Antara Kekejaman PDRM dan Kekejaman Tentera Penceroboh Iraq
Afidavit Dr. Munawar Anees - Bahagian 2


PENGAKUAN BERSUMPAH DR. MUNAWAR AHMAD ANEES - BHG 2

51. Terdapat sebuah tempat duduk plastik berbentuk kon berkembar di hadapan meja tersebut. Saya duduk di atasnya dan mendapati ianya tidak stabil, bergerak-gerak dan bergoyang walaupun dengan sedikit pergerakan. Saya tidak dapat duduk dengan betul di atas tempat duduk tersebut dan salah seorang daripada dua orang Cina tersebut menengking saya supaya duduk dengan betul. Saya cuba menerangkan keadaannya tapi belum pun sempat saya menyatakan sesuatu, dia menengking saya "Belajar sedikit adab, jika tidak awak akan mengalami kesusahan". Saya memohon maaf terhadapnya dan berkata, "Maaf tuan, tempat duduk ini tidak stabil".

52. Kemudian dengan tiba-tiba saya dihujani dengan berbagai-bagai soalan. Seorang penyoal-siasat memberikan satu soalan, sedang saya menjawabnya, seorang lagi menanya saya dengan soalan yang kedua. Saya pun menghadap pegawai yang kedua dan pegawai yang ketiga pula menyerang saya dengan soalan lain. Saya pun menghadap pegawai ketiga dan pegawai pertama pula menengking saya meminta jawapan kepada soalannya. Ketika saya cuba memikirkan kembali di antara soalan pertama, kedua dan ketiga, pegawai yang keempat pula akan mencelah dengan soalan yang lain pula. Soalan-soalan tersebut tidak pernah ada hubung-kait, tidak ada hubungan di antaranya walaupun ianya mengenai butiran peribadi saya, mengenai pekerjaan saya, sesuatu mengenai segalanya tetapi tidak ada bayangan langsung mengenai aktiviti subversif atau jenayah. Cara soalan-soalan ditanya adalah konsisten sepanjang sesesi soal-siasat, walaupun ada ketika penyoal-siasat keluar daripada bilik meninggalkan dua orang, dan ada ketikanya seorang penyoal-siasat. Saya hanya boleh mengagak yang mereka pergi berehat tetapi saya tidak pernah diberikan rehat langsung.

53. Ketika semua ini berlaku, saya terdengar pintu ditendang buka dengan ganas. Saya berpaling ke belakang dan nampak seorang lelaki berjalan masuk. Keempat-empat lelaki di sebalik meja berdiri tegak. Lelaki yang berjalan masuk membawa satu fail tebal yang berat. Dia berjalan ke arah saya dan memukul belakang kepala saya degan fail tersebut dan menjerit ke arah saya menyatakan mereka telah tahu kesemuanya dan saya tidak perlu berselindung atau mengelirukan mereka. Dia berkata yang mereka telah tahu semua perkara yang telah saya lakukan dengan Anwar. Apabila saya cuba membantah yang saya tidak melakukan apa-apa kecuali menolong Anwar menulis ucapan, pegawai tersebut berkata dengan cara mengugut, "Saya memberikan awak 24 jam. Dalam jangka masa tersebut, berikan apa yang kami mahu atau kami akan bersikap kasar dengan awak". Dia menambah yang ketua-ketuanya mahukan maklumat daripada saya dalam masa 24 jam, bahawa mereka mesti menyelesaikan perkara ini pada esok hari. Beliau kemudiannya memukul belakang kepala saya sekali lagi dengan fail tersebut, menghentakkan kakinya di atas lantai dan menjerit "Hidup Malaysia", berpusing dan meninggalkan bilik. Pintu bilik dihempas rapat.

54. Apabila pegawai tersebut meninggalkan bilik, pegawai yang kelihatan seperti berbangsa India di meja tersebut menuding jarinya ke arah saya dan memberi amaran bahawa pegawai yang baru keluar tadi adalah seorang pegawai tinggi dan menambah "Awak tahu apa yang dia kehendaki. Dia mahukan fakta, maklumat. Kami mahukan fakta". Saya sekali lagi membantah yang saya tidak pernah melakukan sesuatu kesalahan tetapi mereka tidak berminat dengan bantahan saya dan meneruskan leteran mereka terhadap saya. Mereka bergilir-gilir menyoal tentang butiran peribadi saya, pekerjaan saya, dan selalu menyelitkan amaran di antara soalan-soalan mereka yang penahanan saya adalah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana saya telah menjadi ancaman kepada keselamatan Malaysia. Di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), saya tidak boleh diikat jamin dan tidak ada peguam yang boleh berjumpa saya.

55. Mereka kemudian akan menukar suasana dengan memberitahu saya yang ISA bukannya bersifat hukuman tetapi pencegahan, mereka terpaksa menggunakannya untuk mengelakkan apa yang boleh dianggap sebagai mengancam keselamatan negara, dan saya tidak perlu malu untuk berhadapan dengan mereka. Mereka pernah menahan Ahli Parlimen, Menteri Besar dan orang-orang yang berprofil tinggi. Mereka memberitahu saya mengenai percubaan seorang lelaki bernama Kitingan yang telah cuba menarik keluar keahlian (Sabah) daripada Malaysia.

56. Di antara cacian, ugutan dan nasihat, pegawai Melayu tersebut cuba mengagumkan saya dengan pengetahuannya tentang Bahasa Urdu dengan menggunakan satu atau dua perkataan atau menyanyi sepotong lagu Hindustan.

57. Saya asyik memberitahu mereka, apabila mereka membenarkan saya, bahawa saya tidak pernah membuat apa-apa percubaan untuk menggugat Malaysia, bahawa saya tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah dan saya tidak faham mengapa saya ditahan dan mengapa mereka melayan saya dengan cara yang amat memalukan dan menjatuhkan maruah. Mereka tidak pernah menjawab soalan saya tetapi selalu memusingkan keadaan dengan memberitahu saya yang saya berada di sebuah persimpangan dan penahanan saya adalah satu rahmat terhadap saya dan keluarga saya. Salah seorang daripada empat pegawai tersebut selalu memberi amaran sekiranya saya tidak bekerjasama, saya akan ditahan di pusat tahanan selama 2 tahun dan penahanan tersebut boleh ditambahkan lagi setiap 2 tahun. Saya berulang kali diberitahu yang saya tidak akan berjumpa dengan keluarga saya lagi dan saya patut bersyukur dengan peluang ini sementelah semua orang memberikan saya peluang.

58. Saya tidak memahami apa yang mereka mahukan daripada saya dan apakah dia peluang yang mereka berikan kepada saya. Apabila saya beritahu mereka tentang perkara ini, mereka kemudiannya menekan berulang kali bagaimana orang-orang kanan telah ditahan untuk pemulihan mereka. Mereka memberi amaran bahawa tanggapan yang saya tidak bersalah adalah pemikiran saya sahaja dan tidak semestinya betul, tetapi bagi orang lain atau dia (pegawai penyoal-siasat), saya telah melakukan kesalahan. Mereka memberi amaran kepada saya bahawa ISA adalah untuk melatih kembali pemikiran saya ke arah kebaikan, memberikan peluang kepada saya untuk menyedari kesalahan saya dan memberi peluang kepada saya untuk bertaubat. Mereka berulang kali menekankan yang saya tidak boleh berbohong kerana mereka telah tahu segala-galanya dan tanggapan saya terhadap peristiwa dan idea adalah salah. Mereka berkata yang mereka akan membetulkan saya dan saya mesti menerima tanggapan mereka. Mereka memberi amaran yang mereka mahukan kerjasama saya dan sekiranya saya bekerjasama, soal-siasat ini akan berakhir dengan cepat dan saya akan dibebaskan. Tetapi, jika saya tidak bekerjasama, saya akan dihantar ke pusat tahanan dan berakhirlah penghidupan saya dan penghidupan keluarga saya.

59. Amaran-amaran ini diberikan berulang kali kepada saya setiap kali saya penat daripada soalan-soalan yang tidak henti-henti dilemparkan kepada saya. Mereka tidak henti-henti menyoal-siasat saya atau memberi ugutan dan amaran walaupun mereka tahu mengenai keadaan kesihatan saya dan tahap kepenatan yang saya alami.

60. Saya hanya makan sedikit sahaja semenjak penahanan saya pada awal pagi 14 September 1998. Saya tidak dapat berehat langsung atau tidur dan tidak tahu masa. Saya jatuh sakit. Penyoal-siasat saya tidak menghiraukan langsung keadaan saya. Pada satu ketika pada waktu malam atau awal pagi, sebelum saya dihantar kembali ke bilik kurungan, mereka mula menyoal saya sama ada saya tahu mengapa saya berada di tangan mereka. Saya memberitahu mereka yang saya tidak tahu dan mereka kemudiannya memberitahu saya ianya ada kaitan dengan Anwar. Apabila saya memberitahu mereka yang saya adalah penulis ucapan Bahasa Inggerisnya, mereka menjawab yang mereka tahu. Mereka kemudiannya menyuruh saya memikirkan keadaan diri saya dan saya mesti menolong mereka dan negara. Mereka akan memberitahu saya bagaimana caranya.

61. Saya tahu yang saya tidak melakukan sebarang kesalahan dengan menjadi penulis ucapan Anwar dan kawannya. Mereka kemudiannya bergilir-gilir menengking saya, menjerit atau memberikan nasihat yang tanggapan saya adalah salah dan mereka akan memberitahu saya bagaimana hendak membantu mereka dan negara.

62. Mereka akhirnya menyuruh saya memikirkan keadaan diri saya dan akan berjumpa dengan saya lagi nanti.

63. Selepas berjam-jam menjalani sesesi soal-siasat yang kasar dan mengaibkan, saya sekali lagi ditutup mata, digari dan dipimpin menuruni 5 tingkat anak tangga ke bilik kurungan saya. Saya ditolak masuk dan penutup mata dan gari saya dibuka.

64. Saya baru sahaja berada di dalam bilik kurungan saya selama beberapa minit apabila tetingkap pintu dibuka dan seseorang menjenguk melaluinya dan mengejek saya. Orang itu memperkatakan sesuatu di dalam Bahasa sebelum menghempas tutup tetingkap pintu tersebut.

65. Saya tidak tahu pukul berapa pada waktu itu. Saya hanya boleh mengagak yang ianya sudah semestinya pagi 15 September 1998. Saya begitu kepenatan. Saya cuba berehat di atas pangkin kayu tersebut tetapi tidak berjaya kerana cahaya lampu di atas yang amat terang dan bunyi bising daripada kipas pengudaraan tersebut.

66. Pintu bilik kurungan saya diketuk dengan kuat sekali dan sekali lagi nombor saya dipanggil dan pintu dibuka. Saya sudah pun berdiri. Saya diarahkan untuk mandi. Dalam keadaan kebimbangan, kebingungan dan kepenatan, saya dipimpin keluar menuju bilik mandi, kepala saya dipaksa tunduk. Air daripada paip di atas kepala amatlah sejuk. Apabila saya baru sahaja mulakan mandian, saya disuruh berhenti dan keluar. Saya tidak pun mempunyai kesempatan untuk mengeringkan badan tetapi cepat-cepat memakai seluar tidur dan baju-T. Saya terlupa untuk menutup suis lampu sekali lagi dan diherdik sekali lagi disebabkan perkara tersebut. Saya dipimpin kembali ke bilik kurungan dengan kepala ditundukkan. Pakaian saya semuanya basah dan tidak selesa. Ditambah pula dengan cahaya lampu yang amat terang dan bunyi bising daripada kipas pengudaraan, saya tidak dapat tidur.

67. Sebentar kemudian, ada ketukan di pintu saya. Tradisi memanggil nombor dan pintu dibuka diulangi. Saya disuruh meletakkan mangkuk plastik saya di luar pintu. Saya menurutinya dan seorang pengawal menuangkan teh-O ke dalamnya. Sepotong roti putih diletakkan di atas jerjak besi di tetingkap pintu dan saya disuruh mengambilnya. Saya membawa mangkuk dan roti tersebut ke dalam bilik kurungan saya. Ini adalah sarapan pagi saya.

68. Sebentar kemudian nombor saya dipanggil lagi dan seorang lelaki berjalan masuk ke dalam bilik kurungan saya. Dia menyoal saya sama ada saya mengingatinya. Dia memberitahu saya bahawa dialah "Mr Nice Guy". Dia memberitahu saya yang dia akan membawa saya ke hospital.

69. Sakit dada yang saya alami, degupan jantung saya yang laju, sesak nafas dan kekebasan tangan saya berterusan daripada pagi 14 September 1998 hingga ke sesesi soal-siasat semalam.

70. Sekali lagi mata saya ditutup dan tangan saya digari. Saya dipimpin turun dua tingkat. Saya kemudiannya dimasukkan ke dalam sejenis kenderaan. Saya tidak dapat melihat keluar dan ikatan mata dan gari saya tidak dibuka sepanjang perjalanan. Apabila van tersebut berhenti, seorang datang ke belakang kenderaan dan membuka ikatan mata dan gari saya. Saya nampak pegawai yang memanggil dirinya "Mr Nice Guy" yang telah melakukannya. Dia memberi amaran kepada saya bahawa ini adalah satu keistimewaan khas yang telah diberikan kepada saya dan menyuruh saya berkelakuan baik ketika berjumpa dengan doktor. Dia memberi amaran kepada saya yang saya di bawah pengawasan mereka sepanjang masa.

71. saya hanya boleh mengagak yang waktu sekarang adalah selepas pukul 8.00 pagi.

72. Apabila saya mula-mula dikeluarkan dari van, cahaya matahari mengganggu penglihatan mata saya. Saya nampak papan tanda Perkhidmatan Kecemasan Hospital Besar, Kuala Lumpur. Terdapat empat orang pegawai polis mengelilingi saya. Saya dibawa berjumpa doktor perempuan yang memakai tag nama, saya fikir, dibaca 'Dr Shymala Devi'. Nombor saya diberikan kepada doktor. Mereka juga telah memberikan sebuah fail yang ada pada mereka kepadanya. Saya dihantar untuk ECG dan ujian air kencing. Saya juga membuat X-ray dada dan kemudiannya dibawa kembali berjumpa doktor yang sama. Beliau melakukan pemeriksaan fizikal secara sepintas lau dan memberikan saya lima jenis ubat yang mana diserahkan kepada pegawai polis. Saya dibawa kembali ke van. Apabila berada di dalam, sekali lagi mata saya ditutup dan tangan saya digari, dan kemudiannya dihantar kembali ke bilik kurungan.

73. Mereka membiarkan saya bersendirian sebentar dan selepas itu mereka membawa masuk satu bungkusan kecil nasi dengan seketul ikan goreng yang sekali lagi mempunyai rasa yang tengit dan tidak boleh dimakan. Saya memaksa diri saya untuk memakannya sedikit tetapi rasa loya, tidak selesa dan ringan kepala sebaik memakannya.

74. Selepas "makan tengah hari", saya dikeluarkan sekali lagi dari bilik kurungan selepas ditutup mata dan tangan digari. Saya dibawa naik 50 anak tangga ke bilik soal-siasat semalam. Keempat-empat pegawai yang sama berada di situ. Sikap mereka, pada mulanya, amat berlainan sekali. Mereka mulakan perbualan mengenai hospital, bagaimana mereka menjaga saya dan bagaimana mereka tidak mengambil sebarang peluang dengan saya. Seorang daripada mereka menyuruh saya duduk. Kerusi tersebut tidak stabil dan saya mengatakan kepada mereka yang saya lebih suka berdiri. Saya terus berdiri. Selepas beberapa lama, saya diberikan sebuah kerusi lain.

75. Pada mulanya perbualan awal mengenai ubat yang telah diberikan kepada saya di hospital pagi tadi. Selepas itu salah seorang daripada mereka memulakan sesesi soal-siasat. Beliau menanyakan sama ada saya telah memikirkan mengenainya dan bagaimana saya dapat membantu mereka dan negara. Saya menjawab dengan menyatakan Journal yang telah saya mulakan dan bagaimana ianya telah meletakkan Malaysia di atas peta dunia. Mereka menyuruh saya berhenti dan memberi amaran yang saya berada di haluan yang salah. Mereka menyuruh saya menumpukan perhatian terhadap Anwar.

76. Saya masih belum dapat memahami apa yang mereka mahukan daripada saya mengenai Anwar dan saya bertanya kepada mereka. Akhirnya salah seorang daripada mereka menanya saya sama ada saya telah membaca afidavit-afidavit yang telah disiarkan di dalam surat khabar mengenai Anwar. Saya menjawab "Ya" tetapi tidak secara terperinci. Salah seorang daripada mereka menyatakan kepada saya yang adanya terdapat tuduhan-tuduhan seks terutamanya homoseks terhadap Anwar di dalam afidavit-afidavit tersebut. Saya memberitahu mereka sepanjang pengetahuan saya, Anwar tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti-aktiviti seks dan sepanjang masa saya mengenali Anwar selama bertahun-tahun, beliau sentiasa berkelakuan jujur. Saya memberitahu mereka adalah senang untuk membuat sesuatu tuduhan. Mereka mengatakan kepada saya yang mereka akan menunjukkan bukti kepada saya. Mereka menyuruh saya berfikir dan menumpukan perhatian terhadap aktiviti-aktiviti homoseks. Saya bertanya sama ada mereka melakukan tuduhan terhadap saya. Mereka menafikannya dan hanya menyuruh saya memikirkannya. Mereka berkata yang pegawai kanan mereka mahukan keputusan dan apabila mereka mendapat keputusan mereka akan membenarkan saya tidur dan tidak akan mengganggu saya lagi. Saya memberitahu mereka yang saya tidak pernah mempunyai hubungan homoseks sepanjang hidup saya. Mereka kata mereka tahu mengenainya dan itu adalah tanggapan saya tetapi tanggapan saya adalah salah. Mereka terpaksa melatih fikiran saya semula untuk menentukan apa yang benar dan salah, dan mereka akan menunjukkan kepada saya bagaimana caranya. Sekali lagi mereka bercakap bagaimana ISA diwujudkan untuk menolong pemulihan fikiran dan orang. Mereka berkata yang mereka tidak mahu gagal dengan saya dan menghantar saya ke pusat tahanan. Mereka berkata yang keluarga saya akan hancur sekiranya perkara tersebut berlaku.

77. Buat pertama kalinya dalam sesesi itu mereka menimbulkan ugutan mengenai agen-agen Amerika di Malaysia. Mereka berkata yang agen-agen Amerika berada di sini dan bekerjasama dengan mereka dan telah pun memeriksa latar belakang saya dengan berpandangan untuk membatalkan penantian permohonan kerakyatan Amerika dan memansuhkan kad hijau saya.

78. Selama berjam-jam, sesesi soal-siasat tersebut berkisar mengenai pemulihan saya, melatih kembali pemikiran saya, situasi saya dan kebahagiaan keluarga saya, kebebasan saya, pembatalan penantian permohonan kerakyatan Amerika saya, dan kemuncaknya dihalau keluar dari Malaysia. Saya asyik diingatkan yang saya boleh menolong negara, bahawa Anwar adalah ancaman dan pegawai kanannya mahukan keputusan. Stail mereka selalunya sama dengan keempat-empat mereka menyoal saya dan tidak membenarkan saya untuk memikirkan semasak-masaknya dan menjawabnya.

79. Semasa soal-siasat berjalan, seorang atau lebih daripada keempat-empat pegawai tersebut tanpa amaran, menggunakan bahasa lucah. Seorang akan membuat kenyataan seperti "Anwar fuck, you fuck" dan yang lainnya ketawa. Seorang yang lain akan membuat kenyataan yang merendahkan maruah mengenai orang Punjabi sebagai "big fuckers" dan menawarkan saya sebatang rokok.

80. Saya selalu berasa ringan kepala selepas menghisap satu daripada rokok-rokok mereka.

81. Soal-siasat tersebut kemudian bertukar kembali mengenai pekerjaan saya, kelemahan saya sebagai seorang pendatang asing di Malaysia, keluarga saya, dan kemudian secara tiba-tiba bertukar kembali kepada kelucahan dan Anwar dan hubungan homoseks. Mereka membuat kenyataan yang tidak sopan, menanya saya mengenai saiz kemaluan saya dengan menggunakan perkataan-perkataan seperti "dick", "cock". Mereka menanya saya mengenai kepanjangannya, diameternya, dan menanya saya sama ada saya ingin memasukkannya ke dalam punggung seseorang. Mereka bertanya apa rasanya sekiranya "daging" seseorang "ditujah masuk ke dalam punggung saya", sama ada saya ingin memasukkan "daging" saya ke dalam punggung seseorang, bahawa mereka boleh menyediakan "nya" dan segala-galanya di situ, bahawa apabila saya dihantar ke pusat tahanan, saya akan diperlakukan "begitu" dengan kerap.

82. Pertukaran topik soal-siasat ini berterusan tanpa reda sepanjang masa saya berada bersama mereka. Kecuali untuk jangka masa pendek ketika saya berada di bilik kurungan, soal-siasat seperti itu tidak pernah ketinggalan. Satu ketika pada hari yang kedua, seorang penyoal-siasat baru menyertai pasukan itu tetapi soal-siasat tersebut selalunya dijalankan oleh empat orang mereka pada satu-satu masa. Secara beransur-ansur mereka memperkenalkan nama Anwar semakin banyak di dalam pembulian mereka dan menggunakannya secara lebih aktif dengan gambaran yang tidak sopan mengenai hubungan homoseks dan bukan homoseks. Mereka mula membuat cadangan yang Anwar suka hubungan homoseks. Mereka menyuruh saya memikirkan mengenai hubungan homoseks, mengenai "fucking" Anwar, mengenai Anwar "fucking" saya. Mereka menyuruh saya mengerang seperti saya sedang diliwat dan menyukainya. Di dalam situasi tersebut, saya berada di dalam tangan mereka, saya tidak mempunyai pilihan melainkan untuk mengerang dan mengeluh seperti mana penangkap-penangkap saya mahukannya. Saya berlakon seperti mana yang mereka kehendaki. Mereka adalah pembuli dan saya berada di tangan mereka. Mereka menanya saya sama ada saya menghisap kemaluan lelaki dan menyuruh saya berlagak menghisap sebatang "lollipop" yang besar. Mereka menanya saya sama ada saya pernah melihat kemaluan Anwar dan menyuruh saya berlagak menghisap kemaluan "TPM", seperti mana salah seorang daripada pegawai tersebut menyebutnya tanpa segan silu. Apabila saya berlakon watak-watak yang amat menjatuhkan maruah dan mengaibkan yang mereka berikan kepada saya, mereka ketawa dan menanya sama ada ianya seronok.

83. Ketika berakhirnya hari kedua, soal-siasat yang berjam-jam lamanya, kekurangan tidur dan kekurangan makanan yang elok telah menyebabkan saya benar-benar tidak ketahuan dan amat penat. Kesihatan saya semakin teruk dan saya amat merisaukan keadaan keluarga saya.

84. Saya hanya diberikan ubat apabila para penangkap saya teringat untuk memberikannya.

85. Saya mengingati soal-siasat hari kedua berakhir dengan penyoal-siasat saya memberi amaran kepada saya untuk memikirkan mengenai apa yang mereka telah katakan dan mereka akan berjumpa dengan saya sekejap nanti. Mereka berkata yang saya boleh berikan hadiah yang hebat kepada negara dan negara akan berterima kasih kepada saya selamanya. Kata-kata perpisahan mereka sebelum berpisah, dengan senada, "Fuck Anwar". Saya kemudiannya digari, ditutup mata dan dipimpin kembali ke bilik kurungan.

86. Saya tidak mempunyai sebarang idea mengenai masa.

87. Bilik kurungan saya tidak mempunyai sebarang bantal ataupun sebarang benda yang boleh menyerupai keselesaan. Pangkin kayu tersebut yang merupakan katil saya adalah separuh daripada ketinggian saya. Sekiranya saya berbaring panjang, separuh daripada badan saya tergantung di sebelah sana. Cara yang boleh saya buat ialah dengan tidur merekot. Cahaya lampu dan bunyi daripada kipas pengudaraan membuatkan tidur saya mustahil.

88. Dinding bilik kurungan saya adalah tebal dan seperti kalis bunyi.

89. Setipa kali saya disuruh berjalan di koridor di luar bilik kurungan saya, kesunyian tempat itu mengerikan saya. Saya tidak dengar sebarang bunyi kecuali bunyi batuk sekali-sekala dan oleh itu saya dapat rasakan adanya orang lain di bilik kurungan bersebelahan dengan saya.

90. Ketika berbaring dalam keadaan merekot, saya hanya dapat memikirkan kembali apa yang penangkap-penangkap saya berulang kali katakan pada saya : aksi seks yang mereka suruh saya lakonkan, situasi lemah yang saya alami sekarang, isteri saya dan anak-anak saya. Saya berulang kali memikirkan mengenai agen-agen Amerika yang telah diberitahu kepada saya yang sedang bekerjasama dengan para penangkap saya dan memikirkan apakah pembohongan yang telah mereka berikan kepadanya. Di dalam kesunyian itu, di bilik kurungan keseorangan dan jauh berbeza daripada suasana normal, kebenaran dan saya semakin rasakan yang tidak ada orang yang dapat menolong saya atau keluarga saya. Kami tidak mempunyai wang, tidak ada simpanan, tidak mempunyai apa-apa. Saya berfikir tentang ditahan tanpa had, kehilangan pekerjaan saya, keluarga saya melarat dan keseorangan di negara asing, pengaruh yang ada pada Polis Malaysia terhadap kerajaan Amerika untuk membatalkan permohonan kerakyatan Amerika saya. Saya terfikir mengenai kepapaan, mengenai dihalau keluar daripada negara tanpa apa-apa bantuan. Saya terfikir mengenai kesemua ini, mengenai tidur, mengenai makanan, sayang saya terhadap keluarga saya dan saya pun terus menangis.

91. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi saya benar-benar ketakutan. Saya rasakan yang saya ini sudah tidak mempunyai harapan dan amat lemah.

92. Saya amat takutkan ketukan di pintu dan panggilan nombor '26'. Tetapi ia datang tanpa dapat dielakkan untuk waktu mandi saya. Sekali lagi saya lambat menyahutnya dan sekali lagi saya dimarahi seperti seorang kanak-kanak. Saya dibawa jalan dengan kasar di koridor, dengan kepala saya ditundukkan ke bawah, masuk ke dalam bilik mandi. Sekali lagi saya disuruh keluar dengan segera dari bilik mandi, mandian saya tidak habis dan dihantar kembali ke bilik kurungan.

93. Sekejap kemudian saya diberikan sarapan. Ianya adalah teh-O tawar di dalam mangkuk plastik dan sepotong roti putih kosong yang diletakkan di atas jerjak besi tetingkap pintu untuk saya ambil seperti seorang pengemis.

94. Ada ketukan lagi dan nombor '26' dipanggil lagi, walaupun saya begitu penat, saya berdiri tegak menunggu penangkap saya. Kali ini mereka datang dengan ikatan mata dan gari, dan mata saya ditutup dan tangan saya digari sekali lagi, berselang-seli dipimpin, diarahkan haluan dan diheret dengan gari menaiki 50 anak tangga. Apabila tiba di anak tangga yang ke 50, ikatan mata saya dibuka dan pengawal membuat isyarat yang tidak sopan dengan tangan dan jarinya dan menolak saya melalui pintu. Saya tidak disuruh berpusing ke kiri seperti sebelumnya tetapi diheret melalui pintu-pintu yang berliku sepanjang koridor yang gelap cuma diterangi oleh cahaya merah, seperti di dalam bilik gelap jurufoto yang jauh. Saya begitu takutkan perasaan saya yang adanya jurang gelap di sebelah koridor di bahagian kanan saya dan takut tersalah langkah dan jatuh ke dalam sebuah kekosongan. Saya dibawa melalui pintu yang terakhir dan berjalan masuk ke dalam sebuah bilik yang seperti sebelumnya dilimpahi dengan cahaya yang amat terang.

95. Terdapat seorang lelaki duduk bersendirian di meja. Saya tidak pernah berjumpa dengannya sebelum ini. Dia menyuruh saya duduk. Saya menurutinya dan kemudian dia menanyakan sejarah hidup saya. Saya teramat penat untuk membantah atau menanya mengapa mereka bertanya mengenai maklumat yang sama berulang kali. Dia menulis kesemuanya. Dia menanya saya mengenai kesemua perkara yang telah saya lakukan, zaman kanak-kanak saya, pelajaran saya, pekerjaan saya, keluarga saya, segala-galanya. Ianya adalah satu sesesi panjang yang amat memenatkan. Kesemuanya ditanya "Mengapa?". Hinggakan kepada kelahiran anak-anak saya ditanya "Mengapa? Mengapa mereka dilahirkan?", atau kematian ayah saya, "Mengapa? Mengapa dia mati?" Sekali-sekala pegawai ini membuatkan saya dalam keadaan sungguh terdesak dan putus asa. Tetapi beliau tidak berhenti dan terus menyoal saya.

96. Sekali-sekala semasa soal-siasat, keempat-empat pegawai asal masuk ke bilik dan menyertai pegawai kelima ini. Mereka kemudian mengambil-alih sesesi soal-siasat ketika pegawai yang kelima keluar dari bilik. Keempat-empat mereka kembali kepada trend seperti dua hari yang lalu. Mereka memberi amaran kepada saya, mengugut saya dan membuli saya secara bergilir-gilir. Mereka memberikan soalan-soalan kepada saya tetapi tidak menunggu jawapannya. Setiap seorang memintas soalan yang seorang lagi dan sentiasa mengganggu saya berfikir. Saya diberi amaran yang saya telah pun dibuang kerja, para penyiasat Amerika telah pun menyelesaikan kerja-kerja mereka dan akan pulang tidak lama lagi dengan cadangan yang kad hijau dan permohonan kerakyatan saya dimansuhkan, bahawa saya masih mempunyai masa untuk bekerjasama demi menyelamatkan diri saya dan keluarga saya, bahawa mereka akan beritahu saya bagaimana saya boleh menolong negara dan diri saya. Mereka asyik memberitahu saya bahawa tanggapan saya adalah salah, saya telah lupa, dan saya mesti mendengar kepada mereka. Pembulian berkisar sekitar kemaluan saya, panjangnya dan saiznya, organ kemaluan manusia, kemaluan wanita dan seks dubur. Mereka tidak pernah berhenti daripada bercakap mengenai seks, berulang kali menyatakan yang mereka hendak "fuck" Anwar. Mereka menyuruh saya memperaksikan seks dubur dengan berbaring di atas lantai. Mereka menyuruh saya pertama sekali "fuck" seseorang dan kemudiannya di "fuck" oleh seseorang. Mereka menyuruh saya mengerang dan mengeluh ketika saya melakonkannya.

97. Pegawai yang kelima masuk kembali dan menyertai keempat pegawai asal. Dia mengambil-alih menyoal saya tapi kali ini dengan pendekatan baru yang berbeza. Beliau berkata yang beliau pernah pergi ke Pakistan, mengatakan yang seks di sana adalah bersifat penindasan dan mundur. Beliau berkata bahawa hubungan homoseks adalah satu jenis cara hidup di Pakistan dan mencadangkan yang saya sepatutnya berkongsi cerita pengalaman saya dengan mereka.

98. Ianya semakin jelas yang rutin ini dan leteran panjang akan berterusan selamanya. Kebenaran dan penafian saya tidak membawa ke mana. Saya berasa seperti hendak jatuh pengsan dan tidak berupaya untuk meneruskan. Saya tahu yang saya terpaksa mengikut permainan mereka.

99. Pegawai kelima mengambil keluar sebatang rokok daripada satu pek di poketnya dan menawarkannya kepada saya. Saya sentiasa diberikan rokok daripada pek hitam. Pegawai-pegawai apabila merokok selalunya seperti mengambil rokok daripada pek-pek yang lain. Rokok tersebut selalu berasa pelik tetapi sedap. Setiap kali saya merokok dengan rokok yang mereka berikan, saya berasa ringan kepala yang pelik dan "khayal".

100. Dia mencadangkan kepada saya bahawa itu adalah perkara biasa di Pakistan. Saya memandang ke arahnya. Dia merenung saya dan menudingkan jarinya ke punggung saya. Saya begitu kepenatan. Saya menganggukkan kepala saya. Dia tersenyum dan berkata "bagus". Ianya sekarang menjadi urutan di mana mereka menanyakan soalan dan saya mengangguk akur dan apabila mereka menanyakan butiran, saya pun mereka apa yang mereka suka. Secara beransur-ansur mereka mengadakan sebuah cerita mengenai "Parvez" yang tidak wujud dan beberapa kawan universiti. Mereka mahu saya menjadi teman yang aktif dan menekankan sifat tersebut di dalam cerita Parvez. Saya menafikannya tetapi mereka tidak mahu menerimanya langsung dengan menyatakan bahawa ianya adalah cara hidup orang Pakistan.

Bersambung ke bahagian 3          (Bahagian 1)

Terjemahan: Keris Tamingsari dipetik daripada:
http://members.tripod.com/~jufree/Html/Affidavit1.html
Sumber Asal : http://members.tripod.com/~bantahan/anees.htm
Suntingan M@RHAEN  - 08.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN