Mahathir Patut Undur Sekarang Ini
Oleh Marhaintua
Saya semakin percaya, Mahathir (sKT) memang sudah patut berundur sekarang ini. Keadaan ekonomi negara begitu goyah sehinggakan rakyat jelata merintih dan naik muak terus menahan sabar mereka. Tetapi apakah jawapan seorang perdana menteri kepada mereka? Kalian “usah berlagak kaya”.

Amat malang sekali.... itu sahaja yang mampu Mahathir (sKT) cakapkan. Usah berlagak kaya? Siapakah yang berlagak kaya selama ini? Rakyat marhaen ataupun Mahathir dan para kroninya?

Setelah bercuti mengelilingi dunia membazirkan wang rakyat jelata Mahathir (sKT) telah menyambung kembali tugas rasminya sebagai perdana menteri. Dia tidak perlu berehat lagi walaupun perjalanan jauh daripada London mungkin meletihkan orang lain.

Seperti biasa pada setiap pagi Isnin pertama setiap bulan beliau bertemu anggota jabatan perdana menteri untuk khutbah awal Isnin. Kali ini dia memilih soal kenaikan gaji kakitangan kerajaan.

“Jangan kerap sangat menuntut kenaikan gaji!!!!!!!” katanya. Bayangkanlah... selepas dua bulan membazir wang rakyat jelata mengelilingi dunia dia pulang dan bercakap agar kakitangan kerajaan tidak menuntut kenaikan gaji.

Isu gaji kakitangan adalah satu isu yang besar yang tidak boleh disembunyikan lama-lama. Peliknya, permintaan Mahathir (sKT) tidak diberikan liputan muka utama akhbar perdana keesokan harinya. Hanya Utusan Malaysia terbitan 6 Mei yang menggunakan isu itu sebagai lidah pengarangnya, dan ruangan ‘bisik-bisik’ Awang Selamat. Kenapa agaknya perkara kenaikan gaji kakitangan kerajaan tidak penting, sedangkan harga barang sudah naik melambung dan serba-serbi perbelanjaan sudah naik sehingga tiga puluh peratus berbanding tahun lalu? Bayangkan berapa kali harga minyak dinaikkan? Bagaimana dengan tambang bas sekolah dan kelas tuisyen? Apabila Intrakota menaikkan tambangnya daripada 90 sen kepada 1.60 sen, berapa peratuskah kenaikan itu?

Kita faham kenapa Mahathir (sKT) tidak mahu menaikkan gaji pegawai kerajaan. Kerana setiap kenaikan gaji akan meninggikan kos tenaga manusia (labour cost). Ini menaikkan kos pengeluaran ataupun pun perkhidmatan (production cost & services).

Mahathir (sKT) berpendapat kalau harga kos serba-serbi naik, ia akan menyebabkan negara semakin terhimpit dan boleh jadi miskin.

Kenaikan gaji kakitangan awam sebenarnya melibatkan sekitar tidak lebih satu juta manusia. Sekitar 84 peratus adalah kakitangan yang tidak berijazah yang terpaksa mengecutkan perut mereka setiap kali berlaku kenaikan harga barangan. Baki 16 peratus adalah golongan berijazah yang masih boleh tahan hidupnya, kerana sebab-sebab kemudahan yang tertentu, kecuali mereka yang baru dan perlu menangani kos pembelian rumah, kereta dan rumah tangga yang baru.

Walau bagaimanapun sebahagian besar kakitangan kerajaan terjebak dengan pinjaman bank, gara-gara membeli saham. Golongan ini memang merasakan kesempitan hidup kerana pinjaman bank perlu dilunaskan sedangkan harga saham masih berada di takuk bawah dan tidak boleh dijual kerana terlalu murah. Ada pula golongan yang meminjam duit bank untuk melabur dalam cara membeli rumah dengan harapan untuk menyewakannya sebagai satu jalan mencari duit halal. Malangnya, rumah sewa tidak laku sekarang ini dan kalau ada yang menyewa ramai yang lari di malam hari. Industri menyewa rumah adalah merupakan industri yang memihak kepada si penyewa. Mereka bayar sewa untuk dua bulan dan duduk selama lima bulan kemudian lari di malam hari. Bagaimana pula dengan pembeli rumah yang masih menunggu rumah yang belum siap? Ada pembeli yang membeli 15 tahun dahulu masih menunggu rumah mereka dan terpaksa membayar pinjaman bank sambil membayar sewa rumah yang didudukinya? Kebanyakan rumah yang dibeli itu dahulunya diusahakan oleh pemaju yang menganggotai Semangat 46 ataupun parti pembangkang, ataupun orang UMNO yang kuat menyokong Anwar Ibrahim.

Kesannya ramai marhaen khususnya marhaen Melayu, yang terjebak dengan ceti haram ataupun along. Malahan, kalau kita perhatikan di banyak kem tentera, ada yang sudah menjual dahulu gratuiti persaraan mereka kepada ceti haram walaupun si peminjam masih ada dua hingga tiga tahun lagi dalam perkhidmatan tentera.

Implikasi melonjaknya sara hidup di negara ini boleh dilihat dengan ketara:
(a) perceraian yang semakin menjadi-jadi di kalangan semua kaum di negara ini;
(b) bertambahnya kadar pelacuran di merata tempat, di bandar besar ataupun di luar bandar.
Memang diketahui umum, pelacuran wujud di tempat kerja yang membabitkan pekerja mendatang dengan orang tempatan. (Saya pernah menulis kisah pelacuran bergerak di bandar-bandar besar, di mana van digunakan sebagai tempat membuat maksiat membabitkan bohsia dan suri rumah tangga yang terpaksa mencari wang luar untuk membiayai wang keperluan anak-anak sekolah).;
(c) penyalah-gunaan dadah semakin membiak.
(d) arak dan pemabuk semakin menjadi-jadi.
(e) pengangguran di kalangan pekerja dewasa kerana kilang yang terpaksa ditutup, dan pengurangan waktu kerja oleh kilang yang cuba terus bertahan.
(f) meningkatnya khidmat bomoh dan tukang telek;
(g) membiaknya perjudian - baik yang rasmi dan yang haram.
(h) semakin ramai orang Islam yang murtad.

Kita tidak perlu mengupas segala gejala di atas secara terperinci, kerana semua itu pernah saya tulis sejak 1999 lagi. Malahan saya katakan bahawa selagi negara ini dipimpin oleh seorang manusia berhati syaitan, gejala sosial akan terus memburuk yang menjurus kepada satu arah sahaja – orang Melayu khususnya akan menjadi satu bangsa pariah di bumi sendiri.

Lambang Kegagalan UMNO

Segala kepincangan sosial yang kita sama-sama saksikan adalah lambang kebobrokan UMNO dan pucuk kepimpinannya. Selama 22 tahun Mahathir (sKT) mencengkam kuasa di negara ini, tidak ada yang boleh dibanggakan daripada segi sosial masyarakat. Segala yang dilakukannya dengan teras muslihat UMNO dan BN adalah bertujuan untuk mengekalkan kuasanya.

Mahathir (sKT) dan semua pemimpin yang menyokong beliau sedar, masa penentuan (days of reckoning) sudah terlalu hampir dan mereka terpaksa melakukan sesuatu untuk melengahkan waktu itu.

Apa lagi yang dapat dijadikan alasan untuk mengelak rakyat mendapatkan hak kenaikan gaji mereka? Memadaikah dengan mengadakan konsert besar-besaran di Bukit Jalil seperti usaha Pemuda UMNO yang melancarkan Aman Malaysia dahulu dengan melibatkan majoriti anak-anak muda yang belum pun bekerja melaungkan apa juga slogan yang dipancarkan pada papan besar elektronik?

UMNO sudahpun menyambut ulangtahunnya yang ke-57 di Stadium Merdeka (tak kiralah kalau UMNO sebenar sudah lama terkubur). Mampukah Mahathir (sKT) mengajak rakyat melupakan tuntutan mereka mahukan kenaikan gaji? Kita telah lihat jangkakan sebahagian besar peserta di Stadium Merdeka itu merupakan suri rumah yang sudah tua dan golongan warga emas yang diangkut dengan bas dari luar bandar dengan elaun sara hidup harian selama berada di Kuala Lumpur, sedangkan bila pulang ke kampung, mereka termenung sejenak memikirkan masa depan mereka di tangga dapur.

Inilah juga kumpulan yang berada di luar bandar, kais pagi makan pagi dan kais petang makan hati. Mereka tidak mampu membeli akhbar harian dan hanya bergantung kepada berita TV dan radio untuk mendengar kemajuan negara mengikut maklumat yang dipesongkan oleh pemimpin UMNO. Antara masyarakat warga emas yang datang itu, sebahagian besar telah menyatakan kesanggupan datang ke Stadium Merdeka itu untuk melihat kemajuan negaranya dengan ihsan duit UMNO tanpa menyedari dari mana puncanya. Apakah mereka sedar bahawa sebahagian wang itu adalah sumbangan syarikat nombor ekor dan judi, yang diberikan lesen khas menjual nombor di hari luar jadual kelazimannya?

Mereka tidak terfikirkan semua itu, kerana ketika berada di Kuala Lumpur mereka terlalu sibuk dengan persiapan keluar bilik hotel dan turun naik bas pelancongan. Mereka dibawa ke Putrajaya melihat keindahan bandar kayangan hasil khayalan seorang diktator tua. Berapa ramaikah di kalangan mereka yang dapat menghitung berapa jenis tiang lampu yang beraneka di Putra Jaya dan Cyber Jaya itu? Adakah yang terfikir kalaulah sebatang tiang itu dibawa pulang dan dipasang di laluan masuk surau dan masjid di kampung, alangkah terangnya laluan mereka setiap malam?

Begitu juga ketika berada di Cyber Jaya, berapa ramaikah orang Melayu pelancong UMNO itu yang sedar bahawa hampir semua syarikat asing di situ diberikan pelepasan cukai selama lima tahun? Ada pula yang diberikan insentif dan elaun khas untuk berpindah ke situ daripada Singapura dan tempat lain di negara ini? Kebanyakan syarikat di situ mengalihkan pejabat serantau mereka daripada Singapura dan Jakarta kerana tidak perlu berbelanja besar selama lima tahun. Selepas lima tahun mereka akan cabut lari mencari tempat yang lain. Kebanyakan pekerja mereka tidak pun ada di sini kerana mereka berurusan melalui dunia cyber ataupun alam maya. Kalau ada anak Malaysia yang bertugas di situ setakat pekerja bawahan sahaja.

Tidak jauh daripada Cyberjaya ialah satu kawasan yang dikenali sebagai e-Village. Dalam bahasa Melayu ia bererti Perkampungan Hiburan semacam Bollywood. Untuk pembukaan rasmi projek itu telah menelan lebih lima juta ringgit. Pengerusinya dulu ialah Awang Had Professor Pengkhayal yang pernah menjadi pengerusi syarikat Mirzan yang mengutip wang perubatan setiap pekerja pendatang asing satu ketika dulu. Sekarang e-Village  bertukar menjadi ‘empty’ village. Dalam Bahasa Melayu, ‘empty’ bererti kosong.

Pelancong UMNO pasti dibawa melihat Litar Lumba F-1 yang merupakan kebanggaan pentadbiran UMNO juga. Setiap bulan kerajaan membelanjakan Lima Juta Ringgit untuk menghidupkan projek F-1 yang perlu dibayar kepada sindiket Yahudi di Eropah. Kereta Petronas-Sauber yang menjadi kebanggaan Litar Lumba F-1 adalah kereta Ferrari yang menang kejohanan setiap perlumbaan F-1 setahun terdahulu. Harus diingat, kereta lumba negara adalah kereta Sauber Petronas, bukannya Sauber Proton. Kita gunakan kereta lumba yang ‘dibuang’ oleh syarikat pesaing dan ubahsuai menggunakan kepakaran orang Swiss di Hinwill, yang terletak kira-kira 30 minit jauhnya daripada Zurich. Pemilik Sauber Petronas F1 ialah Peter Sauber.

Peter Sauber menggunakan kepakaran kejuruteraan Swiss untuk mengubahsuai kereta terpakai Ferrari untuk dipandu oleh pamandu professional asing. Adalah beberapa kerat anak-anak Malaysia yang bertugas di sana secara ‘apprenticeship’ walaupun mereka mempunyai kelulusan kejuruteraan ataupun komputer. Mereka belajar segala ilmu kereta lumba dan cara menggunakan terowong angin (wind tunnel) yang baru dipasang di sana. Bayangkan, kita ada pembuat kereta nasional yang sepatutnya memerlukan terowong angin untuk menguji model baru ciptaan mereka. Apabila tidak ada terowong angin apakah ciptaan baru yang ada? Terpaksalah beli ‘design’ orang lain yang sudah dibuang kerana merupakan ‘scrap design’. Jadinya kita akan mempunyai kereta proton yang pintu sebelah tidak boleh katup kerana kesan ‘designer’s defects’.

Cuba kita bayangkan berapa juta telah punah hanya untuk menonjolkan Redbull-Sauber-Petronas? Siapa yang membiayai projek itu? Jawapnya Petronas. Tetapi nama siapa yang menonjol dulu? Redbull dan Sauber. Berapakah belanja setiap bulan untuk projek lumba kereta itu? Segala pembaziran Mahathir dalam projek lumba kereta sahaja boleh diikuti melalui http://www.sauber.com. Belanja pasukan (team budget) ialah sekitar US$74 juta (sekitar 281 juta ringgit setahun). Gaji pemandu Hinz-Harold-Frentzen ialah 2.2 juta pound sterling setahun, sementara gaji pemandu
kedua (Nick Heidfeld) ialah sekitar 350,000 ringgit sebulan.

Rakyat Malaysia mengikat pinggang untuk mencari rezeki halal, tetapi Mahathir si penyangak memberi rezeki halal kepada orang putih semata-mata untuk memuaskan egonya. Dalam hal ini kita belum bincangkan berapa juta setiap bulan yang perlu kita bayar untuk menentukan Lumba F1 tetap mengambil-kira litar lumba Sepang. Inilah salah satu pembaziran yang amat ketara yang cuba ditonjolkan oleh Mahathir kerana dia mahu Malaysia mengejar gerbang Dunia Pertama sedangkan sebagai sebuah negara Dunia Ketiga kita tidak sepatutnya berbuat begitu. Bayangkanlah keadaan kita dengan negara lain seperti Singapura dan Taiwan yang tidak mempunyai sebarang hasil sumber asli tetapi mampu menjejak langkah memasuki Dunia Pertama dan mereka tidak pun mempunyai litar lumba F1 kerana mereka tahu itu adalah pembaziran wang rakyat.

Begitu juga dengan pembaziran di Putrajaya yang sedang dilakukan kini semata-mata Mahathir (sKT) mahu menyiapkan infrastruktur untuk Persidangan OIC. Bilakah persidangan itu? Betulkan ia akan dilangsungkan di sini bulan Oktober? Apakah ia tidak akan ditunda hingga tahun hadapan?

Bermacam cerita kita dengar daripada Timur Tengah dan juga dalam negara akan perkara ini. Ada beberapa kawan di Timur Tengah memberitahu saya, kalau persidangan OIC diadakan pada bulan Oktober ini, berkemungkinan besar kebanyakan negara di Timur Tengah hanya akan mewakilkan Duta mereka di negara ini sebagai wakil rasmi. Keadaan peperangan di Iraq dan rentetan yang sedang berlaku di mana setiap raja Arab menggeletar dalam seluar takut digulingkan rakyatnya sudah tidak berani keluar istana, apalagi keluar negara. Apa jadi dengan pembangunan Putra Jaya? Adakah Mahathir (sKT) mahu dan sanggup mengurangkan pembangunannya? Tidak, kerana itu adalah syarikat anak dan para kroni yang membuatnya, dan segala kerja-kerja dibuat oleh syarikat Cina.

Seperti yang berlaku dalam perancangan Cyberjaya dan juga e-Village, semua pembaziran adalah untuk memuaskan ego Mahathir (sKT) dan semua perbelanjaan ditanggung oleh Petronas kerana Petronas ada banyak wang dan Mahathir (sKT) mempunyai kuasa penuh terhadap Petronas. Tetapi, adakah Mahathir (sKT) mendapatkan kelulusan kabinet, parlimen ataupun rakyat untuk menghabiskan wang Petronas? Jawabnya tidak. Apakah segala projek Petronas itu meniru projek Dunia Pertama? Jawapannya Ya. Tetapi kenapa dalam soal kenaikan gaji rakyat jelata Mahathir mahu mereka jangan berlagak?

Mahathir fikir dia boleh redakan kemarahan rakyat yang mahu kenaikan gaji dengan hanya berkata: “Jangan berlagak kaya!!!”

Kenyataan Mahathir (sKT) ini kalau tidak dijelaskan dengan berhemah kepada rakyat jelata akan menjadi pencetus rakyat di negara ini berhimpun di jalanraya dan meminta Mahathir (sKT) berundur sebelum bulan Oktober. Mahathir (sKT) harus sedar hakikat ini bahawa rakyat sudah tidak tahan, kerana serba-serbi sudah naik. Gaji masih di takuk lama. Apabila rakyat tidak tahan mereka meminta dengan baik dan mereka bukan berlagak.
 
Yang berlagak ialah Mahathir (sKT) dan para kroninya. Mereka yang berbelanja sakan dan fikir rakyat jelata tidak faham . Mereka akan hanya faham apabila tercetus satu peristiwa kecil di mana rakyat bangkit mahukan keadilan di sebalik arahan jangan berlagak. Apa yang akan jadi kalau sekumpulan rakyat yang hidupnya terus tertekan mengadakan boikot di tempat kerja? Kalau di satu tempat sahaja mungkin boleh Mahathir (sKT) tangkis dengan mudah, tetapi kalau berlaku di setiap negeri dan beberapa bandar besar bagaimana? Masa itu barulah Mahathir (sKT) dan pemimpin BN.UMNO terpaksa berlagak minta nyawa daripada rakyat jelata. Jaga-jaga!!!!!!
 

  • Marhaintua - 19.05.2003 (suntingan M@RHAEN)
  • ~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~
    Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

    Click Here!