Perhimpunan Black 14: Satu Renungan Buat Pemimpin BA
Oleh Kak Id

Tanggal 17 April berlalu sudah meninggalkan kita dan bersamanya membawa pergi segunung harapan dari para pendokong bawahan BA yang sentiasa bersedia untuk menurut segala titah perintah pemimpin atasan BA. Harapan yang dibina selama dua minggu dari tarikh pengumuman penyimpan mohor besar BBPPU BA bahawa satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan pada tanggal keramat 17 April telah hancur berkecai begitu sahaja. Kami, penyokong bawahan ini, tidak pernah pula mempersoalkan pemilihan tarikh atau cuba pula meminta agar ditetapkan satu tarikh lain yang lebih menyenangkan kami. Tanggal 17 April telah dipilih maka tarikh itulah yang kami pegang tanpa mengambil kira sama ada tugas yang perlu ditinggalkan, ada kedai yang perlu ditutup, ada periuk nasi yang akan terjejas, ada keluarga yang terpaksa diketepikan, ada modal yang perlu dikeluarkan, ada ancaman yang dikeluarkan..…..semua itu kami tolak ke tepi demi menyahut seruan bahkan rayuan dari pemimpin atasan BA agar turun menyertai perhimpunan yang diwar-warkan itu.

Di dalam fikiran kami ini hanya satu tujuan kami menerima bulat-bulat arahan dari pucuk pimpinan yang bijaksana iaitu untuk menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi kami terhadap usaha pimpinan BA bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum yang baru berlalu. Kami mahu KERAjaan haram BN sedar bahawa kami tidak sekali-kali mengiktiraf kabinet dan wakil-wakil mereka. Cara yang paling mudah dan tidak memerlukan masa yang panjang adalah dengan turun berpilihan jalan raya pada satu tanggal yang telah pun dipilih itu. Tidak kiralah sama ada pucuk pimpinan BA mahu menghantar memorandum atau surat bantahan atau sekadar berucap mengeluarkan kenyataan dan menyatakan pendirian……tugas kami adalah berhimpun bagi menunjukkan kesepakatan BA.

Malangnya di dalam tempoh yang kurang dari 48 jam, dengan segala kekurangan dari segi hebahan maklumat…..nak harap keluar TV jauh sekali, nak harap keluar radio atau surat khabar boleh mimpi……., sanggup pucuk pimpinan BA membatalkan perhimpunan yang telah dirancang tanpa sebarang alasan yang meyakinkan. Tidak terfikirkah para pemimpin sekalian akan kepayahan dan kesulitan yang mungkin dihadapi oleh para penyokong yang telah bersedia malah telah pun turun ke KL dari jauh semata-mata memenuhi rayuan pemimpin bagi menyertai perhimpunan tersebut. Terdapat teman-teman seperjuangan dari Utara yang telah tiba dengan penuh semangat pukul 5.00 pagi 17 April di Taman Melewar hanya untuk dikecewakan dengan berita pembatalan perhimpunan tersebut. Kumpulan ini memberitahu bahawa mereka telah turut hadir ke satu ceramah pada hari Khamis 15 April malam di Kedah di mana Ustaz Azizan Razak sendiri di dalam ceramahnya masih menyeru agar para penyokong turun ke KL pada 17 April nanti. Bagaimana hendak mengharapkan maklumat terkini sampai kepada para penyokong jika barisan pimpinan negeri juga tidak dimaklumkan mengenainya?

Bagi saya sendiri tidak ada sebarang alasan yang munasabah boleh diberikan oleh pucuk pimpinan BA bagi menghalalkan tindakan mereka membatalkan perhimpunan tersebut. Hanya satu yang alasan yang saya fikir boleh diterima oleh semua orang….. kematian……mungkin sebagai menghormati ‘arwah’ berkenaan. Selain dari itu, dari beberapa alasan yang didengar dan dibaca, seperti di bawah ini, semuanya tidak boleh lagi kami terima bulat-bulat :

1) SUHAKAM Tutup 17 April
Bukankah ini amat memalukan bagi pihak penganjur Badan Bertindak Pilihan raya yang terdiri dari mereka yang paling cekap dari segi teknikal tetapi membuat keputusan menetapkan tarikh 17 April tanpa mengambil kira faktor buka-tutup pejabat….sekiranya mereka benar-benar kemaruk mahu menghantar memorandum kepada pihak SUHAKAM. Sekiranya kesilapan ini masih disedari di saat-saat akhir pun, pihak penganjur boleh menutup ‘kemaluan’ mereka dengan tidak memasukkan agenda menghantar memorandum itu di dalam program perhimpunan itu. Tunjukkan saja bakat ‘jaguh rostrum’ mereka di hadapan para penyokong! Kami tidak peduli pun sama ada memorandum itu dihantar atau tidak.

2) Tempat Perhimpunan Tidak Sesuai
Dikatakan ada pemimpin yang menyuarakan rasa tidak setujunya tentang tapak perhimpunan yang dipilih. Perkarangan Pejabat SUHAKAM dikatakan sempit. Oleh itu perlulah dicari satu tempat yang lapang dan luas untuk upacara itu. Laa…..ini merupakan satu lagi ‘kemaluan’ di pihak penganjur yang sepatutnya ditutup. Bukankah tarikh dan tempat program diputuskan sebulat suara oleh pucuk pimpinan dan hanya selepas itu barulah diumumkan. Kami, para penyokong BA, tidak pernah meletakkan sebarang syarat agar sebarang program yang ingin dijalankan perlu memenuhi kriteria tertentu. Lapang atau sempit, luas atau terhimpit semuanya terpulang ke atas batu jemala para pemimpin yang bijaksana. Kami, pacal-pacal yang hina ini, hanya menurut perintah sahaja….. maklumlah kami ni kurang cerdik berbanding dengan duli-duli semua. Nasib baik kami tidak mendesak agar disediakan kerusi dan kipas supaya lebih selesa berhimpun…. bukankah kami ni yang dirayu agar berhimpun?

