Siri Dilema Mahathir
Nilai Pengorbanan Olahragawan Negara Tidak Setara Habuan Pemimpin BN?
Oleh Marhaintua
Ketika NAM bersidang di Kuala Lumpur, salah satu acara propaganda yang menonjolkan apa yang disebut kehebatan pemerintahan BN dan UMNO ialah perhimpunan beramai-ramai sekitar 200,000 manusia di Stadium Bukit Jalil. Berapakah belanja projek itu? Antara sepuluh hingga 20 juta.? Itupun kalau kita kira setiap peserta memerlukan belanja sekitar RM50 sahaja. Tetapi, kalau kadarnya dianggarkan sekitar RM150 setiap seorang, belanjanya tentulah 30 juta.

Pada minggu yang sama ada dua berita baik yang muncul daripada arena sukan negara. Pertama, pemain badminton negara Muhammad Hafiz Hashim telah menerima skim amanah bernilai hampir menyamai hadiah kemenangan di Birmingham, yakni AS$10,000 (bersamaan RM38,000).

Skuad boling lelaki dan wanita negara menyapu bersih kedua-dua kategori pada Kejohanan Berpasukan Piala Dunia di Odense, Denmark Ahad lepas. Inilah kejohanan berganda kali pertama yang dicipta Malaysia di peringkat antarabangsa. Kejayaan ini juga merupakan yang pertama sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1994.

Tiga kejayaan besar ini sekaligus telah memalapkan keriuhan 200,000 penonton yang menonton nyanyian dan tarian di Bukit Jalil atas nama “Aman (anti-perang) Malaysia’. Rakyat yang waras di Malaysia tahu bahawa usaha mengumpulkan manusia di stadium itu sebenarnya adalah satu tipu-helah untuk menjolok perhatian dunia betapa Mahathir (sKT) dicintai oleh rakyat jelata. Itulah cara Mahathir (sKT) mahu menunjukkan betapa harmonisnya Malaysia. Tetapi dia lupa orang luar sudah tahu berapa ramai orang Melayu yang ditangkap di bawah ISA kerana agama Islam.

Semasa projek ‘Aman (anti-perang) Malaysia’ dilancarkan ada beberapa kes kanak-kanak yang mati kerana tidak cukup belanja untuk dibedah di hospital. Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan, belanja yang secukupnya tidak muncul juga sehinggalah si pesakit menemui ajal mereka. Memang malang, kerana mereka tidak sehebat Ras Adiba Radzi yang mampu menarik sumbangan berjuta banyaknya walaupun penyakitnya itu tidak seberapa ketika itu.

Berbaloikah Hadiah Kerajaan Kepada Juara Kita?

Sekarang kita mahu bincangkan cara kerajaan menghadiahkan usaha para pemenang yang masih muda belaka. Mahathir (sKT) kata jangan beri Hafiz hadiah lumayan kerana tidak mahu melihat beliau naik mua semacam pasukan piala Thomas yang lalu, yang menjadi hartawan cepat kaya-raya. Kenapakah Mahathir (sKT) mempunyai pendirian begini sekarang setelah beliau membisu ketika Pasukan Piala Thomas yang dinaungi oleh isterinya dulu menjadi kaya raya dengan hadiah sahaja? Kenapakah dia tidak mengubah cara pampasan kepada wakil rakyat yang menerima rawatan kelas pertama walaupun sudah lama tidak aktif dalam politik?

Hafiz hanya boleh menikmati pemberian kerajaan selepas bersara daripada badminton.

Jika demikian, para peserta boling yang merangkul dua juara dunia tentu akan mendapat hadiah yang sama bentuknya. Itu sebabnya, mereka dinasihatkan agar terus berlatih dan tidak ingatkan berapa ganjaran yang menunggu mereka.

Kalau diteliti cara pemberian insentif (jangka panjang) untuk Hafiz, kita dapat jangka dia diberi pampasan mengikut sistem insurans ataupun skim ‘annuity’.

Ini bererti hadiah itu adalah berbentuk annuiti. Kalau kita buka ‘Annuity Tables’ (Senarai Sifir Annuiti) dan tahu akan jumlah bayaran asas serta kadar tahunannya, barulah kita faham bahawa peruntukan kerajaan itu adalah satu peruntukan hadiah yang amat memalukan.

Bukan semua permainan di luar negara yang ada pengiktirafan kerajaan. Contohnya ialah Kejuaraan All-England tidak termasuk bawah program insentif Majlis Sukan Negara.

Kalau kita teliti apa yang dicakapkan oleh Hishamuddin Hussein, kita sedar bahawa Majlis Sukan Negara masih belum ada satu dasar tetap bagaimana mahu menggalakkan para peserta kita meninggikan keazaman mereka ketika masih muda dan berdaya. Kita tidak mahu mereka menjadi seperti Rashid Sidek yang terkapai-kapai untuk terus menjuarai dunia badminton sehinggakan terpaksa menghilang begitu sahaja dan beralih kepada dunia perfileman pula.

Setiap juara harus diberikan hadiah sebanyak satu juta sebagai menghormati pengorbanan mereka.

Kalau kita lihat ahli sukan di negara barat, apabila mereka muncul ke arena antarabangsa mereka adalah bertaraf jutawan. Kenapakah kita tidak mampu menyediakan taraf ini kepada ahli sukan kita? Apa gunanya kita ambil ahli sukan luar negara untuk diberikan gaji yang tinggi seperti dalam acara bola sepak, bola keranjang, lumba basikal, jalan kaki, menembak dan juga beberapa jenis sukan yang lain?

Apa salahnya ditetapkan satu dasar, apabila seseorang ahli sukan seperti Hafiz dan ahli boling negara merangkul juara dunia mereka diberikan ganjaran bertaraf jutaan? Kalau kita ambil sifir annuiti, bayaran satu juta yang akan memakan masa lebih dari 21 tahun, hanya memerlukan sekitar RM65 ribu ringgit pada hari permulaan annuiti itu.

Kalau perkiraan ini dilaksanakan, kerajaan tidak perlu mengeluarkan banyak belanja kerana kerajaan dan juga MSN boleh melancarkan satu skim di mana sebahagian peratus jualan tiket dimasukkan kepada satu tabung khas untuk membeli annuiti setiap ahli sukan yang berpotensi. Jangan ambil-kira ahli sukan itu sudah menang, menjadi juara ataupun belum.

Apa yang perlu dilaksanakan ialah merencana satu program bagaimana menggunakan prinsip ‘creative financing’ dalam menyediakan skim annuiti kepada ahli sukan.

Kalaulah skim begini sudah terlaksana sejak sepuluh tahun yang lalu, ramai ahli sukan negara tidak hidup merempat dan terawang-awang pada waktu ini. Skim sedemikian sudah mampu menampung persaraan pelumba pecut seperti Watson Nyambek dan Azmi, pelumba basikal Daud Ibrahim dan ramai lagi yang namanya yang tidak dapat diingati waktu ini.

Majlis Sukan Negara harus sedar dan bangkit daripada tidur lena. Dasar 'Malaysia Boleh' ternyata tidak membawa negara ke arena sukan antarabangsa seperti yang diharapkan oleh rakyat jelata. Segala bangunan mega yang dibina untuk acara sukan hanya layak menjadi gajah putih setakat ini, sedangkan pembinaannya menggunakan wang rakyat jelata.

Apabila kita teliti kemajuan sukan di negara ini, kita dapat lihat betapa lemah dan haprak keadaannya setelah meneliti bagaimana pasukan bola masih di takuk lama. Para pemain masih mengalami azab gaji yang tertunggak. Masih terlalu ramai pemain bola yang terpaksa dirasuk sogokan untuk menjual keputusan permainan.

Satu ketika dahulu, rasuah dalam sukan tidak kedengaran kerana ahli sukan tidak tertarik kepada habuan. Dalam badminton misalnya, Tan Aik Huang yang menjuarai badminton All England adalah lulusan University of Malaya sebelum beliau melanjutkan pelajaran untuk mendapatkan MBA daripada Asian Institute of Management. Kejayaan beliau dalam bidang akademik adalah begitu cemerlang setara dengan kejayaan beliau dalam bidang badminton.

Kita mengharapkan ada salah seorang anak Melayu yang dapat menunjukkan kehebatan semacam Tan Aik Huang. Satu skim insentif yang dapat menjamin masa depan mereka tentu memungkinkan harapan ini menjadi satu perkara yang tercapai juga.
 

  • - Marhaintua - 01.03.2003 (suntingan M@RHAEN)
  • ~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~
    Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

    Click Here!