Selamat datang ke gerakan reformasi Tun Dr Mahathir!
Oleh Hishamuddin Rais Petikan drp: MalaysiaKini


"Walaupun saya sudah berusia 80 tahun saya belum lagi nyanyok," – Mahathir Mohamad

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau terpaksa mendedah sepenuhnya kerana kepentingan perusahaan (kereta) negara dan bukan "seperti yang didakwa oleh seorang penulis akhbar berbahasa Inggeris kerana saya tidak dapat AP."

Tandatanya yang tidak kurang menarik ialah siapa yang Mahathir maksudkan apabila bila berkata, “ramai orang cakap benda baik-baik dengan saya, tetapi sebaliknya lawan saya, kemudian kalah dan saya tidak berdendam. Saya ambil mereka dalam kabinet, saya naikkan balik.”

Apakah yang dimaksudkan oleh Mahathir itu merujuk kepada pemilihan tahun 1987 bila mana 'Team A' pimpinannya berentap dengan 'Team B' pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Jika mengambil dalam kontak itu, antara yang terkeluar dari kabinet dan kemudiannya diambil semula ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. (Dipetik dari www.agendadaily.com)

"Jika anak saya dapat sebilangan yang kecil (95 AP) untuk kereta Porsche, ia adalah mengikut syarat. Untuk menjual 50 biji kereta jenama ini tidak mudah. Janganlah seperti dahulu mengaitkan keluarga saya apabila perbuatan yang tidak harus dibuat dilakukan," katanya.
(Petikan sidang akhbar Mahathir Mohamad 26 Julai 2005)

“Allah adalah saksi saya,'' kata Datuk Seri Rafidah Aziz ringkas menjawab dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau telah membuat kenyataan tidak benar berhubung isu permit import (AP).(Dipetik dari Utusan Melayu 28 July 2005.)

Reformasi kembali membara

Dua minggu kebelakangan ini, suasana politik negara menjadi hangat. Bukan kerana keris terpacak dengan laungan agenda Melayu. Atau kerana ada anak-anak muda yang menjerit-jerit bising – hidup Melayu – hinggakan terkontot lidah mereka. Hangat yang saya maksudkan ini ialah kehangatan gerakan reformasi telah mula membara kembali.

Di sini saya ingin menyebarkan berita seluas mungkin tentang arus bawah yang sedang berlaku dalam gerakan reformasi. Saya sedar, pasti ramai kawan-kawan reformasi saya akan menemplak dan memperli saya kerana apa yang hendak saya butirkan ini. Saya juga sedar, pasti kawan-kawan dan 'geng Kamunting' saya akan menjadi hairan dengan garis reformasi yang ingin saya lakarkan. Mungkin ada juga yang akan menempah tempat di Institut Jantung Negara kerana terperanjat dengan apa yang saya nyatakan.

Saya ingin memberitahu kepada umum bahawa Tun Mahathir telah melamar untuk memasuki gerakan reformasi. Saya sendiri secara bersendirian telah menerima Mahathir sebagai aktivis besar gerakan reformasi. Dengan ini, secara terbuka saya mengetuk canang dan memalu gong untuk mengisytiharkan ke seantero negeri tentang kedatangan Tun Mahathir ke dalam gerakan reformasi. Mengalu-alukan Tun Mahathir ini tidak ada bersangkutan dengan kenyataan rasmi dari Mat Sabu, naib presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Memang saya sedar dan telah membaca kenyataan Mat Sabu ini minggu lalu dalam Harakahdaily – laman rasmi parti PAS. Mengikut laporan berita ini, Mat Sabu sedang menyediakan pentas PAS untuk Tun Mahathir berceramah. Malah mengikut kenyataan Mat Sabu ini, besar kemungkinan Tun Mahathir (seperti ramai polis pencen) akan melamar untuk menjadi ahli PAS.

Anak-anak muda penyokong reformasi diminta bertenang dan jangan cepat kontot lidah membuat tuduhan terhadap Tun Mahathir kita ini. Sila selidiki sejarah – pada satu ketika dahulu Tun Mahathir telah pernah berganding bahu memikul loud speaker dan meredah bendang untuk sama berceramah di pentas PAS. Ini bukan tohmahan dari saya. Jika tidak percaya sila tanya saudara baru kita Sankar Pillai a.k.a Chandra Muzaffar seorang pencatat sejarah perjuangan rakyat Kedah.

Melihatkan fakta ini, maka saya merasakan, sebelum Mat Sabu dapat mencuri glamour untuk duduk dan bergambar sepentas dengan Tun Mahathir, adalah lebih baik gerakan reformasi menerima Tun Mahathir sebagai aktivis reformasi terlebih dahulu. Bayangkan jika Mat Sabu dan Tun Mahathir berceramah bersama. Betapa gegak gempitanya sorak sorai penonton. Dijamin penonton tidak akan kering gusi. Lebih hebat dari show Jit Murad dan Harith Iskandar. Mat Sabu dengan pantun Siti Norhaliza akan disambut oleh Tun Mahathir dengan sajak Perjuangan Belum Selesai.

Kerana ini, keterbukaan hati saya untuk menerima Tun Mahathir ke dalam gerakan reformasi berdasarkan fakta-fakta. Tidak ada sentimen untuk menginding ‘pink form’ atau memohon agar lesen AP saya diluluskan. Saya juga tidak bercita-cita hendak menjadi calon YB untuk kawasan Kubang Pasu.

Ahli Kerajaan Langit

Kesediaan menerima Tun Mahathir dalam gerakan reformasi ini dibuat berdasarkan kenyataan-kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang saya anggap selari dengan tuntutan gerakan reformasi. Saya tidak pernah terbaca satu kenyataan yang jujur dari menteri-menteri kabinet semenjak kita mula merdeka lagi. Hanya Tun Mahathir seorang sahaja yang berani menyarankan tentang tugas seorang menteri adalah melihat agar tidak berlaku apa-apa penyelewengan dalam kerajaan.

Kenyataan seperti ini hanya dapat dilafazkan oleh seorang negarawan yang ulung lagi unggul. Ini adalah satu kenyataan jujur lagi menjujurkan. Jika kenyataan jujur ini dibuat di hadapan makam Habib Noh di Singapura besar kemungkinan Tun Mahathir juga akan diterima terus sebagai ahli Kerajaan Langit oleh Ayah Pin. Kenyataan seperti ini selari dengan isi hati dan garis politik reformasi.

Saya juga sedar ada ramai kawan-kawan yang akan terus berdegil dan menentang Tun Mahathir. Mereka ini, kalau disula pun buntut, tidak akan percaya kepada apa sahaja yang dikatakan oleh Mahathir. Saya tegaskan di sini bahawa tuduhan-tuduhan yang menyatakan lidah Mahathir bercabang itu tidak betul. Kenyataan ini melanggar hukum sains-biologi.

Juga, jika benar lidah Tun Mahathir bercabang, orang pertama yang akan membanggakan berita ini kepada dunia pastilah Datin Seri Siti Hasmah. Lidah bercabang adalah tuntutan berahi semua perempuan dalam dunia ini. Tetapi saya tidak pula dapat melihat tanda-tanda kejelitaan Datin Seri Siti Hasmah, seperti seorang perempuan yang sering dijalari oleh dua lidah.

Saya juga amat-amat menyedari beberapa tuduhan melulu pernah dilafazkan terhadap Tun Mahathir, terutama oleh pemimpin Parti Semangat 46. Saya telah mendengar dan membaca bagaimana Tun Mahathir kita ini telah dituduh sebagai seorang Mamak Kutty. Perkara 'mamak' Tun Mahathir ini selalu dijadikan bahan lawak dalam ceramah yang tidak berilmu parti pembangkang. Hanya politikus dan insan-insan yang kekeringan ilmu dan kontot fikrah sahaja yang membawa agenda bangsa-bangsa.

Saya sendiri tidak pernah percaya yang Tun Mahathir ini seorang mamak. Secara terbuka saya menolak tuduhan-tuduhan yang tidak berasas ini. Gerakan reformasi dan seluruh rakyat Malaysia seharusnya memberhentikan fitnah hodoh ini. Mahathir Mohamad bukan seorang mamak. Mahathir adalah ialah seorang Tamil Islam – sama seperti Datuk Seri Samy Vellu. Yang membezakan mereka ialah Samy Vellu beragama Hindu dan Mahathir beragama Islam. Dengan kenyataan ini, saya berharap tuduhan Mahathir Mohamad sebagai ‘Mamak Kutty’ ini ditamatkan.

Mahathir tiru Ezam

Berdasarkan fakta ini, saya akan menulis satu nota bantahan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka menuntut agar peribahasa Melayu yang dianggap mengutuk kaum India diharamkan serta merta. Peribahasa ini amat merbahaya, terutama dalam suasana dunia yang sedang diancam keganasan. Membunuh Keling ini akan disalahtafsirkan sebagai membunuh kafir. Tindakan ganas ini tidak akan memurtabatkan orang Melayu seperti tuntutan Pemuda United Malay National Organisations.

Bagi memastikan peribahasa berbau perkauman ini dapat dilupuskan secepat mungkin, saya juga akan menghantar salinan surat ini kepada Chandra Muzaffar, Datuk Kalimullah dan Datuk Kadir Sheikh Fadzir. Ini bagi memastikan agar mereka juga dapat membuat sesuatu yang positif kerana dalam hal-ehwal peribahasa Melayu, mereka amat berilmu.

Bila saya membaca senarai penerima AP, saya merasa amat-amat kecewa. Saya kecewa kerana anak bekas Perdana Menteri Malaysia kita hanya diberi 95 AP. Jumlah ini bagi saya, adalah satu penghinaan. Bila saya membaca jumlah ini, saya dapat merasakan menteri bertugas telah melakukan satu kesilapan besar. Pemberian yang sedikit ini telah melanggar tatasusila budaya Melayu.

Siapa yang patut kita salahkan? Menteri yang berwajib atau kerana sikap orang Melayu yang tidak pandai bersyukur dan berterima kasih. Apakah 95 AP tanda berterima kasih rakyat Malaysia kepada Bapa Mirzan... oops minta maaf ... Bapa Pemodenan Malaysia. Di sini saya amat bersetuju dengan Tun Mahathir bahawa semua senarai AP ini wajib diberitahu kepada umum. Tuntutan Tun Mahathir agar kerajaan menjadi lebih telus dan demokratik adalah tuntutan gerakan reformasi. Syabas!

Saya juga difahamkan bahawa Tun Mahathir memiliki enam inci lebih surat-surat dan bukti-bukti tentang hal-hal dalaman kerajaan. Saya bersyukur kerana Tun Mahathir kita telah cepat tangan mencuplik data dan dokumen-dokumen negara ini.

Saya hanya mengelamun dan bertanya diri sendiri – apakah strategi ini telah ditiru oleh Mahathir daripada Ezam Mohamad Nor. Kalau Ezam memiliki enam kotak rahsia, termasuk rekod rasuah Rafidah Aziz, kini Tun Mahathir Mohamad Bapak Pemodenan Malaysia – hanya memiliki enam inci dokumen-dokumen rahsia? Apakah ini waras.

Draf buku 50 Dalil

Rasa saya, Tun Mahathir kita ini ada bermacam-macam lagi dokumen tentang kes-kes rasuah menteri, kes Pewaja, kes MAS, kes BBMF, dan pasti juga Tun Mahathir memiliki draf asal dan cetakan pertama buku 50 Dalil yang ditanda tangani oleh pengarangnya. Wow! Cukup hebat dokumentasi ini. Bayangkan selama 20 tahun pastilah dokumen dan surat-surat sulit ini bertimbun-timbun.

Ezam hanya bekerja sebagai setiausaha politik selama dua tahun, tetapi memiliki enam kotak. Jadi, berapa kontena agaknya dokumen kes rasuah yang masih tersimpan oleh Tun kita ini.

Saya mengangkat topi bukan sahaja kerana strategi Tun Mahathir betul, malah taktiknya pun tepat. Tun Mahathir tidak tergopoh-gopoh seperti Ezam yang mengeluarkan kes rasuah Rafidah tanpa perancangan. Ini langkah nafsu anak muda – main pandai, strategi tidak ada. Saya difahamkan Tun Mahathir akan mengeluarkan satu persatu dokumen ini untuk pengetahuan umum. Ini langkah bijak. Dengan langkah ini, pastilah kerajaan Abdullah Badawi ini tidak berani membiawak-busukkan Tun Mahathir seperti yang telah Tun Mahathir sendiri lakukan terhadap Tengku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn. Tengku dan Hussein Onn tidak memiliki akal Keling... ooops maaaf....mereka tidak seperti Samy Vellu. Bijak berdolak-dalik.

Semua penyokong reformasi akan bersetuju menerima fakta bahawa Tun Mahathir ini adalah guru dari semua guru-guru kecuali Guru Nanak. Lihatlah bagaimana Rafidah telah menggunakan 'method acting', sama saperti teknik lakonan yang telah diterokai Tun Mahathir. Pada tahun 50-an dahulu kita ada Neng Yatimah sebagai pelakon air mata. Kini Rafidah telah menjadi bintang air mata – mengikut teknik lakonan Tun Mahathir yang menangis untuk meraih simpati sebelum diludahi rakyat.

Rasa saya teknik mengeluarkan air mata secara spontan ini wajib dipatenkan sebagai hak intelektual Tun Mahathir. Bayangkan betapa banyaknya duit royalti yang akan diterima dari artis-artis Hollywood dan Bollywood. Teknik menangis ini patut juga dicadangan kepada Pemuda United Malay National Organisations agar mereka dapat menjadikan ianya sebagai satu agenda Melayu. Ini penting kerana 15 tahun dari hari ini, jika 30 peratus ekonomi Malaysia masih lagi tidak dimiliki Melayu, maka Pemuda United Malay National Organisation boleh menangis beramai-ramai meminta simpati dari cukong-cukong Cina.

Dengan penerangan ini, saya berharap kawan-kawan dari gerakan reformasi akan bersedia menerima Tun Mahathir sebagai aktivis reformasi. Saya amat yakin Mahathir tidak pernah nyanyok. Dan saya berani bersumpah, semua yang saya tulis ini tidaklah benar melainkan benar. Saya tidak berani merekrut Allah sebagai saksi seperti yang dibuat Rafidah. Juga saya belum mandi junub lagi untuk menangis bersumpah sambil mengusik-usik al-Quran. Percayalah siapa makan biawak tahulah lidah siapa yang bercabang.

Sumber: MalaysiaKini
Kiriman: WM Rasmi LR - 31.07.2005
(Emel M@RHAEN: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.