Isu Eksklusif:
Institut Profesional Baitulmal Dijual Kepada Stamford College

Pelajar Terkejut IPB Dijual

Rata-rata pelajar dan bekas pelajar Institut Profesional Baitulmal (IPB) yang ditemui meluahkan rasa terkejut dan kecewa apabila diberitahu tentang berita IPB telah dijual kepada pemilik Stamford College seperti yang dilaporkan di Laman M@rhaen pada 6 Mei yang lalu.

Seperti yang kami janjikan sebelum ini, wartawan Laman M@rhaen telah berjaya menemui beberapa orang pelajar dan kakitangan institusi tersebut untuk mendapatkan komen dan pandangan mereka. Berikut adalah transkrip temubual wartawan Laman M@rhaen dengan Gamelan Sari (bukan nama sebenar), salah seorang pelajar IPB yang sedang bekerja sementara di sebuah kedai 24 jam sepanjang cuti semester mereka.

M@rhaen(M@r): Anda sudah tahu berita tentang pengambilalihan IPB oleh syarikat pemilik Stamford College?

Gamelan Sari (GS): Ya, sudah! lebih kurang 5 hari lalu....

M@r: Dari mana anda mengetahui tentangnya?

GS: Kawan-kawan saya.....secara perbualan saja. Terdapat pelbagai sumber dan berlainan cerita dan fakta. Cuma daripada IPB sendiri saya belum mendengar penguguman secara rasmi.

M@r: Sebagai salah seorang pelajar IPB, apa reaksi anda setelah mendengar berita tentang MAIWP telah menjual IPB kepada Stamford College?

GS:TERKEJUT!!!!! Aaaaaa......betulkah? Itulah ayat saya yang pertama. Sedih pun ada, kerana mengenamgkan apakah nasib kami selepas ini, lepas itu yang belinya pulak Stamford College. Tidak adakah kolej Melayu atau Islam yang lain, ini jadi macam kita jual tanah rizab melayulah juga. Satu demi satu kita jual kepada orang bukan Islam. Emm..mungkin sudah kena 'badi' BANK agaknya, maklumlah sekarangkan asyik bank itu ditelan oleh bank ini dan bank lain pula menelan bank itu.

M@r: Ada orang yang mengatakan antara punca IPB dijual adalah kerana kerugian yang ditanggung, apakah pandangan anda mengenai perkara ini?

GS: Kerugian!!! (Ketawa) Saya rasa bukan itu sebabnya, takkan IPB rugi kerana bilangan pelajar meningkat setiap kali pengambilan pelajar baru, secara pengiraan kasar saya ipb tidak akan mengalami kerugian. Katakan setiap pelajar membayar RM 2000 untuk suatu semester pengajian, dan bilangan pelajar sekarang katakan 1000 orang. Sudah tentu mereka akan dapat RM 2 juta untuk setiap semester. Sedangkan bilangan pelajar dan kadar yuran yang sebenarnya adalah lebih tinggi lagi. Adakah amaunt ini tidak mencukupi untuk menampung kos selama 6 bulan (satu semester)? Ini belum mengambil kira ruang kosong yang disewakan kepada pihak luar, bayaran sewa asrama yang dikenakan kepada pelajar dan lain-lain lagi.

M@r: Sebagai pelajar apakah anda risau tentang masa depan pengajian anda di IPB, mengapa?

GS: Saya agak risau, tetapi buat apa-apa nak pening-pening kepala. Saya mengambil sikap tunggu dan lihat....apakah perkembangannya nanti. Tetapi cuba bayangkan sekiranya jadual dan sistem pembelajaran saya terganggu.....

M@r: Jika perkara yang merunsingkan anda itu benar-benar berlaku, bagaimanakah anda akan menghadapi sebarang kemungkinan terhadap masa depan pengajian anda?

GS: Saya tidak mahu belajar sekerat jalan. Saya rasa pelajar perlu bersuara.

M@r: Adakah pengajian anda di IPB dibiayai oleh mana-mana pihak?

GS: Sebelum ini saya ditaja oleh MAIWP sendiri, kemudiannya ditarik balik atas alasan tidak mampu dan sekarang saya mendapat pinjaman daripada MARA. Nasib baik bukan PTPTN.
 
M@r: Sebagai seorang yang beragama Islam adakah anda rasa patut urusniaga ini dijalankan secara sulit--tidak diumumkan kepada umum-- sedangkan IPB dibina dan ditubuhkan dengan menggunakan wang hasil pungutan zakat umat Islam?

GS: Saya tidak setuju ianya disulitkan, seorang pembayar zakat berhak tahu kemana dana-dana diagihkan, sama seperti pembayar cukai. Merahsiakan perkara ini menunjukkan seolah-olah ada masaalah dalaman ataupun dalam politik dipanggil isu disebalik tabir.

M@r: Apakah reaksi pertama kawan-kawan anda (pelajar lain) setelah mengetahui perkara ini?

GS: Ada yang tidak percaya, mereka sangka saya bergurau. Ada yang tidak ambil pusing terutamanya pelajar-pelajar yang sudah tamt pengajian mereka

M@r: Sebagai pelajar yang sudah tentu tahu serba sedikit tentang perjalanan IPB selama ini, pada pandangan anda apakah punca utama IPB terpaksa dijual?

GS: Pada pendapat saya ianya pasti berkaitan dengan masalah pucuk pimpinan pengurusan IPB yang menyebabkan masalah ketidaklancaran pengurusan dan mungkin jugak masalah ini berpunca dari dalam pentabiran MAIWP sendiri.

M@r: Tidakkah dengan terjualnya IPB yang selama ini dimiliki dan diuruskan di bawah seliaan MAIWP mencerminkan kemampuan umat Islam dalam bidang pengurusan?

GS: Benar! Ianya menunjukkan kelemahan umat Islam dan Melayu itu sendiri. Mereka ini gagal menghayati objektif dan matlamat penubuhan IPB. Hanya sekadar mampu untuk mencipta satu slogan "melahirkan professional muslim yang bersepadu". Saya rasa, saya pun mampu mencipta slogan yang lebih hebat daripada itu pada bila-bila masa.

M@r: Pada pendapat anda bagaimanakah sepatutnya pihak berkenaan menangani perkara seperti ini?

GS: Pada pendapat saya kerugian (wang) bukanlah suatu masalah. Tidak untung tidak mengapa, masalahnya ialah usaha-usaha yang diambil untuk mendidik muslim menjadi cendiakawan dan pada masa yang sama berjaya membentuk akhlak dan sahsiah seorang pelajar muslim. Inilah keuntungan yang kita mahu. Seperti yang kita sedia maklum salah satu agihan wang zakat selain fakir miskin ialah membina tempat-tempat menuntut ilmu contohnya Sekolah, Sekolah Agama, Kolej, Universiti dan sebagainya.

Sepanjang yang saya tahu, setakat ini MAIWP baru membina satu kolej untuk tujuan tersebut, itu pun sudah dijual pula.......bukan menambah tapi mengurangkan. Diberi pulak tanggungjawab untuk menguruskan kepada golongan yang sekular, bukan nak membantu seikhlas mungkin kepada pelajar yang kurang berkemampuan, dibezakan pulak pelajar ini kepada fahaman politik mereka, kalau sokong UMNO baru boleh dapat biasiswa....ini dialami oleh kawan saya sendiri semasa ditemuduga untuk mendapatkan biasiswa.

Inilah masalahnya apabila konsep meminimiumkan kos dan memaksimumkan keuntungan digunapakai tidak kena dengan tempatnya. Pelajar adalah ASET! Yang penting yuran!yuran!yuran! Kalau tidak mampu membayar yuran, disekat untuk mengambil keputusan peperiksaan, nak tengok pun kena merayu setengah mati.

M@r: Adakah anda rasa anda patut ambil tahu tentang perkembangan tempat anda belajar?

GS: Bukan saya seorang tapi semestinya kepada semua pelajar IPB khususnya dan umat Islam di negara ini umumnya perlu mengambil tahu sebarang perkembangan IPB.

M@r: Akhir sekali, apakah harapan anda kepada masyarakat umum supaya perkara seperti ini tidak akan berulang?

GS: Harapan saya ialah agar masyarakat bergandigan tenaga, kepakaran, saling tolong-menolong dalam kemajuan umat islam, jika hari ini kita lihat saudara seagama kita hampir jatuh, kita tolong sedaya yang mungkin, demi kemajuan bersama. Kita sebagai umat Islam perlu lebih prihatin mengenai hal ehwal sesama umat Islam. Kalau boleh biarlah adanya pendapat-pendapat umat Islam dari luar sama.

M@r: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk temubual ini.

GS: Terima kasih kembali.


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!