Kalau Bapak Kencing Berdiri, Si Anak Bagaimana? (Bhgn 2)
Oleh Marhaintua
Mahathir (sKT) dikatakan sudah pulang ke tanah air daripada London di mana dia dikatakan menghabiskan cutinya. Hebat sungguh perdana menteri Malaysia yang nombor empat ini. Dua bulan dia bercuti, dia asyik mundar-mandir mengelilingi dunia. Tetapi anehnya, dia sentiasa pulang untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sedangkan dia sedang bercuti. Berapa agaknya belanja pengangkutan sahaja, kalau Global Express perlu pulang setiap sepuluh hari dan keluar lagi membawa perdana menteri itu?

Belum pernah lagi seorang perdana menteri sebelum beliau yang pergi bercuti seperti beliau, di mana pesawat jet khas disediakan untuk pulang setiap sepuluh hari, hanya untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi parti. Tetapi, pesawat itu adalah hak kerajaan Malaysia yang dibiayai oleh rakyat Malaysia, bukan oleh UMNO. Kali terakhir dia pulang untuk merasmikan Lumba Kereta F1, dia masih bercuti tetapi pergi juga ke Langkawi menjenguk projek di sana, sedangkan banyak projek lain yang lebih penting daripada itu yang tidak dilawatinya. Kenapa?

Percutian Mahathir (sKT) kali ini memang lain daripada yang lain. Sebelum ini dahulu, setiap kali dia bercuti, akan tersebar macam-macam berita mengenai percutian itu termasuk segala macam kisah dia menyagat kuasa besar dunia. Tetapi kali ini dia tidak berkelakuan begitu. Hairan kan? Sedangkan inilah waktunya dia berkhutbah sakan kerana sudah menjadi Pengerusi NAM. Bukankah Iraq itu anggota NAM? Kenapa Mahathir (sKT) tidak cakap banyak kali ini? Apakah dia merelakan penghapusan Islam di bumi Iraq?

Beberapa bulan lagi Malaysia akan menjadi tuan rumah persidangan OIC, kenapa Mahathir (sKT) tidak siapkan satu agenda khas mengenai projek Gereja TV Avengelist Amerika yang mahu mengkristiankan kanak-kanak Islam di Iraq?

Oleh kerana dia tidak mampu mengada-ngada kali ini mengenai Iraq dan masalah Islam, makanya kali ini dia bercuti panjang tanpa ada jadual berjumpa pelajar Malaysia di luar negara yang dijadikannya pentas untuk mengganyang kuasa besar dan juga pihak pembangkang di Malaysia. Kenapa? Tentu kita pelik kenapa kali ini dia tidak ada masa bertemu pelajar Malaysia di London seperti yang selalu dibuatnya? Adakah kerana takut pelajar bertanyakan hal-ehwal Iraq dan OIC ataupun takut pelajar bertanya kenapa dia mementingkan sangat perniagaan Vincent Tan? Ataupun kisah skandal Perwaja yang dikatakannya sudah sampai separuh siasatannya?

Saya fikir Mahathir takut berjumpa pelajar kita di London kerana mahu mengelakkan soalan berkaitan semua artikel yang disiarkan oleh ‘The Economist’. Kalau kita fikirkan baik-baik segala faktor penafian kerajaan Malaysia terhadap ‘The Economist’ kini, tentu kita merasa malu betapa kita turut seolah-olah bersekongkol membiarkan Mahathir (sKT) mentadbir sesuka hatinya menyumbat orang yang tidak berdosa ke dalam penjara, berbelanja sehingga terpaksa ditanggung hutang negara sampai cucu-cicit kita.

Memang sudah nasib Mahathir (sKT) ketika dia berada di ambang terakhir sebelum dia berambus, segala kebusukannya mulai terserlah, satu per satu. Secara tiba-tiba rakyat marhaen sedar, bahawa selama 22 tahun mereka ditipu oleh si musibat ini. Apabila mereka lihat semua projek mega dan mengetahui dana yang terbabit, dan dibandingkan pula (apakah) sumbangan sosial projek itu kepada keharmonian negara, rakyat marhaen sedar mereka ditipu secara terang-terangan, oleh kumpulan manusia yang mereka berikan amanah untuk menjaga kepentingan mereka.

Rakyat marhaen terutama orang Melayu semakin sedar, segala keperitan hidup mereka kini adalah disebabkan pembaziran wang rakyat yang dihamburkan oleh Mahathir untuk memenuhi keegoannya. Setiap lapisan rakyat semakin sedar mereka sudah tertipu bukan sahaja oleh Mahathir tetapi oleh barisan wakil rakyat pilihannya selama ini. Hampir semua wakil rakyat BN/UMNO berani menipu kerana mereka sedar apa yang mereka lakukan adalah secebis sahaja berbanding segala tipu muslihat Mahathir terhadap negara.

Jika tidak, masakan Mohamad Tyson naib presiden UMNO dan juga bekas mantan menteri besar Selangor sanggup menjaja mukanya merata negara bercakap tentang keagungan UMNO dan BN. Apakah dia fikir rakyat sudah bodoh sangat? Apakah dia fikir rakyat tidak tahu berapa juta dia bawa dalam beg bimbit ke Australia? Kalau dia mati dan hidup balik untuk menjadi menteri besar Selangor kali kedua pun, dia tidak dapat mengumpulkan gajinya untuk membawa wang sebanyak itu ke sana.

Tetapi kenapakah rakyat khususnya orang Melayu masih ‘menerima’ beliau di merata negara? Orang Melayu tahu pusingan Mat Taib kali ini ialah lambaian terakhirnya sebelum ditendang keluar oleh keadaan masa. Rakyat tidak perlu menendangnya lagi, kerana keaiban yang diterima di negara orang sudah mencukupi untuk menjatuhkannya. Lagipun orang Melayu tahu Mat Tyson menyibuk sana sini kerana khayalan dia akan diterima kembali oleh akar umbi. Dia fikir ketua cawangan dan bahagian tentu akan ingat budinya memberikan ‘angpau’ hari raya kepada mereka dengan pemberian cek sahaja, sekurang-kurangnya satu ribu ringgit setiap kali. Soalnya sekarang berapa banyak undi ketua cawangan dan bahagian itu yang akan mengekalkannya sebagai naib presiden UMNO?

Orang Melayu Selangor sudah malas mengungkit cerita lama walaupun mereka sedar betapa banyak hutan simpan yang ‘disimpan’ oleh Mat Tyson atas nama kejayaan Selangor. Lagipun orang Melayu sedang seronok menyaksikan gelagat menteri besar baru yang sibuk ‘membangunkan’ Selangor mengikut ilham bapa angkatnya si Raja Penyangak.

Tetapi Mat Tyson dan Khir Toyo mampu hidup senang-lenang dan bernafas lega kerana badan kehakiman negara yang terlalu pincang. Yang penting lagi, kerana rakyat tidak dapat berfikir bebas disebabkan media massa yang mempengaruhi minda mereka. Kalau dua institusi ini berada di tahap yang unggul, Mat Tyson tidak boleh berkeliaran dan bercakap tentang keagungan UMNO kerana Mat Tyson adalah contoh berapa hapraknya UMNO. Begitu juga dengan Khir Toyo, apabila timbul serangan yang amat jelas di Dewan Undangan Negeri tentang salahlaku menteri besar dan Exco BN mengagihkan tanah serta kontrak kepada orang dalamnya, sekaligus jatuh ‘hukuman’ supaya Khir Toyo mesti digantung daripada meneruskan jawatannya. Apa yang didedahkan oleh wakil DAP di Dewan Undangan Negeri Selangor adalah satu perkara yang serius. Tetapi, siapa yang ambil peduli? Adakah Khir Toyo digantung daripada jawatannya secara kerelaan diri dan memanggil BPR menyiasat salahlaku yang didedahkan? Apa jenis demokrasi yang diamalkan oleh UMNO dalam hal ini?

Ironisnya, marhaen Melayu Selangor tidak tahu menahu banyak perkara ini, kerana pemimpin Melayu UMNO sibuk membalun harta rakyat. Siapakah yang memberitahu mereka? Bukan pemimpin Melayu di parti pembangkang, tetapi seorang pemimpin Cina dalam DAP!!!! (FGR: 5 Dalil Mengapa Khir Toyo Tak Sesuai Jadi MB Selangor) Selepas ini kita akan lihat dramanya. Wakil DAP itu (En Teng Cham Khim) berkemungkinan akan dipanggil sekejap-sekejap ke Ibupejabat Polis Selangor, sekejap ke pejabat BPR, dan sekejap ke Ibupejabat Polis Bukit Aman. Dia akan turun tangga, naik tangga kerana pendedahan itu. Dia akan disoal bagaimana mendapat rahsia itu semua. Silap-silap dia akan didakwa kerana menyimpan rahsia kerajaan dan enggan mendedahkan siapa yang membocorkannya. Yang peliknya kenapa tidak ada wartawan Malaysia khususnya daripada Utusan ataupun BH yang menemubual En. Teng Cham Khim?

Cuba fikirkan kalau dia bertanding lagi apakah salah kalau orang Melayu mengundinya? Esok lusa kalau dia ditemubual oleh ‘The Economist’ akan kisahnya dan kerajaan Selangor, apakah ‘The Economist’ akan dipanggil dan dituduh kerana menyelewengkan fakta?

Sebenarnya ‘The Economist’ muncul pada ketika yang amat sesuai kepada Mahathir dan UMNO. Apa dihairankan sangat dengan silap fakta yang dikatakan disiarkan oleh majalah itu, kerana kerajaan Mahathir (sKT) memang hidup dengan fakta yang merapu selama ini. Kita boleh beri sedikit contohnya di sini: (1) Cuba kaji baik-baik kisah Anwar yang dituduh melakukan pelbagai ‘dosa’ oleh Mahathir (sKT). Dia menjaja bukti itu di seluruh dunia “saya ada buktinya, percayalah!” Tetapi apabila dipanggil oleh mahkamah (sapina) dia enggan hadir. Malahan, dia dan orang-orangnya minta dulu apakah soalan yang mahu ditanya oleh peguam Anwar di mahkamah. Adakah kisah ini diceritakan oleh ‘The Economist’? Tidak... kerana The Economist pun tahu perkara ini adalah ‘the joke of the century’ (jenaka abad ke-dua puluh). Ia mungkin berupa jenaka tetapi ini adalah satu kesalahan besar yang dibiarkan sahaja oleh semua pemimpin UMNO termasuk alim ulama UMNO.

(2) Ketika Mahathir (sKT) berusaha mahukan PAS menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada nama parti itu, Mahathir (sKT) cuba dapatkan persetujuan Majlis Raja-Raja mengeluarkan satu arahan dan ‘fatwa’ raja. Untuk menguatkan usahanya itu maka dicipta dongeng Al-Maunah. Alangkah pelik, orang yang dituduh mahu menjatuhkan negara melepaskan tembakan senapang ujian hanya 400 meter daripada jalanraya? Yang lebih pelik lagi orang yang dijatuhkan hukum bunuh masih merengkok dalam penjara tanpa ketahuan bila akan menjalani hukuman gantung? Keseluruhan dongeng Al-Maunah ini memang dahsyat kerana ramai orang yang tidak bersalah di tembak mati, atas nama menegakkan ego Mahathir.

Inilah juga episod yang memperlekehkan martabat ATM kerana tersiarnya berita seorang Jeneral pandai menepis peluru. Kes Al-Maunah muncul khusus untuk Majlis Raja-Raja dan juga sebagai bahan temberang sebelum Mahathir (sKT) pergi ke New York dan Washington. Inilah bedebah yang sanggup menghina Bangsa Melayu di Amerika dengan berkata bahawa orang Melayu beragama Islam “sanggup buang TV dan peti sejuk dalam sungai kerana taksub kepada agama.”

Apakah kesudahannya dengan Kes Al-Maunah? Apa kisah pelancar roket yang menghunjam kilang arak dan sebuah kuil di Kuala Lumpur? Bukankah itu yang disebut oleh Mahathir (sKT) dalam TV dan disiarkan oleh media massa? Bagaimana pula dengan fitnah Mahathir (sKT) adanya pembangkang menggunakan bom molotov?

Contoh yang ketiga ialah kisah penangkapan Ezam, Dr. Badrul, Tian Chua, Hisham dan Saari Sungib dan rakan-rakan mereka yang lain (maaf kalau terlupa namanya).

Mahkamah sendiri telah menetapkan bahawa penangkapan mereka itu adalah haram dan tidak ada asas. Inilah kumpulan yang Mahathir (sKT) kata mahu menggulingkan kerajaan dan mempunyai senjata dan bom lengkap untuk mencetuskan huru-hara. Semua itu ada pembohongan sahaja. Walaupun polis menjumpai Sodium Nitrate di ladang, sebagai bahan untuk membuat bom, rakyat yang tahu ilmu sains ketawa berdekah-dekah bahawa itu semuanya rekaan sahaja. Apa yang dikatakan bahan bom, sebenarnya merupakan baja yang mudah diperolehi di mana-mana di Asia Tenggara.

Dalam dua perkara di atas, Mahathir (sKT) berbohong kepada rakyat. Yang paling jijik sekali ialah kisah penderitaan anak-anak dan kaum keluarga yang mengharapkan semua tahanan itu dibebaskan. Bukan orang yang ditahan sahaja yang tertekan, tetapi kaum keluarga di luar tahanan yang lebih tertekan. Bagaimanakah perasaan anak-anak yang merindukan bapanya? Bagaimanakah perasaan ibu bapa yang sudah tua memikirkan hal anak-anaknya?

Dengan lain perkataan, penahanan di bawah ISA yang zalim itu merupakan titik-titik hitam dalam sejarah pentadbiran UMNO/BN di bawah pimpinan Mahathir. Setiap pemimpin UMNO harus bertanggungjawab dengan segala dosa yang ditanggung kerana memenjarakan orang-orang ini. Abdullah Badawi harus sedar perkara ini, sebelum dia mengkhayalkan jawatan perdana menteri. Kalau dia tidak berani berbuat sesuatu melepaskan banduan yang tidak berdosa ini, jangan haraplah dia akan merasa kerusi perdana menteri.

Kisah pemenjaraan orang tahanan ISA merupakan salah satu isu yang ditulis oleh ‘The Economist’. Soalnya sekarang kenapakah menteri UMNO menyibuk mahukan ‘The Economist’ meminta maaf? Apakah kerana mahu menutup malu Mahathir (sKT) ataupun Paklah? Kita tahu kenapa Paklah mendesak ‘The Economist’ meminta maaf. Dia tersasul kerana diberikan nasihat yang salah. Kalau begini cara Paklah mentadbir, dia tidak akan berjaya memimpin Malaysia, kerana mudah sangat melatah.

Sepatutnya ‘The Economist’ harus menerima sebarang kritikan daripada mulut Mahathir (sKT) sendiri. Mahathir (sKT) yang patut bersuara lantang mengkritik ‘The Economist’ termasuk menyaman mereka jika perlu. Kerana yang dikritik hebat oleh ‘The Economist’ ialah Mahathir dan segala pembazirannya. Apabila menteri UMNO dan pemimpin BN yang lain mengkritik ‘The Economist’, mereka cuba mempertahankan Mahathir (sKT). Sedangkan segala pembaziran yang dibuat oleh Mahathir tidak pun mendapat izin Kabinet ataupun Parlimen. Tetapi semua yang cakap lantang itu adalah wakil rakyat, kecuali seorang dua penyibuk seperti Azalina Lesbian.

Apabila kerajaan mengeluarkan kenyataan bahawa “The Economist sedia minta maaf kalau kerajaan Malaysia nyatakan di mana mereka tersilap”, bererti The Economist akan menyiarkan segala butiran kesilapan fakta itu. Sekaligus ia akan dapat dibuat perbandingan oleh rakyat untuk menilai apakah benar ‘The Economist’ tersilap?

Khabarnya MTEN telah menyediakan fakta untuk dihantar kepada ‘The Economist’. Kenapa tidak siarkan fakta itu di Malaysia secara umum dan beritahu The Economist bahawa segala maklumat salah fakta itu ada di dalam akhbar tempatan?

Yang lebih menarik kenapa Mahathir (sKT) diam membisu mengenai isu The Economist sejurus dia pulang, ataupun semasa berada di London?

Saya melihat isu ‘The Economist’ sengaja digembar-gemburkan untuk menutup tiga perkara besar: (i) Isu lesen judi yang diberikan kepada anakemas Mahathir (sKT); (ii) isu kesan wabak denggi dan SARS yang sedang melanda negara. (ii) kes penolakan mahkamah terhadap permintaan Anwar Ibrahim agar diberikan ikat-jamin.

Saya melihat wabak denggi sebagai satu amaran Allah kepada rakyat agar berwaspada dengan punca penyakit. Kerana itu rakyat sudah tidak berani pergi menziarahi saudara mara di hospital kerana takutkan jangkitan, dan mula ambil berat akan kebersihan sekelilingnya. Wabak SARS dijangka akan menghenyak Malaysia lebih teruk lagi, walaupun kerajaan kata penyakit ini sudah reda.

Kita kena ambil iktibar tahun 1999 sebelum pilihan raya umum dahulu. Penyakit Nipah menjadi isu besar negara sehingga kerajaan terpaksa mengeluarkan pampasan membantu orang Cina yang kerugian berniaga. Tetapi wabak itu mula pada Oktober 1998, lebih setahun sebelum pilihan raya umum 1999. Apa kata kerajaan ketika wabak itu mula? Sama dengan kes SARS juga bukan: “Keadaan sedikit sahaja dan boleh dikawal.....!” Bukankah itu juga yang kerajaan katakan mengenai denggi? Bukankah itu juga yang berlaku sekarang ini? Tetapi menjelang pilihan raya umum nanti kita tengok berapa billion akan dikeluarkan untuk membantu orang yang rugi berniaga kerana ketiadaan pelancong. Semua itu akan disediakan oleh kerajaan kerana mahukan undi orang Cina. Pernahkah kerajaan mengeluarkan pampasan untuk membantu orang Melayu di kampung yang kehilangan lembu dan kambing kerana penyakit mulut dan kuku? Berapa banyakkah pampasan yang diberi kepada penanam padi kerana cuaca kering melampau sangat sehingga memusnahkan padi, ataupun hujan yang turun mengejut sehingga musnah hasil padi?

Rakyat marhaen tidak sedar perjalanan sejarah ini kerana mereka terlalu sibuk dengan pencarian hidup dalam keadaan ekonomi yang menurun dan harga barang yang naik. Adakah perkara ini ditimbangkan oleh Mahathir (sKT) dan anggota kabinetnya?

Sekarang ini musim pemimpin UMNO berkeliaran merata negara. Apakah yang mereka bincangkan? Kalau kita baca akhbar, kebanyakan menteri akan bersyarah mengingatkan orang Melayu jangan rebut jawatan. Mereka harus percaya pemimpin dan harus setia kepada UMNO.

Apa kata kalau soalan semacam itu diarahkan oleh rakyat marhaen kepada mereka? Kalau tidak mahu ahli-ahli rebut jawatan kenapakah mereka tidak melepaskannya dan memberi ruang kepada orang lain untuk naik? Kenapakah jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dibuka untuk dipertandingkan? Kenapakah Mahathir (sKT) tidak suka bercuti dalam negara sendiri sambil menjimatkan belanja?

Mereka hanya pandai membincangkan perkara semacam ini kerana tidak pandai ataupun tidak berani menangani perkara lain. Cuba bayangkan sejak pilihan raya umum 1999 dulu sehingga hari ini apakah isu yang dibincangkan oleh UMNO selain kisah orang Melayu harus setia kepada perjuangan UMNO? Adakah mereka bincangkan kenapa terlalu ramai graduan Melayu yang menganggur? Kenapa harga minyak sawit terus menurun? Bagaimana kerajaan mahu menangani masalah pengangguran orang Melayu?

Kenapakah soalan semacam ini tidak dibincangkan di TV Perdana ataupun ditanya oleh wartawan Melayu kepada menteri-menteri UMNO?

Bersambung bab tiga: Menteri UMNO Sibuk Untuk Lari????
 

  • Marhaintua - 05.05.2003 (suntingan M@RHAEN)
  • ~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~
    Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

    Click Here!