Sembang-Sembang Mengenai DBP dan Bahasa Inggeris
Penulis ingin membawa pembaca merenung-renung kembali peranan satu-satunya badan di dunia ini yang khusus kerjanya merancang, membina dan memperkaya bahasa Melayu - negara-negara lain tidak ada badan seperti ini. Pertemuan dengan salah seorang peneraju utama yang mendesak kerajaan menubuhkan badan ini menginsafkan penulis. Katanya perjuanganya dulu dengan titis air mata dan keringat meyakinkan pihak pemerintah betapa pentingnya ditubuhkan satu badan bagi menjaga jati diri Melayu. Penubuhan DBP merupakan usaha yang dilindungi oleh Akta yang diluluskan oleh Parlimen. Hakikatnya banyak pejuang yang ikhlas yang tidak mahu nama mereka disebut-sebut begitu bangga dengan DBP.

Tapi kini apakah peranan yang dimainkan oleh DBP? Dalam gembar-gembur bahasa Inggeris, DBP diminta bersikap pragmatik menghadapi cabaran. Sebenarnya DBP banyak sekali bertanggungjawab dengan perubahan dasar ini. Pihak tertinggi merasakan DBP tidak memainkan peranan sewajarnya dalam memperjuangkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Selama sepuluh tahun berlalu di bawah kepimpinan yang ada hari ini - berapa banyakkah buku ilmiah yang telah diterbitkan oleh DBP? Apakah birokrasi yang ada menghambat penerbitan manuskrip yang tersimpan sekian lama? Apakah ada pilih bulu di DBP untuk menerbitkan karya penulis? Mengapakah sampai A.Samad Said terpaksa mogok hingga mengharu-birukan dunia sastera Melayu?

Yang paling ditakuti oleh tokoh ini ialah peranan DBP kini semakin dikecilkan apabila penswastaan dilaksanakan. Lama-kelamaan DBP hanyalah unit kecil bertaraf jabatan sahaja di Kementerian Pendidikan, tidak lebih daripada itu. Apa tidaknya.....pengurusan istilah Melayu sudah pasti mati, perkamusan jauh daripada menampakkan hasil, penerbitan penuh hambatan. DBP menjadi bahan kritikan pemimpin sebagai contoh kegagalan pelaksanaan bahasa Melayu di Malaysia. Kata-kata orang, marahnya pemimpin kita kepada DBP kerana duit berjuta-juta diserahkan untuk diperuntukkan bagi penerbitan buku tetapi yang banyak dilakukan ialah kerja rai-meraikan sahaja - indah khabar daripada rupa. Banyak projek yang gahnya dengan kehadiran Menteri tetapi sudahnya layu dan mati. Manakah citra DBP sebagai sebuah badan penyelidikan, perancangan, pembinaan, penerbitan, dan pengayaan bahasa Melayu?

Penulis ikut merasa gusar dengan luahan yang disuarakan oleh suara pejuang tua ini. Betul DBP berusaha tetapi usaha itu banyak dikaburkan oleh upacara-upacara atau rancangan yang membazir daripada manfaat. Luahan pejuang tua itu bukan kerana bencikan DBP tetapi kerana kasihkan DBP. Apakah kerana taksubnya perjuangan meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu menjadikan DBP terpinggir dalam arus perdana? DBP seharusnya menyahut cabaran yang mendatang dengan iltizam yang lebih tinggi. Hentikanlah acara-acaraan yang membazir yang kelihatannya untuk menonjolkan imej individu tertentu sahaja tetapi sebaliknya hendaklah dipergiatkan bahagian penerbitan - perbanyakkan penerbitan buku ilmiah - laku atau tidak, bukan soalnya. Kita mahu apabila disebut sahaja satu bidang baru - atomik fizik atau neuro sains atau apa sahaja bidang ilmu, maka dengan bangganya kita katakan - DBP sudah pun terbitkan. Yang berlaku hari ini ialah bidang ilmu yang dah semakin lapuk baru dikeluarkan buku. Kalau penulis menjadi PM, sesekali teringin membaca buku bahasa Melayu dalam bidang baru, mencuba-cuba tanyakan buku itu di DBP dan jawapannya menghampakan pasti menimbulkan rasa geram. Sudahnya tak usahlah membazir duit dengan institusi yang sebegini - kita baca sahajalah buku bahasa Inggeris. Analogi ini mungkin benar atau mungkin tidak. Walaupun banyak pihak yang marah pada PM tetapi kata pejuang tua itu ada betulnya. Mesti ada sebab mengapa perubahan itu berlaku. Terserlah kegagalan DBP sebenarnya!

Dalam menyahut arus kemunculan bahasa Inggeris, pejuang bahasa di DBP tidak usah gusar kerana rakyat marhaen bersama-sama anda. Masalahnya ialah anda tidak mencerminkan diri sendiri sejauh mana pencapaian anda dalam usaha mempertingkatkan bahasa Melayu dalam dunia realiti - jangan digariskan projek mega yang sekadar melihat kesan sejarah, berseminar di luar negara dan acara-acara mega lainnya - teras kepimpinan DBP mestilah telus dan ikhlas - seperti kata pejuang tua itu ...kami serahkan DBP setelah perjuangan yang perit maka pelihara DBP supaya jangan kecundang di bumi sendiri oleh anak Melayu sebagaimana Utusan Melayu yang subur waktu papa, tetapi layu waktu kaya. Marilah sama-sama kita fikirkan.--Wassalam.

Oleh Marzuki - 26.02.2003 (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!