Kenapa Perang Iraq?
Oleh Marhaintua
Sejak Amerika menyerang Iraq, kita membaca pelbagai berita yang menggembar-gemburkan kekuatan pasukan bersekutu yang dianggotai oleh tentera Amerika dan British. Sejak serangan meledak, berita yang dipaparkan adalah mengenai kekuatan dan kemenangan di pihak tentera bersekutu.

Pada hari pertama sahaja Amerika telah berjaya menawan satu division tentera Iraq yang dianggotai oleh 8,.000 askar. Hebat sungguh tentera Amerika hingga mampu membuatkan 8,000 askar negara yang diserangnya menyerah diri. Kalau mengikut laporan JANE di Basrah terdapat satu pasukan tentera yang lengkap dengan kira-kira 400 kereta kebal. Kalau 8,000 askar menyerah kalah, bagaimana dengan kereta kebal dan segala kelengkapan perang mereka?

Memang menggilakan berita yang kita baca dan dengar. Terutama sekali kalau kita tonton laporan yang disediakan oleh TV perdana kita, yang mempunyai wartawan khas di bumi Arab.

Cuma kita hairan kenapakah tragedi yang menusuk masyarakat Islam di bumi Arab itu dikatakan Perang Iraq? Yang berperang ialah Amerika, Israel, Britain dan dunia Kristian kerana mahukan minyak kepunyaan Iraq dan menentukan agar kelemahan negara-negara Islam di rantau itu dapat menjamin pertumbuhan Israel. Yang mereka serang dan perangi ialah Iraq. Tujuan rasmi presiden Bush ialah mahukan “segala senjata pemusnah yang ada di bumi Iraq dimusnahkan dan agar Saddam Hussein dapat dijatuhkan.”

Bukankah pelik matlamat ini? Apa kena mengena dengan Bush kalau Saddam terus berkuasa? Dia naik melalui pilihan raya yang mungkin ditipunya dengan undi tipu dan undi hantu. Tetapi, bukan Saddam sahaja yang berbuat begitu. Musharraf melakukannya di Pakistan, Bush membuat demikian di Florida dan Raja Penyangak Terulung dunia melakukannya di Malaysia.

Kini, serangan Amerika dan sekutunya sudah memasuki hari yang keempat. Adakah mereka terjumpa sebarang senjata pemusnah? Adakah mereka diserang oleh senjata kimia, biologi dan gas beracun?

Bush mengisytiharkan perang mengikut sedap hatinya, sehinggakan Tory Blair merasa tersinggung kerana tidak diberitahu lebih awal akan waktu serangan itu mesti bermula. Tindakan Bush adalah bertentangan dengan piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ini bererti bahawa Bush dan sekutunya adalah penjenayah kerana menyerang negara orang yang tidakpun melakukan sebarang kesalahan mengacah negara mereka. Tidak ada rekod menyatakan Saddam Hussein mengancam keselamatan Amerika ataupun Britain waima dunia. Bagaimana pula Bush boleh menuduh Saddam sebagai seorang penjenayah? Sepatutnya Bush dan Tory Blair serta Howard PM Australia yang sepatutnya digelarkan penjenayah antarabangsa.

Setakat ini kita melihatkan peperangan di bumi Iraq banyak menyebelahi pihak yang menyerang. Maklumlah segala kekuatan armada laut dan udara serta tentera darat yang canggih-manggih sudah lama bersedia lengkap dengan latihan ‘dry-run’ di padang pasir Nevada dan Kuwait. Apa lagi dengan segala kecanggihan komputer yang dipasang pada roket ‘tomahawk’ dan alat pengesan pesawat pengebom yang menggugurkan bom yang menggegarkan bumi sehingga sepuluh tingkat di bawah dasar permukaan bumi.

Canggih dan menakjubkan kerana ia bertepatan dengan falsafah ‘shock and awe’ ataupun ‘Gegak dan Gempita’.

Kalau diambil kira segala kekuatan yang ada yang sedang menghenyak Iraq, ramai analis yang menjangkakan tiga hari sudah mencukupi untuk Amerika memaksa Saddam Hussein dan Iraq melutut untuk menjadi hamba abdi kepada Bush, Blair dan dunia Kristian.

Sebelum mengisytiharkan perang, Amerika sudah menggugurkan komando dan pasukan khasnya 48 jam sebelum itu untuk bersiap sedia menyerang istana yang diduduki oleh Saddam. Malahan sehingga kini, banyak laporan mengatakan, Saddam sedang sakit tenat dan dua orang anak lelaki beliau telah terkorban. Dengan lain perkataan, strategi utama pasukan sekutu ialah menyerang secara mengejut untuk kemenangan yang pantas.

Seramai kira-kira 300,000 askar tentera bersekutu sudah lama berada di rantau Teluk. 175,00 berada di Kuwait menunggu untuk menyerang dan menguasai keseluruhan bumi Iraq. Bandar Iraq yang terdekat dengan Kuwait ialah Safwan, kira-kira 25 batu sahaja daripada bahagian selatan Kuwait. Kalau di Malaysia jaraknya sama antara KL dan Seremban). Dua belas tahun dulu ketika askar Iraq berundur daripada Kuwait mereka dikatakan telah membakar telaga minyak dari pada pekan ini. Tetapi laporan terkini yang didedahkan oleh CIA mengatakan bahawa pembakaran telaga minyak itu sengaja dibuat oleh tentera Amerika dan menuduhnya dilakukan oleh orang-orang Saddam.

Basra merupakan bandar yang kedua terbesarnya di Iraq. Jaraknya daripada sempadan Kuwait hanya sekitar 65 kilometer. Kalau kita pecut kereta pacuan 4 roda, kita boleh sampai ke bandar ini dalam tempoh setengah jam sahaja. Tetapi di manakah tentera Amerika selama empat hari ini kerana Basra masih belum ditakluk dan dijajah lagi? Kita mesti ingat, ramai askar Amerika yang berada di Kuwait dan Iraq pernah bertugas di sana dulu semasa Perang Iraq-Kuwait.

Soalnya sekarang kenapakah tragedi di Iraq ini disebut Perang Iraq ataupun Perang di Iraq. Orang putih kata itulah ‘War in Iraq’ ataupun ‘Iraqi War’.

Kenapakah tidak ada kerajaan Islam yang sanggup mengarahkan media naungannya memberikan tajuk Tragedi Serangan Kristian terhadap Iraq? Ataupun Jenayah Amerika di Iraq?

Mana perginya Pengerusi NAM yang boleh ditanya akan soalan ini?
 

  • Marhaintua - 23.03.2003 (suntingan M@RHAEN)
  • ~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~
    Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

    Click Here!