3) Petisyen Belum Lengkap
Dikatakan program mahu seiring dengan petisyen dan surat saman yang hendak dihantar ke mahkamah. Perlu tunggu penetapan tarikh dari peguam dahulu.

Waduh-waduh…… pakai loyer-loyer pulak. Kalau begitu rayu sajalah pada para peguam untuk turun berhimpun di mahkamah nanti.

Lagi satu ‘kemaluan’….kata nak hantar memorandum saja ke SUHAKAM, ini sudah masuk bab saman-menyaman pulak. Entah-entah nanti tangguh lagi sebab nak tunggu keputusan mahkamah dulu. Kalau macam tu alamatnya kena tunggu sampai kucing bertanduklah!

4) Tiada Permit
Inilah lawak paling bodoh sekali. Bila pula kita masih mengharap pada permit untuk menghimpunkan rakyat. Sedangkan ceramah dalam premis parti pun dikacau dan dihalang, inikan pula di tengah-tengah bandar raya.

5) Tidak Suka Keganasan
Alahai………. nampaknya bukan KERAjaan BN sahaja menuduh para penyokong BA ganas, depa ni pun boleh termakan dengan tuduhan begitu. Siapa yang tidak pernah menyertai perhimpunan rakyat sebelum ini atau tidak betah menggauli para penyokong bawahan mungkin tidak berpeluang melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana tindak-tanduk rakyat yang berhimpun. Mereka tidak akan dapat menyaksikan siapa sebenarnya yang mengganas dan bersifat kebinatangan. Berdiri di pentas dengan berdiri di jalan raya jauh bezanya!

Demikianlah beberapa alasan yang saya dengar. Mungkin boleh dibawa ke mahkamah keadilan untuk diperdebat dan dihujahkan oleh kedua-dua belah pihak…. kali ini di antara para penyokong bawahan vs pimpinan BA. Sedarlah wahai para pemimpin BA yang dikasihi, dengarlah keluhan dari kami para penyokong bawahan ini. Berapa banyak kerugian yang kami tanggung, wang mahupun tenaga, dan berapa dalamnya kekecewaan yang kami rasai tidak mungkin dapat tukar-ganti. Bolehkah kami percayai lagi rayuan dari pucuk pimpinan untuk turun berhimpun pada satu tarikh yang lain kelak. Sanggupkah kami meredah segala keperitan dan kehampaan itu jika dirayu pula agar diberi peluang kedua…… jawapannya mungkin TIDAK. Sekiranya perhimpunan boleh dibatalkan dalam masa yang begitu singkat tanpa memikirkan kesannya kepada para penyokong, bagi saya tiada jaminan langsung yang perkara yang sama tidak akan berulang di masa hadapan.

Seperkara lagi, seperti yang dimaklumkan kepada saya bahawa pihak atau wakil penganjur perhimpunan pernah mempelawa penganjur program Black 14 yang mahu menyambutnya pada tanggal 14 April agar berkompromi dan melanjutkan tarikh perayaan itu ke 17 April. Cadangan itu telah diterima dengan hati terbuka oleh penganjur program Black 14. Adakah mereka pernah bertanya pandangan penganjur Black 14 semasa mereka mahu membatalkan perhimpunan 17 April itu? Jadi jangan salahkan para reformis apabila mereka masih meneruskan perhimpunan itu. Sikap yang ditunjukkan oleh Badan Bertindak Pilihan raya BA itu sangat memalukan. Siapakah sebenarnya dalang di sebalik semua ini? Siapakah si kuku besi yang sewenang-wenangnya membuat keputusan membatalkan perhimpunan tersebut? Jika berani sila mengaku dan bertanggungjawab!

Serik…. mungkin itulah perkataan yang paling sesuai sekali selain dari kecewa. Malah yang lebih menyedihkan saya adalah keangkuhan pihak penganjur dan pimpinan BA untuk mengeluarkan satu kenyataan rasmi memohon PENUH KEMAAFAN dari para penyokong sama ada yang telah berniat untuk turun sama, apatah lagi kepada mereka yang telah pun turun disebabkan kelemahan pihak penganjur sendiri. Siapalah penyokong tanpa pemimpin ….begitu jugalah siapalah pemimpin tanpa penyokong. Fahamilah gerak hati penyokong bawahan yang tidak berkepentingan ini.

Akhir kata, maafkan saya di atas kekasaran tulisan ini. Selama ini tidak pernah terfikir untuk mempersoalkan segala tindak-tanduk para pemimpin kita yang disayangi namun peristiwa ini mengajar saya satu perkara……..pemimpin yang di atas perlu juga ditegur secara terbuka agar terbuka hati mereka untuk mendengar rintihan penyokong yang di bawah ini!

Lawan Tetap Lawan!

Kak Id - 20.04.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 



Sertai Maillist M@RHAEN