BAGAIMANA NASIB PARTI KEADILAN SETERUSNYA?
Assamu'alaikum wm.wbt

Saudara-saudara pembaca budiman.

Pada mulanya saya tidak tertarik untuk memberi reaksi terhadap keputusan saudara Lokman Noor Adam menyertai semula UMNO pada 26.1.2004 dan pemecatan beliau dari jawatan Setiausha Pemuda oleh Ketua Pemuda Keadilan, saudara Ezam Mohd. Noor, tetapi setelah terkeluar kenyataan beliau melalui laman web tranungkite.net pada 29.1.2004 yang mendedahkan penyelewengan yang berlaku di dalam Keadilan, maka saya terpanggil untuk memberi sedikit ulasan. (Terkini: Lokman tarik balik tuduhan ke atas KeADILan

Berita seperti itu bukan merupakan satu peristiwa yang ajaib dalam politik di Malaysia terutama dalam suasana kita akan menghadapi pilihan raya ke-11 selewet-selewatnya pada bulan April 2004 ini. Berita kemasukan ahli-ahli pembangkang khususnya ahli-ahli PAS ke dalam UMNO secara beramai-ramai telah menjadi budaya propaganda murahan UMNO setiap kali pilihan raya umum diadakan bagi mengambarkan kepada rakyat yang masih berada dalam tempurung, percaya bahawa yang ada kini hanyalah Haji Hadi di Terengganu dan Nik Aziz di Kelantan dan semuanya kembali menyokong UMNO, parti yang paling haprak di dunia demokrasi ini.

Penyertaan semula Lokman dalam UMNO adalah merupakan perkara biasa tidak perlu kita memberi perhatian serious, malah, pemimpin utama PAS, Allahyarham Tan Sri Asri Haji Muda yang juga merupakan perintis penubuhan PAS, bekas Presiden PAS, bekas Menteri dan Menteri Besar serta wakil rakyat mewakili PAS yang banyak berjasa terhadap perkembangan politik PAS pun boleh menyertai UMNO semula dan mati dalam UMNO. Beliau menubuhkan parti baru HAMIM dan bertindak menentang PAS. Apa sangat yang ada dengan pemimpin-pemimpin kerdil yang masih muda belia yang tidak tahu pahit maung memperjuangkan idealisme menegakkan kebenaran dan keadilan melalui parti kedua [parti pembangkang] perlu banyak berkorban harta malah nyawa.

Oleh itu, penyertaan semula Lokman ke dalam UMNO ini bukan merupakan perkara yang besar. Masing-masing ada kepentingan masing-masing, apabila jiwa dan raga sudah tidak serasi lagi dengan parti yang mereka anggotai. Tambahan pula mereka mendapat tawaran yang amat baik. Tentulah orang yang tidak ada prinsip perjuangan yang kental akan kalah dengan pujukan dan rayuan wang ringgit dan kedudukan, terutama ketika kita bersiap sedia menghadapi pilihan raya ke-11, tentulah ini merupakan masa yang paling sesuai, maka mereka akan menerima tawaran tersebut dan mengorbankan apa yang mereka perjuangkan selama ini. Selepas ini, pasti ada lagi pemimpin-pemimpin Keadilan khususnya di kalangan pemuda akan menyertai semula UMNO mengikut jejak Lokman. Perkara ini bukan hanya berlaku di dalam Keadilan sahaja, malah turut berlaku di dalam PAS dan lain-lain parti pembangkang daripada dulu lagi. Tidak perlu gundah-gulana. Teruskan perjuangan.

Apa yang dikesalkan hanyalah beliau mengambil masa yang lama menunggu untuk menyertai semula UMNO. Menempuh pelbagai onak dan duri dalam gerakan Reformasi khususnya dalam parti Keadilan. Tidak seperti Zahid Hamidi, bekas Ketua Pemuda UMNO yang pernah ditahan di bawah ISA selama dua hari dua malam. Selepas dibebaskan, beliau telah memutarkan jarum jam ke belakang dan mula bertindak memburuk-burukkan Anwar Ibrahim dan pergerakan Reformasi demi kelangsungan survival politik dan kekayaan yang beliau miliki bukan atas prinsip perjuangan sejati. Kalau kita buka balik bab Zahid ini, beliaulah sahabat yang paling rapat dengan Anwar dan yang mula-mula sekali membawa isu kroni dan nepotism serta menyalahgunaan kuasa dalam UMNO. Orang macam ini tidak ada satu sen pun nilainya, kecuali layak menjadi pemimpin UMNO [yang tidak mementingkan nilai moral dan akhlak apalagi untuk memperjuangkan prinsip keadilan dan kebenaran, melainkan untuk perut sendiri dan persetankan orang lain ] yang mana rakyat yang memilihnya tunggul kayu, yang tidak boleh berfikir baik-buruknya. Sebaliknya, Lokman bersama-sama dengan pergerakan Reformasi dan menyertai parti Keadilan memperjuangkan ketidak-adilan yang berlaku dalam Negara ini khususnya nasib yang menimpa Anwar Ibrahim.

Beliau terpaksa menanggung pelbagai risiko yang amat besar, naik turun mahkamah, dihambat dan dipukul oleh polis yang menjadi barua UMNO dulu, kini dan selama-lamanya bagaikan anjing kurap yang tidak bernilai, dicaci, dimaki hamun, dihina dan ditahan dua tahun dalam tahanan ISA. Pihak polis yang menjadi barua UMNO tidak berjaya membrainwashkan beliau ketika beliau ditahan dan selepas beliau dibebaskan, maka diri beliau telah menjadi terlalu bernilai bagi UMNO. Beliau mengambil kesempatan ini sepenuhnya. Sudah tentu UMNO akan menjadikan beliau senjata penting untuk menentang Keadilan khususnya Ketua Pemudanya, saudara Ezam Mohd. Noor. Serangan peluru berpandunya pertamanya ialah mendedahkan penyelewengan dan salahurus dana parti Keadilan. Kita tunggu banyak lagi penyelewengan- penyelewengan akan didedahkan melalui media massa, akhbar dan TV.

Parti Keadilan ditubuhkan berasaskan kepada memperjuangkan kebebasan Anwar yang dizalimi oleh rejim UMNO, di samping faktor untuk memperjuangkan keadilan, penyelewengan dan rasuah yang membiak dalam sistem pemerintahan yang ditunjangi oleh UMNO. Perlakuan rasuah dan menyalahgunaan kuasa ini semakin menjolok mata rakyat, tetapi dengan kuasa yang UMNO miliki, ia berjaya menyembunyikan kebobrokan yang berlaku itu. Inilah peranan yang dimainkan oleh Keadilan, membongkar segala salahlaku yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang haprak ini. Beberapa siri penyelongkaran perlakuan rasuah di kalangan mereka ini telah didedahkan kepada rakyat sehingga Ezam dihukum dua tahun penjara yang didakwa di bawah akta OSA kerana mendedahkan skandal rasuah Rafidah Aziz dan Rahim TC. Hasilnya pada pilihan raya tahun 1999, orang Melayu menolak UMNO.

Keadilan dipimpin sebahagian besarnya oleh golongan yang tidak ada pengalaman dalam politik [kecuali Azmin Ali dan Ezam Mohd. Noor] seperti Dr. Chandra Muzaffar [ahli akademik telah keluar daripada Keadilan], golongan ABIM seperti Mohd. Annuar Tahir, Dr. Muhamad Nor Manuty, Dr. Mohd. Nor Nawawi, Dr. Badrul Amin Baharum, Shaari Sungib dan sebagainya, golongan agama seperti Sheikh Azmi, golongan professional seperti doktor, peguam dan akauntan, golongan aktivis seperti Tian Chua dan Hishamudin Rais, Irene Fernandez, golongan NGO dan golongan belia baru tamat pengajian yang mempunyai idealisme berpolitik yang tinggi yang mahukan pentadbiran Negara dilakukan secara telus dan bersih. Rata-rata mereka ini tidak berpengalaman sebagai orang berpolitik termasuklah Presiden parti Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang terpaksa mengambil-alih tugas daripada Anwar secara bidan terjun.

Tidak seperti parti SM46, parti ini dipimpin oleh pemimpin-pemimpin politik yang berpengalaman seperti Ku Li, Rais Yatim, Abdullah Ahmad Badawi, Zainal Abidin Zain, Manan Othman, Rahmah Othman, Marina Yusuf, Hajjah Ilani Ishak dan ramai lagi. Mereka ini pernah menjawat pelbagai jawatan politik seperti Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan sebagainya. Berbekalkan pengalaman dan pengaruh yang ada di kalangan rakyat ketika mereka berada dalam UMNO, mereka menentang UMNO dengan merangka pelbagai strategi dan taktik, namun UMNO tetap tidak tergugat. Akhirnya parti SM46 terpaksa dibubarkan dan pemimpin-pemimpinnya terpaksa sujud dan menjilat balik ludah mereka dengan menyertai UMNO semula yang mereka hentam siang malam pagi petang ketika mereka memimpin parti SM46.

Menyedari kelemahan ini, khususnya selepas perhimpunan parti di Terengganu pada tahun 2001, berlaku pertembungan di antara dua kumpulan, iaitu kumpulan ABIM dengan kumpulan [style kepimpinan] yang masih bersemangat UMNO yang menyebabkan parti ini mulai berpecah. Golongan ABIM mulai terpinggir dan golongan agama tiada ada peranan langsung semenjak parti ini ditubuhkan. Parti ini mulai dikuasai oleh golongan bekas pemimpin UMNO, aktivis sosial dan NGO. Oleh itu, mulai kedengaran usaha-usaha parti ini untuk bergabung dengan parti PRM. Usaha gabungan ini telah berlaku, tetapi pihak Pendaftar Pertubuhan tidak meluluskannya kerana ada tekanan politik UMNO yang takut dengan bayang-bayangnya sendiri.

Pengabungan ini terpaksa dilakukan demi survival parti Keadilan kerana Keadilan tidak mempunyai pemimpin-pemimpin yang kental bagi mengharungi pergolakkan politik Negara. Pemimpin-pemimpin yang berwibawa telah didakwa di mahkamah dan menunggu tindakan undang-undang ke atas mereka tidak berapa lama lagi seperti Azmin dan Ezam [orang penting yang mengerakkan parti]. Oleh itu, mereka terpaksa mencari partner baru yang mempunyai pemimpin yang mempunyai semangat perjuagan yang kental seperti Dr. Hussein Ali [Presiden PRM] dan beberapa pimpinan kanan PRM. Maka, PRM dipilih kerana parti ini mempunyai kewibawaan, di samping PRM mempunyai persamaan dalam misi perjuangannya dengan Keadilan. PRM dan Keadilan adalah parti pelbagai kaum dan memperjuangkan keadilan dalam semua aspek kehidupan rakyat seperti ekonomi, pendidikan, social, budaya dan sebagainya. Mereka bukan parti agama seperti PAS. Walaupun, PRM tidak diterima oleh rakyat khususnya orang Melayu, tetapi ia tetap unggul memperjuangan keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan perbezaan fahaman politik.

Pelbagai usaha dilakukan untuk memusnahkan parti ini. Tindakan undang-undang melalui mahkamah, penahanan pemimpin-pemimpinnya di bawah ISA, pengharaman ceramah, memperguna dan memperkudakan pasukan polis bagi menghalang sebarang aktiviti yang melibatkan parti Keadilan seperti apa yang berlaku di Perak baru-baru ini dalam Kempen Anwar Bebas [GAB], namun usaha-usaha itu tidak menunjukkan hasil yang memuaskan bagi UMNO.

Apabila fasa pertama untuk menghancurkan parti ini gagal, maka kini UMNO menggunakan fasa kedua untuk memujuk pemimpin-pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong Keadilan kembali menyokong UMNO pada pilihan raya kali ini. Perkara ini disahkan oleh Anwar sendiri ketika menjawab pertanyaan daripada para wartawan yang mengatakan beliau ada “deal” dengan orang-orang tertentu untuk memujuk beliau kembali ke dalam UMNO, setakat ini beliau masih lagi berpegang kepada prinsip perjuangannya untuk membebaskan rakyat daripada belenggu rejim UMNO yang korup dan memperjuangan nasib rakyat marhaen yang tertindas akibat perlakuan UMNO.

