Politikus Tua dan Persatuan Belia
Oleh Malim Jauhari
Mengapakah seorang ahli politik yang sibuk dengan pelbagai tugas negara yang penting, masih mahu menyibukkan diri  memimpin badan-badan sukarela, seperti persatuan belia, persatuan pencak silat, pertubuhan sukan dan sebagainya?

Barangkali, bagi pihak tokoh politik yang berkenaan, antara sebabnya ialah, dengan berbuat demikian beliau dapat meluaskan asas sokongan dan tapak pengaruh beliau.

Dengan itu, beliau akan kelihatan lebih berpengaruh, berwibawa dan berkarisma, dan akan lebih mudah mendaki ke puncak kuasa.

Bagi pihak badan-badan sukarela itu pula, barangkali dengan melantik seorang tokoh politik menjadi pemimpinnya bererti mendapat seorang penaung yang penting, yang mungkin boleh mendapatkan atau mengagih-agihkan bantuan kewangan yang lumayan dan projek-projek mewah yang menguntungkan mereka.

Jadi interaksi antara tokoh politik yang mahu meluaskan asas dan tapak pengaruhnya dengan badan-badan sukarela yang mengharapkan penaungan ini, telah mewujudkan satu keadaan di mana badan-badan sukarela di negara ini dipimpin oleh tokoh politik.

Keadaan ini sudah lama wujud dan diterima umum, sehingga barangkali sudah dianggap sebagai hal yang biasa dan sewajarnya sahaja.

Namun, apa yang berlaku terhadap MAYC baharu-baharu ini menunjukkan, bahawa keadaan itu nampaknya tidak selamanya baik dan wajar, malah sudah sampai masanya memerlukan perubahan.

Di bawah pimpinan Syed Hamid Albar, seorang politikus tua, MAYC bukan saja tidak berkembang maju ke arah kecemerlangan, malah selama dua tahun dikatakan gagal mengadakan sebarang program yang penting dan bererti bagi peringkat nasional.

Dengan perkataan lain, selama memimpin persatuan itu, Syed Hamid  yang mungkin sibuk dengan tugasnya sebagai Menteri Luar, sebenarnya tidak mampu memainkan peranan sebagai pemimpin yang berwibawa dan berkesan sebagaimana yang diharapkan.

Malah peranan sebagai pemimpin yang dimainkan oleh beliau mungkin tidak kelihatan langsung, kecuali barangkali sebagai ‘pemimpin simbolis’ sahaja.

Dengan itu, kedudukan beliau sebagai Presiden MAYC mungkin tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada persatuan belia itu.

Sebaliknya, dengan terus memimpin persatuan belia itu, beliau sebenarnya menghalang orang-orang yang lebih muda memainkan peranan sebagai pemimpin, sedangkan orang-orang yang lebih muda itu mungkin lebih mempunyai kebolehan dan kemampuan daripada beliau.

Seorang pemimpin yang lebih muda, daripada kalangan belia sendiri, mungkin lebih mengetahui aspirasi kaum belia dan dengan itu lebih sesuai memainkan peranan sebagai pemimpin sesebuah persatuan belia.

Dengan itu, politikus tua seperti Syed Hamid Albar mungkin lebih baik mengundurkan diri dan menyerahkan pimpinan badan belia itu kepada orang yang lebih muda.
 
Lebih cepat beliau berbuat demikian, barangkali lebih baik, bukan sahaja untuk kepentingan persatuan belia seperti MAYC, tetapi juga untuk beliau sendiri, yang jelas tidak berupaya memainkan peranan sebagai pemimpin yang berkesan dan berwibawa.

Kiriman Malim Jauhari - 31.12.2002 (semakan/suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!