Lokman Gila Talak?
Ilat yang kekal

Deformis Lokman Noor Adam ternyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila hasratnya untuk kembali berkelewak (berkeliaran) di barisan depan gerakan Reformasi disambut dingin oleh rakan juang.

Kalau dia bersedia buat beberapa ketika untuk menerima status `Lokman Ibarat Melukut di Tepi Gantang` seperti saranan penulis di dalam artikel sebelum ini, mungkin masih ada rakan juang bersimpati dengan nasib yang menimpa dirinya.

Lokman kini benar-benar telah mencacatkan dirinya dengan ilat kekal, di dalam tempoh seminggu mulai 28 Januari, terdorong oleh rasa sakit hati apabila dipecat daripada jawatan SU Pemuda keADILan, tanpa berfikir panjang dia terus mengambil tindak balas politik dengan menuduh Ezam, Azmin dan Wan Azizah menyelewengkan dana parti.

Lokman dikuarantin

Pada 30 Januari, tiba-tiba dia menarik semula tuduhan tersebut dan mengakui semuanya tidak berasas, sengaja dicetuskan oleh anasir-anasir yang berhasrat memecah-belahkan parti

Sebagai `timbal balas politik` Ezam menerima baik kenyataan itu dan di masa yang sama turut membuat statement bahawa trend laporan yang diterimanya terhadap salah laku politik Lokman juga tidak benar kerana diolah oleh anasir yang sama.

Meskipun tindakan Ezam menarik balik dakwaan awalnya yang mewajarkan pemecatan Lokman kerana keberahian bekas SU Pemuda itu terhadap Umno menjadi buah mulut para reformis telah mencalarkan sedikit kewibawaan pemuda gagah candang itu namun semua pihak di dalam keADILan dan BA merasa lega kerana satu `krisis dalaman` sudah dapat diatasi.

Namun apabila deformis itu mengulangi semula pada 4 Februari serangannya terhadap Ezam sama seperti yang dibuatnya di dalam kenyataan beladiri di hadapan MPT keADILan tempoh hari, kali ini dengan skrip lebih mengancam, maka kewarasan mental Lokman mula dipertikaikan oleh majoriti penyokong BA.

Lokman di dalam kenyataan bertulisnya itu, di antara lain menuduh Ezam bermain politik kotor dengan menikam dari belakang di sebalik `gencatan senjata` yang mereka berdua meterai. Ezam dituduh mengupah Rohaizad menulis hal-hal yang memperlekeh-lekehkan Lokman dan segala dakwaannya di dalam sebuah laman web.

Dakwa deformis itu lagi Ezam telah memaklumkan kepadanya bahawa rakan-rakan juang pemuda agak keberatan untuk menerima semula kehadirannya dan statusnya sebagai ahli MPT akan ditentukan di dalam mesyuarat badan penggubal dasar parti itu dalam masa yang terdekat.

Seterusnya Lokman menganggap dirinya sengaja dipeti-sejukkan kerana mesyuarat MPT yang terdekat hanya akan diadakan selepas parlimen dibubarkan.

Lokman masih waras?

Kalaulah Lokman masih lagi waras ketika merakamkan kenyataan terbarunya itu, penulis suka mengingatkan bahawa dia jangan hanya pandai tersenyum apabila disanjung tetapi tidak bersedia menangis tatkala berdepan dengan kutukan.

`Orang politik (perjuangan)` adalah milik publik. Kalau publik menyanjung maknanya mereka masih suka, sebaliknya jika publik mula mengutuk ertinya mereka sudah meluat.

Penulis tidak menyalahkan rakan juang pemuda dan reformis yang kurang bersedia menerima semula kehadiran Lokman kerana mereka punya alasan kukuh: “Sekali Lokman tergamak memburuk-burukkan partinya, tidak mustahil dia akan mengulangi perangai tak senonoh itu bila-bila masa yang difikirnya perlu.”

MPT juga berhak menggantung mana-mana ahlinya yang mengutamakan gelodak emosi lebih daripada kebijaksanaan akal di dalam setiap tindak tanduk, apatah lagi kalau kesetiaannya terhadap parti dan perjuangan mula diragui.

