Surat Khabar:
Perlukah Anda Membacanya Setiap Hari?

Oleh KarimSelamat

ORANG yang baca suratkhabar setiap hari ada alasan masing masing. Ingin tau apa yang berlaku, tidak mau ketinggalan mengenai sesuatu isu. Matlamat akhbar pula dikeluarkan setiap hari alasannya, konon ingin menyampaikan "berita", maklumat dan pandangan. Akhbar Melayu di Malaysia yang utama hanya dua sahaja (Metro dan lain-lain hanya tabloid dan tidak dianggap berpengaruh hanya sensasi seperti "melahirkan anak orang bunian" dan sebagainya.)

Bayangkan betapa peliknya, sejak sekian lama merdeka,kenapa akhbar utama bahasa Melayu hanya dua sahaja? Utusan Malaysia/Melayu dan Berita Harian? Sedangkan akhbar bahasa Cina ada Sin Chew, Kwong Wah, China Press, Quang Ming dan Guang Ming. Adakah kerana orang Melayu tak minat membaca atau rakyat Cina lebih ramai di Malaysia yang membaca daripada orang Melayu? Bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara cuma mampu hidup dalam dua buah akhbar ini sahaja.  Petanda sebuah negara bangsa yang maju ialah bila rakyatnya punyai banyak pillihan sumber bacaan dan terdapat banyak bahan yang mengutarakan pandangan dari pelbagai sudut. Tetapi akhbar akhbar Melayu Malaysia membuaikan impian syahdu kepada pembaca kononnya negara kita sudah maju - Malaysia Boleh!

Jika anda saban hari mengikuti siaran akhbar, dari hari pertama anda boleh membaca hingga ke saat ini, anda tidak akan dimaklumkan bahawa negara kita amat mundur dari segi perkembangan persurat-khabaran (press development). Sebaliknya anda pasti pernah temui cakap-cakap besar seperti "akhbar terlaris di Malaysia", "akhbar yang mencecah sekian-sekian angka mengikut ABC rating", atau "akhbar pilihan rakyat".  Akhbar seperti Utusan Malaysia tidak akan menyiarkan berita seperti, " Jualan Utusan Merosot 30%", atau akhbar Inggeris The New Straits Times pasti tidak akan meletakkan tajuk "Seramai 20 orang  pekerja diberhentikan". Walaupun perkara tersebut punyai nilai berita dan cukup sensasi. Ada semacam suatu sifat pada organisasi akhbar yang mirip kepada kerja "cakap besar, aku yang lebih"

Satu perkara yang jarang dipersoalkan oleh ramai pembaca ialah perangai atau kecenderungan akhbar menyelit dan menyamar antara unsur "berita" dan unsur "pendapat". Beza keduanya ibarat langit dengan bumi tetapi bila ia muncul dalam bentuk bertulis maka kesamaran itu tidak kelihatan. Misalnya dalam ayat "PAS kata UMNO kafir" boleh dijadikan kepala berita di muka depan. Sedangkan hakikat sebenar ialah "Umno kata, <PAS kata UMNO kafir>".  Formula ini boleh anda padankan dengan kata kata "PAS kempen Ganas", sedangkan yang sebenarnya UMNO( Mahathir)  kata "PAS Ganas". Perhatikan bahawa ayat itu hanyalah pendapat (pendapat UMNO bukan berita). Sesiapa pon boleh punyai apa-apa pendapat mengenai apa saja apatahlagi di musim pilihanraya, masing masing punyai pendapat tersendiri.

Apakah anda fikir orang yang menulis dalam akhbar seperti pemberita dan para editor itu lebih cerdik, berpengetahuan luas dan berilmu tinggi? Syarat umum jadi pemberita ialah boleh membaca, mengira dan menulis. Kalau ada degree atau diploma mungkin gajinya lebih sedikit. Tetapi ruanglingkup kerja mereka tidaklah mendedahkan mereka kepada sebarang ilmu yang boleh memberi faedah kepada anda kerana rutin harian mereka hanya melaporkan sahaja apa yang berlaku. Kemudian laporan itu dihadapkan kepada penyunting, jika menguntungkan pembangkang, bahan itu tidak akan disiarkan.

Ambil saja peristiwa bersejarah kematian Presiden Pas baru baru ini. Kesemua akhbar Melayu tidak berani memaparkan gambar berlebihan menujukkan betapa ramai rakyat yang menyambut jenazah almarhum. Utusan Malaysia hanya menunjukkan gambar setakat beberapa orang mengusung jenazah. Sedangkan akhbar China rata rata menunjukkan hampir kesemua senario dari hospital, lapangan terbang sehinggalah ke tanah perkuburan. Jelas di sini, nilai berita untuk Utusan dan Berita Harian tidak sama dengan nilai berita akhbar China atau nilai piawaian konsep berita sewajarnya. Akhbar Melayu tidak boleh dengan sewenang wenangnya menimbulkan kemurkaan Maha Editor yang bukan saja kerjanya sebagai penyunting tak bertauliah tetapi juga menerima gaji sebagai seorang ahli politik dan menteri.

Tanpa anda sedari, rupa rupanya tahap pemikiran anda yang lebih bijak dan matang diperlekehkan oleh para penulis upahan yang kerja nya mencari makan disamping bermegah kerana dapat bergesel bahu dengan para VIP dan makan makan percuma. Itu tidak termasuk lagi kes wartawan "sampul". Wartawan "sampul" selain dari mendapat gaji bulanannya juga mendapat sampul yang berisi wang dari para artis atau manager  mereka yang beliau kerap memuji itu dan ini di dalam ruangan hiburan. Bab ini kita kesampingkan dulu kerana memang banyak cerita sebalik tabir yang keji jahat dan busuk disekitar dunia persurat-khabaran Malaysia (Melayu).

Cukuplah setakat saya nyatakan bahawa anda tidak rugi jika tidak langsung membaca akhbar arus perdana seperti Utusan dan Berita Harian atau Metro. Jika tak percaya tanyalah diri sendiri, apa untungnya selama ini yang anda perolehi dari bacaan anda setiap hari itu? Adakah bertambah ilmu di dada? Adakah kemahiran anda semakin meningkat? Adakah fikiran anda semakin cekap membuat keputusan? Di negara maju seperti Jepun, Jerman dan Perancis, rakyatnya yang berpelajaran dan progresif menimba ilmu dari usaha mereka membaca buku, bukan akhbar.

Di Malaysia, buku yang laris nampaknya ialah novel novel cinta picisan remaja dan akhbar yang saban hari memuja muja pemimpin sambil meniup slogan patriotik palsu yang lesu setiap hari. Akhirnya para pembaca dan pelanggan akhbar Melayu hanya sekadar menjadi pemuja pemimpin, para artis, bintang Bollywood dan pengibar bendera yang setia di hari Kebangsaan nanti. Selamat Membaca!

karimselamat@gmx.net - 31.07.2002  (Suntingan M@R)


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!