ISLAM DAN HAK ASASI MANUSIA

Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca budiman,

Malaysia adalah sebuah Negara Islam kononnya telah diisytiharkan oleh bekas PM ke 4, Mahathir Mohamad pada 29 September 2001 di Perhimpunan Agung Gerakan, baru beberapa hari selepas dunia dikejutkan serangan berani mati oleh pejuang-pejuang Islam ke atas Amerika Syarikat iaitu di New York dan Washington DC pada 11 September 2001. Mulai dari tarikh tersebut, Amerika Syarikat dan sekutu rapatnya Britain telah bertindak di luar jangkaan dengan melabelkan Negara-negara Islam khususnya yang enggan tunduk dengan kemahuannya dianggap sebagai ‘ negara pengganas ‘.

Begitulah mudahnya pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam dibuat begitu rupa melambangkan Islam itu tidak bernilai di kaca mata puak-puak UMNO haprak ini. Sekiranya Islam itu bernilai tinggi, maka ia tidak mungkin dibuat dalam majlis yang kebanyakannya dihadiri oleh orang-orang bukan Islam. Berbeza dengan lain-lain dasar yang dilancarkan dibuat penuh dengan adat-istiadat protokolnya. Misalnya pelancaran Dasar Pembangunan Nasional, budget dan sebagainya dibuat mengikut saluran dan prosedur yang betul. Sepatutnya, pengisytiharan Negara ini sebagai sebuah Negara Islam dilancarkan di suatu majlis yang lebih beradab yang melibatkan pelbagai pihak yang berkaitan dengan agama Islam, malah ia dibuat secara tergesa-gesa dan memaksa rakyat menerima Negara ini sebagai Negara Islam. Ia dibuat semata-mata bertujuan politik untuk menyaingi PAS yang berjuang atas landasan Islam sebenar, sebab itu pengisian Islam UMNO ini kosong sehinggakan Zaid Ibrahim, sekarang MP Kota Bharu berani mencabar Islam di mahkamah, bagi menghalang perlaksanaan Islam sebenar yang diperjuangkan oleh PAS itu.

Selepas Mahathir berambus dari takhta kuasa, Dollah Badawi pula mengisytiharkan Islam Hadhari. Macam-macam orang menggelar kepada dasar Islam Hadhari ini, ada yang mengatakan, had-had hari yang membawa maksud ambil apa-apa perkara yang menguntungkan dan memberi faedah kepada UMNO dan buang perkara-perkara yang merugikan dan tidak berfaedah kepada UMNO, bukan berpandukan al-Quran dan al-Hadith. Ada juga orang kata siang-malam menari kerana setakat hari ini tiada satu pun aktiviti yang boleh memberi faedah secara langsung terhadap perkembangan Islam, ianya lebih menjurus kepada aktiviti-aktiviti sosial dan hiburan. Oleh itu, tidak hairanlah sehingga kini tidak ada dasar atau panduan untuk perlaksanaan Islam Hadhari Dolah Badawi ini. Semuanya menjadi caca marba. Apa yang boleh kita lihat sekarang Islam Hadhari lebih menjurus kepada agenda hiburan, keseronokan, konsert dan sebagainya yang bertujuan untuk merungkai fikiran dan roh Islam yang ada di jiwa orang-orang Islam di Malaysia terutama anak-anak muda belasan tahun seperti apa yang berlaku di Program Khidmat Negara. Program ini dilaksanakan tidak mengambil kira pendekatan keIslaman dalam perlaksanaannya, apa yang diambil kira ialah keuntungan perniagaan hasil dari program tersebut disedut oleh kroni-kroni yang rapat dengan pemimpin-pemimpin utama Negara. Apabila masyarakat Malaysia terutama anak-anak muda ini gilakan hiburan, maka berkembang-biaklah masalah sosial. Islam Hadhari cukup cemburu apabila melihat orang-orang Islam mengamalkan ajaran Islam seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Mereka lebih suka masyarakat Islam di Negara ini buta konsep beragama, hanya digalakkan mengamalkan fardu ain sahaja. Lebih dari itu tidak dibenarkan sama sekali kerana ini tidak menguntungkan UMNO. Apabila masyarakat celik agama, maka bererti nyawa UMNO tidak lama kerana gerak kerja mereka selama ini bertentangan dengan apa yang Rasulullah SAW ajarkan kepada umatnya.

