Kalau UMNO boleh, mengapa PAS tak boleh?
Oleh Malim Jauhari
Di tengah-tengah kekecewaan kerana keputusan pilihan raya kampus baru-baru ini tidak memihak kepada calon prokerajaan, Ketua Biro Pendidikan Pemuda UMNO, Dr. Adham Baba tanpa segan silu berkata: “… Pemuda akan terus menjalankan formula mendampingi pelajar kampus terutama pelajar baru bagi mengelak mereka daripada terpengaruh dengan dakyah memburukkan kerajaan” ( Berita Harian, 27 Disember 2002).

Kenyataan beliau itu sebenarnya mengulangi dasar ‘double standard’ yang diamalkan oleh UMNO dan kerajaan selama ini, iaitu UMNO boleh mendampingi dan mempengaruhi para pelajar, tetapi PAS atau parti pembangkang yang lain tidak boleh.

Itulah sebabnya selama ini UMNO boleh menubuhkan apa yang dikatakan ‘kelab UMNO’ di universiti-universiti di luar negara, tetapi UMNO dan kerajaan menunjukkan sikap sangat tidak senang apabila ada pelajar di universiti luar negara yang menyokong parti pembangkang.

Bagaimanapun, dasar double standard yang diamalkan oleh UMNO dan kerajaan itu sebenarnya bertentangan dengan  nilai-nilai keadilan, dan akan menyebabkan peraturan yang berasaskan dasar itu tidak dihormati.

Misalnya, dalam pilihan raya kampus baru-baru ini, waktu berkempen dipendekkan dan pilihan raya diadakan serentak bagi semua universiti dengan tujuan supaya pihak luar, khasnya parti politik tidak sempat atau tidak berpeluang mempengaruhi para pelajar dalam pilihan raya itu.

Akan tetapi, kalau UMNO sudah menyatakan secara terbuka bahawa ia akan mendampingi pelajar, dan dengan itu  akan mempengaruhi pelajar dalam sesuatu pilihan raya kampus, mengapa pula parti pembangkang seperti PAS tidak boleh berbuat demikian?

Dengan adanya kenyataan seperti yang dikemukakan oleh Ketua Biro Pendidikan Pemuda UMNO itu, sebenarnya parti pembangkang seperti PAS tidak perlu berselindung lagi daripada mengambil langkah yang sama.

Dan pihak pentadbiran universiti pula mungkin tidak perlu lagi berpura-pura untuk menghalang sesuatu parti politik daripada mencampuri pilihan raya kampus.

Kalau UMNO sudah dibenarkan mencampuri pilihan raya kampus, PAS atau parti pembangkang lain tentu juga berhak berbuat demikian, sama ada diberi kebenaran atau pun tidak.

Dalam hal ini jelas dasar double standard yang jadi amalan UMNO itu tidak akan dihormati dan boleh menikam UMNO sendiri.

Kiriman Malim Jauhari - 27.12.2002 (semakan/suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!