Langkah pertama yang diambil oleh Anwar untuk berbaik-baik dengan UMNO ialah menjemput Mahathir menghadiri majlis perkahwinan anak sulungnya, Nurul Ezah yang diadakan pada 10 dan 11 Mei 2003 yang lepas seperti mana yang pernah dilakukan oleh parti SM46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dulu.
Langkah kedua pula bermula apabila dengan tiba-tiba Mahathir mengarahkan Reformasi 6 dibebaskan dengan serta-merta tanpa syarat, semasa ia hendak bertolak ke Evian bagi menghadiri persidangan G8 mewakili NAM dan IOC. Walaupun, dua minggu sebelum 31 Mei 2003, Pak Lah telah megeluarkan arahan melanjutkan tempoh tahanan Reformasi 6. Ezam, Tian Chua, Shaari Sungib, Hishamudin Rais, Dr.Badrul Amin dan Lokman Adam dibebaskan berperingkat-peringkat mulai 1 hingga 12 Jun 2003 setelah mereka menjalani proses undang-undang. Mereka ini sangat lantang dan amat berani mengkritik kepimpinannya. Mereka mesti dipujuk untuk menyertai UMNO semula.

Langkah-langkah pemujukan ini telah dijalankan secara rapi dan tersusun seperti mana pemujukan yang dilakukan terhadap Tengku Razaleigh Hamzah sehingga sanggup menjilat ludah sendiri. Ezam sendiri telah menceritakan bahawa dia telah didatangi wakil khas UMNO memujuk beliau untuk menyertai semula UMNO dan Mohamad Mohd. Taib salah seorang Naib Presiden UMNO telah memberi respons yang amat positif supaya Ezam dan kumpulannya menyertai semula UMNO. Berita ini disahkan dalam satu artikel yang dikeluarkan oleh Raja Petra Kamarudin yang menyebut dan menamakan UMNO sebagai 'gila talak' kerana berusaha keras memujuk pemimpin parti Keadilan menyertainya semula UMNO seperti Raja Komando dan lain-lain lagi.

Proses membina semula jambatan ini dimainkan oleh ABIM dengan alasan untuk penyatuan semula orang-orang Melayu yang berpecah yang merugikan bangsa. Beberapa siri perjumpaan telah diatur yang mana Hamdan Taha dan Zahid Mat Aris telah berjumpa dan berbincang dengan Aziz Sheikh Fadzil dan Dr. Zambri Abdul Kadir sebagai wakil Naib Presiden telah bertemu dan berbincang dengan Ezam dan orang-orangnya yang berlangsung di Akademik Pemuda. Malah orang-orang Najib pun sudah datang memujuk Ezam. Proses pemujukan terus berlaku secara serius. Inilah ikhtiar terakhir yang terpaksa diambil oleh parti Keadilan dalam usaha untuk membebaskan Anwar dari penjara, setelah semua jalan telah dilalui, tetapi tetap menemui kebuntuan. Anwar setakat ini masih lagi dengan pendiriannya, maka keputusan Mahkamah Rayuan pada 21.1.2004 yang menolak ikat jaminnya mengesahkan bahawa beliau adalah banduan politik yang mana diberitakan juga keputusan ikat jaminnya ini di bawa ke kabinet oleh Pak Lah untuk mendapat pengesahan dan sokongan.

Jika sekiranya perkara ini [berbaik semula dengan UMNO] berlaku ia tetap memberi kesan terhadap perkembangan politik di tanah air kita. Pertama, kesan ke atas UMNO. UMNO akan mendapat suntikan semangat baru, UMNO akan mendakwa dirinya betul dan selama-lamanya betul kerana dua orang penentang kuatnya, iaitu Anwar dan Tengku Razaleigh Hamzah akhirnya kembali kepada UMNO. Ini membuktikan [kata mereka bahawa Mahathir - kini Pak Lah] itu betul, bahawa perjuangan Anwar melalui Keadilan dan Tengku Razaleigh Hamzah melalui SM46 tidak betul. Yang betul adalah Mahathir dan ini akan dipropagandakan setiap waktu dan masa melalui media massa yang mereka miliki sehingga fikiran rakyat terpengaruh bahawa UMNO dan Mahathir itu baik dan berjuang untuk bangsa, agama dan negara. Bukan sebalik itu, segala bentuk kezalimannya terhadap penyokong dan pemimpin pembangkang akan diketepikan dan akan mengalihkan pandangan rakya pula bahawa parti-parti pembangkang terutama PAS lah yang sebenarnya jahat memperalatkan agama untuk politik dan segala kebobrokannya akan disembunyikan dari pengetahuan rakyat. UMNO/BN kelihatan baik dan sesungguhan dia membela agama, bangsa dan negara. Kejahatan dan kezaliman yang dilakukan dapat disembunyikan oleh propaganda media massa.

