Hakikat Sebenar!!! 
UMno mengatakan PAS bukan agama. PAS adalah sebuah parti politik yang ditubuhkan pada tahun 1959 selePAS mendapat kelulusan daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan dengan nama Parti Islam seMalaysia. Parti PAS sama seperti parti Umno, parti Keadilan, Parti Rakyat Malaysia, DAP, Gerakan, MCA., MIC dan Bebas.

Dasar PAS ialah ISLAM. PAS memperjuangkan ISLAM yang sempurna. Perjuangan PAS adalah berpandukan kepada ajaran Al-Quran dan Hadis Nabi. Berdasarkan kepada dasar ini, PAS memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
 
UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Bukankah kedua-dua dasar ini jelas membuktikan perbezaannya?

Politik dan ekonomi jika diketepikan agama, maka akan haru-birulah nanti... contohnya, dalam mentadbir, kita tidak dapat lari daripada dosa-pahala, sama ada suka atau tidak suka kita terpaksa menerimanya! Sebagai contoh, perbuatan rasuah itu, semua orang tidak menyukainya sama ada kalangan politikus atau orang awam, namun dalam politik yang tiada teras agama, rasuah itu setakat dikatakan salah, walhal di sisi agama, ianya bukan setakat salah tetapi HARAM yang hukumnya berdosa.

Begitu juga dalam aspek ekonomi, keadilan adalah teras di dalam ajaran agama. Keadilan di sisi agama tentu sekali ganjaran kebaikan dari Allah hendaknya, dan ganjaran kebaikan itu sudah semestinya PAHALA. Tetapi dalam ajaran agama lain, keadilan itu diandaikan sebagai sesuatu yang wajar bagi pihak berkuasa. Ini yang membezakan antara politik daripada kacamata agama dengan politik dari kacamata sekular.

Oleh itu, pahala-dosa itu bukan dalam solat, haji, puasa semata-mata tetapi merangkumi seluruh kehidupan kita dan adalah terikat sama ada dalam berpolitik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kalau dalam berpolitik, kita lakukan kezaliman, bukan setakat penzalim itu dikira berdosa, pendokong penzalim pun akan mendapat habuan di sisi Allah.

Dan sesungguhnya kepada masing-masing (mereka yang berselisih itu) pasti Tuhanmu akan menyempurnakan dengan cukup, (balasan) pekerjaan mereka. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan. Surah Hud:111-113

Di dalam PAS, kita tidak menggariskan apakah imej dan pakaian untuk ahli-ahlinya tetapi kita memberikan garis panduan berasaskan ajaran Islam itu sendiri. Mereka bebas untuk berpakaian selagimana menutup aurat serta mengikut lunas-lunas Islam. Ahli-ahli PAS dengan sendiri lebih senang menonjolkan pakaian yang mencerminkan pakain muslim seperti memakai kopiah atau berserban, menyimpan janggut, berjubah dll. Dalam umNO, mereka menekankan corak berpakaian yang lebih menonjolkan imej Melayu dan tidak kisah sama ada menutup aurat atau tidak.

PAS berjaya membentuk kerajaan di Kelantan dan Terengganu, serta sebahagian kerusi di Pahang dan Kedah kerana pendekatan PAS diterima rakyat dan yakin apa yang PAS lakukan mendapat kebaikan buat mereka. Mereka berjaya membuka pemikiran rakyat dengan perjuangan Islam yang mereka bawa. Pendekatan PAS yang mesra rakyat dan memahami kehendak rakyat seharusnya terus dikekalkan kerana ia memberi contoh yang baik buat negeri-negeri lain di masa akan datang.

Keberkesanaan PAS yang telah berjaya menarik ramai ulama tulen menyertai PAS sehingga apabila menjadi ahli atau wakil rakyat bahkan dihormati oleh kebanyakan rakyat. Sebagai contoh, Datuk Harun Din yang merupakan seorang ulama tersohor di Malaysia. Beliau adalah orang terpelajar dan seorang ulama yang disegani, maka ramailah yang percaya dan daripada situ beliau semakin dihormati dan ramailah yang masuk PAS. Beliau adalah antara pemimpin berpendidikan tinggi yang berfikiran matang telah meninggalkan parti UMno yang jelas merosakkan dan menghancurkan syiar Islam.

Pemimpin lain yang turut menyertai PAS ialah Datuk Hassan Ali, Shahnon Ahmad, Datuk Kamaruddin Jaafar dan lain-lain lagi yang jika disenaraikan tidak muat muka surat ini. Datuk Hassan Ali dan Shahnon Ahmad sememangnya dua nama yang menjadi igauan seluruh rakyat Malaysia ketika dalam UMno. Hassan Ali mempunyai keistimewaan dengan keintelektualan yang ada padanya, begitu juga dengan Shahnon Ahmad yang kepuitisan dunia kesusasteraannya.

Bandinglah pandangan mereka dengan Zainuddin Maidin terhadap PAS yang mengatakan PAS sebagai sebuah parti yang jumud, tertutup dan fundamental. Adakah benar erti kata - menyokong umno tidak bererti menolak Islam. Tapi, Islam yang bagaimana sucinya dari segi pelaksanaan/praktikalnya?

Contoh 1, dengan membenarkan pelanggaran hukum Islam dalam pelaburan dana-dana rakyat?
Contoh 2, mempertikaikan perlaksanaan hukum hudud oleh umat yang mengaku Islam di dalam UMno sendiri?

Bolehkah UMno menjelaskan sejelas-sejelasnya, tentang Islam fundamentalis, jumud dan tertutup yang telah dan sedang dipraktikkan oleh PAS? Adakah ini dilihat dari segi berpakaiannya, berjanggutnya segolongan daripada mereka mereka itu? Mungkin di luar jangkaan UMno yang mereka-mereka itu sebenarnya sama canggih (kalau tidak lebih) tahapnya dengan mat mat umno yang bertie dan berbush jacket. Cara berpakaian tidak semestinya menunjukkan kekurangan atau kelebihan seseorang!

Cerita tentang al Quran dan hadis, siapa yang benar-benar berjuang ke arah perlaksanaannya? Kita tidak perlu berpura-pura bila ingin melaksanakan Islam yang mengikut al Quran dan hadis. Di zaman Nabi Muhammad saw dulu, apabila turun ayat tentang haramnya arak maka semua umat islam ketika itu membuang arak sampai banjir jalan-jalan di Madinah.

Peliknya bila UMno mengisytiharkan Malaysia Negara Islam, arak, judi, zina dan program-program haram semakin galak. Yang menganjurkan program maksiat ialah UMno/BN. Tak satu pun premis judi di tutup di negeri yang diperintah UMno. Lihat saja siapa yang berjudi yang ramai orang Melayu yang mengaku Islam.

Apa yang Umno dan pemimpin tertinggi mereka sibuk ialah nak tutup SAR atau sekat bantuan bukan untuk orang Melayu. Tutup MRSM di Terengganu kerana ramai orang Melayu beragama Islam dan sokong PAS. Tiba-tiba lesap 10 Billion duit rakyat yang diamanahkan dituang di KLSE. Bila nak bantu SAR kata tak ada duit?

Apabila kita membantu melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah, kita akan mendapat pahala dan ganjarannya adalah syurga. Membantu orang miskin, membantu orang sakit, bersedekah dll. Bagaimana kalau kita membantu seseorang melakukan kemungkaran atau menyokong orang yang zalim (sila fahami takrif zalim), tentu kita mendapat dosa.

UMno telah banyak melakukan kezaliman terhadap orang yang tak berdosa. UMno telah mengarahkan pasukan keselamatan membunuh orang yang tak berdosa. APa dosa Ibrahim Libya hingga dia dibunuh dengan kejam?

Apa dosa rakyat Terenganu hinggakan hak kepada royalty minyak di negeri sendiri dilucutkan. Bukankah mereka telah memilih kerajaan mereka sendiri dari sistem demokrasi. Bukankah zalim namanya menindas rakyat Terengganu? Bagaimanakah pengagihan wang ehsan? Ke mana mereka belanja dan salurkan serta pelbagai persoalan lagi.

Apa dosa perjuang-perjuang rakyat seperti Sdr Ezzam, Dr Badrulamin, Shaari Sungib, Hishamuddin Rais, Tian Chua dll hinggakan mereka difitnah dan diISA walaupun jelas mahkamah membuktikan mereka tak bersalah dan wajib dibebaskan namun mereka masih dizalimi dan keluarga mereka dibiarkan dalam kesusahan. Bukankah ini zalim namanya?

Berapa ramaikah lepasan SAR yang menjadi pengganas? Siapa pengganas-pengganas tu dan apa buktinya lepasan SAR menjadi sarang pengganas? Mengapa diberhentikan bantuan kepada SAR sedangkan wang kerajaan adalah wang kutipan cukai dari rakyat.UMno zalim kepada pelajar, guru dan rakyat yang menghantar anak mereka ke SAR.

Sepuluh billion di tabur dalam KLSC mampu, tetapi nak tolong anak Melayu belajar agama mengapa tak mahu bukankah ini zalim namanya. Jelas UMno dan kuncu-kuncu mereka zalim dan membantu orang zalim adalah Haram.

Jika kita melakukan perkara yang Haram kita akan mendapat dosa. Melakukan dosa tempatnya adalah ke neraka. Auzubillillah himin dzalid.

Bertaubatlah sementara mampu kerana, taubat tidak akan diterima apabila nyawa-nyawa ikan.

- aku punya
karkunku@yahoo.com  - 28.02.2003 (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~
Click Here!