PERLUKAH SEBUAH SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA
UNTUK POLIS DITUBUHKAN?
Assamu'alaikum wm.wbt

Saudara-saudara pembaca budiman.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi [Pak Lah] pada 31.1.2004 melalui Mingguan Malaysia 1.2.2004 [di ms 2]  mengumumkan pembentukan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (Royal Commission of Inquiry) untuk Polis yang dianggotai oleh 16 orang ahli yang akan diumumkan pada hari Rabu 4.2.2004 setelah mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong.

Penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk mempertingkatkan Pasukan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] menjadi sebuah pasukan polis yang berwibawa dan dihormati dalam menjalankan tugasnya secara professional.

Persoalannya sekarang ialah adakah perlukah Suruhanjaya Siasatan DiRaja seperti itu ditubuhkan?

Jawapannya, Suruhanjaya itu tidak perlu ditubuhkan kerana ia merupakan satu gimik politik UMNO untuk mendapat undi pada pilihan raya ke-11 nanti. Semenjak pasukan polis ditubuhkan dari zaman penjajah sehingga zaman pemerintah Allahyarham Tun Hussein Onn, PDRM telah menjalankan tugasnya penuh professional. Imej pasukan polis ketika itu dipandang mulia oleh masyarakat. Jarang kita mendengar anggota polis terlibat menyalahgunakan kuasa, rasuah, melakukan jenayah seperti merogol mangsa di bawah kawalannya, merompak, mencuri, ponteng tugas, mengabaikan tugas yang diamanahkan dan sebagainya lagi.

Pasukan polis ketika itu menjalankan tugas dengan penuh professional, cekap dan berkesan. Sebarang kejadian jenayah yang berlaku dapat ditangani dengan cepat dan berkesan. Contohnya Kumpulan jenayah yang kejam ketika itu seperti Botak Chin, perang gerila oleh pemberontakan pengganas komunis di dalam bandar-bandar dalam era 70-an sehingga berjaya menembak mati bekas Ketua Polis Negara dan pelbagai kejadian jenayah lagi dapat dibendung dengan paling berkesan. Sumber maklumat dan sistem risikan menjadi medan rujukan tempatan dan antarabangsa. Pasukan polis kita ketika itu mendapat sanjungan dan pengikhtirafan dunia antarabangsa.

Sekarang mengapa perkara seumpama ini tidak berlaku lagi. Imej PDRM di kaca mata masyarakat tempatan dan antarabangsa jatuh merudum. PDRM dan anggotanya melakukan pelbagai jenayah seperti menyalahgunaan kuasa, rasuah, merompak, menipu, siri-siri perogolan dilakukan oleh anggota polis, pecah amanah dan sebagainya lagi.

Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Polis tahun 2002 yang dibentangkan di Parlimen pada 16.10.2003 menunjukkan bahawa seramai 754 orang anggota polis dikenakan tindakan tatatertib akibat melakukan pelbagai kesalahan. Peningkatan perlakuan salahlaku di kalangan anggota polis meningkat sebanyak 30.7 % berbanding tahun 2001 sangat membimbangkan kita, malah sumber Jabatan Perdana Menteri sendiri dalam laporanya menyebut bahawa Kementerian Dalam Negeri [KDN] yang paling tinggi terlibat dalam salahlaku anggotanya  dengan rasuah berbanding dengan Kementerian-kementerian lain [M.Kayveas, di lobi Parlimen, 8.10.2003].

Dalam pada itu, R.N. Rajah daripada parti PRIM telah menghantar memorandum bertajuk, “ Judge, Jury, Prosecutor and Executioner “  pada Ogos 2003 kepada PM, TPM, Rais Yatim, Norian Mai, Parlimen dan SUHAKAM memaklumkan bahawa dalam tempoh 10 tahun sejumlah 635 orang yang disyaki penjenayah telah ditembak mati oleh polis. Daripada jumlah itu seramai 355 orang ialah rakyat tempatan. Jadi mengikut kenyataannya itu, 1.3 orang terbunuh ditembak polis setiap minggu.

Di samping itu, orang tahanan dalam lokap polis yang ketika itu di bawah pengawasan polis juga turut didapati mati semakin menjadi-jadi dewasa ini tanpa sebab-musabab yang munasabah seperti kes yang terjadi kepada Ho Kwai See pada 4.8.2003 yang mati di Penjara Sungai Buluh dan Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 20.8.2003 menolak rayuan keluarganya untuk membuat post-mortem atas kematiannya itu. (Utk maklumat tambahan, sila rujuk iframe di sebelah. Jika browser anda tidak menyokong penggunaan iframe, sila klik di sini.)