Kesan kepada penyokong-penyokong yang banyak berkorban masa, duit, tenaga dan kena tahan oleh polis serta naik turun tangga mahkamah menjadi sia-sia dan hampa. Dan tepatlah sebagaimana catatan sejarah menunjukkan bahawa semua parti yang ditubuhkan selepas bergaduh dengan parti induk berakhir dengan pembubaran dan mati bersendirian tanpa batu nisan. Kita lihat parti Lepas geram yang ditubuhkan semuanya melalui perselisihan faham sesama anggotanya. Parti lepas geram pertama ditubuhkan iaitu Parti Negara pimpinan Allahyarham Dato' Onn Jaafar hayat parti tidak panjang dan tidak mendapat sambutan dan sokongan rakyat dan akhirnya mati sendiri. Kemuculan parti NasMa pimpinan Raja Nong Chik tidak mendapat sokongan rakyat akhirnya terkubur. Penubuhan parti SM46 pada mulanya mendapat sambutan rakyat sangat mengalakkan dan kuat. Dia bergabung dengan PAS [Perpaduan UMMAH] dan dengan DAP [Gagasan Rakyat], tetapi pada pilihan raya tahun 1990 dengan salah teknik menampilkan Tengku Razaleigh Hamzah dengan mengunakan tengkolok berlambangkan salib, meranapkan impiannya untuk menjadi PM.

Saya amat berharap Parti Keadilan jangan turut jadi macam parti SM46. Maruah diri perlu dijaga. Jangan cakap tidak serupa bikin memalukan diri sendiri dan generasi akan datang akan menilai kerja buat kita sekarang ini. Tambah-tambah lagi Anwar telah banyak berkorban. Berkorbankan sehingga ke akhir hayat di kandung badan. Generasi akan datang tetap menghormati saudara. Jangan masuk UMNO semula. Jaga maruah diri dan keluarga, pemimpin-pemimpin BA dan para penyokong yang telah banyak membantu dan berkorban untuk melihat Keadilan wujud di Malaysia ini. kalau tidak, rakyat tidak akan percaya kepada parti-parti lepas geram yang akan ditubuhkan di kemudian hari nanti. Kalau tidak tahan dengan sepak terajang politik ala Malaysia, sila berundur dan jangan terlibat lagi dalam politik lagi. Pencen terus.

Jangan jadi seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim yang terpaksa menjual maruah dan harga diri demi kepentingan diri bukan untuk kepentingan ideologi perjuangan seperti yang diperjuangkan dalam Parti SM46 yang mahu membina negara yang adil, makmur dan tidak menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri sendiri. Ketika memimpin SM46, apa yang mereka tidak kata pada UMNO dan Mahathir. Semua tercurah di pentas-pentas ceramah mengutuk Mahathir dengan dasar-dasarnya, menghina dan mengeji dan mengumpat dan sebagainya seolah-olah mereka telah berpatah arang dengan UMNO sehinggakan Tengku Razaleigh Hamzah pernah berkata bahawa "kalau adik kakak semua lihat ada seorang yang masih terbongkok-bongkok mengibar bendera SM46, maka orang itulah Tengku Razaleigh Hamzah [komen beliau apabila beliau mendapati semakin ramai pemimpin dan penyokong SM46 menyertai semula UMNO]. Dan Rais Yatim lagi hebat dia berkata bahawa beliau telah bakar jambatan. Tiba-tiba mereka berdua [sebenarnya ramai lagi seperti Zainal Abidin Zin, Tengku Azlan dll] masuk UMNO dengan membawa ahli-ahli SM46 secara en-blok ke dalam UMNO.

Di sini saya perturunkan kata-kata Rais Yatim ketika beliau merasmikan Mesyuarat Agung Pemuda dan Wanita SM46 pada 22.10.1995 di Hotel Federal, Johor Baharu:

i. Memang diakui, rakyat sudah biasa sangat dengan tindak-tanduk dan muslihat parti memerintah untuk menang dalam pilihan raya. Daripada peraturan berat sebelah, politik wang, pemberian serta habuan, gertak serta amaran sampailah kepada penyalahgunaan harta awam termasuk monopoli media massa - semuanya diketahui umum sebagai perencah hidangan pilihan raya.

ii. Kecuali Melayu Kelantan, Melayu pantai barat Semenanjung boleh dikatakan rata-rata menelan makjun yang dijual. Semacam orang Melayu sudah sepakat menerima semua dasar dan perlakuan parti pemerintah sebagai jalan selamat bagi diri, keluarga, masyarakat dan bangsanya.

iii. Pengundi Melayu menyerah secara murah identiti dan maruah kepada suatu sistem yang menelan bangsa itu sendiri.

iv. Politik ini bukanlah mementingkan orang Melayu tetapi mementingkan orang yang menganggotai UMNO - itu pun mengikut amalan pilih bulu'
v. Pelik, si pembeli membeli juga barang dan makjun yang dijual walaupun tahu ia tidak baik daripada segi kepentingan jangka panjang.

v. Unsur pengimbang seperti Raja-raja Melayu sudah hapus daripada kuatkuasa Perlembagaan Malaysia. Kuasa politik disalah-gunakan terhadap Raja-raja Melayu sehingga terhapusnya kedaulatan Raja-raja Melayu itu sendiri.

vi. ....masa akan menunujukkan bahawa sesungguhnya perbuatan menumbangkan kedaulatan Raja-raja Melayu itu adalah satu-satunya pengkianatan terhadap bangsa sendiri.

Rais Yatim tersilap cakap waktu itu dan atas kesedaran itulah beliau kembali kepada UMNO dan pasti Rais Yatim bukanlah jenis orang yang sanggup menderita ditekan.

Di sini juga saya memetik balik kata-kata Tengku Razaleigh Hamzah sebagai satu peringatan kepada pemimpin-pemimpin Keadilan yang berangan-angan untuk kembali semula dalam pelukan UMNO supaya rakyat dan generasi akan datang tidak kencing atas kubur kita, berikut kenyataan yang pernah diluahkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah :

i. Sewaktu merasmikan bangunan Ibu pejabat Parti SM46 di Desa Pandan: “Tidak cukup dengan mengenakan pelbagai halangan, ada yang cuba memujuk dan mengugut orang-orang kita supaya menyertai mereka [UMNO]. Kononnya mengajak kita memperbaiki kepincangan itu dari dalam. Kita tolak pujukan itu kerana tidak mungkin kita dapat mencuci kekotoran kalau kita sendiri berada dalam kekotoran itu. Hanya lalat sahaja yang sanggup hidup dalam najis dan kenyang dengan najis di sekelilingnya. Parti SM46 bukanlah parti lalat yang sanggup hidup dalam timbunan najis“.

ii. Kritikan Tengku Razaleigh Hamzah terhadap kepimpinan Mahathir [sekarang masih lagi berkuasa dalam percaturan politik UMNO melalui Pak Lah sebagai proksinya],: “Di bidang politik, kita perhatikan kemungkaran-kemungkaran tersebut menjelma dalam gaya kepimpinan yang semakin berbentuk diktatorial dan autokratik yang enggan berunding dan semakin enggan mendengar pendapat dan teguran-teguran yang membina, yang semakin ternoda dengan amalan-amalan pilih kasih yang menyebabkan kerosakan perpaduan……………………….”.

iii. Kritikan Tengku Razaleigh Hamzah lagi: “Apalah erti projek-projek besar dan raksasa, sekiranya orang-orang Melayu terpinggir sekadar menjadi penonton melihat dengan putih mata kemewahan dan dinikmati projek-projek seumpama itu diangkut keluar oleh orang-orang asing yang diberikan segala keistimewaan. Dalam keadaan yang mendukacitanya begini, nasib bangsa Melayu tidak berubah seperti kata pepatah, “ibarat memagar kelapa condong, pohonnya tumbuh di kebun orang, buahnya jatuh ke kebun orang. Rakyat luar Bandar [rakyat marhaen] menjadi semakin jauh …………………………..”.

Jika diandaikan Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais yatim tersilap perhitungan dan pertimbangan sewaktu menentang UMNO, lalu membetulkannya melalui memasuki kembali ke dalam UMNO dan menyeru kepada rakyat supaya menolak PAS dan Keadilan. Saya amat berharap semua pemimpin parti Keadilan daripada pelbagai peringkat kepimpinan, janganlah menurut langkah Ku Li dan Rais Yatim.

Apakah relevennya saya masih lagi mengungkit perkara lama yang berlaku di akhir tahun 80-an dan di awal tahun 90-an ini? Ini adalah kerana masalah ini masih lagi berlarutan dan tidak berubah. Penubuhan parti Keadilan adalah penerusan bagi memperjuangkan masalah seumpama ini dapat diperbetulkan dengan kerjasama parti PAS dan pakatan dengan DAP. Sekiranya Keadilan menerima nasib yang sama dengan nasib yang menimpa parti SM46, maka masalah-masalah ini akan berterusan menjahanamkan bangsa Melayu dan masyarakat Malaysia amnya.

Kesimpulannya, parti Keadilan kini berada dalam tekanan yang amat sangat dan lemah untuk mengerakkan operasinya kerana kekurangan pemimpin dan mekanisma jentera mengerakkan parti dan gangguan pihak polis yang menjadi tali barut UMNO. Walaupun begitu, janganlah menghancurkan harapan generasi muda untuk melihat negara ini diperintah secara adil, aman, tidak berlaku penyalahgunaan kuasa, demokrasi yang bebas dan sistem yang ada berkecamuk ini kembali kepada paksi yang sebenar. Jangan bubarkan parti dan jangan kembali kepada UMNO. UMNO banyak membuat kerosakan terhadap nilai-nilai masyarakat.

Perjuangannya untuk menegakkan keadilan, memerangi rasuah dan menghapuskan menyalahgunaan kuasa pemerintah akan menjadi sesia dan sebagai gimik politik murahan sahaja. Tidak kedengaran lagi slogan 'Lawan Tetap Lawan' yang menjadi perangsang kepada penggerak Reformasi yang mahukan negara ini ditadbir secara adil dan tulus untuk rakyat bukan untuk kepentingan peribadi. Sistem bobrok ini akan berterusan dan rakyat kebanyakan menjadi mangsa dalam pelbagai ruang kehidupan seharian. Dan orang yang kuat menentang sistem bobrok ini telah menjadi sebahagian daripada sistem ini seperti mana yang berlaku ke atas Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim.

Untuk masa depan, amat sukar bagi rakyat untuk mempercayai lagi kemunculan parti lepas geram seperti parti SM46 dan Keadilan. Perlu ingat bahawa perebutan jawatan dalam UMNO berlaku setiap dekad, iaitu 10 tahun sekali akan berlaku. Peristewa Aziz Ishak V Tengku Abdul Rahman Putra, Sulaiman Palastin V Hussein Onn, Ku Li V Musa, Ku Li V Mahathir, Ghafar V Anwar dan Anwar V Mahathir. Lihat dan kaji peristiwa-peristiwa tersebut akan muncullah parti-parti serpihan yang menentang UMNO dan berakhir dengan kekecewaan. Parti Keadilan jangan biarkan sejarah ini berulang. Dalam dekad ini pasti akan muncul satu lagi parti serpihan yang akan menentang UMNO.

Oleh itu, kami sebahagian daripada rakyat negara ini amat mengharap agar parti Keadilan jangan makan bujukan UMNO. Sekiranya pemimpin-pemimpin Keadilan kembali semula kepada UMNO, maka perjuangan tuan-tuan selama ini menjadi sesia dan menunjukkan kelemahan semangat perjuangan yang ada pada diri tuan-tuan. Perjuangan menegakkan kebenaran, keadilan dan membentuk sistem kehidupan yang diredha oleh Allah SWT yang memerlukan pengorbanan yang amat tinggi nilainya, harta benda hatta nyawa di badan. Inilah yang telah dilalui oleh para Nabi-nabi dan Rasul, para ulama zaman silam, tokoh-tokoh utama dunia seperti Mandela dan lain-lainnya. Sanggup berkorban menegakkan kebenaran dan keadilan.

Sekian, kita akan bertemu lagi di kesempatan yang lain. Insya Allah dan akhir kata “Selamat Menyambut Aidil Adha - maaf zahir dan batin”. Terima kasih. Wassalam.

- Meli - 30.01.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN