Komplot Umno Selangor Menjatuhkan Khir Toyo Bhg. 3
Sikap prejudis
DS Dr. Mohd Khir Toyo Pengamal Rasuah Terkemuka terhadap saingan politik dalamannya yang cuba merapati Pak Lah adalah didorong oleh emosi cemburu. Khir dikatakan begitu bimbang Pak Lah akan termakan hasutan. Jika Khir seorang pemimpin yang baik dia tidak harus bersikap demikian.

Pak Lah selaku bakal PM, tidaklah sebegitu bodoh untuk termakan hasutan kerana tanpa laporan dari pesaing-pesaing politik Khir sekalipun, ada pihak-pihak lain yang lebih berkredibiliti untuk melaporkan sebarang salahlaku politik dan pentadbiran Pengamal Rasuah Terkemuka itu. KDN yang berada di bawah Pak Lah dan lain-lain agensi pemantau kerajaan sudah cukup buat Pak Lah untuk menilai kejujuran dan wibawa sebenar Khir.

Khir barangkali lupa bahawa ada di antara tokoh-tokoh yang dicemburui itu telah mengenali dan rapat dengan Pak Lah ketika Khir masih terhegeh-hegeh di bangku sekolah lagi. Malah tatkala Pak Lah hampir-hampir keseorangan tersisih gara-gara cetusan perang team A dengan team B Umno dulu, hanya beberapa kerat saja rakan politik yang sudi menghampirinya untuk berkongsi suka dan duka. Lantas apa silapnya jika rakan kongsi suka dan duka itu kini lebih rapat dengan Pak Lah .

Sebenarnya Khir sendiri yang perasan kerana jauh di sudut hati dia dapat mengesan Pak Lah tidak berapa mempedulikannya. Bakal PM itu difahamkan sudah dapat menilai siapa Khir sebenarnya. Ini dapat dibuktikan ketika sesi ucapan terima kasih kepada PM Mahathir pada Perhimpunan Agung Umno yang lalu. Kesemua Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri menyatakan sokongan penuh dan taat setia kepada Pak Lah. Hanya Khir Tonyok sahaja yang tidak berbuat begitu meskipun teks ucapan telah disediakan lebih awal.

Mustahil Khir Tonyok terlupa, sedangkan rakan-rakan sejawatannya yang lain, meskipun ada di antaranya masih menungguli Mahathir, tidak terlepas dalam menyatakan kesetiaan mereka pada Pak Lah di perhimpunan itu. Dari situlah Pak Lah dan kemnya dapat menilai komitmen Khir sebenar. Ertinya jiwa Khir tidak bersama Pak Lah kerana Pengamal Rasuah Terkemuka itu masih mahukan Mahathir berkuasa seberapa lama yang boleh.

Jika sebelum itu Pak Lah mungkin kurang mempercayai laporan bahawa Khir telah diarahkan untuk memantau setiap pergerakan pemimpin–pemimpin Umno Selangor lain yang dikenal pasti sebagai hardcore Pak Lah, tetapi setelah Khir sengaja melupai ikrar kepercayaan dan taat setia kepadanya di dalam ucapan terima kasih kepada PM itu, segala-galanya sudah jelas kepada Pak Lah. Khir Tonyok tidak seharusnya menyalahkan pesaing-pesaing politiknya dan Pak Lah sendiri andai dia merasai telah dipinggirkan!

Setakat ini ternyata Khir gagal membaca angin perubahan yang melanda Umno. Dia masih lagi mahu bergayut pada dahan yang kian rapuh! Jika dahan itu nantinya patah dan reput nescaya Khir akan terlentang ke bumi bersama-sama serpihan dahan itu.

Ekoran dari tu, khabarnya PM Mahathir sendiri telah mengarahkan Khir supaya meninggalkan Selangor untuk mencuba nasib di peringkat pusat (parlimen) pula. Arahan itu diterima oleh Khir ketika menyertai PM di dalam lawatan kerja ke London baru-baru ini. Maknanya Mahathir sendiri sudah dapat membaca bahawa Pak Lah akan mencari tokoh lain untuk menggantikan Khir di Selangor. Jadi Khir tak perlulah melalak, dia hanya perlu berkemas untuk beredar dari Bukit Megawati Shah Alam.

Ura-ura kepergian Khir dari Selangor itu mendapat respons yang pelbagai dari semua pihak di Selangor. Ramai yang gembira ada jua yang berduka. Masing-masing dengan alasan tersendiri. Seorang usahawan Melayu yang sempat ditemui berkata: “Eloklah dia pergi sekurang-kurangnya dapatlah usahawan Melayu macam saya ni bernafas semula manalah tau kalau berganti taukeh baru nanti adalah timbang rasanya sikit. ”

Ketika ditanya apakah yang mendorong dia berpendirian begitu terhadap Khir Tonyok, usahawan separuh umur itu menjelaskan: “Sebenarnya orang bisnes macam saya ni tak marah kalau Khir Toyo nak tolong orang Melayu lain naik, tapi janganlah kerana nak naikkan orang lain hak kami dirampasnya, carilah lubang-lubang lain yang tak mengacau periuk nasi kami.”

Menurut usahawan itu, Khir Tonyok mengklasifikasikan kroninya kepada dua kelas. Kelas A dan kelas B. Kelas A adalah terdiri dari lima enam kerat manusia yang akrab dengannya. Segala peluang baik dan lumayan hanya berlegar di sekitar kroni kelas A , seperti pemberian ribuan ekar tanah yang bernilai tinggi dan anugerah kontrak runding terus dengan kos berlipat ganda ada antaranya mencecah 300 peratus dari kos asal, manakala kroni kelas B hanya meragut projek kecil-kecilan, satu dua lot tapak rumah dan sekar dua tanah pertanian serta lain-lain imbuhan sekadar untuk menutup mulut.

Kroni kelas A itu menurut usahawan tadi didokong oleh Dato Karim Mansur SetPol, Selamat Dolah Setiausaha Sulit, Dato Hj. Sumadi Ismail, Dato Hj. Jamian, DS Zaharah Kecik, Pua Kim Ann dan terakhir Dato Lim Bok Guan serta dua tiga orang lagi.

Yang menjadi masalah jelas usahawan itu, apabila kroni kelas B itu menjerit kerana tidak cukup makan, lalu Khir dan kroni kelas A nya bertindak merampas hak orang lain.

Umpamanya pembekuan segala permit pengeluaran pasir dan hasilan yang lain. Bukan seorang dua malah hampir ratusan pengusaha berkenaan terpaksa `struggle` apabila permit mereka ditarik balik sedangkan ada di antaranya telah melabur begitu banyak modal. Permainan kotor Khir itu dapat dikesan apabila permit berkenaan dikeluarkan semula kepada kroni-kroni kelas B tadi dengan berselindung di sebalik alasan kawasan berkenaan telah diambil alih semula oleh PNSB.

“Ada kah patut macam tu, kerana selama ini kami bukan makan sorang, dengan duit itulah kami `entertaint` ahli-ahli di cawangan kami. Mereka nak itu nak ini, nak jersey, nak derma surau, nak mesyuarat cawangan dan berbagai lagi duit itu lah yang kita berikan. Kalau nak harapkan duit parti berapa sangat lah.” tegasnya.

Sementara itu seorang lagi usahawan Melayu yang merupakan kontraktor kelas D jua turut mengeluh: “Cuba banyangkan satu projek kerajaan negeri, sudahlah harganya terpaksa berlawan dengan puluhan kontraktor lain, kalau tak lobi sudah tentu melepas, tapi bila dapat saja projek berkenaan tiba-tiba pegawai kanan di Shah Alam menelefon meminta habuan. Bila kita Tanya arahan siapa? Dia jawab arahan MB untuk `fund politik`, mau tak mau kita kena bagi, kalau tidak Letter of Awards (LA) tak akan keluar.”

Keluhnya lagi dalam nada kesal: “Apa yang saya dapat kalau kos projek tu tak sampai RM900,000 tetapi kena bayar `fund politik` RM 150,000? Itu bukan nak menolong kami sebaliknya nak mematikan kami! Mau tak mau, kena buat juga, terpaksalah curi sana curi sini... kalau tak buat nanti lesen kena black-list.” Begitulah satu dua contoh di antara banyak lagi hal yang tak sepatutnya dilakukan oleh Khir Tonyok selaku pemimpin yang mendabik dada sebagai pejuang Melayu.

Contoh-contoh lain jika dipaparkan hanya akan menambah aib Pengamal Rasuah Terkemuka itu. Lebih baik direservekan buat sementara waktu sebagai persediaan untuk terus membelasah dia sekiranya MB Muda itu masih belum sedar diri.

Menyentuh kerancakkan pelabur asing yang memasuki Selangor sejak akhir-akhir ini konon atas inisiatif Khir, seorang pemimpin kanan Umno Selangor mengulas: “Kerancakan kemasukan pelabur–pelabur asing itu, bukanlah atas inisiatif DS Dr Khir semata-mata, kerana ia lebih didorong oleh iklim ekonomi yang semakin pulih di rantau ini. MB terdahulu TS Mohammad Taib adalah sebagai pengasasnya, kemudian disambung sebentar oleh DS Abu Hassan sebelum ekonomi dunia merudum pada akhir 90-an.”

Menurutnya lagi Khir Toyo tidak boleh mengepak dada konon kehebatannya menggamit pelabur asing mengatasi pimpinan terdahulu. Tambahnya secara sinis: “Apa lah ertinya membawa rombongan ke negeri China, duduk berhari-hari di sana dengan wang rakyat, jika hanya berjaya menarik tak sampai pun RM100 juta pelaburan dari sana. Itu pun untuk projek ladang herba yang semua fasiliti disediakan oleh kerajaan negeri. ”

“Jumlah itu, kalau saya jadi MB tak payah berkunjung ke China, memadai dengan memperolehinya dari pelabur tempatan saja. Soalnya bukan pelaburan tempatan tiada kepakaran dan kemahuan tetapi mereka takut dengan `deal` sang bedal dan kroninya” jelas pemimpin kanan Umno Selangor itu.

Beliau juga sempat membisikkan tentang desas-desus kekerapan Pengamal Rasuah Terkemuka itu berkunjung keluar negara sejak akhir-akhir bukanlah didorong sangat untuk menarik pelaburan asing, tetapi katanya kemungkinan besar untuk mencari lubuk yang sesuai bagi menyembunyikan segala khazanah yang telah dikautnya selama menjadi MB sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan. Tidak mustahil sama sekali!

Soalnya benarkah wujud komplot dalaman Umno Selangor untuk menyingkirkan Khir? Jika wujud sekali pun ia tidak bermula dari bawah sebaliknya dilontar dari atas, siapakah pelontar itu? Dia kena cari sendiri. Setelah ketiadaan PM Mahathir kepada siapa pula Khir Tonyok hendak mengadu? Pandai-pandailah membawa diri, Adios Khir Tonyok!

Insya Allah pendedahan lain akan menyusul kalau tiada apa halangan nanti!

- Orang Dalam - 11.10.2003 (suntingan M@RHAEN)

5 Dalil Mengapa Khir Toyo Tidak Sesuai Menjadi Menteri Besar Selangor

Mulai sekarang anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN:
Tapak Utama:http://marhaen.internations.net
Tapak Utama versi baru: http://marhaen1.web1000.com
Portal sokongan interaktif & mesra-pengguna: http://marhaen.portal.dk3.com/
Blog kembaran M@RHAEN (GOBLOK) 1: http://goblok.blog-city.com/
Blog kembaran M@RHAEN (BLOGKU) 2: http://blogku.dk3.com/
Selain itu, anda boleh terus melayari Laman M@RHAEN di tapak-tapak sokongan/cerminan asal.

Click Here!