Umno Pahang Tak Pernah Mendapat Tanah Balak? Tunggu Sekejap…
oleh Mohd Zukri Aksah Ketua Penerangan, Angkatan Muda keADILan Negeri Pahang

Rupa-rupanya isu UMNO Pahang disaman oleh sebuah syarikat, Seruan Gemilang Makmur (SGM) baru-baru ini kerana kes berkaitan tanah balak di Pekan cukup memberi kesan kepada UMNO sehingga pada suatu ketika, untuk menafikannya, Dato’ Seri Dr. Mahathir, Presiden UMNO terpaksa membuat kenyataan kononnya setahu beliau UMNO tidak pernah diberi kawasan balak.

Elok kita berkenalan dengan sebuah lagi syarikat di Pahang. Di peringkat nasional, syarikat ini mungkin tidak dikenali, namanya Rangkaian Delima Sdn. Bhd., sebuah syarikat pegangan pelaburan yang berpejabat di tengah-tengah Bandar Kuantan. Di dalam profil syarikatnya, secara terang dinyatakan; “Rangkaian Delima Sdn. Bhd. ditubuhkan sebagai sayap utama perniagaan UMNO Negeri Pahang. Selain itu, penubuhan Rangkaian Delima juga bertujuan untuk menjadi syarikat induk kepada anak-anak syarikat UMNO yang telah ditubuhkan sebelumnya.”

Rangkaian Delima dalam sejarah operasinya telah diberi beberapa hak pemilikan. Dua kes yang ingin saya paparkan di sini adalah pemilikan tanah Tebu Hitam (PTR-2/1/0220) di Tebu Hitam, Mukim Rompin seluas 10,000 ekar dan projek pembangunan pertama Rangkaian Delima, bandar teknologi dengan konsep pembangunan bercampur yang mana termasuklah pembangunan perumahan, industri dan komersial yang terletak di Gambang, Kuantan dan akan meliputi kawasan seluas 5,000 ekar. Maksudnya dua kawasan berjumlah 15,000 ekar telah diterokai. Bila kawasan baru diterokai, sudah tentulah proses pertama adalah mengeluarkan hasil mahsul dari kawasan tersebut, dalam konteks ini, apa yang dibicarakan sudah tentulah hasil balak.

Berikutan dengan kekalahan Syarikat SGM dalam tuntutan mahkamahnya terhadap UMNO Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakob dengan angkuhnya memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak memainkan lagi isu itu, ia seperti satu gerakan psikologi terhadap rakyat, secara tersiratnya seperti mahu menegaskan retorik Dr. Mahathir kononnya UMNO tidak pernah mendapat kawasan balak.

Tunggu sekejap Dato’ Nan!!!

Kepada Dato’ Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang, saya mencabar supaya membuat kenyataan jelas tentang dua perkara.

Pertama, siapakah yang memberi pemilikan kedua-dua tanah ini kepada SYARIKAT UMNO ini? Adakah ia kes UMNO memberi tanah kepada UMNO atau Kerajaan Negeri memberi pemilikan tanah ini kepada UMNO de facto (Rangkaian Delima)? Kalau ya, atas kuasa apakah Kerajaan Negeri boleh berbuat demikian?

Persoalan kedua, ke mana perginya hasil hutan dari 15,000 ekar tanah yang telah diterokai ini? Rangkaian Delima? Yang secara terang mengakui bahawa ia adalah sayap pelaburan UMNO Negeri Pahang, UMNO beri tanah kepada UMNO dan UMNO yang mendapat hasilnya, di mana rakyat?

Persoalan yang tidak kurang penting yang perlu dijawab oleh Dato’ Seri Adnan Yaakob ialah tentang status projek yang dikatakan hendak dilaksanakan di kedua-dua tanah di Rompin dan Gambang tersebut. Apakah setelah habis hasil hutannya, perancangan ke mana, projek ke mana? Untuk maklumat lanjut, silalah hubungi pejabat Rangkaian Delima di Kuantan.

Apakah Dato’ Seri Adnan akan melepaskan beban ini kepada Pengarah Urusan Rangkaian Delima Sdn. Bhd., Dato’ Faisal? Ingatkah peristiwa UMNO Bahagian Kuantan digantung kerana kes politik wang dalam insiden perlawanan tiga penjuru merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuantan bersama Dato’ Faisal, Dato’ Fauzi Abdul Rahman dan Dato’ Wan Adnan? Bayangkan seorang yang hanya berkelulusan sijil dari Indonesia boleh menjadi Pengarah Urusan sebuah syarikat, untuk apa itu? Apakah supaya beliau mudah diperbudakkan oleh seseorang yang lain di belakangnya? Apakah Dato’ Seri Adnan Yaakob masih boleh tersenyum lagi? Jangan tunggu sehingga tabir Dato’ Nan sendiri yang disingkap terutama ketika Dato’ Nan menjadi Exco dulu (ketika Tan Sri Khalil menjadi Menteri Besar).

Kalau Dato’ Seri Adnan Yaakob tidak menyahut cabaran, terpaksalah saya memohon jasa baik “our Prime Minister to be,” Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, kerana kelihatannya beliau agak rapat dengan Dato’ Faisal, Pengarah Urusan Rangkaian Delima, atau kalau Tan Sri Khalil berani membuat kenyataan balas, silakan, bahkan saya mencabar Tan Sri, rasanya Tan Sri lebih maklum akan hal Rangkaian Delima ini.

Mungkin, selepas ini, akan ada kenyataan bodoh, kononnya kes pemilikan tanah ini adalah proses biasa penganugerahan Kerajaan Negeri kepada sebuah syarikat, jadi di bawah ini saya sertakan biodata kesemua Ahli Lembaga Pengarah Rangkaian Delima Sdn. Bhd., telitikanlah, dari mana mereka semua ini datang.

YB Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak
Beliau merupakan Pengerusi Rangkaian Delima Sdn. Bhd. Perlantikan beliau ke jawatan sekarang bermula pada Ogos 2001. Beliau juga adalah Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang. Beliau telah menjadi Pengarah Rangkaian Delima semenjak Ogos 2001.

YH Dato’ Haji Faisal @ Fisar Haji Abdullah
Beliau merupakan Pengarah Urusan Rangkaian Delima Sdn. Bhd. Beliau juga adalah Pengarah Kurnia Setia Berhad, salah satu syarikat perladangan kelapa sawit yang berjaya di Pahang. Beliau yang berkelulusan Sijil Menengah Agama dan Sijil Pendidikan Indonesia adalah anggota pengurusan asal Rangkaian Delima dan telah bersama syarikat semenjak ia ditubuhkan lagi.

Beliau juga berpengalaman luas dalam politik dan pertubuhan belia, melebihi 25 tahun. Belia adalah Naib Presiden Gerakan Belia 4B (M) Kebangsaan dan Presiden Gerakan Belia 4B (M) Kuantan, beliau juga adalah Presiden Majlis Belia Pahang. Sebelum menyertai Rangkaian Delima, beliau adalah Setiausaha Kerja UMNO Negeri Pahang dan Barisan Nasional Negeri Pahang. Pengalaman luasnya dalam politik dan pertubuhan belia memberi banyak manfaat kepada syarikat. Beliau telah menjadi pengarah Rangkaian Delima semenjak tahun 1996.

YB Dato’ Haji Mohd Sarit Haji Jusoh
Beliau merupakan Pengarah dan Pengerusi kepada Kwantas Corporation Berhad. Beliau juga adalah Pengarah dan Pengerusi kepada Kurnia Setia Berhad, Khee San Berhad dan Goh Huat Berhad.

Pada masa ini beliau juga adalah Ahli Parlimen Temerloh sejak Pilihanraya Umum 1999. Beliau telah terlibat dengan perniagaan selama 10 tahun. Pengalaman perniagaan yang luas dan kedudukan sebagai Pengerusi dalam beberapa buah syarikat tersenarai memberikan nilai yang tinggi kepada Rangkaian Delima. Beliau telah menjadi pengarah Rangkaian Delima semenjak tahun 1996.

YH Dato’ Haji Abd Rahim Mohamad
Beliau merupakan Pengerusi Eksekutif Zil Group of Companies dan anak syarikatnya. Beliau juga adalah pengarah kepada beberapa buah syarikat tersenarai dan sendirian berhad terutama yang terlibat dengan pegangan pelaburan dan pembangunan hartanah. Ini termasuklah Pasdec Corporation Berhad, Far East Holdings Berhad, Pahang Cement Sdn. Bhd. dan beberapa syarikat lagi.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Kewangan dari Morehead State University of Kentucky, Amerika Syarikat. Beliau juga mempunyai Ijazah Sarjanamuda Kepujian dalam Pengurusan Perniagaan dan Diploma Lanjutan Ekonomi dari Universiti Malaya dan University of Manchester. Beliau berpengalaman luas dalam bidang korporat dan badan kerajaan. Beliau adalah bekas Pengarah Urusan Kumpulan Maju Holdings Sdn. Bhd., Pengurus Besar Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Shapadu Group of Companies serta Pengurus Kanan Amanah Merchant Bank Berhad.

Dalam kerajaan, beliau adalah bekas Pegawai Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Kebudayaan, Belia & Sukan serta Kementerian Kewangan sebelum terjun ke dunia korporat. Beliau juga aktif dalam politik dan kerja sosial dan merupakan ahli Biro Ekonomi UMNO Pahang serta Pemegang Amanah Yayasan Budi Penyayang.

Beliau telah menjadi Pengarah Rangkaian Delima semenjak 1996.

YH Dato’ Kamaruddin Mohamed
Beliau merupakan Pengarah Urusan Amanah Saham Mara. Tugas beliau termasuklah memberikan sokongan yang perlu kepada pihak pengurusan dan berusaha mencapai potensi starikat. Beliau juga merupakan pengarah kepada anak-anak syarikat ASM yang penglibatan utamanya adalah dalam bidang pelaburan. Beliau telah menjadi pengarah Rangkaian Delima semenjak 1996.

Sekian.

Mohd Zukri bin Aksah (HP: 013-9513280) - 11.09.2003


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!