Hal-hal ini terjadi banyak sebab, tetapi sebab yang paling penting dan “core “nya kerana ia disebabkan peranan yang dimainkan oleh UMNO dan pemimpin-pemimpinnya  Pasukan polis yang dahulunya begitu professional dalam menjalankan tugasnya tanpa mengira fahaman politik, latar belakang kedudukan orang yang disyaki, tanpa mengira kaum, agama dan bangsa Apabila ada kesalahan daripada segi Undang-undang dan ada laporan rasmi dibuat, maka mereka tanpa lengah-lengah lagi terus menjalankan tanggungjawab seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-undang dan Akta Polis 1967.

Peristiwa seperti itu,  tidak berlaku lagi terutama semasa pemerintahan Mahathir selama 22 tahun, demi untuk mengekalkan kuasanya dan untuk survival UMNO, pasukan polis telah dipergunakan dan diperkudakan ikut nafsu serakahnya bagi mencapai matlamat peribadinya itu, bukan untuk keadilan dan kebenaran. Perlakuan ini terpaksa diwarisi dalam pemerintahan Pak Lah, sebab itu ia hendak sangat penubuhan Suruhanjaya ini untuk menutup kepincangan UMNO itu.

Ini bukan merupakan satu fitnah atau satu pembohongan. Rakyat boleh menjadi saksinya, beratus laporan rasuah, menyalahgunaan kuasa, menyeleweng, pecah amanah dan salahlaku yang melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO yang dibuat oleh PAS, Keadilan dan DAP yang disertakan dengan bukti-bukti yang lengkap bukan dengan cakap-cakap kosong tanpa bukti tidak pernah diambil endah langsung oleh pasukan polis.

Pemimpin-pemimpin UMNO boleh bercakap apa sahaja yang terlintas di hati dan di fikiran mereka. Mereka boleh menghina Islam, mereka boleh menghina Nabi, mereka boleh menghina ulama, mereka boleh mengeluarkan sebarang perkataan yang boleh dianggap menghasut dan boleh didakwa di bawah Akta Hasutan atau OSA kalau sekiranya perkataan ini dikeluarkan dari mulut pemimpin-pemimpin parti pembangkang. Mereka bolehlah diumpamakan sebagai Nabi dan Rasul yang perkataan yang keluar dari mulut mereka adalah wahyu yang wajib ditaati tidak sesiapa yang boleh melanggari.

Kalau hendak diperkukuhkan di sini satu-persatu perkataan yang pernah dikeluarkan oleh pemimpin UMNO terutama Mahathir, tidak kecukupan kertas dan masa untuk mengutip balik kata-kata tersebut. Pihak polis tidak mengambil tahu pun.  Mereka asyik menjaga kepentingan UMNO dan pemimpinnya sahaja

Contohnya: Isu samseng yang diucapkan oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, MB Kelantan dan merangkap Mursyidul Am PAS. Laporan polis telah dibuat oleh Mat Zanu Teh [62] dari Baling, Kedah dan seorang lagi Daud Tahir [72] dari Kampung Bemban, Kota Bharu. Polis terus bertindak menyoal-siasat Nik Aziz selama dua jam di pejabatnya pada 17.9.2003.

Pada 2.10.2003, jam 11.30 pagi pula, Abdul Fatah Harun [MP Rantau panjang] bersama-sama dengan Wan Nik Wan Yusuf [MP Bachok] dan Mohamad Nasir Che Daud [MP Kuala Krai] membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi berhubung kenyataan Mahathir di konvensyen BN Terengganu pada 16.8.2003 di SMK Tun Telanai menghina Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, MB Terengganu dan juga Presiden PAS sebagai ulama berserban, berjubah dan berjanggut sebagai topeng melindungi perbuatan jahatnya. Di samping itu, Mahathir berkata: “Tuhan yang PAS sembah Bismillahi samseng, hi penjahat, saya tak tahulah bahasa Arab, samseng wa jahat. Inilah tuhan samseng sebab itu dia sesat “[BM 23.6.2002, ms:4]

Di PWTC di Mesyuarat Agung UMNO pada 22.6.2002, Mahathir menghina dan memperlecehkan ayat-ayat suci Al-Quran dengan menyebut: “akronim UMNO ada disebut dalam Al-Quran – Ya ayyuha al- ladzina amanu. Amanu [kata Mahathir] sama dengan UMNO. Perkataan PAS tidak ada dalam Al-Quran yang ada hanya “PIS” [ertinya dalam bahasa Inggeris ialah kencing]. Soalnya kenapa polis berdiam diri dalam masalah ini walaupun laporan telah dibuat.

