Kerajaan BA Negeri Kedah? BA Bakal Putih Mata Jika …
Salam perjuangan kepada sahabat–sahabat saya dalam Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah Darul Aman.

Setelah meneliti ucapan saudara Nasir dari Kuala Kedah yang memberi ucapannya sebagai wakil Pemuda Negeri Kedah dalam Muktamar Pemuda PAS Pusat baru–baru ini dan disiarkan dalam akhbar–akhbar Cina dan The Star, saya merasa terpanggil untuk memberi sedikit ulasan serta pandangan lantaran saya dihujani oleh berbagai pertanyaan dan kenyataan serta sindiran dari sahabat–sahabat dan penyokong BA di Lunas terutamanya daripada masyarakat Cina di Lunas ini.

Antara kenyataan Sdr. Nasir yang dapat difahami bahawa PAS sudah cukup kuat untuk menawan Negeri Kedah menjelang pilihan raya umum akan datang dan tidak perlu mendapatkan pandangan atau kata sepakat daripada rakan sepakatan BA terutamanya keADILan untuk menubuhkan Negara Islam.

Para pengundi bukan-Islam di Negeri Kedah ini khususnya di DUN Lunas melihat perkembangan ini dengan perasaan risau, cemas dan merasa tertipu.

Dalam keadaan ini kami Pemuda KeADILan Bahagian Padang Serai yang bukan-Islam ini berada dalam keadaan yang amat tertekan sekali kerana diserang bertubi–tubi oleh para pengundi bukan-Islam di DUN Lunas ini yang telah memberikan undi kepada BA dalam PRK Lunas yang lalu.

Kenyataan celupar saudara Nasir itu benar–benar telah mengecewakan kami. Bukannya mudah untuk mempengaruhi masyarakat bukan-Islam ini untuk menerima dan menyokong PAS lantaran stigma Negara Islam yang dibawa, apabila tanda–tanda jelas menunjukkan pengundi bukan-Islam boleh menerima konsep itu secara perlahan–lahan kenapa kenyataan ini mesti keluar daripada mulut Pemuda PAS Kedah?

Ini menampakkan seolah–olah Pemuda PAS Kedah langsung tidak melihat walau dengan sebelah mata sahaja akan kepentingan undi masyarakat Bukan Islam dalam menentukan kemenangan BA dalam pilihan raya Umum nanti.

Tugas untuk meraih undi masyarakat bukan Islam agar memihak kepada BA adalah dipertanggungjawabkan kepada KeADILan terutamanya Pemuda,oleh itu Pemuda PAS Kedah seharusnyalah peka akan perkara ini. Sepatutnya Pemuda PAS Kedah mengerti akan hakikat ini dan kenyataan Nasir itu bukanlah satu kenyataan yang bijak dan seperti hendak mensabotaj usaha – usaha yang kita jalankan dalam proses menawan Negeri Kedah ini.

Memang tidak dinafikan jentera Pemuda PAS adalah kukuh dan tersusun namun jika jentera sahaja yang hebat tanpa dapat meraih undi mampukah PAS @ BA menawan Negeri Kedah ini?

Itu persoalan yang ingin kami Pemuda KeADILan Bahagian Padang Serai ingin kemukakan. Jentera pilihan raya KeADILan tidak sehebat Jentera PAS itu bukan rahsia lagi tetapi satu perkara yang ingin dipertegaskan di sini adalah: Potensi KeADILan ini mampu menangkap imaginasi pengundi muda baik yang Islam mahu pun bukan-Islam.

Saudara Nasir harus ingat bahawa Negeri Kedah ini tidak seperti Kelantan dan Terengganu yang mana pengundi Melayunya adalah melebihi 90% hampir di setiap DUN. Tetapi di Negeri Kedah ini, jumlah pengundi Melayunya hanyalah 70% sahaja manakala baki 30% lagi adalah pengundi bukan-Islam.

Kenyataan sombong Nasir ini dengan mudah sahaja dapat dieksploitasi oleh BN dengan bantuan media untuk terus menakut–nakutkan pengundi bukan-Islam untuk menolak BA tanpa mengambil kira PAS mahu pun KeADILan.

Jadi kenyataan celupar itu sebenarnya adalah satu kenyataan yang bakal memakan diri. “Jika sekadar mampu menafikan 2/3 majoriti BN dalam DUN Kedah saudara Nasir sudah berani mendabik dada mengatakan PAS sudah cukup kuat bagaimana nanti kalau sudah berjaya menubuhkan kerajaan Negeri, sudah pastilah kami masyarakat bukan-Islam ini akan diperkotak katikkan oleh PAS mengikut selera mereka sahaja”.

“Jadi sebelum kami tersilap memilih BA untuk menjadi kerajaan negeri adalah lebih baik kembalikan kuasa itu kepada BN. Kami tidak mahu masa depan anak cucu kami terancam gara–gara pemimpin rakus seperti Nasir ini”. Itu adalah antara cemuhan yang kami Pemuda KeADILan Padang Serai (bukan-Islam) terima angkara Nasir ini.

Maka, oleh itu, adalah diperingatkan kepada Sdr. Nasir agar berhati–hati ketika membuat kenyataan agar tidak menyinggung perasaan orang lain dan mudah dieksploitkan oleh BN.

Kita seharusnya mengakui konsep berkongsi kuasa adalah jalan keluar terbaik untuk kita menghadapi BN kerana BN juga melaungkan konsep yang sama dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia ini.

Jika perkara semudah ini pun sukar bagi pemimpin muda PAS seperti Nasir ini untuk menghormatinya jangan haraplah PAS akan mendapat undi daripada masyarakat bukan-Islam dalam pilihan raya yang akan datang. Tanpa undi bukan-Islam di Kedah ini, mampukah PAS menawan negeri Kedah ini?

Kesimpulannya ingin dipertegaskan di sini bahawa Pemuda PAS Kedah tidak memahami hati nurani masyarakat bukan-Islam di Malaysia khususnya di negeri Kedah.

Oleh itu Sdr. Nasir dan rakan–rakan yang membawa pemikiran yang sealiran dengannya, ingatlah masyarakat bukan-Islam di Negeri Kedah ini sedang memerhatikan perkembangan ini dengan serius. Jangan sampai mereka yang telah membuat keputusan untuk mengundi BA dalam pilihan raya umum yang akan datang berpatah balik dan kembali menyokong BN kerana jika inilah yang akan berlaku, nescaya BA Kedah akan berputih mata dan segala usaha yang telah kita lakukan selama ini dalam memenangi hati pengundi bukan-Islam ini akan menjadi sia-sia belaka. Sebelum terlambat baiklah saudara belajar menghormati sensitiviti masyarakat bukan-Islam ini. Jangan sampai nasi menjadi bubur………. baru hendak mengakui kesilapan.. sekian.

Salam hormat dari saya.

Lim Boon Lang,
Bendahari
Pemuda KeADILan,
Padang Serai.
20 September, 2003 - 21.09.2003 (suntingan M@RHAEN)

Catatan: Kepada pembaca yang mengenali Sdra Nasir (PAS Kuala Kedah), dipohon kerjasama mengirimkan bahan ini kepada beliau dan Laman M@RHAEN mengalu-alukan sebarang respons daripada beliau terhadap isu ini.

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN