Pilihan raya kampus yang 'artificial'
Oleh Malim Jauhari
Walaupun pihak yang berkuasa universiti (dan tentunya kerajaan juga) tidak mahu calon-calon dalam pilihan raya kampus bertanding secara berpasukan dan tidak mahu pilihan raya itu di campuri oleh pihak luar (khasnya parti pembangkang), akan tetapi apabila melaporkan keputusan pilihan raya yang diadakan pada 19 Disember 2002, sebuah  akhbar Melayu, Berita Harian, tetap membuat perbandingan sama ada pilihan raya itu di menangi oleh kumpulan pro-kerajaan atau pro-pembangkang.

Dikatakan di UKM, UPM, UIA dan UPSI kebanyakan kerusi di menangi oleh calon-calon yang pro-pembangkang; hanya di UUM dimenangi oleh calon-calon yang pro-kerajaan. Keputusan di univesiti lain, sama ada belum diumumkan, ataupun  tidak ada pertandingan.

Setakat ini hanya Berita Harian akhbar Melayu arus perdana yang mahu melaporkan keputusan pilihan raya kampus itu pada keesokan harinya (20 Disember 2002). Akhbar Melayu yang lain, iaitu Utusan Melayu, tidak menyiarkannya langsung. Ini barangkali kerana keputusan pilihan raya kampus di universiti utama dan lama di Lembah Kelang itu masih gagal dimenangi oleh calon pro-kerajaan, sebagaimana yang mereka harapkan.

Bagaimanapun, tindakan Berita Harian melaporkan keputusan pilihan raya itu dengan membandingkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh calon pro-kerajaaan dan calon pro-pembangkang memang wajar, kerana itu adalah realiti yang tidak perlu dan tidak wajar disembunyikan.

Sebenarnya universiti adalah sebahagian daripada masyarakat yang lebih luas dan bukan ‘pulau yang terpencil’ daripada masyarakat yang lebih luas. Apa yang berlaku di universiti, pada batas tertentu, sebenarnya tidak lain daripada gambaran apa yang berlaku dalam masyarakat yang lebih luas itu.

Kalau dalam masyarakat Malaysia sekarang orang-orang Melayu khasnya lebih ramai yang menyokong parti pembangkang daripada parti pemerintah (UMNO), maka keadaan itu nampaknya juga terjelma di universiti-universiti yang telah lama wujud di negara ini. Sebahagian besar mahasiswa Melayu khususnya menyokong calon-calon yang pro-pembangkang sebagaimana kebanyakan anggota masyarakat Melayu di luar kampus menyokong parti pembangkang..

Mungkin mahasiswa yang berkenaan dipengaruhi oleh parti pembangkang dan mungkin juga tidak. Akan tetapi, apa  yang jelas ialah minat dan kecenderungan masyarakat Melayu untuk menyokong parti pembangkan itu telah tersebar luas, dan dengan itu tidak ada undang-undang, peraturan, akta atau apa sahaja yang dapat menyekat pengaruh dari masyarakat itu memasuki pintu gerbang universiti!.

Oleh itu, mengadakan pilihan raya kampus di bawah pelbagai peraturan yang terlalu ketat, seperti waktu berkempen yang terlalu singkat (hanya dua hari), pilihan raya diadakan serentak di semua universiti, dan calon-calon pula mesti memenuhi kriteria yang tertentu, hanya menunjukkan pilihan raya itu sesuatu yang ‘artificial’, dan mungkin tidak mendidik para mahasiswa untuk mempelajari dan menghayati  proses politik demokrasi.
 

Tujuan pihak yang berkuasa universiti menyingkatkan waktu berkempen dan mengadakan pilihan raya secara serentak bagi semua universiti itu tidak lain daripada untuk menghalang pihak luar, khasnya parti pembangkang daripada menghubungi dan mempengaruhi para mahasiswa.

Akan tetapi, tanpa dihubungi dan dipengaruhi oleh parti pembangkang pun, kebanyakan para mahasiswa sebenarnya sudah tahu membuat pilihan calon manakah yang akan mereka pilih.

Mereka tidak akan memilih calon yang pro-kerajaan, kerana memilih calon yang pro-kerajaan bermakna menyokong budaya politik UMNO yang bergelumang dengan rasuah, salah guna kuasa, dan mementingkan puak dan kroni.

Budaya politik UMNO yang demikian rupa sebenarnya tidak selari, malah berkonflik dengan budaya mahasiswa yang  ingin menghayati nilai-nilai yang ideal.

Hanya di beberapa buah universiti baru atau di bawah Naib Canselor yang merupakan penyokong kuat (dan juga pengampu) parti pemerintah (seperti  NC UUM dan UiTM) nampaknya pilihan raya kampus yang artificial itu dimenangi oleh calon-calon yang pro-kerajaan.

Namun, kemenangan itu dapat mereka perolehi umumnya bukanlah dengan cara yang bersih dan adil. Paling kurang,  kemenangan itu mereka perolehi dengan menggunakan pelbagai tekanan dan ugutan, sama ada secara halus atau kasar, ke atas para mahasiswa supaya menyokong calon pro-kerajaan.

Tanpa tekanan dan ugutan, dan manipulasi pelbagai peraturan, besar kemungkinan kebanyakan para mahasiswa di universiti itu juga akan memilih calon pro-pembangkang, walaupun pilihan raya kampus yang mereka sertai adalah pilihan raya yang artificial.

Kiriman Malim Jauhari - 23.12.2002 (semakan/suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!