Daripada MemoKampus:
Hijrahturrasul Daripada Perspektif Perjuangan Mahasiswa Negara (versi kedua)

“Hijrah adalah suatu gerakan pengunduran untuk mara”

Begitulah satu ungkapan menarik yang mengambarkan taktik hijrah Rasulullah SAW. Maka sempena dengan Hijraturrasul ini, Pergerakan Mahasiswa Alternatif (PMA) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak seluruh mahasiswa negara agar kembali kita menginsafi dan meneladani aspirasi perjuangan Rasulullah SAW – lambang perjuangan yang paling ideal.

Bagi merungkaikan kefahaman hijrah ini menurut perspektif mahasiswa, kami menyifatkan hijrah (dalam konteks mahasiswa) yang amat dituntut ketika ini ialah “hijrah dari mencari ilmu untuk kemewahan diri sendiri kepada mencari ilmu untuk berjuang menegakkan keadilan” - untuk kebaikan rakyat. Gagasan hijrah ini seringkali diungkapkan oleh pemikir agung Algeria, Malek Bennabi yang menegaskan tentang peri-pentingnya 'sense of conviction' dengan pengertian ada idealisme yang harus dipertahankan dalam rangka untuk menegakkan keadilan, keamanan dan kebenaran.

Hakikatnya, ruang perjuangan untuk mahasiswa sentiasa terbuka luas. Cuma, kita perlu membuat keputusan samada sedia untuk berperanan atau sebaliknya sahaja. Cukup mudah. Dan, usaha ini boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk, kaedah dan reaksi. Lihatlah, terbentang di hadapan kita demikian banyak rentetan peristiwa dan isu; kecil atau besar, kampus atau antarabangsa dan kepentingan sendiri atau kepentingan rakyat yang cukup mendesak untuk diutarakan – yang mana usaha perjuangan ini adalah untuk menjadikan kehidupan kita lebih bermakna.

Justeru itu, isu kezaliman Naib Canselor universiti sehinggalah kepada penentangan terhadap sikap arogan Presiden George W. Bush wajar dirumus dan diperhebahkan kepada rakyat. Dan, tugas ini perlu digembeleng secara kolektif antara mahasiswa dan rakyat. Inilah fokus perjuangan mahasiswa sekarang. Ringkasnya ia bermatlamat untuk mengugat para pendukung kezaliman! Apabila kita menyentuh perjuangan menentang kezaliman ia telah mengingatkan kita kepada intisari kata-kata Che Guevara “sekiranya kamu selalu menentang kezaliman, maka kamu adalah sahabatku”. Lantaran itu, tradisi perjuangan mahasiswa yang telah dibajai oleh generasi terdahulu perlu segera dipertahan dan diperkasakan. Mari kita nafikan secara praktikal bahawa segala tohmahan yang mendakwa gerakan mahasiswa negara telahpun lesu dan lembik! Kembali kita memupuk semula tradisi keilmuan yang bergerak – yang menuntut keadilan sejagat.

PMA sebagai sebuah pergerakan yang beridentitikan perjuangan yakin dan percaya, sekiranya mahasiswa negara dapat memainkan peranan sebaiknya secara tersusun, bijaksana dan berani maka sudah tentu fajar gemilang akan mewarnai Malaysia – dengan hasrat bersama iaitu untuk mewujudkan kepimpinan negara yang lebih adil dan demokratis. Kepimpinan yang melihat rakyat dari perspektif kebenaran menurut wahyu dan akal. Maka dengan itu, ketibaan Muharram yang merupakan bulan momentum dalam Islam adalah merupakan waktu yang terbaik kepada mahasiswa negara untuk berhijrah melakukan perubahan.

Sebagai khulasahnya, sekali lagi PMA mengesa kepada seluruh mahasiswa negara agar tidak keberatan untuk memikirkan idea ini sebelum kita disesalkan dengan umur kita. Jangan kita biarkan generasi mahasiswa masa hadapan untuk bertindak mengantikan peranan kita sekarang – sebagai jurubicara rakyat. Ayuh para mahasiswa negara, bangkitlah dan laungkan slogan keramat perjuangan...tegakkan keadilan!

Hasta la victoria siempre! (Maju terus menuju kemenangan)
Patria o muerte! (Tanah air atau mati)

Aliy Nasrallah
Jurucakap PMA
E-Mail: memokampus@yahoo.com
URL: www.memokampus.cjb.net - 08.03.2003


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!