Lantaran itu langkah rakan juang pemuda dan MPT meminggirkan Lokman untuk dikuarantin buat beberapa waktu bagi `proses pemulihan`adalah wajar. Malangnya Lokman tidak bersedia menerima hakikat itu !

Jagoan pembela rakan atau pembela diri?

Lokman cuba menonjolkan dirinya sebagai jagoan pembela nasib rakan juang yang terabai khususnya pemuda–pemuda di peringkat pusat.

Kalau pun ada kebenarannya, tidakkah dia terfikir bukan sahaja beberapa orang pemuda itu sahaja yang melarat, malah terdapat ribuan reformis dan penggerak parti yang berselerak di seluruh pelusuk tanah air terpaksa menempuh nasib yang sama.

Bayangkanlah jika kesemua mereka itu bermentalitikan versi Lokman, berapa ratus ribu RM kah yang harus dibayar oleh keADILan saban bulan? Sedangkan keADILan itu bukan parti berduit!

Sekiranya ada sedikit wang pun, banyak lagi hal-hal lain yang lebih utama untuk diongkosi. Itulah hakikat perjuangan, kalau takut menanggung risiko tidur saja di dalam kelambu!

Apa pun `kejagoan` Lokman memperjuangkan nasib rakan-rakannya itu masih diwarnai kekaburan kerana terdapat tandatanya yang meragukan. Lokman dikatakan pernah meminta Ezam untuk menaikkan elaunnya selaku SU Pemuda dari RM2000 kepada RM4000 sebulan.

Dia memberi alasan kenaikan RM2000 itu adalah untuk kegunaan peribadi. (tak perlu penulis dedahkan kerana terlalu personal). Permohonan tersebut tidak diluluskan oleh Ezam kerana kurang kemampuan. Mulai saat itulah Lokman difahamkan mula meracau.

Mungkin di saat-saat kemeracauannya itu K3P (Kumpulan Polong Perasuk Perjuangan) merasuk Lokman untuk menyertai mereka memberahi Umno. Kemuncaknya pada 20 Januari 2004 Lokman mengisytiharkan diri di hadapan seorang rakan juang bahawa dia telah bersedia untuk meninggalkan perjuangan keADILan.

Lokman terbongkang keseorangan

Seperkara lagi yang kemungkinan Lokman tidak sedar bahawa dia kini benar-benar keseorangan walaupun pada tahap awal pemberahiannya terhadap Umno dia tidak berseorangan.

Ke mana perginya pemberahi-pemberahi Umno di dalam keADILan yang mengacumnya itu? Khususnya yang beroperasi di Lembah Kelang. Ketahuilah Lokman! Penyangak-penyangak itu sedang berselindung di sebalik muka tembok mereka yang tebal, seolah-olah mereka tidak berbuat apa-apa dosa terhadap perjuangan rakyat (Anwar), walhal semua orang sudah tahu mereka menunggu saat yang terbaik untuk kembali ke pangkal jalan yang sesat (Umno).

Kesian Lokman! Kamu seorang yang terbongkang rupanya. Sudahlah rakan juang sendiri keberatan untuk menerima kehadiranmu semula, Umno pula tak segan-segan memperbodoh-bodohkan kamu!

Tentu Zahid Mat Ariff, Roslan Kassim,Fakhrul Azman (penjual ubat batuk - memetik kata YB Rahman Kemaman) bersetuju seratus persen dengan penulis.Tunggu apalagi tuan-tuan! Lekas-lekaslah masuk Umno! Jangan tunggu lama-lama takut nanti tak laku. Hamdan Taha (Talibarut Umno) yang sudah sekian lama berambus daripada keADILan pun pasti setuju kan!

Lokman seharusnya menganggap apa yang tertulis ini banyak kebenarannya, tak mengapa jika dia menyambut dengan maki-hamun asalkan dia sanggup mengakuinya meskipun sekadar di dalam hati.

Andai selepas ini dia terus melanuk, meracau dan membebel menggodam keADILan dan pimpinan parti itu, awas! Anak muda itu sudah benar-benar jatuh gila….Gila Talak!

- Inderaloka  - 05.02.2004 - (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN