Komen-komen Terhadap PAS
Saya ada menerima respons dari kawan saya yang ingin memberi komen membina untuk PAS.
Di bawah ini adalah komen beliau. - Karkunku.

Saya baru sahaja pulang dari percutian selama hampir 2 minggu di Semenanjung Malaysia menziarahi kaum kerabat sempena Idul Fitri dan menghadiri majlis perkahwinan anak saudara saya di Kuala Lumpur. Syukur Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Saya juga sempat melawat Kelantan dan Terengganu untuk memenuhi undangan sahabat di sana yang telah berpuluh kali menjemput saya. Di kesempatan itu juga saya tidak melepaskan peluang untuk berjumpa dengan seorang dua pemimpin kanan PAS Terengganu. Saya amat kagum dengan kedua-dua negeri ini dan saya berdoa semoga apa yang saya lihat di Kelantan dan Terengganu ini akan dapat saya lihat di seluruh negara kita yang tercinta ini. Masyarakat di kedua-dua negeri ini khasnya yang beragama Islam sangat tekun dan rajin berniaga.
 
Wanitanya bertudung, cantik-cantik dan menggoda. Hampir semua sahabat saya adalah ahli perniagaan dan mereka memang berduit. Cuma satu yang membuat saya terkilan ialah mereka terlalu materialistik, terlalu menunjukkan kemewahannya termasuklah mereka yang bergelar Ustaz! Kadang-kadang terasa bosan juga apabila 24 jam cerita fasal kekayaan aje. Beberapa orang sahabat saya yang bergelar ustaz telah bertukar imej jadi ahli korporat, kopiah putih bukan di kepala tetapi dalam poket. Ada di antara mereka ini telah mendapat kawasan balak daripada kerajaan negeri dan kawasan itu telah dijual kepada tauke Cina dan mereka mendapat instant cash money. Saya ingatkan orang UMNO sahaja buat kerja macam ni. Ini bukan tuduhan palsu tetapi yang saya dengar dan saya lihat. Kalau dulu kita tuduh orang Umno buat istana berjuta-juta Ringgit, tetapi sekarang penyakit itu sedikit demi sedikit menjangkiti orang PAS. Walaupun rumah kedua-dua MB PAS di Kelantan dan Terengganu dan sebahagian daripada saf kepimpinan PAS di kedua-dua negeri itu amat sederhana dan penampilan mereka juga sederhana.

Jika saudara orang PAS, tolong beri peringatan kepada semua ahli PAS bahawa perjuangan kita belum selesai dan masih jauh lagi. Kita baru berjaya menawan dua negeri dan masih ada 12 buah negeri yang perlu ditawan di samping mengekalkan kedua-dua negeri ini. Pilihan raya yang bakal diadakan tidak berapa lama lagi tidak menjanjikan apa-apa yang manis. Bagi YB-YB PAS yang menang dengan majoriti bawah 1000 wajib bekerja lebih keras lagi daripada sekarang.
 
Saudara, di sini ingin saya jelaskan bahawa saya dilahirkan daripada keluarga umno dan saya amat arif dengan sikap dan perangai orang umno. Pada hari perkahwinan anak saudara saya, semua ahli keluarga saya datang dan kesempatan ini saya gunakan untuk bertukar-tukar fikiran fasal politik dan isu-isu semasa. Salah seorang dari orang kuat umno yang datang ke majlis itu dengan angkuh mengatakan bahawa mereka telah menemui ubat untuk mengumnokan semula sebahagian dari Kelantan dan Terengganu. Dari apa yang saya lihat di kedua-dua negeri itu sekarang ini amat sukar untuk saya menidakkan kata-kata beliau.
 
Saudara ku, kita perlu faham bahawa BN amnya dan umno khasnya baru sahaja mendapat orang baru dan setiap pekerja baru biasanya akan mempamerkan semangat kerja dan mutu kerja yang tinggi dan dia tidak teragak-agak untuk melakukan apa-apa sahaja demi untuk mengekalkan jawatan yang baru disandang. Dan sudah tentu dia tidak mahu menjadi penyebab kegagalan syarikatnya. Oleh itu tugas PAS amat berat pada pilihan raya yang hampir tiba ini. Sepatutnya ahli PAS mesti mengayakan PAS bukannya PAS mengayakan ahlinya. Apa guna parti miskin tapi ahli kaya-raya. Kita perlu lihat sejarah permulaan Islam di mana terlalu ramai para sahabat yang kaya-raya berkorban harta dan wang ke jalan Fisabilillah. Kita ingin melihat orang-orang seperti Abdul Rahman Auf r.a., Abu Bakar Asiddiq r.a., Omar ibnu Khatab r.a., Osman ibnu Affan r.a., Umar AbdulAziz dan lain-lain, dalam parti PAS.
 
Saudara, saya harap saudara tidak tersalah anggapan dengan apa yang saya katakan di atas. Saya bukan anti-kekayaan dan bukan anti-orang kaya dan jauh sekali berperasaan cemburu. Kalau kita ingin melihat Islam berjaya, kita kena letak Islam di hadapan kita. ALLAH swt menguji hambanya dengan kekayaan dan ada yang diuji dengan kemiskinan. Kehidupan kita di dunia ini sentiasa diuji oleh ALLAH swt kerana syurga yang disediakan bukannya percuma. Di sini teringat saya dengan ayat 24 hingga 30 surah al-fajr iaitu yakuulu yaalaytani qadamtu lihayaatii. Fayawma-idzin laa yuadzdzibu 'adzaabahu ahad. Walaa yuutsiqu watsaaqahu ahad. Ya ayyatuhan-nafsu-muthma-innah. Irji-ii illa rabbiki raadhiatan mardhiyyah. Fadkhulli fii ibaadii. Wadkhulii jannatii.
 
Saudara satu hari nanti kalau diberi peluang oleh ALLAH swt, saya ingin berkunjung dan tinggal lebih lama lagi di Kelantan dan Terengganu kerana seperti yang saya katakan bahawa saya sangat kagum dengan sikap dedikasi dan kerajinan penduduk di kedua-dua negeri ini walaupun menghadapi tekanan dan sekatan yang hebat daripada kerajaan pusat. Kalau dulu Amerika dan seluruh dunia kenakan sekatan dan tekanan ekonomi ke atas Iraq tetapi sekarang di negara kita yang diperintah oleh pemimpin beragama Islam dan yang mengaku negara ini negara Islam juga mengenakan sekatan yang lebih kurang sama sahaja ke atas kedua-dua buah kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi. Daripada sejarah-sejarah silam, amat jelas sekali bahawa perjuangan untuk menegakkan Islam bukannya semudah yang diucapkan.
 
Saudara ku Karkunku,
 
Terima kasih atas kesudian saudara membalas email saya dan saya amat menghargainya. Jika saudara berasa perlu untuk mengirim email saya kepada pihak media Internet silakan, tetapi saya berharap saudara dapat mengolahnya semula. Tentang fakta pemberian kawasan balak yang saya maksudkan dalam email itu bukannya pemberian kawasan balak yang hangat diperkatakan dalam media massa...
 
Pemberian kawasan balak yang saya maksudkan dalam email saya itu adalah mengikut peraturan yang sah. Hanya orang yang menerimanya sahaja yang lupa daratan. Sudah tentu kita tidak rela melihat ahli-ahli PAS melihat PAS sebagai gunung emas sebagaimana ahli umno melihat umno. Adalah lebih cantik kalau hasil bumi ALLAH SWT itu digunakan untuk memperkasakan dan memperkayakan parti. Telanjur bercerita fasal hasil bumi tentu saudara tahu fasal apa wang royalti minyak tidak diberikan kepada kerajaan Terengganu? Pada tahun 2000 saya telah berpeluang bertemu dengan beberapa orang kuat BTN. Dan mereka tanpa segan silu dan dengan angkuh mengatakan bahawa jika wang royalti minyak itu diberi kepada kerajaan Terengganu, maka sudah tentulah parti yang memerintah akan kaya-raya dan mereka amat bimbang duit royalti itu akan memperkasakan PAS.
 
Saudara, kita sama-sama sayangkan Islam dan satu satunya parti yang jelas memperjuangkan Islam di negara kita adalah PAS. Saya sedar bahawa ahli-ahli PAS datang dari pelbagai kefahaman Islam sama juga dengan ahli umno. PAS meletakkan agama di atas manakala umno meletakkan bangsa di atas dari segi ibadat [fiqh] mereka nampak sama dan inilah yang dilihat oleh bangsa lain.
 
Kita tentu tahu apa jadi dengan parti-parti Islam atau gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia khasnya di negara Islam sendiri. Seperti di Tunisia, parti Islamnya layu dan tidak bermaya. Di Libya parti Islamnya hampir pupus, di Algeria FIS dinafikan kemenangannya kerana parti itu mabuk setelah mencapai kemenangan mengejut. Di Turki parti Islamnya miskin dan kucar-kacir, di Mesir gerakan Ikhwanul Islam bernafas dalam debu, di Palestin, PLO dan Hamas masih mengharap simpati daripada penderma-penderma antarabangsa untuk meneruskan perjuangan mereka. Salah satu sebab kerajaan Taliban tumbang di Afganistan ialah kerana mereka terlalu ghairah untuk menegakkan hukum ALLAH sehingga terlupa untuk memperkayakan dan memperkasakan kerajaan mereka.

Dalam sirah Rasullullah SAW jika dihalusi kita akan dapat melihat bagaimana elemen perkasa dan kaya ada terselit dan tersirat walaupun yang menonjol adalah aqidah, iman, ukhwah. Cuba kita renungkan mana mungkin umat Islam ketika itu dapat berhijrah ke Madinah dan Habsyah kalau tidak perkasa dan berduit. Tugas utama Rasulullah ketika sampai di Madinah adalah menyatupadukan kaum Muhajirin dan Ansar. Kita lihat apa jadi dengan negara jiran kita Indonesia yang berbangga dengan umat Islam teramai di dunia. Apa jadi dengan gerakan Islam di sana bercakaran sesama sendiri. Jika mereka berdemonstrasi di dataran Monash atau di Senayan kita dapat saksikan lautan manusia dengan laungan kalimah suci ALLAHUAKHBAR!!! Adakah cukup dengan laungan kalimah suci itu sahaja untuk kita mengatakan perasaan cinta kita kepada Islam. Kenapa bila Amrozi dan Imam Samudera dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah Indonesia, gerakan Islam di Indonesia bisu seribu bahasa. Mana dia para penjihad yang berkobar-kobar untuk ke Iraq dan Afghanistan ketika negara itu mula-mula diserang oleh Amerika laknatullah? Inilah dia Indonesia, di mana Islam dijadikan satu bahan komoditi.

Saban hari kita disogok dengan berita-berita dan gambar-gambar di mana pemuda Palestin menggunakan batu, kayu, besi buruk, botol dan bom api untuk menyerang kereta kebal Israel laknatullah. Pada tahun-tahun 90-an kita dikejutkan dengan peristiwa Bosnia yang sungguh mengerikan di mana umat Islam dengan berbekalkan senapang patah dan pistol melawan tentera kafir dengan senjata yang jauh lebih canggih. Sikap toleransi yang berlebihan, kedaifan, kelemahan dan kelalaian umat Islam Bosnia adalah penyebab utama peristiwa ini. Adakah cukup dengan sebilah keris sahaja untuk kita menangkis nuke bomb. Sejarah telah jelas menunjukkan kepada kita betapa begitu ramai pahlawan kita gugur di muncung senjata penjajah. Hanya J W W Birch sahaja mati kerana tikaman lembing di Pasir Salak Perak. Pada tahun 1402, Parameswara mengasaskan kerajaan Melayu Melaka dan kerajaan ini dapat bertahan hampir 100 tahun. Dengan izin ALLAH SWT serta berkat kegigihan rakyat dan kecekapan pembesarnya, Melaka menjadi maju dan kaya-raya. Pada tahun 1511 kerajaan Melayu Islam Melaka jatuh menyembah bumi dan terus berkubur hingga sekarang. Sebab utama kejatuhannya adalah kerana kerajaan Melayu Islam Melaka gagal memperkasakan kerajaannya. Mereka hanya berjaya mengayakan sahaja. Mana mungkin keris, lembing dan panah dapat menangkis ledakan meriam dan senjata api tentera Portugis. Portugis hanya mengambil masa kurang sebulan untuk menawan Melaka sedangkan Melaka mengambil masa hampir 100 tahun untuk maju. Cuba bayang dan renung renungkanlah. Peperangan yang pertama dalam sejarah Islam adalah peperangan Badar dengan tentera Islam seramai 313 orang manakala tentera kuffar 1000 orang tetapi keperkasaan dan persiapan yang rapi serta pertolongan daripada ALLAH SWT telah menyebabkan tentera Islam beroleh kemenangan. Sebagai panglima perang, Rasulullah saw telah memilih orang-orang yang perkasa sahaja dan Baginda menentukan setiap orang memiliki senjata yang sesuai dan bukannya dengan parang kontot atau pisau. Setelah itu peperangan seterusnya kita dapat lihat bahawa tentera Islam memiliki senjata yang sama canggih dengan tentera musuh atau lebih canggih.
 
Saudara perlu ingat Rasullullah saw tidak pernah mengayakan atau memberi kekayaan kepada mana-mana sahabat tetapi Baginda saw tidak pernah melarang mana-mana sahabat yang berusaha untuk kaya. Saya sangat-sangat berharap ahli-ahli PAS dapat memperkasakan dan mengayakan parti mereka di samping diri mereka sendiri dan untuk mencapai objektif ini ahli-ahli PAS mestilah berilmu berusaha beriman.
 
PAS Mesti Perkasa
 
Perkasa maknanya mempunyai jati diri. Aqidah yang kuat. mempunyai harga diri. mempunyai kekuatan mental dan fizikal untuk menangkis apa sahaja dakyah songsang dari musuh-musuh Islam, berani kerana benar dan sanggup menegakkan kebenaran dalam apa jua keadaan sekalipun dan yang penting sekali mempunyai roh jihad dalam jiwa mereka.
 
PAS Mesti Kaya
 
Kaya dari segi material, supaya kita boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mana-mana orang sekalipun. Dengan kekayaan juga kita dapat mengembang syiar Islam dengan lebih berkesan, contohnya kalau kita ada jet atau helikopter maka Tok Guru Haji Hadi atau TG Nik Aziz tak perlu mengambil masa berjam-jam dalam kereta hanya untuk memberi dua jam ceramah di Muar Johor. Orang akan lebih menghormati kita jika parti kita kaya terutama orang-orang kafir. Tetapi kalau ahli parti kita kaya tapi parti miskin orang tidak akan hormat kepada kita. Apa pun, kita tak boleh ikut rentak umno, orang tak hairan kalau lihat ketua bahagian atau ketua cawangan umno kaya, tapi orang akan menjadi hairan kalau lihat ketua bahagian atau ketua cawangan umno pakai honda cub aje kerana kebanyakan orang umno berjuang untuk perut dan bawah perut. Kita lihat Jepun dan Korea. Jepun setelah kena bom atom, rakyat dia bangkit untuk bangunkan negara mereka tanpa mengharapkan bantuan luar. Korea setelah peperangan, Korea bangkit daripada kemelesetan tanpa mengharapkan bantuan luar. Sekarang Jepun boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Amerika laknatullah dan negara-negara Eropah. Sedangkan Jepun adalah penciplak nombor 1 dunia pada satu masa dulu. Kalau kita berurusan dengan bangsa asing, dia tak lihat siapa kita tetapi dia lihat apa kita ada. Dengan kekayaan kita dapat mengurangkan tanggapan bangsa asing bahawa Islam itu mundur kerana dengan kekayaan sahaja kita boleh dapat teknologi. Kalau kita ada ilmu teknologi tapi tak ada duit macam mana kita nak kembangkan ilmu kita. Kapal terbang tak boleh jadi kalau setakat ada ilmu. Buat kapal terbang kena ada peralatannya dan peralatannya kena beli. Walau bagaimanapun, tujuan saya bukanlah nak suruh orang-orang PAS terus miskin dan hanya berusaha untuk mengayakan parti sahaja. Itu dah macam parti komunis pulak nampaknya. Apa pun, kesinambungan antara parti dan ahli parti perlu ada. Jika ahli parti dan parti kaya, Alhamdulillah, itulah yang tercantik di antara yang cantik.
 
Sekian dulu untuk kali ini saya berharap kita dapat sembang-sembang pada masa akan datang. 


Kiriman aku punya
karkunku@yahoo.com - 22.12.2003



Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~
Click Here!