Di Sebalik Kemenangan Kak Wan: Apa Kata Pengundi Permatang Pauh?
Oleh Mat Sepai


Selepas laporan awal media elektronik (bersifat mala fide) melaporkan berita kekalahan Presiden Parti Keadilan Rakyat selaku isteri mantan TPM DS Anwar Ibrahim, penyokong BA di sini seperti direntap jantung mereka. Suasana sugul di kalangan para penyokong yang kedapatan menitiskan air mata, begitu mengharukan.

Namun, kiraan semula undi kerusi Parlimen Permatang Pauh yang sebenarnya dipohon oleh Ustaz Pirdaus kerana kiraan awal dimenangi Kak Wan, akhirnya memihak kepada BA, menceriakan kembali suasana. Kita ikuti komentar dan luahan ikhlas beberapa penyokong BA di Permatang Pauh setelah melalui detik-detik mencemaskan itu.

Pakcik Saad Shaari (kiri) - pesara tentera dari Guar Jering, “Pakcik langsung tak berpuas hati dengan kerja-kerja SPR. Misalnya, kejadian yang berlaku kepada rakan pakcik yang bernama Sharif bin Din. Dia yang selalunya mengundi di Guar Perahu, kini namanya pada saat-saat akhir telah ditukarkan ke Batu Kawan tanpa kebenarannya, nampaknya SPR telah diperkudakan oleh Umno/BN untuk memenuhi impian rakus mereka”.

Komen Pakcik Saad turut disokong oleh rakannya Ustaz Badrul Abdul Rahman dari Tanah Liat (gambar kanan). “Memang betul, nama-nama pengundi penyokong kita ramai yang hilang daripada daftar pemilih, saya dimaklumkan pengundi-pengundi di Padang Ibu ramai yang terlibat. Saya turut tidak berpuas hati dengan tindakan Datuk Jalil (calon BN, DUN Penanti) yang saya lihat sendiri, masih berkempen pada hari mengundi di dalam kawasan tempat pembuangan undi di SK Tanah Liat. Pegawai SPR tidak mengambil apa-apa tindakan sehinggalah dibantah oleh petugas kita. Saya juga hairan apabila mendapati saluran 1 (orang tua) ramai yang berbaris panjang, kerana tidak tahan menunggu, ada yang pulang tanpa mengundi. Situasi begitu tidak berlaku pada pilihan raya yang lalu. Walaupun perkara ini nampak remeh, pimpinan BA perlu menyiasat kejadian ini”.

Seorang penyokong BA dari Kg Pelet yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Tam pula menjelaskan, “Di Kampung Pelet, guru-guru kemas memainkan peranan penting. Selain daripada mengangkut pengundi-pengundi di rumah, mereka turut disogokkan RM10.00 seorang untuk mengundi BN. Hal ini perlu diberi perhatian kepada kita semua.”

Manakala itu, menurut Encik Zulkifli dari Kg Petani, “Jentera BA Permatang Pauh perlu diperkemaskan kembali, umpamanya, di KADUN Seberang Jaya jentera BA hampir lumpuh. Polling dan counting agent tidak mantap. Kekuatan kita bukan setakat untuk pasang bendera semata-mata, atau berarak bermotosikal tetapi lebih daripada itu, kerja-kerja dalaman parti perlu dikukuhkan, umpamanya pendaftaran pengundi-pengundi baru yang menyokong kita perlu dilakukan sepanjang masa. Kerja-kerja ini nampaknya diabaikan langsung oleh jentera parti. Kalau adapun umpama melepaskan batuk di tangga sahaja. Post mortem mesti dilakukan segera. Semua pihak perlu mengakui kelemahan masing-masing, bukannya menuding jari menyalahkan sesama sendiri.”

Sdr. Johari (kiri) dari Sungai Semambu: “Maklumat daripada rakan-rakan umno menyebut, pada hari pengundian mereka begitu yakin akan menang kerana umno melihat gerak kerja BA yang nampak agak “slow” pada hari itu kerana kita terlalu yakin akan mempertahankan Parlimen Permatang Pauh dengan mudah.”

“Ini satu pengajaran untuk kita semua,” sambungnya.

Meskipun Permatang Pauh diasak dengan begitu hebat, taburan wang ringgit, ugutan dan penyelewengan SPR, namun cita-cita menggunung Datuk Pirdaus tidak kesampaian. Dia akhirnya tersungkur menyembah bumi Permatang Pauh. Cuma kita cukup kasihan melihatnya, yang terpaksa bergelumang dengan politik kotor umno. Siapa sangka, Al-Hafiz dan Bekas Imam Besar Masjid Negara sanggup bersekongkol dengan kezaliman Umno hanya untuk mendapat sedikit habuan dunia…….

Takbir…..Lawan Tetap Lawan

- Mat Sepai - 28.03.2004 - (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN