Perhimpunan 17 April Batal – BBPPRU Sekadar Memujuk Rakyat?
Black 14 terus dirayakan

Zahid Md Ariff cucu saudara Tun Ghaffar Baba membatalkan Perhimpunan Black 14 2003 kerana terlalu `takutkan` Umno BN akan melabel keADILan sebagai penganjur keganasan. Ramai rakyat marhaen yang sudah bersedia untuk turun ke jalanraya ketika itu amat marah dan kecewa dengan kepondanan yang ditunjukkan oleh Zahid.

Mujurlah pondan tua Bangladesh itu tidak kekal lama di dalam BA. Dia bersama Ruslan Kassim mewujudkan gang The Dirty Dozen kemudian menyerahkan diri kepada Najib bekas boyfriend Ziana Zain untuk ditimbang berat badan mereka bagi menentukan harga yang perlu dibayar.

Black 14 sudah pun diwartakan oleh para pendokong perjuangan reformasi sebagai hari untuk memperingati kemuncak kezaliman Umno BN di bumi Malaysia yang tercinta. Hari itu akan disambut saban tahun selagi mana Anwar Ibrahim belum dibebaskan dan kezaliman masih bermaharajagila.

Kesamaan fikrah politik Anwar – Fadhil

Tanpa keberanian dan kesungguhan Anwar Ibrahim meneriakkan tuntutan reformasi pada September 1998 rakyat jelata tidak akan bangkit untuk menyatakan sikap mereka terhadap Umno BN pada PRU 1999.

Sayang sekali kebangkitan rakyat yang sudah terbukti berjaya menggugat keangkuhan sang penguasa zalim itu gagal diurus dengan sempurna oleh para pemuka perjuangan rakyat sehinggakan cita-cita besar dan murni Barisan Alternatif untuk menegakkan Kerajaan Reformasi punah begitu sahaja akibat penipuan terang-terangan Umno BN pada Mac 21 2004 (PRU ke 11).

Sayogia diingat kebangkitan besar rakyat yang disebut sebagai gelombang 98-99 itu tidak bermula di pentas-pentas pertunjukan (stage shows) mana-mana parti politik tetapi ianya meledak bersama beberapa siri demonstrasi jalanan (road shows) tajaan Anwar. Kemuncaknya pada September 20, 1998 di Masjid Negara - ratusan ribu rakyat pelbagai lapisan berhimpun di sana- semuanya kerana menyokong reformasi .

Tidaklah perlu dipaparkan rentetan peristiwa selepas saat bersejarah itu memadai dengan mencatatkan kewujudan kombinasi politik melibatkan Pas,PRM,keADILan dan DAP untuk melahirkan Barisan Alternatif (BA) .

Peranan Almarhum Dato’ Fadhil Noor mantan Presiden Pas begitu menonjol sekali-sehinggakan ada pendapat menyatakan tanpa kebijaksanaan dan kepekaan politik Almarhum, kemungkinan besar BA itu tidak akan wujud.

Ertinya pengurusan kebangkitan rakyat yang tidak dapat dikendalikan secara langsung oleh Anwar itu kerana halangan keras sang penguasa disambung oleh Almarhum Dato Fadhil bagi memastikan mood rakyat dapat dikekal kemudian diterjemahkan dalam bentuk penentangan terhadap kezaliman,penyelewengan,rasuah dan pelbagai kebejatan yang sudah begitu menyebati di kalangan pemuka-pemuka Umno BN.

Anwar bangkitkan rakyat dijalan raya

Sekali lagi ditegaskan Anwar membangkitkan rakyat daripada tidur mereka yang panjang bukan di pertunjukan pentas mana-mana parti politik; gelombang 98-99 itu merupakan susulan dari beberapa siri demonstrasi sebelum itu di mana Anwar terlibat sebagai teraju utama di antaranya demonstrasi Baling.

Sejak dari mula lagi insan yang bernama Anwar amat memahami bahawa kezaliman dan kebobrokan mana-mana rejim diktator hanya akan dapat dihancurkan melalui kekuatan rakyat.

Ketidaksediaan rejim bangsat Umno BN untuk direformasikan mengukuhkan lagi keyakinan Anwar bahawa tidak ada cara lain untuk menjatuhkan mereka melainkan dengan menghimpun segala keupayaan rakyat.

Apa pun keyakinan Anwar itu usah disalah tafsir; menghimpun kekuatan rakyat bukan bermaksud mengajak mereka merusuh dan mengganas sebaliknya hanya mendidik supaya berani bangkit mempertahankan hak asasi mereka.

Justeru itu mana-mana pembesar sama ada dari kalangan BN mahu pun BA yang mentafsir bahawa setiap perhimpunan jalanan (road show) menjurus ke arah keganasan dan rusuhan, tidaklah salah kalau mereka dikategorikan sebagai `pemimpin zaman lampau` yang sudah luput tarikh relevansinya.

Anwar pemimpin rakyat bukan pemimpin parti

Jangan ada sesiapa pun cuba menafikan bahawa `kemenangan mendadak` BA pada PRU 1999 berfaktorkan Anwar sebagai isu utama. Namun setelah kemenangan itu dikecapi para pemenang tersebut seolah-olah melupai jasa Anwar.

Ada yang sibuk berebut-rebut jawatan di dalam parti, ada yang bertindak keluar dari pakatan BA, malah ada yang terlalu berat mulut untuk melafazkan kejayaan yang mereka nikmati itu merupakan kejayaan BA.

Ego kepartian juga dapat dikesan di sana-sini sehingga ke satu tahap tercetusnya pandangan kalangan tertentu bahawa para pemuka BA bukanlah pemimpin rakyat sebaliknya pemimpin parti masing-masing.

Berani saya katakan selain Anwar dan seorang dua pemimpin di dalam BA termasuk beberapa butir bintang yang kian menyerlah,semuanya adalah pemimpin parti bukan pemimpin rakyat. Walhal untuk memerintah Malaysia mereka mesti menjadi pemimpin rakyat.

Selama mana mereka; baik golongan teknokrat, profesional, cendekiawan, para ulama dan sebagainya masih bermentalitikan pemimpin parti selagi itulah BA akan kecundang dan ditipu hidup-hidup oleh Umno BN.

BBPPRU sekadar memujuk rakyat?

Bila kisah si Zahid pondan tua Bangladesh membatalkan Perhimpunan Black 14 2003 penulis ketengahkan di awal penulisan bukan bererti tindakannya itu sahaja yang harus dikutuk oleh sejarah reformasi, bahkan kutukan yang serupa wajib dirakam untuk aksi dan gelagat yang menyamainya.

Dari sudut aksi apa bezanya Badan Bertindak Penyelewengan P/Raya (BBPPR) 2004 dengan Zahid? Tidak ada bezanya,jika Zahid membatalkan perhimpunan Black 14 2003 yang dirancangnya sendiri, BBPPR yang berdegar-degar di peringkat awal pelancarannya pun membatalkan perhimpunan kemuncak yang mereka rancang di Suhakam pada 17 April 2004.

Alasan bahawa BBPPR belum lagi mengemukakan petisyen penyelewengan p/raya menerusi saluran undang-undang, tidak cukup kukuh untuk menegakkan benang basah mereka.

Jika itu alasannya mengapa tarikh 17 April ditetapkan sebagai perhimpunan kemuncak? Apakah Urusetia BBPPR merancang program di dalam suasana yang kelam kabut? Di mana letaknya kredibiliti mereka jika sesuka hati merancang kemudian membatalkannya!

Stage show BBPPR ke seluruh negara bermula seawal 4 April, banyak sudah dana dikumpul, beribu-ribu helai kemeja T- RM 10 sehelai sudah dijual dan pelbagai lencana RM 1 sekeping sudah diedarkan, semangat rakyat sudah membara untuk berhimpun di Kotaraya, tiba-tiba pemimpin sendiri yang bertindak di luar dugaan; membatalkan perhimpuan! Kalau bukan pemusnah semangat rakyat, apalagi gelaran yang wajar diberi kepada pemimpin pengecut begitu rupa!

Apakah dengan sekali `jerkahan beruk` Dato Noh Omar Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk memberkas para peserta `Perhimpunan 17 April BBPPRU` sudah melemahkan segala urat saraf dan tulang-temulang para pengendali BBPPRU yang kelihatan cukup hebat dan digeruni apabila muncul di atas pentas!

Sesungguhnya para pengendali BBPPRU hanya berahikan laungan Takbir dan Reformasi di persekitaran pentas sahaja,tetapi gementar untuk bertakbir dan bereformasi bersama rakyat di jalanan.

Hari ini para pengendali (pembesar-pembesar) itu berkata bahawa perhimpunan terpaksa dibatalkan kerana petisyen belum dihantar, esok setelah petisyen dihantar mereka akan berkata tunggu sehingga proses perbicaraan selesai baru boleh berhimpun dan lusa apabila keputusan perbicaraan tidak memihak kepada rakyat, maka para pengendali itu akan berkata: “Bersabarlah sehingga 2009, kerana perjuangan itu menuntut pengorbanan, ketaatan kepada pemimpin, bla….bla…”

Usahlah mencari-cari alasan itu dan ini,jika minda masih lagi takut pada andai-andaian dan mitos silam lebih baik serahkan sahaja `urusan rakyat` itu kepada yang lebih layak.

Terlebih penting dari itu, jangan sesekali mengaku sebagai penerus perjuangan Anwar jika secebis pun tiada mewarisi keberanian, kesungguhan dan pengorbanan wira rakyat itu!

Telah saya katakan di penulisan lalu, mungkin BBPPR itu diwujudkan untuk mencipta ruang waktu bagi membolehkan kemarahan rakyat terhadap SPR Umno BN reda. Nampaknya proses memujuk dan menyejukkan amarah rakyat itu hampir-hampir menjadi kenyataan. Bijak sungguh para pembesar BA mempolitikkan rakyat marhaen!

Mujur sahaja para reformis berjaya menggantikan program BBPPR itu dengan perhimpunan memperingati Black 14 di tempat dan pada tarikh yang sama (Bangunan Suhakam- 17 April)- jika tidak Dolah Lembik Umno BN akan ketawa berdekah-dekah melihat kelayuan dan kelesuan para pembesar dan penyokong BA yang baru ditipunya hidup-hidup 21 Mac lalu.

Syabas para reformis lebih-lebih lagi kepada 14 orang yang diberkas oleh samseng berlesen (FRU) peliharaan Dolah-Ong-Sammy Umno BN, ketika sedang bereformasi.

Setidak-tidaknya maruah rakyat marhaen yang mahukan reformasi masih anda semua pertahankan!

- Inderaloka  - 18.04.2004 - (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN