MANIFESTO UNTUK PILIHAN RAYA KE-11
Assamu'alaikum wm.wbt

Pilihan Raya Umum ke-11 amat dekat dengan kita. Suasana politik yang dikuasai oleh UMNO amat panas. UMNO siang malam 24 jam memainkan peranannya melalui media massa [dan dibantu oleh agensi-agensi kerajaan seperti pasukan polis, SPR, BPR dan System Kehakiman] mencucuk jarum propagandanya ke dalam pemikiran rakyat bahawasanya, “UMNO/BN sahaja yang boleh memerintah Malaysia. Boleh memberi keamanan kepada rakyat. Boleh membawa pembangunan dan kebahagiaan kepada rakyat. UMNO boleh memberi segala-segalanya yang ada di dunia ini. Parti lain, selain dari UMNO/BN akan membawa kehancuran kepada Negara dan kehidupan rakyat menjadi melarat dan merempat mengharap bantuan asing yang akhirnya membawa Negara ke arah kekacauan dan akan mewujudkan ketidak-stabilan politik dan ekonomi”.

UMNO telah menggunakan pasukan polis untuk menyekat kemaraan PAS khususnya bagi menghalang rakyat mendapat pandangan kedua dan maklumat mengenai kejahatan UMNO dalam memerintah Malaysia selama 46 tahun. Contohnya, PAS Perhubungan Negeri Kedah telah mengadakan satu carnival bertempat di Batu 6, Tandop, Kota Sarang Semut, Kedah mulai 4 hingga 9 Februari 2004. Sebelah siangnya diadakan pelbagai aktiviti dan sebelah malamnya seperti mana biasa diadakan ceramah. Sambutan orang ramai amat menggalakkan. Pihak polis telah melakukan pelbagai tekanan untuk menghalang orang ramai menghadiri karnival tersebut.

Pada malam terakhir, 9 Februari 2004, satu Ceramah Perdana diadakan di antara tetamu utama yang menyampaikan ucapan ialah YAB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Haji Awang, Presiden PAS dan MB Terengganu. Polis telah memulakan gerakkannya dengan melakukan sekatan jalan raya dari semua arah menuju ke tempat ceramah tersebut. Pada malam itu, pihak polis benar-benar melakukan provokasi bagi menghalang program itu berlangsung. Saya dengan beberapa teman terpaksa meredah sawah bendang [nasib baik sekarang Kedah mengalami musim kemarau, jadi sawah bendang kering kontang] dan sampai ke tempat ceramah pukul 11.15 malam. Pada malam itu kami tidak dapat mengikuti sepenuhnya ucapan-ucapan yang disampaikan oleh penceramah-penceramah terdahulu daripada Haji Hadi. Dianggarkan lebih 50,000 orang berkumpul untuk mengikuti ceramah tersebut, walaupun ada angkara daripada pasukan polis. Begitulah amalan demokrasi di Malaysia, yang mana jika ada majlis yang sama yang dianjurkan oleh UMNO pasukan polis akan memberi segala kerjasama dan sokongan hatta diadakan di kawasan sekolah seperti yang berlaku di SMK Pendang baru-baru ini.

Berdasarkan kepada scenario yang kami hadapi itu, maka terfikir di fikiran adalah amat baik PAS dan Keadilan [walaupun Keadilan sekarang ini menghadapi masalah pemimpin-pemimpin mudanya dibeli oleh UMNO] memasukkan agenda yang akan dilakukan oleh mereka apabila berkuasa kelak dalam manifesto. Banyak pandangan yang telah diberikan oleh ramai penulis dalam ruangan ini untuk melakarkan satu manifesto bagi digunakan dalam kempen pilihan raya ke-11 nanti yang boleh diterima baik oleh semua rakyat di Negara ini.

Manifesto ialah satu kenyataan atau hasrat yang ditawarkan kepada rakyat yang mengandungi unsur-unsur perjanjian yang mana apabila rakyat memilih orang, pertubuhan atau organisasi yang membuat kenyataan atau hasrat tersebut, maka menjadi satu kewajiban pada orang, pertubuhan atau organisasi itu menunaikan perjanjian tersebut.

Melalui ruangan ini, saya ingin mencadangkan beberapa perkara yang patut disentuh oleh PAS dan Keadilan untuk merangka manifesto tersebut, yang perkara ini belum disentuh lagi oleh mana-mana penulis. Sebagaimana semua kita sedia maklum bahawa  asas pemerintahan demokrasi dalam sesebuah Negara dimainkan oleh 3 badan utama, iaitu pertama, Badan Perundangan [ Parlimen ], kedua, Badan Eksekutif dan ketiga, Badan Kehakiman.

Ketika-tiga badan ini berfungsi seperti yang ditetapkan oleh Undang-undang [Perlembagaan Malaysia]. Dalam menjalankan peranan masing-masing, badan-badan ini tidak boleh sama sekali mencampuri bidang kuasa yang dimiliki oleh badan lain. Contohnya, Badan Eksekutif tidak boleh mencampuri hal ehwal Badan Kehakiman yang fungsinya untuk menyemak pelaksanaan sesuatu Undang-undang itu adakah ia mematuhi peraturan seperti yang ditetapkan oleh Parlimen. Dalam erti kata lain pihak Eksekutif tidak boleh menentukan hukuman ke atas seseorang sebelum mahkamah membicarakan orang itu mengikut proses Undang-undang yang adil dan benar.

Kita amat malang menjadi rakyat Malaysia, yang mana semua badan-badan ini tunduk dan sujud dengan kehendak pihak Eksekutif sehinggakan system pemerintahan menjadi kacau-bilau dan caca-marba. Keadilan dan kebenaran tidak dapat ditonjolkan. Misalnya, kes Jackie Chan, seorang ketua gangster yang terlibat dengan pelbagai kegiatan jenayah tidak pernah dibicarakan dan dikuarantinkan satu tahun di Simpang Renggam, Johor di bawah Akta Darurat 1960 dan kini dibebaskan dengan mendapat pengampunan daripada Yang DiPertuan Agong.

Bandingkan pula kes yang menimpa bekas MP Kota Melaka Lim Guan Eng, anak Lim Kit Siang [Pengerusi DAP]. Beliau didakwa di bawah Akta Hasutan dan dipenjarakan selama 19 bulan. Semua proses Undang-undang dilaluinya termasuk mendapatkan tandatanagan seramai 300,000 untuk menyokong beliau mendapat pengampunan daripada Yang DiPertuan Agong, tetapi semuanya gagal. Beliau terpaksa menjalani hukuman penjara dan hilang semua haknya sebagai wakil rakyat.

Oleh itu, saya mencadangkan:

Pertama, PAS dan Keadilan perlu menyatakan hasrat untuk memperbaiki system Badan Perundangan iaitu Parlimen supaya ia benar-benar menjadi tempat percambahan fikirkan bagi menggubal pelbagai Undang-undang dan dasar-dasar Negara demi kepentingan rakyat. Bukan seperti sekarang, Parlimen kelihatan sebagai sebuah badan “rubber stamp“ untuk mengekalkan kuasa UMNO/BN.

Kedua, PAS dan Keadilan perlu menyatakan secara jelas kepada rakyat hasrat untuk memperbaiki system Kehakiman kita yang kelihatan terlalu dikongkong oleh kuasa politik UMNO/BN. PAS dan Keadilan perlu nyatakan kepada rakyat bahawa Badan Kehakiman akan dibebaskan daripada belenggu kuasa politik apabila rakyat memberi kuasa memerintah kelak.

Pelantikan Ketua Hakim Negara dan Hakim-hakim bukan ditentukan oleh Perdana Menteri, sebaliknya ditentukan dan disahkan oleh Parlimen sebelum ianya diangkat untuk mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong. Di sini mesti diadakan satu “public inquiries“ untuk menilai kelayakan Ketua Hakim dan Hakim-hakim yang akan dilantik itu benar-benar layak dan mencerminkan keadilan dapat ditegakkan. Kita tidak mahu system yang kita amalkan sekarang ini digunapakai lagi kerana pelantikan tersebut mencemarkan system keadilan yang ada. Mereka bertanggungjawab kepada Parlimen bukan kepada Perdana Menteri.

Begitu juga dengan pelantikan Peguam Negara, ia mesti melalui proses “public inquiries“ juga. Kita tidak mahu seseorang pegawai Undang-undang yang penuh kontroversi dilantik ke jawatan itu kerana dengan kuasa budi bicara yang ada padanya disalah-guna untuk menjaga kepentingan kuasa orang-orang tertentu. Ia bertanggungjawab kepada Parlimen bukan kepada Perdana Menteri.

Ketiga, Badan Eksekutif hendaklah dibebaskan daripada kongkongan kepentingan politik sempit yang mementingkan kuasa. Biarkan badan ini bergerak bebas.

Keempat, PAS dan Keadilan perlu menyatakan hasrat untuk membebaskan Pasukan Polis daripada diperkudakan mana-mana pihak untuk kepentingan masing-masing. Pasukan Polis hendaklah dikembalikan ke tugas asal iaitu menjaga keamanan rakyat dan menguatkuasakan Undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Ini kerana kadar jenayah semakin meningkat disebabkan pasukan polis tersasar daripada menjalankan tugas sebenar asyik untuk menjaga kepentingan UMNO/BN.

Kelima, peranan SPR mesti ditunjukkan ia benar-benar bebas dan bertanggungjawab terhadap Parlimen bukan kepada Perdana Menteri. SPR mesti diberi kuasa untuk membuat pemantauan setiap kali pilihan raya diadakan. Sesiapa yang melanggar peraturan kesalahan pilihan raya mesti diambil tindakan tanpa mengira sesiapa. Perjalanan SPR sekarang ini terganggu kerana ia terletak di bawah pengaruh Perdana Menteri.

Keenam dan terakhir, BPR mesti diletakkan di bawah Parlimen bukan di bawah JPM. BPR mesti diberi kebebasan untuk menjalankan penyiasatan dan pendakwaan terhadap mana-mana orang yang disyaki terlibat dengan rasuah bukan melalui Jabatan Peguam Negara seperti yang diamalkan sekarang yang akan merujuk pula kepada Perdana Menteri. Perdana Menteri tiada kuasa untuk mengganggu kerja-kerja BPR.

Saya amat berharap PAS dan Keadilan memberi prihatin terhadap cadangan saya ini. Kita semua mengharapkan sebuah kerajaan yang baik untuk menguruskan Negara ini untuk kepentingan rakyat keseluruhannya bukan untuk kepentingan diri yang boleh menjerumuskan Negara kea rah kehancuran dalam jangka masa panjang.

Sekian, kita akan bertemu lagi dengan satu lagi artikel yang bertajuk “Faktor-faktor Yang Menyebabkan Kemenangan“. InsyaAllah. Terima kasih. Wassalam.

- Meli - 12.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN