Liwat Isteri Kena Ta'zir - YB Senator Zailah

Sebagai tanda patriotik kami...

Dipetik drp Harakahdaily
Liwat isteri kena ta'zir - YB Sen. Zailah (Ketua Penerangan DMPP)
Kiriman: Mat Sepai.
 
KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Hrkh) -Isteri yang diliwat oleh suaminya tidak boleh dikenakan hukuman di bawah hudud tetapi dikenakan di bawah undang-undang ta'zir, kata Ketua Penerangan Muslimat PAS, Senator Zailah Yusof dalam kenyataannya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Zaid Ibrahim yang mendakwa PAS membolehkan liwat melalui enakmen Jenayah Syariahnya.

Menurut beliau, dalam kenyataannya kepada Harakah, "perkataan “selain isterinya” itu tidak pula bermakna bahawa Kerajaan PAS membenarkan seorang suami meliwat isterinya.
 
"Tetapi ianya lebih menjelaskan bahawa hukuman hudud tidak boleh digunakan ke atas si suami yang mempunyai ikatan perkahwinan yang sah dengan isterinya dalam kes tersebut atau dengan perkataan lain peruntukan hukuman ke atas suami yang meliwat isteri bukanlah hudud tetapi dalam peruntukan ta’zir.
 
"Bermakna tindakan suami meliwat isteri TETAP MENJADI SATU KESALAHAN tetapi peruntukan hukuman bagi kesalahannya mengikut syariat Islam tidak di bawah Hudud tetapi pesalah akan dihukum mengikut hukum Ta’zir."
 
Berikut adalah kenyataan penuh Zailah:
Suatu yang amat malang apabila pemimpin UMNO Kelantan yang tandus dengan isu telah berani pula memainkan satu lagi irama baru berhubung dengan Perkara 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah ( II ) 1993 yang berkaitan dengan hukuman bagi kes liwat.

DMPP melihat bahawa usaha ini tidak lebih daripada satu tindak balas desprado kepimpinan UMNO Kelantan dalam keghairahan untuk berkuasa semula di negeri Serambi Makkah tersebut.

Setelah sekian lama iaitu hampir 1 dekad enakmen tersebut diperkenalkan kepada khalayak hanya kini Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan tersebut iaitu Zaid Ibrahim mula membangkitkan isu berkenaan.
 
Ini jelas menunjukkan kepada kita betapa Zaid sebenarnya tidak ikhlas dan tidak “genuine” dalam memperjuangkan isu-isu yang disebut sebagai ketidakadilan kepada isteri itu.

Bahkan ianya tidak lebih daripada satu usaha murahan untuk mencari helah dan mencari-cari kelemahan dalam kerajaan pimpinan PAS khususnya di Kelantan.
 
Pemimpin UMNO seperti Zaid adalah manusia yang tidak berminat dengan kebenaran dan ilmu tetapi lebih berminat dengan kuasa dan populariti meski sekalipun beliau terpaksa menjadi dalang dalam menimbulkan kekeliruan serta salah faham orang ramai terhadap peruntukan syariat Islam.

Adalah sangat perlu dan wajar melihat serta memahami apa jua peruntukan dalam satu-satu undang-undang atau peraturan tersebut secara keseluruhannya bukan setakat melihatnya secara seksyen demi seksyen atau perkara-perkara tertentu sahaja secara terpisah-pisah.

Perkara 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah ( II ) 1993 yang menjelaskan : “ Liwat ialah sesuatu yang merupakan persetubuhan di antara lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain isterinya yang dilakukan di luar tabii atau melalui dubur.”
 
Adapun perkataan “selain isterinya” itu tidak pula bermakna bahawa Kerajaan PAS membenarkan seorang suami meliwat isterinya. Tetapi ianya lebih menjelaskan bahawa hukuman hudud tidak boleh digunakan ke atas si suami yang mempunyai ikatan perkahwinan yang sah dengan isterinya dalam kes tersebut atau dengan perkataan lain peruntukan hukuman ke atas suami yang meliwat isteri bukanlah hudud tetapi dalam peruntukan ta’zir.

Bermakna tindakan suami meliwat isteri TETAP MENJADI SATU KESALAHAN tetapi peruntukan hukuman bagi kesalahannya mengikut syariat Islam tidak di bawah Hudud tetapi pesalah akan dihukum mengikut hukum Ta’zir .
 
DMPP melihat bahawa pihak-pihak yang terbabit dalam menjajah isu ini jelas menampakkan kejahilan mereka yang sebenarnya tentang syariat Islam sebagai “the way of life”.

Kedangkalan ilmu yang cukup jelas berkaitan dengan sumber dan prinsip dalam perundangan Islam serta langsung tidak dapat memahami kaedah-kedah usul fiqh yang disepakati dalam Islam.

Adalah amat malang apabila pemimpin politik dalam masyarakat apatah lagi kelompok yang mendabik dada mengatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam cuba pula bercakap berkaitan soal hukum atau syariat Islam tanpa terlebih dahulu memahami tasawwur Islam, asas-asas dalam Islam serta sumber dan prinsip-prinsip perundangan Islam.
 
Ibaratnya seorang akauntan yang bertindak mempertikaikan prosedur kerja yang diamalkan oleh seorang pakar bedah yang sedang berusaha membedah pesakitnya.

Sedangkan akauntan terbabit tidak pun tahu pisau mana yang patut digunakan pada masa-masa tertentu, keperluan-keperluan lain yang mesti ada semasa tempoh tersebut, sejarah pesakit yang sedang melalui proses pembedahan bahkan tidak juga mengetahui apakah sasaran yang cuba dicapai oleh pakar bedah tersebut. Bagaimana mungkin?
 
DMPP mengajak semua pihak untuk menginsafi bahawa syariat Islam bukanlah sesuatu yang patut dijajah secara murahan dan bukan juga semata-mata persoalan logik akal atau boleh ditafsir secara bermudah-mudah.  Tetapi ianya berhubung dengan tatacara kehidupan manusia yang telah ditetapkan oleh Allah menerusi Al Quran dan kemudiannya dijelaskan secara terperinci lagi melalui sunnah Nabi SAW , Qias dan Ijma’ para Ulama’.
 
Justeru itu, persoalan ini tidak boleh diambil ringan dan dibangkit dengan hasrat untuk menunjukkan kelemahan syariat Islam dalam apa cara sekalipun.
Sepertimana contohnya tindakan tidak bertanggungjawab pemimpin UMNO Kelantan itu yang ternyata jahil lagi menjahilkan.
 
DMPP menyeru agar setiap persoalan berhubungkait dengan agama dan syariat mestilah dikembalikan kepada ahlinya ( yakni para cerdik pandai Islam/ ulama’ ) dan dibincangkan dengan penuh adab kesopanan dan taqwa yang tinggi kepada Allah SWT.

Berhubung dengan dakwaan Ketua Puteri UMNO, Azalina Said bahawa kononnya kerajaan PAS mengambil sikap lepas tangan dan memperuntukkan hukuman yang lebih ringan iaitu Ta’zir kepada suami yang meliwat isteri ; DMPP memandang bahawa sikap yang ditunjukkan oleh Azalina itu sebagai orang Islam yang tidak faham Islam bahkan ibarat seorang kanak-kanak yang senantiasa mahu dia dapat lebih.
 
Hukuman bukanlah hak kerajaan PAS tetapi merupakan peruntukan yang telah ditetapkan menurut kaedah dan prinsip-prinsip perundangan dalam Islam.
 
Apa yang penting pada masa sekarang ialah pendidikan dan penjelasan berkaitan kaedah dan prinsip-prinsip itu. Bagi orang seperti Azalina dan Zaid Ibrahim, DMPP merasakan bahawa mereka boleh berusaha untuk mengambil kursus Pengajian Islam yang menawarkan subjek-subjek berkenaan di mana-mana IPTA dalam negara bagi memastikan mereka benar-benar faham dan mempunyai ilmu sebelum secara bermudah-mudah menjadi juara menjajah kes rumahtangga muslim yang sebenarnya mempunyai tempat yang lebih sesuai untuk dimuzakarahkan bersesuaian dengan perkembangan-perkembangan masalah semasa baitul muslim ( kekeluargaan Islam ) itu sendiri.
 
Di situlah neraca akhlaq dan ketinggian adab mahkluk yang bergelar manusia.

Akhirnya DMPP menyeru kepada semua wanita Islam di Malaysia agar tidak mudah diseret sama oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasikan tafsiran kepada peruntukan dalam Perkara 16 itu.
 
Di samping mengingatkan kepada semua wanita Islam Malaysia agar jangan sampai berlaku akhirnya nanti wanita Islam di Malaysia pula bangkit memohon satu peruntukan undang-undang yang baru bagi kesalahan suami merogol isteri sepertimana yang telah digunapakai oleh masyarakat sekular Barat hanya kerana mereka menjadi seorang Islam yang tidak lagi memahami agamanya .
 
YB. Sen. Siti Zailah Mohd. Yusof
Ketua Penerangan DMPP
29 Ogos 2003

Kiriman: Mat Sepai - 30.08.2003


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!