kali lebih baik daripada menghumbankan dirinya semula ke dalam kawah Umno yang sudah dipenuhi oleh segala jenis `ketaikkan`.

Ingatan untuk semua: keADILan dan BA sikit pun tidak akan terjejas oleh gangguan sekerat dua pemberahi Umno yang mungkin masih menumpangi wadah rakyat itu, selagi mana keadilan dan kebenaran terus diperjuangkan.

- Inderaloka  - 31.01.2004 - 8.20 pagi (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN