Paklah Memerangi Rasuah: Relevansi Khalil Yaakob

SIARAN MEDIA
KETUA PENERANGAN ANGKATAN MUDA keADILan NEGERI PAHANG

PAKLAH MEMERANGI RASUAH: RELEVANSI KHALIL YAAKOB

Baru-baru ini Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi dalam kenyataannya telah membuat penegasan bahawa antara usaha serius beliau adalah untuk memerangi rasuah. Sebagai pembangkang yang sentiasa mengkritik dan menegur parti pemerintah UMNO/BN berkenaan soal rasuah dan salah urus kewangan negara, saya sangat mengalu-alukan kenyataan itu, apatah lagi dengan status Pak Lah sebagai bakal Perdana Menteri, bakal Presiden UMNO dan bakal Pengerusi BN menjelang akhir Oktober ini (itupun kalau Dr. Mahathir tak mendapat ilham baru).

Maka untuk membuktikan komitmen ini, pembongkaran kes-kes rasuah di kalangan pegawai kanan kerajaan begitu diwar-warkan di media-media arus perdana, ini termasuklah kes yang kalau tak boleh dikategorikan sebagai "case of the year" mungkin boleh jadi "case of the month," kes Abdul Kudus, pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Apakah keberanian Pak Lah memerangi rasuah hanya terhad kepada pegawai kerajaan sahaja? Sebagai Ketua Penerangan Angkatan Muda keADILan Negeri Pahang, saya terasa tercabar untuk mencabar Pak Lah supaya membuktikan ketegasan dan komitmen beliau itu dengan turut mengambil tindakan terhadap menteri dalam "cabinet in waiting" beliau, secara spesifiknya, Tan Sri Khalil Yaakob, Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung UMNO, bekas Menteri Besar Pahang, yang mana penglibatan rasuah Tan Sri Khalil ini bukanlah hasil "fitnah" pihak pembangkang, tetapi telah didokumentasikan dalam bentuk laporan polis oleh Dato' Fauzi Abdul Rahman, ADUN UMNO/BN Kawasan Beserah!

Apalah sangat Pak Lah kalau nak dikira dengan kes Abdul Kudus itu jika nak dibandingkan dengan apa yang Dato' Fauzi istilahkan sebagai "misappropriation of State resources," yang dilakukan oleh Tan Sri Khalil ketika menjawat jawatan Menteri Besar, juga anggota Majlis Perhutanan Negara. Tan Sri Khalil berpindah ke kerajaan pusat pada pertengahan 1999, tetapi dalam keadaan kuota konsesi balak Negeri Pahang untuk tahun 2000, 2001, 2002, 2003 dan 2004 telah habis digunakan. Kerana penyelewengan ini seperti kata Dato' Fauzi, anggarannya Kerajaan Negeri Pahang kehilangan sumber kewangan di antara RM 300,000,000 hingga RM 900,000,000 setahun, bayangkan ini berlaku selama lima tahun! Kerajaan Negeri Pahang telah kehilangan sumber kewangan minimumnya sebanyak RM 1,500,000,000 (1.5 billion) dan maksimumnya RM 4,500,000,000 (4.5 billion Ringgit)!!!!! Apa yang boleh diusahakan oleh Dato' Seri Adnan Yaakob untuk Negeri Pahang jika sumber kewangan ini masih ada... (bersama-sama ini saya sertakan cetakan semula laporan polis Dato' Fauzi terhadap penyelewengan Tan Sri Khalil Yaakob).

Jadi kepada Pak Lah, buktikanlah ketegasan dan rasa tanggungjawab seperti yang diperkatakan itu untuk memerangi rasuah. Atau apakah kemudian nanti Pak Lah memberi alasan bahawa itu di bawah tanggungjawab Badan Pencegah Rasuah, yang terletak pula di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), secara de facto nya adalah Jabatan Penguasaan Mahathir, dan Pak Lah tidak ada kuasa sehinggalah akhir Oktober nanti (ulang suara: jika Mahathir tak dapat ilham baru).

Saya juga mencabar Pak Lah supaya mengarahkan Polis (kerana BPR di bawah Jabatan Perdana Menteri, bukan Kementerian Dalam Negeri, kementerian Pak Lah) memulakan siasatan dan membuat tahanan reman terhadap Tan Sri Khalil berkaitan dengan "misappropriation of State resources" tersebut secara serta-merta kerana laporan polis telah ada dan dibuat bukan sahaja oleh Dato' Fauzi Abdul Rahman, ADUN UMNO/BN Kawasan Beserah, tetapi oleh pihak keADILan juga. Kalau Pak Lah gagal melakukannya, tidak usahlah lagi selepas ini bersuara tentang usaha memerangi rasuah, seperti kata orang tua, dasar ayam jantan kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi. Lebih terhormat jika Pak Lah mengisytiharkan kegagalan beliau ini dan meletak jawatan.

Sekian. Salam Reformasi & Salam Perubahan. Wassalamualaikumussalam.

MOHD ZUKRI BIN AKSAH
Ketua Penerangan Angkatan Muda keADILan Negeri Pahang
HP: 013-9513280

Attachment:
klik imej thumbnail untuk melihat imej yang besar
Laporan Polis Dato' Fauzi
Laporan Polis 
Sdr. Razali Alias,

Ketua Angkatan Muda keADILan Negeri Pahang
M@RHAEN  - 09.09.2003


Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!