MBM Bersekongkol Dengan Pemimpin Rasuah?
Oleh Malim Jauhari
Sehingga kini saya masih tertanya-tanya mengapakah Majlis Belia Malaysia (MBM) melantik Mohd. Khir Toyo, MB Selangor sebagai Pengerusi barunya?

Adakah kerana Mohd. Khir Toyo mempunyai kebolehan yang hebat dan luar biasa? Atau MBM tidak dapat melihat tokoh lain yang lebih berkalibar dan berwibawa untuk dilantik memegang jawatan tersebut?

Semua orang tahu, sejak tahun 2001 lagi Mohd. Khir Toyo dilaporkan terlibat dengan pelbagai rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan beliau sudah terdedah dengan begitu nyata dan tidak mungkin disembunyikan lagi.

Beliau barangkali tidak didakwa hanyalah kerana PM atau pemimpin atasan yang lain masih mahu melindungi beliau.

Bagaimanapun, rakyat ramai tahu dan yakin bahawa penglibatan beliau dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu adalah sesuatu yang benar dan sudah jadi pengetahuan umum.

Beliau sudah boleh dianggap bersalah dari segi moral, walaupun beliau masih ‘selamat’ daripada tindakan undang-undang.

Dengan mempertahankan beliau atau melindungi kesalahan beliau, pemimpin atasan UMNO hanya menunjukkan bahawa mereka sebenarnya tidak begitu peduli dan tidak bersungguh-sungguh untuk membendung, kalau pun tidak mampu, untuk menghapuskan rasuah.

Oleh itu, tindakan MBM melantik beliau sebagai Pengerusi yang baru menunjukkan bahawa MBM nampaknya tidak sensitif langsung tentang isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa terebut.

MBM sebenarnya boleh juga dilihat bersekongkol dengan pemimpin yang melakukan rasuah dan penyalahgunaaan kuasa.

Sikap MBM itu sebenarnya tidak wajar dan memang patut dikesali.

Dengan sikap yang diambil oleh MBM itu, kita nampaknya tidaklah dapat mengharapkan bahawa MBM akan memainkan peranan sebagai ‘agen’ yang akan membantu untuk menghapuskan atau mengurangkan rasuah.

Dan dengan itu, tidaklah menghairankan jika rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan terus berleluasa, termasuk di kalangan belia dan generasi muda.

Kiriman Malim Jauhari - 19.12.2002 (semakan/suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!