Fikiran Karut Dr. Mahathir?
Oleh Malim Jauhari
Selama ini, sudah berpuluh tahun, ibu bapa mempunyai pilihan dan bebas menghantar anak-anak mereka yang masih belajar di peringkat rendah, sama ada ke sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, dan mutakhir ke sekolah swasta.

Selagi pilihan itu ada dan terbuka, sudah boleh dijangka kebanyakan ibu bapa Cina akan menghantar anak mereka belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina, dan ibu bapa India pula menghantar anak mereka belajar di sekolah jenis kebangsaan Tamil. Antara sebab yang utama ialah mereka mahu anak mereka yang berada di peringkat rendah itu belajar dalam bahasa ibunda masing-masing.

Dengan itu, tidak ada sebab mengapa mereka mesti menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan dan mengenepikan sekolah jenis kebangsaan yang memberi pengajaran dalam bahasa ibunda itu.

Dan itulah sebabnya sekolah kebangsaan tidak menjadi pilihan utama ibu bapa bukan-Melayu/bukan-Islam di negara ini, sebagaimana yang kononnya disedihkan oleh Dr. Mahathir.

Saya kira Dr. Mahathir memahami situasi itu, dan tidak ada sebab mengapa beliau harus bersedih.

Akan tetapi, apabila beliau menuduh “fungsi sekolah kebangsaan sudah jauh menyimpang daripada tujuan dan matlamat asal kewujudannya,” kita hairan dan tertanya-tanya apakah sebenarnya yang beliau maksudkan?

Dari kenyataan Megat Joned yang melaporkan ucapan Dr. Mahathir dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Jumaat lalu (29 November 2002) tersingkap sedikit fakta, bahawa Dr. Mahathir rupanya menganggap sesetengah sekolah kebangsaan itu telah “bertukar menjadi sekolah semi-agama”, dan itulah sebabnya mengikut beliau ibu bapa bukan-Islam takut menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Sebenarnya kita tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Dr. Mahathir bahawa sesetengah sekolah kebangsaan itu telah bertukar menjadi sekolah semi-agama. Adakah kerana sekolah itu mengajar mata pelajaran agama Islam lebih daripada waktu yang dibenarkan? Saya rasa itu tidak berlaku. Adakah kerana di sekolah itu ada surau, ada tulisan Jawi, dan sekolah itu ada mengadakan sambutan sesuatu peristiwa yang berkaitan dengan keagamaan, seperti sambutan Maulud Nabi, awal Muharam, atau mengadakan Qiamullail? Mungkin juga. Akan tetapi, adakah kerana itu maka sekolah itu wajar di katakan telah berubah menjadi sekolah semi-agama?

Sekiranya benar, ada sekolah yang banyak mempunyai ‘lambang’ Islam dan mengadakan sesuatu upacara yang berkaitan dengan Islam seperti itu, adakah kerana itu ibu bapa bukan-Islam tidak mahu atau takut menghantar anak mereka belajar di sekolah kebangsaan? Mungkin ada segolongan kecil yang bersikap demikian. Akan tetapi, kewujudan lambang Islam dan upacara yang berkaitan dengan Islam itu tentu bukan sebab yang utama. Sebab yang utama ialah mereka mempunyai pilihan untuk menghantar anak mereka di sekolah yang mengajar anak mereka dalam bahasa ibunda mereka sendiri.

Dengan itu, pendapat Dr. Mahathir bahawa ibu bapa bukan-Islam tidak mahu menghantar anak belajar di sekolah kebangsaan kerana sekolah itu telah bertukar menjadi sekolah semi-ugama adalah naif dan karut.

Dan di sebalik pendapat beliau yang naif dan karut itu nampaknya terbayang sikap beliau yang semakin tidak senang terhadap perkembangan Islam, termasuk sedikit ciri-ciri keislaman yang telah wujud di sekolah-sekolah kebangsaan. Sikap beliau ini memang aneh dan menghairankan bagi seorang pemimpin besar yang telah mengisytiharkan Malaysia ini adalah sebuah negara Islam. Walaupun beliau telah mengisytiharkan Malaysia adalah sebuah negara Islam, beliau rupanya takut kepada perkembangan Islam. Inilah yang menyedihkan!

Kiriman Malim Jauhari - 12.12.2002 (semakan/suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!