Tindakan Yang Tidak Menyelesaikan Masalah
Oleh Malim Jauhari
Walau apapun sebab yang sebenar kerajaan memberhentikan bantuan kepada SAR dan mencadangkan murid-murid SAR itu diserapkan ke sekolah aliran kebangsaan, tindakan kerajaan itu tidak akan menyelesaikan masalah.

Penyerapan murid-murid itu ke sekolah kebangsaan tidak dapat dianggap sebagai cara penyelesaian yang terbaik, kerana sekolah kebangsaan hanya menguntukkan waktu untuk mengajar pelajaran agama Islam selama beberapa jam sahaja, berbanding dengan SAR yang memberi tumpuan dan masa yang lebih banyak kepada pelajaran agama.

Dalam hal ini, peranan SAR sebagai sekolah yang memberi pengajaran agama dengan waktu yang lebih banyak dan tentunya lebih mendalam tidak dapat diambil-alih oleh sekolah kebangsaan.

Oleh itu, ibu bapa yang mahukan anaknya mendapat pelajaran agama yang lebih mendalam tentu mahu terus menghantar anak ke SAR, dan tidak akan menghantar anak ke sekolah kebangsaan.

Barangkali selepas ini pelajaran agama yang diajar di sekolah kebangsaan akan dikaji semula, termasuk ditingkatkan dan diluaskan pengajarannya.

Akan tetapi, pelajaran agama yang diajar di sekolah kebangsaan itu tetap tidak dapat menyamai pelajaran agama yang diajar oleh SAR.

Sebahagian besar waktu di sekolah kebangsaan diperuntukkan untuk mengajar mata pelajaran lain, dan hanya sebahagian kecil untuk mata pelajaran agama.

Dengan itu, pelajaran agama yang diajar di sekolah kebangsaan tetap terbatas, tidak mendalam dan mungkin juga tidak diberi keutamaan berbanding dengan mata pelajaran lain.

Oleh itu, dalam sebuah negara demokrasi, di mana ibu bapa sepatutnya diberi kebebasan untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka, maka SAR perlu dikekalkan dan bukan dihapuskan.

SAR adalah tempat terbaik untuk murid-murid mempelajari pelajaran agama Islam dengan lebih mendalam, dan setakat ini tidak ada sekolah lain yang boleh mengambil alih peranan itu.

Menyerapkan murid-murid SAR ke sekolah kebangsaan jelas bukan cara penyelesaian yang terbaik, dan tidak perlu dilaksanakan.

Memang baik jika kerajaan memberi bantuan semula kepada SAR. Tetapi jika tidak, SAR perlu dipertahankan terus dengan sokongan dan dukungan masyarakat.

Dalam hubungan ini tindakan PAS melancarkan penubuhan Tabung Menyelamatkan SAR patut dialu-alukan dan diberi sokongan.

Kiriman Malim Jauhari - 16.12.2002 (semakan/suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!