Islam Hadhari membawa satu tamadun baru iaitu tamadun moden yang merupai tamadun yang diagung-agungkan oleh orang-orang barat iaitu hiburan dan keseronokan yang melalaikan. Semua amalan Islam konservatif dianggap melampau seperti berpakaian menutup aurat, berkopiah dan Rais Yatim pernah mengeluarkan kata-kata menyindir ada setengah orang Islam di Malaysia ini berpakaian Arab lebih dari orang-orang Arab. Pemimpin-pemimpin UMNO cukup anti pengamal Islam sebenar, mereka lebih suka kalau kita mengamalkan Islam celup seperti mereka amalkan. Tidak menutup aurat seperti yang dituntut oleh syariat, berbohong dan dibolehkan melakukan penipuan seperti yang dilakukan oleh UMNO dalam pilihan raya ke 11 yang lalu, asalkan matlamatnya tercapai.

Islam Hadhari tidak mementingkan nilai-nilai moral dan akhlak. Perkara ini boleh dibuktikan dengan pelbagai dakwaan penyelewengan, rasuah dan menyalahgunakan kuasa, laporan polis dan laporan kepada BPR yang dibuat oleh pelbagai pihak terhadap pemimpin-pemimpin UMNO, tetapi tidak ada satu tindakan pun yang disiasat atau diambil tindakan, malah mereka ini tetap dipilih menjadi MP dan dilantik pula sebagai Menteri. Contoh klasik Rafidah Aziz, sudah ada prima facie dan telah dibuat kertas pendakwaan oleh Peguam Negara ketika itu, tetapi sehingga sekarang kes ini tidak berjalan. Begitu juga dengan kes rasuah Mohd. Khir Toyo, Nazri Aziz dan yang terbaru Khalil Yaakob yang terlibat dengan skandal balak melibatkan berjuta ringgit di Pahang dilantik pula sebagai Yang DiPertua Negeri Melaka. Mana ada maruah diri, tuduhan yang dibuat sendiri oleh tokoh UMNO, Fauzi Abdul Rahman bekas ADUN Beserah tidak pernah dibersihkan melalui saluran undang-undang. Mana nilai akhlak dan maruah sebagai pemimpin yang akan menjadi payung kepada rakyat khususnya rakyat di negeri Melaka. Seorang pemimpin yang tercalar mukanya dengan tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa semasa menjadi MB Pahang dahulu. Bagaimana hendak berhadapan dengan rakyat dan bercakap mengenai nilai-nilai akhlak dan moral, sedangkan diri kita sendiri tiada ada maruah dan harga diri.

Kenapa perkara seumpama ini boleh terjadi dalam Negara ini? Satu pihak boleh memaksa satu pihak lain menurut kemahuannya, sedangkan banyak alternatif lain yang ada yang boleh diguna pakai dan yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam, malah Nabi SAW menyeru umatnya masuk Islam secara menyeluruh, bukan had-had hari seperti yang diamalkan oleh UMNO. Ini kerana Negara ini telah diperintah ala diktator oleh sebuah rejim yang diketuai oleh Dollah Badawi. Amat menyedihkan jika dikenang Negara yang tidak seberapa ini diuji oleh Allah SWT dengan bala kediktatoran. Cuba lihat dan renung apa yang terjadi di Parlimen pada hari Sabtu 22.5.2004 yang lalu, Speaker Parlimen senang-senang menolak usul yang dibawa oleh YB Lim Kit Siang, Ketua Pembangkang untuk membincangkan Pilihan raya ke 11 dan bercadang membuat satu usul untuk memecat Pengerusi SPR yang bersekongkol dengan UMNO menjalankan penipuan dalam pilihan raya tersebut. Zahir Ismail[ pembela UMNO totok ] memberi alasan kenapa usul Kit Siang ditolak, kata beliau Parlimen tidak boleh membincangkan pilihan raya yang lalu dan juga peranan SPR dalam mengendalikan pilihan raya tersebut kononnya kes ini telah dibawa ke mahkamah akan timbul prejudis terhadap kes yang akan dibicarakan itu, di samping itu beliau juga turut mengarahkan usul tidak percaya terhadap Pengerusi SPR ditarik balik dari urusan mesyuarat. Sekali lagi pada 24.5.2004, hari Isnin, YB Lim Kit Siang cuba membawa usul ini di hadapan Timbalan Speaker Lim Si Cheng juga ditolak dengan nada yang sama. YB Kit Siang tidak berpuas hati dan membawa perkara ini di bawah Peraturan Mesyuarat 43 kepada Setiausaha Dewan dan jawapan sudah dapat dijangkakan bahawa ia tetap tidak dibenarkan untuk dibahaskan di Parlimen. Ini semua adalah langkah UMNO untuk menyembunyikan segala penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya berkenaan . Sekiranya ia dibenarkan dibahaskan di parlimen, maka segala butiran perbahasan tersebut akan tercatat dalam rekod Parlimen yang boleh dijadikan bahan-bahan rujukan untuk generasi masa depan. Sekarang ini saya amat pasti hakim-hakim yang ditugaskan mengendalikan kes-kes petisyen dan saman sedang pening kepala memikirkan bagaimana untuk mencari alasan-alasan yang logik bagi memenangkan UMNO dan mempertahankan kredibiliti SPR. Kesan dari itu kebebasan tercabut dan kemerdekaan terangkat [merdeka diri]. Rakyat terpaksa reda dengan kehinaan ini.

