Bila Maklumat dianggap ilmu
- Mahathir dan Bahasa Inggerisnya

Oleh KarimSelamat

MALAYSIA patut dimasukkan ke dalam Guinness Book of World Records sebagai sebuah negara yang kerap sekali mengubah dasar pendidikan dan dasar bahasa kebangsaannya. Patut juga disenaraikan sebagai negara yang segalanya ditentukan oleh hanya seorang manusia yang boleh mengatur, melantik, memecat dan menghina rakyatnya sendiri tanpa menerima kesan balas. Patut juga di catatkan bahawa orang yang asalnya seorang ultra-nasionalis (keterlaluan sikapnya yang pro terhadap bangsanya, dan kerana sikap ini juga yg memungkinkan sokongan bangsa yang menaikkannya di dalam parti UMNO dan kerajaan) kini bertukar menjadi pro-penjajah, pro-sekularis dan oportunis secara total. Namun kenapakah rata rata rakyat (khususnya Melayu) masih beranggapan bahawa Mahathir hari ini adalah juga Mahathir yang ultra-nasionalis, pejuang bangsa, ikon hero Melayu zaman senja YTM Tunku Abdul Rahman?

Kenapakah seorang yang terbukti mengkhianati segala usaha membangunkan negara berdasarkan prinsip prinsip demokrasi, berteraskan segala resolusi para ilmiawan hasil dari pelbagai konvensyen, seminar dan muktamar masih boleh berdiri di pentas dan bercakap berjam-jam perihal nasib bangsa. Dan tidakkah pelik sehingga ada pula orang Melayu yang keterlaluan memuja memuji memberi pelbagai gelaran seperti khalifah, wira dunia ke 3 dan sebagainya? Malah ada pula yang meletakkan gelaran ulama kepadanya.

Mahathir pernah menulis beberapa rencana akhbar, mengkritik dan melontarkan idea yang dari dahulu mengecam budaya dan tradisi Melayu yang dikatakan feudal (yang sememangnya benar dan disuburkan oleh UMNO) tetapi hampir kesemua tulisannya dihasilkan dalam bahasa Inggeris. Dalam kajian komunikasi, jika kita ingin sampaikan sesuatu mesej atau teguran kepada sesuatu bangsa, kita sepatutnya menggunakan bahasa bangsa tersebut. Tetapi Mahathir menggunakan bahasa Inggeris dan bahan tulisannya disiarkan di akhbar bahasa Inggeris. Siapakah yang ingin beliau pesonakan dengan ketrampilan penguasaan bahasa Inggerisnya? Orang Melayu atau pentadbir kolonial Inggeris pada ketika itu? Jika pihak pentadbir British yang ingin digodanya dengan kemahiran bahasanya matlamat reformasinya hanyalah untuk melonjakkan nama pribadinya sahaja.

Cuba anda fikirkan, apakah Mahathir benar-benar ikhlas mau reformasikan minda Melayu bila "Malay Dilemma" ditulisnya (dalam Bahasa Inggeris). Dalam sains komunikasi seorang penulis dianggap sebagai seorang "pemimpin pendapat" (opinion leader), justeru siapakah audiens yang mau dipimpinnya jika pada mula lagi beliau "berfikir" ala-keinggerisan (kritikalnya terhadap bangsa senada dengan cemuhan para kolonialis terhadap orang Melayu)

Telah terbukti dalam sejarah kebanyakan negara dunia ketiga yang punyai pemimpin yang fikrahnya diwarnai oleh penjajah yang sehingga kini masih lagi di tahap survival seperti Pakistan, India Bangladesh dan beberapa negara Afrika. Pemimpin beginilah yang diredhai oleh Tuan-Tuan kolonial untuk diserahkan tanggungjawab mentadbir wilayah jajahan mereka dengan hanya bermercu-tandakan istiadat yang hanya penuh kemilau tanpa erti. Yang diketepikan oleh British adalah para pejuang tulen nasionalis yang "bercakap" dengan rakyatnya dalam bahasa Melayu seperti Ahmad Boestamam, Pak Sako dan lain lain lagi yang hampir kesemuanya pernah mengalami derita di bawah tahanan.

Pemujaannya terhadap bahasa Inggeris begitu keterlaluan hingga beliau tiada lagi dapat membedakan antara "ilmu dan maklumat". Tiada siapa yang pertikaikan kepentingan bahasa Inggeris dalam proses negara dan ekonomi modern. Yang jelas hingga kini hanyalah kegagalan kerajaan merumuskan satu dasar dan satu sikap yang jelas - apakah yang kita mau? Kemahiran bahasa bukan setakat mahir bercakap sahaja. Rakyat Jepun tidak mahir bertutur tetapi mereka mahir menggunakan bahasa sebagai alat mencari gali ilmu dan kemahiran ini hanya boleh dilahirkan tatkala sesuatu bangsa itu punyai keyakinan diri sendiri terhadap bahasa dan budayanya. Inilah ilmu yang melahirkan "bijaksana dan hikmah" sedangkan matlamat Mahathir hanyalah mau rakyat menelan bulat bulat segala "maklumat" sebagai robot yang diprogramkan olehnya menerusi program menginggeriskan matematik dan sains. Kemahiran robot seperti ini akhirnya menjadikan anak bangsa sebagai hanya "pengguna teknologi" yang sifar kreativiti dan amat bergantung kepada input dari sumber berbahasa Inggeris.

Para intelektual telah memberikan sanggahan mereka, rakyat yang sedar telah bersuara, yang tinggal untuk meneruskan warisan penjajah dan bertopengkan wajah pembela bangsa hanyalah melayu yang masih bernaung di bawah lambang keris, dulu kini dan selamanya kuno dan jumud.

karimselamat@gmx.net - 29.07.2002  (Suntingan M@R)


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!