|
Muslihat Sebalik Pemansuhan Cukai Jalan Motosikal |
Aduhai, banyaknya kekurangan itu? Tetapi di mana kita boleh dapat baca angka rasmi kerajaan itu? Bagaimanakah kerajaan Mahathir sanggup mengetepikan pungutan cukai jalan yang membawa hasil RM177.7 juta setahun. Sedangkan kalau dikira jumlah sebenar yang perlu dibayar oleh pemilik motosikal secara purata tidak pun lebih 5.50 sen sebulan ataupun sekitar lapan belas sen setiap hari.
Tentu pening kepala kita memikirkannya. Tindakan kerajaan itu dianggap mengikut ‘konsep bajet penyayang’. Tetapi kalau diambil kira bayaran tiga sen setiap seribu gelen air yang dibekalkan kepada Singapura, apa pula konsep yang diamalkan oleh Mahathir dalam perkara ini?
Bagaimanakah Mahathir tergamak memansuhkan terus cukai jalan motosikal sedangkan dia tahu kerajaan akan kehilangan satu kutipan hasil yang tinggi? Apakah muslihat sebenar di sebalik tindakan itu? Bagaimana dia mahu cari sumber lain sebagai pengganti hasil yang sebesar itu?
Saya percaya tuan milik motosikal yang selama ini menikmati laluan seluruh Malaysia tanpa perlu membayar tol, merasa kehairanan apakah bodohnya kerajaan memansuhkan cukai yang mereka sendiri rela membayarnya? Kalau mahu ringankan beban rakyat marhaen apa salahnya cukai itu diturun kepada setengah harganya? Lagipun tanpa cukai jalan, ia akan menjejaskan kerja-kerja kutipan wang ansuran hutang yang diambil oleh pemilik motosikal daripada institusi kewangan.
Mahathir boleh memansuhkan cukai itu, tetapi ia membawa kesan besar pada tahun depan kepada kerajaan Paklah apabila menghadapi hasil yang berkurangan. Apakah itu muslihat pertama? Atau pun kerajaan berkemungkinan membenarkan setiap pengendali jalan bertol mengenakan caj kepada setiap motosikal yang lalu-lalang di konsesi mereka?
Selama ini, cukai jalan motosikal di Semenanjung Malaysia dikenakan mengikut enjin iaitu RM50 untuk motosikal kurang 75cc, RM55 (75cc-100cc), dan RM65 (101cc – 150cc). Cukai jalan bagi motosikal berkuasa antara 75 hingga 150cc di Sarawak ialah hanya RM12 setahun, manakala di Sabah pula, cukai jalan bagi semua jenis motosikal hanya RM50.
Kini, kira-kira 12 juta pelbagai jenis kenderaan berdaftar dengan JPJ di seluruh negara dan daripada jumlah itu kira-kira enam juta motosikal berdaftar dengan JPJ.
Menteri Pengangkutan Dato Chan Kong Choy berkata “pemansuhan yang berkuat kuasa serta-merta itu membabitkan 3.8 juta penggunaan motosikal kategori berkenaan di negara ini yang kebanyakan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan pelajar.” (BM Ahad 14/9.03 muka surat 5).
Sekarang kita mahu tanya apa kesan tindakan kerajaan terhadap motosikal besar berjenama JAGUH yang berkusa 175cc? Apakah kemungkinan penjualannya yang akan terjejas dengan berkesudahan jenis itu akan melambak di kedai motosikal terpakai?
Setahu saya hampir lebih 60 peratus motosikal kelas bawah 150cc tidak membayar cukai jalan. Pemilik lebih rela membayar bulanan di balai polis terdekat setiap bulan, antara dua hingga tiga ringgit sahaja. Amalan ini sudah lama dipraktikkan sejak tahun 1970-an lagi di bandar-bandar kecil dan di rancangan tanah serta perladangan.
Apabila dimansuhkan cukai jalan motosikal, kita akan dapati golongan yang paling terjejas ekonominya ialah anggota polis yang selalu pasang perangkap sekatan jalan di merata negara pada malam hari. Apakah yang mereka lakukan bila pasang sekatan jalan? Mereka tidak periksa lesen pemandu kereta. Mereka tengok cukai jalan motosikal, untuk mencari peluang ‘pau’ golongan yang tidak memilikinya.
Golongan kedua yang akan terjejas ekonominya ialah pekedai yang menjual motosikal terpakai secara ansuran. Di luar bandar kebanyakan motosikal tidak mempunyai cukai jalan tetapi motosikal itu berdaftar di JPJ pada tahap awalnya. Ramai pedagang motosikal terpakai menjual motosikal yang dikitar semula daripada lelong kastam dan polis ataupun yang ditarik-balik oleh institusi kewangan, untuk dijual dengan harga lumayan dan tinggi kepada pembeli yang membayar secara ansuran. Apabila pembeli gagal melunaskan hutang, tuan punya motosikal boleh melaporkannya kepada polis dan hantar tukang pukul ataupun pengutip hutang profesional. Begitu juga halnya dengan motosikal yang disewakan mengikut bulan ataupun musimnya.
Ada beberapa kilang mengeluarkan motosikal di negara ini. Kita ada “Jaguh” (berkuasa 175cc), kemudian kita ada “KRIS” (kebanyakannya di bawah 150cc). Kita ada motosikal berjenama Jepun yang dipasang siap di negara ini. Kemudian ada pula skuter berjenama “comel”. Besar kemungkinannya pemansuhan cukai jalan motosikal akan menaikkan pasaran skuter buatan Malaysia tidak lama lagi. Siapa pemilik syarikat yang mengeluarkan ‘COMEL?”
Golongan ketiga yang akan terjejas ekonominya ialah kira-kira 2,000 orang pegawai penguat kuasa JPJ yang amat suka menahan kenderaan selepas selekoh tajam di merata negara. Setiap kali ada sekatan JPJ mereka datang laksana langau lengkap dengan lori untuk angkut motosikal yang tidak bercukai. Mereka akan mengadakan sekatan dengan angkuh sehinggakan lesen memandu terkini yang perlu imbasan alat khas pun tidak mahu mereka akui, kerana mahu sogokan wang untuk pemiliknya membebaskan diri. Taraf kerja penguatkuasaan JPJ ini ialah taraf kerani biasa sahaja, tetapi kerana beruniform nampaklah besar kuasanya. Cuba perhatikan kenderaan milik peribadi mereka? Apakah kenderaan itu setaraf dengan pendapatan gaji bulanan?
Golongan keempat yang akan terjejas ekonominya ialah ‘ulat-ulat’ yang menguruskan bayaran cukai jalan bagi pihak pemilik motosikal. Ulat ini terdiri daripada kerani insurans dan pembawa utusan (despatch riders). Mereka mengambil upah mendapatkan cukai jalan melalui ‘pintu sebelah’ dengan kerjasama kerani JPJ yang akan memberikan keutamaan kepada urusan seperti ini kerana sudah ada kira-kira bulanannya.
Apabila Mahathir mansuhkan cukai jalan motosikal bawah 150cc itu, apakah dia sudah ambil kira semua perkara ini? Apakah dia sedar bahawa tindakannya itu akan mencetuskan masalah sosial yang lebih besar lagi??
- marhaintua -
Selasa 16 September, 2003. (suntingan
M@RHAEN)
Esok: UMNO Akan Rampas Kelantan?
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~ Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/ - http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com |