Setiap rakyat perlu menuntut kebebasan dan perlu diperjuangkan dengan apa cara sekali pun mengikut keupayaan masing-masing bagi menampal tabir demokrasi yang semakin hari semakin robek. Baik Muslim dalam PAS atau Keadilan wajib berdoa sekurang-kurang seminggu sekali terutama malam Jumaat membaca surah Yassin dan sembahyang hajat memohon kepada Allah SWT supaya UMNO ini dapat dihapuskan di muka bumi ini. Tanggung jawab ini terletak di bahu semua orang Islam yang bertakwa kerana terbukti UMNO tidak boleh diharapkan lagi untuk membela kepentingan Islam. Tambahan pula sekarang ini UMNO [ baca kerajaan Malaysia ] seolah-olah diikat tangan ke belakang oleh Amerika Syarikat. Banyak isu yang timbul dewasa ini memaksa Malaysia tunduk dengan kehendak Amerika Syarikat seperti kawalan Selat Melaka, penubuhan Pusat Latihan Pengganas, menjadikan Lapangan Terbang Kota Kinabalu sebagai tempat persinggahan askar-askar Amerika, menyekat perkembangan Islam melalui penutupan sekolah-sekolah agama rakyat [SAR], penahan aktivis-aktivis gerakan Islam dengan tuduhan pengganas di bawah ISA dan pelbagai isu lainnya menjurus ke arah tersebut.

Berbalik kepada isu Hak Asasi Manusia [HAM] dalam Islam, semenjak lebih 14 kurun yang lalu Saidina Umar Al-Khatab dalam pengisytiharan hak asasi sedunia yang pertama mengisytiharkan slogan hak asasi yang masyhur, “ Kenapa kamu memperhambakan manusia sedangkan ia dilahirkan oleh ibu mereka dalam keadaan merdeka “. Beribu tahun mendahului pengisytiharan hak asasi Perancis 1790 dan pengisytiharan PBB 1928.

Islam mengiktiraf HAM yang terkandung dalam piagam-piagam yang dikeluarkan oleh PBB yang menjamin hak setiap warga yang hidup untuk menikmati kebebasan secara aman dan terhormat seperti kebebasan berfikir, beriktikad, bergerak, berkumpul, mendapat kehidupan yang selesa, imbuhan yang adil dan sebagainya. Hakikat ini dapat difahami daripada Islam melalui maqasad khamsah [ lima prinsip ] seperti yang terkandung dalam syariat Islam.

Pertama, memelihara agama. Islam menjamin kebebasan beriktikad dan beribadat sebagaimana firman Allah yang bermaksud : Tiada paksaan dalam beragama. Dan firmanNya lagi yang bermaksud : Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. Setiap penganut agama wajib menghormati pegangan agama lain sebagaimana firman Allah yang bermaksud : Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampau batas dengan tiada pengetahuan [ Al-an’am : 108 ], namun begitu tidaklah agama boleh dipermain-mainkan dengan sewenang-wenangnya. Seseorang itu boleh dihukum apabila ia murtad dari Islam demi menjaga agama dipermain-mainkan. Semua manusia bebas mengamalkan agama masing-masing selama mana ia tidak mengganggu ketenteraman awam atau melanggar undang-undang.

Kedua, memelihara jiwa. Ini adalah jaminan Allah untuk manusia bagi mendapat hak kehidupan yang selamat dan aman. Mereka dijamin kebebasan bekerja, berfikir, melahirkan pandangan tanpa merasa diri mereka terancam. Tidak harus mana-mana pihak seperti UMNO buat sekarang ini menyekat pandangan kedua melalui pelbagai akta dan undang-undang untuk menutup kecurangan yang berlaku dalam mentadbir Negara ini tanpa alasan yang munasabah. Mereka yang membahayakan nyawa orang lain akan menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan seperti mana firman Allah yang bermaksud : Barang siapa yang membunuh tanpa dosa, pembunuhan atau kerosakan seolah-olah mereka membunuh manusia keseluruhannya [ Al-Maidah :32].

Ketiga, memelihara akal. Setiap insan berhak mendapat kemudahan pendidikan yang sewajarnya. Dengan ilmu manusia layak memikul tanggungjawab sebagai khilafah. Kemudahan pendidikan ini adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah. Kerajaan perlu dipertanggungjawabkan memberi pendidikan secara percuma kepada rakyat tanpa mengenakan sebarang bayaran atau sebagainya. Pendidikan tidak boleh sama sekali diniagakan seperti yang diamalkan sekarang ini. Memelihara akal memerlukan dua pendidikan, iaitu pendidikan fardu ain yang diwajibkan ke atas semua manusia dan pendidikan fardu kifayah perlu dilengkapkan bagi memenuhi keperluan. Ia tidak menjadi wajib kepada semua orang, memadai hanya segelintir yang menguasainya, sebahagian yang lain tidak perlu menguasainya. Sesiapa yang melakukan kesalahan yang menjejaskan akal akan dihukum oleh agama sebagaimana Islam mengharamkan meminum arak kerana ia boleh menghilangkan akal.

Keempat, menjaga harta iaitu jaminan untuk mendapat keperluan ekonomi asas. Setiap insan berhak memiliki keperluan asas seperti keperluan makanan, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan. Tengok apa yang UMNO buat untuk memenuhi keperluan asas rakyatnya. Banyak rakyat yang tidak memiliki rumah seperti yang dikehendaki oleh Islam kerana rakyat tidak berupaya dari segi ekonomi untuk memilikinya, tetapi kerajaan pimpinan UMNO meniaga mencari keuntungan berlipat ganda dalam menyediakan kemudahan perumahan rakyat. Kerajaan UMNO bakhil untuk mengeluarkan wang untuk membina rumah untuk rakyat miskin, tetapi pada masa yang sama kerajaan UMNO sanggup berbelanja berbillion ringgit membina mahligai, membina bangunan-bangunan yang tinggi, litar formula 1, stadium, KLIA dan sebagainya untuk menunjuk ego dan kesombongan pemimpinnya. Kemudahan kesihatan rakyat juga turut diniagakan. Sumber api dan air yang menjadi keperluan asasi rakyat, rakyat dipaksa bayar dengan kadar yang tinggi untuk menampung keborosan pemimpin. Islam bukan sosialis yang menetapkan kesamarataan dalam pemilikan harta dan Islam juga bukan kapitalis yang memberi kebebasan dalam pemilikan harta walaupun dengan kaedah tipu helah seperti yang sering lakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Islam sebagai Din membenarkan pemilikan harta, pemilikan khas, menjamin hak buruh dan menetapkan disiplin yang mesti diikuti oleh manusia dalam pengurusan harta.

Kelima, menjaga maruah atau keturunan. Institusi keluarga merupakan batu-bata dalam pembentukan masyarakat Muslim yang menjamin penerusan dan kelangsungan sesebuah masyarakat. Islam menggalakkan manusia mengamalkan hidup sihat dalam ruang lingkup yang bermaruah dan bermoral. Islam menutup segala ruang kegiatan yang tidak bermaruah seperti tempat-tempat perjudian, tempat-tempat pelacuran, premis menjual arak, konsert-konsert yang menggalakkan perhubungan bebas lelaki-perempuan yang boleh membiakkan penyakit sosial seperti konsert Sure Heboh yang boleh merosakkan pemikiran muda-mudi dan menggalakkan perzinaan. Untuk kelangsungan institusi keluarga hak dan tanggungjawab setiap anggota keluarga hendaklah dipatuhi dan dilaksanakan.

Sebagai kesimpulannya, perjuangan Islam dan menegakkan syariah yang lebih sempurna dalam memperjuangkan HAM. Manusia diberi kebebasan, tetapi kebebasan yang diberi itu bukanlah sesuatu yang mutlak sehingga mereka boleh mencabul agama seperti yang terdapat dalam ajaran Islam Hadhari, hak individu seperti penahanan tanpa bicara, institusi keluarga, masyarakat dan kesejahteraan Negara.

Sekian, terima kasih,kita jumpa lagi dengan isu lain pula. InsyaAllah. Wassalam.

- Meli - 31.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN