Daripada MemoKampus:
Serangan Ke Atas Iraq Mengesahkan Sikap Unilateral Amerika Syarikat

Pergerakan Mahasiswa Alternatif (PMA) mengutuk keras serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq dan kami menyifatkan aksi ketenteraan tersebut sebagai tidak sah biar apapun alasan yang dikemukakan oleh Presiden George W. Bush. Selain ia ditentang oleh masyarakat dunia serta melanggar konvensyen antarabangsa, aksi ketenteraan tersebut juga tidak di dahului restu dari Pertubuhan Bangsa Bangsa (PBB) yang bertanggungjawab untuk memutuskan keputusan akhir.

Ketika mana negara-negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB sedang berusaha mencari jalan diplomatik untuk mengakhiri krisis Iraq, AS dan Britain sudah tidak sabar untuk memulakan aksi perang dengan menghujani Kota Baghdad bersama puluhan peluru berpandu yang canggih. Justeru itu, adalah tidak menghairankan jika kebanyakan negara di dunia menyatakan tindakan AS itu sebagai pelanggaran ke atas kedaulatan sebuah negara yang berdaulat.

PMA juga menyifatkan tindakan AS tersebut adalah satu bentuk unilateral serta tidak lagi mempedulikan kaedah keamanan yang sebelum ini menjadi teras kepada kerukunan dunia. Ia jelas sekali amat sukar diterima oleh dunia. Selain daripada itu, tindakan pencerobohan secara ketenteraan ke atas Iraq hanya mencetus pergolakan baru dan juga krisis kestabilan yang bakal dirasakan oleh kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia. PMA yakin dan percaya bahawa sikap seperti ini hanya akan membuat setiap negara merasa berhak untuk menyerang sebuah negara lain tanpa melihat peraturan dan desakan masyarakat dunia. Bahkan, serangan AS ke Iraq merupakan satu contoh yang paling jelas terhadap pelanggaran besar Hak Asasi Manusia walhal selama ini Washington yang selalu menepuk dada dan mendakwa bahawa mereka sebagai pejuang hak kemanusiaan.

Kendatipun Presiden George W. Bush mengaku bahawa serangan ke Iraq adalah semata-mata untuk menegakkan demokrasi di negara itu namun sebaliknya ia sebenarnya telah mencabul kemerdekaan Iraq. Jika sejarah dunia telah mengutuk tindakan ketenteraan Hulagu Khan ke atas Kota Baghdad pada 1258 maka ulangan peristiwa yang sama berlaku pada 20 Mac 2003. Demokrasi pada hakikatnya memberikan kebebasan kepada rakyat Iraq untuk menentukan kepimpinan mereka sendiri. Tetapi hak dan kebebasan ini sama sekali telah dinafikan oleh AS dengan bertindak memulakan aksi ketenteraannya.

Serangan AS ke Iraq juga membuktikan bahawa AS adalah negara yang tidak jujur dalam isu perlucutan senjata pemusnah Iraq. Logiknya, untuk melucut senjata pemusnah Irak adalah dengan mematuhi keputusan Majlis Keselamatan PBB. Bagaimanapun amalan rasmi AS ialah dengan mempelekehkan peranan Majlis Keselamatan PBB serta aspirasi masyarakat antarabangsa. Sikap AS seolah-olah ingin menjadi polisi dunia tak lain adalah satu bentuk perampasan autoriti Majlis Keselamatan PBB yang bertanggungjawab terhadap keamanan dunia. Apa yang dilakukan oleh AS merupakan salah satu lagi tindakan Washington yang mengugat fungsi PBB dan secara tidak langsung merosakkan reputasi PBB sebagai sebuah pertubuhan yang dihormati.

AS telahpun memenuhi maksudnya. Maka sudah pasti, perang ini akan membunuh dan mencederakan ribuan rakyat Iraq serta sekaligus akan menyebabkan jutaan lainnya menjadi pelarian disamping memusnahkan khazanah Iraq. PMA sebagai sebuah gerakan mahasiswa yang cintakan keamanan, keadilan dan kebenaran sekali lagi menegaskan, walau apapun alasan, dari mana-mana perspektif sekalipun, tindakan ketenteraan AS ke atas Iraq adalah tidak sah. Ringkasnya PMA dalam konteks ini berpendirian untuk bersama-sama dengan masyarakat dunia membantah tindakan ketenteraan ke atas Iraq dan mendesak AS supaya segera menghentikannya sebelum suasana dunia tidak lagi mampu dikawal atau dengan maksud yang jelas meledaknya Perang Dunia ke-3.

Justeru, Segera Hentikan Perperangan !!!

Aliy Nasrallah
Jurucakap PMA
E-Mail: memokampus@yahoo.com
URL: www.memokampus.cjb.net - 22.03.2003


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!