Kerjasama PAS Dan DAP: ‘Kewarasan Politik’ Akan Muncul
Pemimpin UMNO, besar dan kecil, nampaknya beria-ia memberi komen yang begitu negatif tentang kemungkinan terjalinnya semula kerjasama antara PAS dengan DAP.

Najib mengatakan PAS hanya bermatlamat mahu memperkudakan DAP apabila mempelawa parti itu supaya menyertai semula pakatan pembangkang bagi menentang BN pada pilihan raya umum yang akan datang.

Muhyiddin menganggap rancangan membentuk kerjasama antara PAS dengan DAP adalah suatu yang mustahil, kerana perbezaan ideologi dan politik antara kedua-dua parti itu sejak sekian lama.

Khir Toyo pula percaya bahawa DAP tidak mahu bekerjasama lagi dengan PAS kerana tidak mahu tertipu kali kedua dengan taktik PAS. (Lihat Utusan Malaysia, 14 Januari 2003, halaman 4).

Keghairahan pemimpin-pemimpin UMNO memberi komen yang begitu negatif barangkali tidak lain kerana mereka sebenarnya bimbang PAS akan bekerjasama semula dengan DAP. Jika kedua-dua parti itu boleh bekerjasama semula, bererti penentangan yang akan dihadapi oleh UMNO/BN dalam pilihan raya umum yang akan datang adalah lebih hebat, berbanding dengan kedua-dua parti itu bergerak secara berasingan.

Walaupun setakat ini, DAP melalui setiausaha agungnya, Kerk Kim Hock menolak pelawaan PAS untuk bekerjasama, tetapi saya rasa, apabila sampai masanya nanti, khasnya menjelang pilihan raya, 'kewarasan politik' akan muncul, dan kedua-dua parti itu tidaklah mustahil akan bekerjasama semula.

Saya membuat jangkaan demikian, kerana berdasarkan realiti politik semasa,, peluang dan kemungkinan parti-parti pembangkang mengalahkan BN dalam pilihan raya akan datang adalah lebih terbuka dan lebih luas jika mereka bekerjasama dan saling membantu.

Oleh itu, tidak ada sebab mengapa kedua-dua parti itu tidak mahu bekerjasama semula, sekurang-kurangnya sebagai satu strategi pilihan raya.

Berdasarkan komposisi penyokong dan kekuatan kedua-dua parti itu, PAS misalnya akan bergerak untuk menawan ‘kawasan Melayu’, manakala DAP pula menawan ‘kawasan bukan-Melayu' Dengan berganding tangan dan bekerjasama, kemungkinannya adalah besar kedua-dua kawasan itu akan dapat mereka tawan!

Kerjasama yang paling minimum tentulah memastikan pertandingan hanya akan berlaku dalam ‘dua penjuru’ atau ‘satu lawan satu’. Maknanya hanya sebuah parti pembangkang meletakkan calon di semua kawasan untuk menentang calon BN. Selepas itu, parti pembangkang yang tidak bertanding di sesuatu kawasan itu bolehlah memberi sokongan kepada parti pembangkang lain yang bertanding di situ.

Bagaimanapun, kerjasama yang paling minimum itu tentu ‘terpaksa’ ditingkatkan dan diperkuatkan, sekiranya PAS misalnya dapat menawan negeri-negeri pantai timur dan utara, seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perlis, dan DAP pula dapat menawan negeri-negeri pantai barat, seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, serta Pulau Pinang di sebelah utara.

Jika PAS dan DAP dapat mencapai kemenangan seperti itu, tentulah kedua-dua parti itu ‘terpaksa’ bekerjasama untuk membentuk ‘kerajaan campuran' dan dengan itu akan tertubuhlah ‘kerajaan BA’ untuk mengganti ‘kerajaan BN.

Walaupun ini hanya satu kemungkinan, tetapi tentulah pula bukan suatu perkara yang mustahil!

Oleh Marhaen Iman - 14.01.2003 (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!