Abdullah Anak Derhaka?
Di saat ini dan untuk tempoh beberapa hari mendatang, pastinya DS Abdullah Ahmad Badawi dirundung kesedihan lantaran kepergian abadi ibundanya Allahyarhamah Datuk Kailan Hassan pada petang kedua Hariraya Eidul Adha 2 Februari 2004.

Penulis sebagaimana warga tanah air yang lain ingin merakamkan ucapan takziah kepada DS Abdullah dan memanjatkan do`a kehadirat Illahi semoga roh Allahyarhamah ditempatkan di kalangan hamba-hambanya yang solehah. Al-Fatihah! Amin!

Setiap yang baharu pasti menemui kebinasaan. Harta, kuasa, nama, pangkat, anak-pinak dan apa sahaja akan ditinggalkan sebaik-baik sahaja sekujur jasad kaku tak bernyawa. Begitu ketentuan Maha Pencipta sehingga kiamat.

Apa yang penting untuk diperingatkan (kerana memberi peringatan itu adalah tugas sesama insan) sama ada segala yang ditinggalkan itu telah sempurna diurusi menurut ketetapan Illahi atau pergi begitu sahaja seperti kepergian seekor kucing .

Penulis tidak berhasrat untuk menambahkan lagi kepiluan DS Abdullah tetapi sekadar melontarkan pandangan ikhlas yang memungkinkan kalbunya terjentik untuk menyedarkan siapa beliau sebenar.

Pertama, Abdullah tentu masih belum melupai pesanan ibu beliau ketika mengunjungi wanita bertuah itu, sehari selepas upacara angkat sumpah sebagai PM. Pesanan seibu tatkala Abdullah mengucup tangannya untuk memohon restu: Kerjalah baik-baik, jangan selalu berbangga diri dan lupakan orang bawah.

Sudahkan Abdullah mematuhi pesanan tersebut? Datuk Kailan hanya berkesempatan menanti selama 95 hari untuk menyaksikan putera sulungnya mematuhi pesanan itu.

Dukacita di sepanjang tempoh tersebut, Abdullah tidak dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk menunaikan pesanan siibu, sebaliknya beliau lebih mentaati perintah Mahathir Pencetus Krisis Agama dan Bangsa.

Masih belum terlambat buat Abdullah menunaikan pesanan ibu beliau yang kini sudah bertukar `statusnya` kepada wasiat. Pilihlah satu di antara dua; mahu digelar anak yang soleh atau derhaka .

Pelanggaran wasiat itu bukan sahaja meletakkan Abdullah sebagai penderhaka kepada ibu, malah penderhaka kepada Allah dan RasulNya, agama, bangsa dan tanah air.

Kedua, sesedih-sedih Abdullah, beliau masih dapat menziarahi ibunya buat kali terakhir di dalam situasai serba selesa.

Berbeza sama sekali dengan DS Anwar Ibarhim yang hanya diberi peluang oleh penguasa zalim menatap wajah ibu kesayanganya (Allahyarhamah Mak Yan) buat kali penghabisan di dalam situasi yang amat memilukan.

Sudahlah menanggung kesedihan tak terhingga dan terpaksa pula bertarung dengan kesakitan, Anwar dikawal rapi oleh skuad khas penguasa sehingga ke pusara untuk menyaksikan persemadian bonda yang tercinta. Sejurus selepas itu Anwar diangkut semula ke Penjara Sungai Buloh tanpa tangguh-tangguh.

Ketiga sepilu-pilu Abdullah, beliau sempat juga mencium dahi ibunya selepas memohon maaf di setiap hari lebaran Eidul Fitri di sepanjang hayat wanita itu di samping kesibukannya sebagai pembesar negara.

Tetapi apa yang terjadi kepada anak isteri mangsa tahanan ISA? Ada di antara mereka lebih empat tahun memanjang tidak berkesempatan bermaaf-maafan sambil menikmati suasana indah hari lebaran.

Ikatan kasih sayang di antara mereka telah dipisahkan secara paksa akibat kerakusan penguasa yang tak berhati perut. Kebanyakan anak isteri mangsa bukan sahaja kehilangan kasih sayang malah terpaksa hidup melarat kerana hilang tempat bergantung.

Lebih menyedihkan salah seorang anak mangsa kekejaman ISA itu, difahamkan kini sedang menjalani rawatan mental gara-gara tertekan dan terlalu merinduinya bapanya.

Cukup setakat ini buat sementara waktu, kalau lebih-lebih pula takut nanti ditohmah oleh para pembodek perdana sebagai golongan yang tidak kenal makna simpati.

Bagimanapun, sekiranya seseorang insan itu bersedia untuk berubah, tidak perlulah peringatan yang panjang menjela disuakan kepadanya, memadai dengan sepatah dua perkataan sahaja lebih-lebih lagi jika jiwanya menghayati agama.

Namun kalau agama itu ditafsirkan selain daripada tafsiran Muhammad saw, maka hatinya akan terus membatu dari mendekati kebenaran.

`Report Card 100 Hari` Abdullah menunggu beberapa hari lagi untuk disemak oleh rakyat. Sehingga saat artikel ini ditulis semuanya masih merah belum pun ada yang biru.

Apakah dengan kepergian Allahyarham Datuk Kailan akan menggerakkan hati DS Abdullah Ahmad Badawi PM kelima membirukan sedikit catatan markah itu kalaupun bukan `A plus` cukup sekadar `C minus` buat permulaan?

Ingat DS! Di dalam hal itu rakyat tidak berkompromi dengan anda!

- Inderaloka  - 03.02.2004 - 12.10 t/hari (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN