Sikap Tidak Prihatin MPLPBP Mampu Cetus Ketegangan Agama.

PEJABAT PENERANGAN
PERGERAKAN PEMUDA KEADILAN MALAYSIA
NO. 48, JALAN TELAWI, BANGSAR BARU,
59100 KUALA LUMPUR.
Tel : 03 22892711 Fax : 03 22832615
email :  penerangan_keadilan@yahoo.com

KENYATAAN MEDIA
14 JULAI 2003

Pemuda Keadilan: Kesal Sikap Tidak Prihatin MPLPBP Mampu Cetus Ketegangan Agama.

Pergerakan Pemuda Keadilan Malaysia dengan ini mengutuk tindakan tidak prihatin Majlis Bandar raya Perlancongan Langkawi (MPLBP) yang mampu mencetuskan ketegangan agama di negara ini.

Pada 2 Julai 2003 yang lalu seawal jam 6.00 pagi MPLBP dengan hampir 200 anggota polis telah merobohkan sebuah rumah ibadat agama hindu yang dikenali sebagai Kuil  Sri Maha Mariaman dan Kuil Sri Muniswaran yang telah wujud sejak awal 30an lagi. Operasi merobohkan ini merupakan operasi yang bertentangan dengan perintah Mahkamah Tinggi Alor Star yang memerintahkan (MPLBP) menangguhkan tindakan meroboh kuil tersebut.

Kegagalan MPLBP mengemukakan notis dan tempoh yang sepatutnya serta mengengkari arahan mahkamah telah mendapat protes dari penganut hindu yang menggunakan kuil tersebut, tetapi malangnya kekuatan polis yang amat luar biasa dalam operasi tersebut telah menyebabkan keadaaan semakin tegang. Paling menyedihkan sikap kakitangan MPLBP yang bukan setakat meroboh kuil tetapi menyepak serta menggelek patung-patung suci agama hindu amat keterlaluan.

Selepas operasi perobohan tersebut tidak dapat dinafikan suasana perkampungan sekitar agak tegang dengan rasa prasangka antara agama.

Pergerakan Pemuda keADILan pada 8 Julai 2003 telah mengadakan lawatan ke kawasan tersebut. Sdr. Zamil Ibrahim, Ketua Pemuda Negeri Kedah dengan beberapa orang exco pemuda negeri dan pemuda bahagian Langkawi telah berdialog dengan kira-kira 150 orang penganut yang menggunakan kuil tersebut. En. Anbalagan a/l Thopasamy sebagai juru cakap jawatankuasa kuil tersebut telah menerangkan rentetan kejadian tersebut.

Pada mulanya pihak MPLBP hanya mahu menebang pokok besar yang berhampiran dengan kuil kerana mahkamah telah pun memerintahkan untuk tidak merobohkan kuil tersebut, tetapi mereka tidak menyangka MPLBP dengan kerjasama polis yang ramai terus bertindak ganas merobohkan terus semua kuil dan beberapa binaan yang jauh dari tempat tersebut.

Pihak polis bertindak seperti gangster apabila beliau sendiri cuba menunjukkan perintah mahkamah menghalang pengrobohan tetapi beliau dihalang dan ditolak. Masyarakat hindu setempat sememangnya dalam keadaan yang amat marah kerana kuil yang dibina seawal 1930an oleh nenek moyang mereka yang berhijrah ke Langkawi. Kuil ini diperbaiki sehingga dalam keadaan yang sesuai untuk menampung kira-kira lebih dari 2000 penduduk beragama hindu di Langkawi. Kuil tersebut merupakan kuil yang ulung untuk perarakan “karadi” dan “ kumbu-abishegam”.

Jawatankuasa kuil ini merupakan penyokong kuat MIC sejak dahulu lagi amat kesal apabila rungutan dan aduan mereka kepada MIC tidak dilayan.

Dalam dialog tersebut juga Sdr. Zamil Ibrahim telah dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat atas tindakan kurang hajar yang bukan sahaja melanggar undang-undang malah melampaui batas moral kerana tidak menghormati sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

Di akhir pertemuan hampir 2 jam tersebut Zamil meminta supaya masyarakat India setempat supaya bertenang dan bersabar. Jangan bertindak di luar batasan undang-undang, pemuda keadilan berjanji akan memberikan perhatian terhadap isu ini.

Pemuda keadilan mengutuk tindakan tersebut dan mendesak pihak terbabit; MPLBP memohon maaf secara terbuka dan jika operasi ini melanggar perintah mahkamah pihak terbabit harus di hukum.

Sepatutnya kerajaan lebih prihatin dalam menangani isu-isu yang melibatkan agama dan kaum kerana Malaysia sememangnya mempunyai sejarah hitam dalam perkara tersebut.

Disediakan Oleh ;

BADRUL HISHAM SHAHARIN
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda Keadilan Malaysia
+6016 324 2564


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!