Pindah Sekolah Masuk Neraka?
Benarkah ada guru SAR yang mengugut murid mereka bahawa mereka akan masuk neraka jika berpindah ke sekolah kebangsaan, dan sebab itulah mereka tidak berbuat demikian?

Tuduhan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Abdul Aziz Samsuddin (B. Harian, 15 Januari 2003, hal. 3).

Bagaimanapun, mengikut Berita Harian, guru-guru yang berbuat demikian segelintir sahaja.

Sekiranya guru yang berbuat demikian hanya segelintir, mengapakah sebahagian yang amat besar daripada murid-murid SAR itu terus bertahan di sekolah mereka dan tidak mahu berpindah ke sekolah kebangsaan?

Pada pendapat saya, sebab utama kebanyakan murid-murid itu tidak mahu berpindah ke sekolah kebangsaan bukanlah kerana diugut oleh guru mereka bahawa mereka akan masuk neraka jika berbuat demikian; tetapi ialah kerana tindakan kerajaan menghentikan bantuan kepada SAR dan mempelawa mereka masuk ke sekolah kebangsaan itu, adalah satu tindakan yang terlalu drastik, keras, tidak adil dan zalim.

Oleh kerana tindakan kerajaan itu dianggap terlalu drastik, keras, tidak adil dan zalim, maka reaksi atau respons ibu bapa dan pelajar SAR pun agak keras juga, iaitu mereka tidak mahu berganjak daripada SAR, dengan tidak mengira sama ada tindakan mereka itu akan membawa kebaikan kepada diri mereka atau pun tidak.

Sekiranya kerajaan tidak bertindak terburu-buru, dan mengambil sesuatu tindakan dengan lebih bijaksana, mungkin pelajar yang mahu berpindah ke sekolah kebangsaan akan lebih ramai, walaupun tentu tidak semua yang akan berbuat demikian.

Misalnya, jika kerajaan membina lebih banyak Sekolah Menengah Agama Kebangsaan (SMAK), dan menyediakan sekolah itu dengan bangunan dan makmal yang lengkap serta guru yang berkelayakan, besar kemungkinannya akan lebih ramai ibu bapa yang akan menghantar anak ke sekolah tersebut.

Akan tetapi, oleh kerana kerajaan memberhentikan bantuan kepada SAR secara tiba-tiba, dan mempelawa murid-murid SAR itu masuk ke sekolah kebangsaan secara tiba-tiba juga, maka sudah tentulah pelawaan kerajaan itu tidak akan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Malah, sebagaimana yang dikatakan tadi, tindakan kerajaan yang dianggap keras, tidak adil dan zalim itu akan mendapat tentangan pula.

Dalam hubungan ini, tuduhan Menteri Pertahanan, Najib Tun Razak bahawa SAR boleh menjadi tempat yang membiakkan pengganas (Utusan Malaysia 15 Januari 2003) adalah agak keterlaluan dan dilebih-lebihkan, dan tidaklah mempunyai asas yang kukuh.

Sebenarnya kemunculan golongan militan (atau katalah pengganas) biasanya lebih banyak didorong oleh keadaan politik yang tidak demokratik, bersifat kuku besi, zalim dan menindas, di samping keadaan ekonomi yang terlalu buruk.

Dalam keadaan seperti itu, di mana rakyat dinafikan haknya untuk berpolitik secara bebas dan adil, dan keadaan hidup mereka pula miskin dan melarat, memanglah ada kemungkinannya golongan militan atau pengganas itu akan muncul.

Ini dapat kita saksikan di negara-negara Timur Tengah, termasuk Mesir dan lain-lain, misalnya .

Akan tetapi, jika rakyat diberi hak dan peluang untuk berpolitik secara bebas, serta tidak ditindas dan dizalimi, tentu tidak ada sebab mengapa rakyat harus bertindak secara militan dan mengganas.

Sejak negara ini mencapai kemerdekaan lebih empat dekad yang lalu, parti-parti pembangkang, termasuk PAS, telah bergerak dan berjuang secara berperlembagaan, khasnya cuba mendapatkan kuasa melalui peti undi atau pilihan raya. Keadaan itu masih menjadi amalan PAS dan parti-parti lain sehingga sekarang.

Akan tetapi, sekiranya hak rakyat untuk berpolitik mengikut perlembagaan itu disekat dan dicabuli, dan pilihan raya pula tidak dijalankan dengan jujur dan adil, malah jentera pilihan raya sentiasa memihak kepada parti pemerintah, siapakah yang patut disalahkan, jika ada di antara rakyat yang terdorong untuk berpolitik secara militan?

Dalam kes SAR yang dihebohkan sekarang, kerajaan dianggap telah bertindak secara tidak adil dan zalim. Oleh itu, adakah salah rakyat jika mereka tidak mahu menyambut pelawaan kerajaan untuk berpindah ke sekolah kebangsaan?

Oleh Marhaen Iman - 15.01.2003 (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!