Ekoran persaraan beliau sebagai PM pada 31.10.2003, di seluruh Negara telah membuat laporan polis berhubung dengan salahlaku beliau memerintah Negara selama 22 tahun termasuk yang membuat laporan itu ialah saudara Ezam Mohd. Noor [Ketua pemuda Keadilan] dan Salahudin Ayob [Ketua Pemuda PAS], tetapi amat malang bagi Negara ini yang menjunjung prinsip keadilan apabila laporan ini dibuat, Rais  Yatim membuat kenyataan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan Undang-undang terhadap sesiapa yang membuat laporan terhadap Mahathir.

Di samping itu, pihak pasukan polis juga turut memberi kerjasama yang amat erat terhadap sebarang aktiviti yang dibuat oleh UMNO. Contohnya, konvoi menjelajah seluruh Negara yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO mendapat kerjasama yang amat erat daripada pasukan polis yang bertindak sebagai pengiring, malah ada pergawai polis yang terlibat dalam acara ini, tetapi larian bendera oleh Pemuda PAS Kedah sempena 50 tahun PAS pada 4 – 7.6.2001 disekat dan konvoi bermotorsikal oleh Pemuda PAS [seperti pemuda UMNO lakukan] pada Jun 2003 turut mengalami nasib yang sama

Pihak polis juga memberi kebenaran dan permit untuk UMNO mengadakan aktivitinya seperti Perhimpunan Puteri UMNO di Taman Rekreasi Gunung Keriang, Kedah pada 25.8.2001, Abdullah Ahmad Badawi berceramah secara terbuka di Terengganu sempena Pelancaran Puteri UMNO, polis benarkan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan mengadakan perhimpunan menentang pindaan Perlembagaan negeri, Masjid Bedong, di Kedah digunakan oleh MB Kedah pada 31.7.2001, Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Sungai Pencala pada 29.7.2001 dan pelbagai aktiviti lagi dilakukan di seluruh Negara mendapat kerjasama polis malah ada pegawai polis yang berada di atas pentas bersama-sama dengan pemimpin UMNO, walaupun majlis itu bercorak kepolitikan bukan urusan rasmi.

Terdapat dua orang Ketua Polis Negeri yang merupakan penyokong kuat UMNO, mereka ialah Dato’ Othman Talib, bekas Ketua Polis Terengganu, kini Ketua Polis Pulau Pinang dan Ketua Polis Selangor Dato’ Mohd. Noor Hamat yang bertindak menceroboh DUN Selangor dan mengheret [bagaikan anjing kurap] Teng Chang Khim ADUN Klang. Malah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai demi untuk menjaga kepentingan UMNO terpaksa berbohong pada 11.4,2001 menyatakan Pergerakan Reformasi melalui parti Keadilan merancang mengadakan rancangan rampasan kuasa secara militant dan meneruskan demonstrasi jalanan.

Pergerakan ini menyimpan bahan-bahan letupan seperti bom, grenade launchers, Molotov cocktails, bail-bearing dan sebagainya dan sehingga kini kerajaan khususnya pihak polis gagal mengemukakan bahan-bahan yang disebutkan itu ke hadapan rakyat, Berdasarkan affidavit-affidavit yang dikemukakan oleh Reformasi 6 yang kena ISA dua tahun menafikan yang mereka disoal-siasat berhubung kenyataan Norian Mai itu. Isu senjata berbahaya ini senyap begitu sahaja dan mereka yang ditahan itu menjadi mangsa bagi memperkukuhkan semula kedudukan UMNO dengan bantuan pasukan polis.

Berbanding dengan aktiviti-aktiviti anjuran PAS dan Keadilan, terlalu sukar untuk mendapat permit dan kebenaran untuk menjalankan aktiviti masing-masing. Jangan harap untuk mendapat kerjasama polis untuk mengadakan di tempat terbuka, malah di tempat sendiri pun kena halau macam anjing kurap juga.

