Tidak Haram Hukumnya Kesudian Ezam Menemui Umno
Kredibiliti Ezam Mohd Noor Ketua Angkatan Muda Parti keADILan melayani jemputan Khir Toyo dan Muhammad Taib untuk bersua muka, tidak sama sekali terjejas.

Persepsi melulu untuk menghukum setiap pertemuaan tokoh pembangkang dengan mana-mana pemuka Umno hanya menjurus kepada `dealing` yang bermotifkan pengejaran pangkat dan wang ringgit harus dikikis.

Di dalam menghadapi perang sekalipun, jika ada tawaran daripada pihak musuh untuk bertemu, seorang panglima yang bijak tidak akan menolak bulat-bulat sapaan itu.

Salahuddin al-Ayubi sendiri bukan setakat bertemu tanpa diundang malah merawat Richard The Lion Heart di dalam kem General Perang Salib itu sendiri.

Natijahnya, meskipun perang tersebut tidak dapat diberhentikan terbukti Richard yang terkenal dengan sikap kerasnya terhadap Islam, akhirnya mengakui dan menghormati kehebatan Salahuddin.

Mungkin Ezam tidak sehebat Salahuddin. Kesudiannya menemui kedua-dua pemuka Umno Selangor itu bukanlah haram mutlak hukumnya dari sudut akidah dan perjuangan. Lagi pun pemuda gagah candang itu tidak merahsiakan pertemuan tersebut daripada pengetahuan rakan-rakan pimpinan lain termasuk pemimpin Pas Selangor.

Anwar Ibrahim sendiri telah menegaskan bahawa tidak salah meladeni (melayani) sapaan Umno untuk bertemu jika motifnya untuk berbincang demi kebaikan bangsa dan agama asalkan prinsip dan perjuangan tidak digadai.

Semua sedia maklum Umno yang korup itu tidak akan menawarkan sebarang pertemuan dengan tokoh pembangkang jika bukan benar-benar terdesak. Ezam sendiri sudah maklum akan hal itu sebelum sudi menemui mereka.

Namun masih ada lagi sedikit `reserve` di hati tokoh muda itu untuk memberi peluang kepada Khir Toyo dan Mike Tyson menyuarakan hasrat sebenar mereka. Menurut Ezam seperti yang didedahkannya kepada rakan-rakan di dalam BA tiada sebarang tawaran wang ringgit dan pangkat di dalam pertemuan tersebut.

Perbincangan hanya berlegar di sekitar isu-isu semasa sahaja. Mungkin Khir dan Mike Tyson terlalu berhati-hati atau takut untuk berbicara yang bukan-bukan ketika berdepan dengan Ezam.

Terpulanglah kepada para reformis, pendokong BA dan rakyat untuk mempercayai penjelasan Ezam itu atau sebaliknya. Apa yang pasti anak didik Anwar itu tidaklah semudah untuk dikategorikan sebagai pengemis wang dan kedudukan.

Pertemuan `terang` dengan Umno tidak salah, yang harus dikutuk adalah pertemuan sulit dengan Umno oleh segelintir pemberahi-pemberahi Umno yang masih berkeliaran di dalam keADILan dengan nawaitu untuk mencari makan.

Kekadang seseorang itu terlalu cepat menghukum orang lain, hanya semata-mata menjadikan dirinya sendiri sebagai kayu pengukur. Jika dirinya seorang pencuri maka dia akan menghukum orang lain berdasarkan sifat kepencurian yang wujud di dalam dirinya.

Ertinya jika seseorang pedagang politik itu sudah biasa `dealing` dengan Umno dan berjaya menikmati ganjaran yang diharapkan, kemudian ganjaran itu selesai ditelan dalam jangka waktu tertentu dan Umno tidak memberi peluang kedua kepadanya untuk mendapatkan ganjaran baru, maka orang itu akan menganggap orang lain sementaliti dengannya.

Umno memang sudah tersohor dengan taktik yang hanya meraikan pendatang-pendatang baru daripada parti lawan yang melompat kerana mahukan habuan, untuk beberapa hari sahaja.

Selepas diusung ke hulu ke hilir membelasah parti asal, dan nilai mereka (pendatang-pendatang baru) sudah tiada lagi, mereka akan dibiarkan mati kering.

Kalau tak percaya tanyakan hal ini kepada Indera Putra dan Zuraidi dan beberapa bekas penggerak pemuda keADILan termasuk juga tokoh tua Chandra Muzaffar.

Malaun-malaun seperti itu dan yang semabur (sama) dengan mereka memang wujud dimana-mana sahaja tanpa mengira parti yang mereka anggotai. Mereka bukan pejuang tetapi pencari makan yang sama taraf dengan ayam, itik, lembu dan kambing.

Apa pun, penulis selaku manusia biasa yang sedang cuba menghayati makna jiwa merdeka, tidaklah berani mengangkat darjat Ezam Mohd. Noor `perfect` seratus peratus.

Jika benar-benar terbukti, bukan sahaja Ezam malah siapa sahaja menyeleweng dari landasan perjuangan rakyat, penulis tanpa sebarang keraguan akan membelasah mereka sehingga ke lubang kubur.

- Inderaloka  - 03.02.2004 - (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN