Kroni UMNO dalam PAS?
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Penerangan. Zainuddin Maidin telah mengemukakan satu istilah yang menarik, iaitu ‘kroni UMNO dalam PAS’.

Istilah itu digunakan oleh beliau untuk merujuk kepada orang-orang yang kaya raya, yang dahulunya mempunyai hubungan yang rapat dengan Anwar Ibrahim dan meninggalkan UMNO setelah Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Kita tidak nafikan orang-orang yang berkenaan dahulunya mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim dan melalui hubungan itu mendapat pelbagai kemudahan yang membolehkan mereka menjadi tokoh korporat dan sebagainya. Dan dengan itu, dahulu memanglah benar ‘mereka kroni UMNO’.

Akan tetapi, sekarang keadaan telah berubah. Mereka telah “mengucapkan selamat tinggal” kepada UMNO dan telah memasuki PAS. Oleh itu, pada hakikatnya mereka bukanlah kroni UMNO lagi. Mereka hanyalah ‘bekas kroni UMNO’!

Bagaimanapun, dalam hubungan ini, apa yang lebih menarik ialah apakah tujuan Zainuddin Maidin menimbulkan istilah tersebut?

Adakah beliau bertujuan untuk melaga-lagakan orang-orang yang diistilahkannya sebagai ‘kroni UMNO’ itu dengan pucuk pimpinan PAS yang terdiri daripada golongan ulamak?

Secara tidak langsung, Zainuddin Maidin ada membayangkan tujuan yang demikian, kerana katanya golongan bijak pandai dalam PAS itu tidak akan dapat mengambil-alih kepimpinan PAS daripada kepimpinan ulamak.

Sekiranya benar demikian, tujuan Zainuddin Maidin untuk melaga-lagakan dua golongan itu tidaklah akan berjaya, kerana struktur kepimpinan PAS sebenarnya sudah terbina dengan teguh dan bukanlah mudah untuk diubah.

PAS sebenarnya sudah meletakkan 'Dewan Ulamak' sebagai badan penggubal dasar yang tertinggi bagi parti itu, manakala Jawatankuasa Pusat PAS yang sebahagiannya terdiri daripada golongan bijak pandai terletak di bawah dewan tersebut.

Di bawah struktur kepimpinan yang demikian, saya rasa tidak akan berlaku konflik antara golongan bijak pandai dengan golongan ulamak. Antara golongan bijak pandai dengan golongan ulamak sebenarnya terdapat hubungan saling menggenap atau saling melengkapi.

Ulamak sudah di beri tempat yang sewajarnya dalam struktur kepimpinan PAS dan ulamaklah yang akan menjadi pemimpin utama parti itu.

Oleh Marhaen Iman - 04.01.2003 (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!