Beratus-ratus laporan polis telah dibuat oleh PAS mengenai keganasan polis menceroboh, memukul dan menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan perhimpunan yang diadakan dalam premis sendiri yang tidak perlu ada kebenaran polis. Satu pun tidak disiasat, malah tekanan semakin kuat daripada pihak polis bagi menghalang PAS dan Keadilan mengadakan ceramah dan perhimpunan seperti yang berlaku di Selangor pada 16.1.2004 dan di Pasir Salak, Perak pada 25.1.2004.

Khusus kepada pihak tertentu dalam pasukan polis yang menjadi ahli dan penyokong UMNO. Perhatikan sindiran tajam daripada Tan Sri Musa Hitam [BH,19.7.2001]: “Sekiranya ada kakitangan polis berminat untuk mempertahankan kedudukan UMNO, baiklah mereka meletakkan jawatan dan bergiat aktif dalam politik. Mereka tidak boleh berselindung di sebalik jawatan polis membantu kuasa UMNO/BN“.

Sebaliknya, apabila ada laporan dibuat atau tanpa laporan, hanya dengar-cakap sahaja [hear say] atau laporan dibuat sendiri oleh pihak polis, pihak polis cepat-cepat menyiasat dan mengambil tindakan seperti kes Ezam Mohd. Noor, Ketua Pemuda Keadilan berkaitan dengan isu demonstrasi jalanan. Dengan satu laporan yang dibuat oleh wakil Pemuda, Zulifli Alwi dan polis, pihak polis sendiri, Ezam ditangkap dan disoal-siasat pada malam hari raya Aidul Adha tahun 2001.

Mingguan Malaysia, 1.2.2004 di muka depan, menyiarkan polis mula menyiasat khatib yang membaca khutbah di Masjid Batu, Permatang Pauh, Pulau Pinang berhubung kes bunuh dan rogol Nurul Huda Ghani seorang anak Ketua cawangan UMNO Pekajang, Johor yang mengaitkan tragedi itu sebagai balasan Allah kerana UMNO menolak hudud. Menurut Ketua Polis Pulau Pinang Othman Talib ia disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Kesiksaan yang jika bersabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 5 tahun kerana ada unsur cuba memecah-belahkan masyarakat. Syabas….. Pantas bertindak, sesuai dengan slogan Cepat dan Mesra, walaupun bukan menerima laporan secara rasmi, tetapi hanya melalui ruangan forum di UM keluaran hari Khamis 29.1.2004. Berlambak-lambak isu sikap double standard polis ini untuk dimuatkan dalam laman ini, tetapi tidak larat untuk menaip, di lain masa jika ada keperluan akan diusahakan untuk tatapan rakyat bagi menunjukkan polis ini bekerja untuk siapa, untuk rakyat atau untuk UMNO.

Saya berkeyakinan penuh bahawa kerajaan pimpinan UMNO ini tidak akan pedulikan saranan-saranan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya ini sekiranya saranan-saranan itu boleh melemahkannya, melainkan saranan-saranan yang membawa keuntungan kepada UMNO. Ini bukan cakap kosong tanpa bukti. Lihat laporan yang dibuat oleh SUHAKAM yang ditubuhkan oleh Akta Parlimen pun boleh dibakul-sampahkan dan menghargai langsung peranan yang dimainkan oleh Ahli SUHAKAM bagi memperbaiki Hak Asasi Manusia di Malaysia selaras dengan piawai yang ditetapkan oleh PBB. Ini kerana cadangan-cadangan SUHAKAM itu merugikan politik UMNO dalam jangka panjang. Rakyat akan celik politik dan menolak UMNO kerana UMNO menjalankan pentadbiran tidak telus.

Dalam laporan SUHAKAM yang dikeluarkan pada tahun 2001, SUHAKAM mendapati kerajaan pimpinan UMNO, pertama, penguatkuasaan Undang-undang secara terpilih mengadakan perhimpunan. Kedua, berlakunya diskriminasi dalam membenarkan tempat awam untuk mengadakan perhimpunan awam. Ketiga, penafian mutlak dan dominan perhimpunan dalam kawasan persendirian. Perkara pertama hingga ketiga ini telah menjadi budaya dan amalan UMNO semenjak dahulu, kini dan selama-lamanya. Ia tidak merasa apa-apa kerana dia menganggap rakyat boleh diperkudakan dan diperbodohkan mengikut kehendaknya. Lagi pun UMNO menganggap bahawa tempat awam itu hak mak bapak dia punya. Malaysia ini hak dia seorang sahaja. Orang lain tidak boleh dikongsikan. Orang lain mesti patuh dengan kehendaknya sebab orang lain hidup menumpang.

Keempat, kawalan dan kaedah penyuraian perhimpunan tidak ikut prosedur dan kelima, amalan mengumpul maklumat keselamatan. Oleh itu, SUHAKAM mencadangkan memberi kebenaran kepada semua pertubuhan mengadakan perhimpunan berdasarkan Undang-undang yang digunapakai, semua pertubuhan dibenarkan mengadakan perhimpunan di tempat awam dengan kaedah-kaedah tertentu, kaedah penyuraian perhimpunan lebih berperikemanusiaan, cara menguruskan tahanan lebih bersopan dan beradat, barangan yang dirampas tidak boleh dimusnahkan, tahanan reman hanya untuk risikan untuk mengumpul maklumat bukan untuk proses turn over dan sebagainya.

Apabila laporan ini dikeluarkan, Mahathir sendiri mengecam hebat saranan SUHAKAM itu dan beliau menganggap SUHAKAM sebagai alat barat [kerana mendedahkan pelanggaran Hak Asasi Manusia oleh kerajaan pimpinan UMNO] bukan kepentingan Negara katanya [UM, 22.8.2001 dan BH 23.8.2001]. Hanya kenyataan-kenyataan yang menyokong UMNO dan kerajaan sahaja yang dialu-alukan.  Semua pemimpin UMNO mengecam SUHAKAM termasuk Pak Lah sebagai TPM sehingga Zainudin Maidin mamak itu mencadangkan SUHAKAM dibubarkan. Saya harap semua pembaca dapatkan laporan SUHAKAM daripada Perpustakaan Parlimen untuk membuat penilaian sendiri ataupun daripada Pejabat Ketua pembangkang di Parlimen.

Secebis ulasan daripada Musa Hitam, selaku Pengerusi SUHAKAM [menjawab balik kecaman yang diterima oleh SUHAKAM], beliau berkata: “Barangkali lebih baik melantik ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk memegang jawatan ini. Habis kerja kerana tidak akan ada sebarang kritikan. Kalau hendak mengikut kehendak kerajaan [baca UMNO] atau kata kita pro kepada pembangkang atau NGO yang mengkritik kerajaan, cara paling baik ialah kami berdiam diri atau tidak membuat apa-apa kerja atau tidak membuat apa-apa cadangan seperti yang dikehendaki oleh Undang-undang“.

Jadi, sebagai kesimpulannya penubuhan Suruhanjaya ini tidak akan menghasilkan apa-apa perubahan untuk menaikkan imej pasukan polis. Ia hanya membazirkan masa dan tenaga serta wang ringgit sahaja, kecualilah UMNO dan kepimpinannya diubahkan atau UMNO dan kepimpinannya memang benar-benar inginkan perubahan. UMNO perlu ingat perubahan mesti berlaku di peringkat atasan dahulu, kalau di peringkat atasan [Menteri]. Timbalan Menteri, MB dan KM penuh diliputi dengan dakwaan rasuah dan menyalahgunaan kuasa] macam mana orang bawah hendak ikut. Dalam Islam, pemimpin mesti diperbetulkan dahulu baharulah, rakyat akan mengikutnya.  Pepatah Melayu ada mengatakan: Bapa borek anak rintik, bapa kencing berdiri, anak kencing berlari. Kalau ini tidak boleh diubah, usahlah bercakap dengan slogan. : Bekerja bersama saya, bukan bekerja untuk saya “

Bagaimana pula dengan krisis keyakinan terhadap Badan Kehakiman yang berjalan tempang sekarang ini. Bila pula hendak ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk mengkaji kelemahan badan ini dan mencadangkan langkah-langkah untuk memperkemaskannya pula. Ini penting untuk mengembalikan era keyakinan dan sanjungan rakyat terhadap Badan Kehakiman yang terhakis teruk di pandangan rakyat tempatan dan antarabangsa bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Sekian dahulu untuk pertemuan kali ini, di lain waktu kita bertemu lagi. InsyaAllah. Terima kasih. Wassalam.

- Meli - 02.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN