Antara Kekejaman PDRM dan Kekejaman Tentera Penceroboh Iraq
Afidavit Dr. Munawar Anees - Bahagian 4/Akhir


PENGAKUAN BERSUMPAH DR. MUNAWAR AHMAD ANEES - BHG 4/AKHIR

151. Sekali lagi saya telah diarahkan untuk mandi pada awal pagi dalam keadaan tergesa-gesa dan kemudian diberikan teh dan sepotong roti. Tetapi tidak seperti hari-hari yang sebelumnya, saya tidak dibawa terus ke bilik soal-siasat. Sebaliknya saya ditinggalkan bersendirian di bilik kurungan saya.

152. Beberapa lama kemudian, salah seorang daripada pengawal masuk ke dalam bilik kurungan saya dan memberitahu saya yang mereka hendak membawa saya keluar. Saya tidak memahami maksud beliau. Dia memberikan kepada saya pakaian dan selipar yang saya telah pakai ketika saya ditangkap dan menyuruh saya mengenakan pakaian.

153. Saya sekali lagi telah digari dan ditutup mata dan dipimpin keluar dari bilik kurungan. Saya rasa saya telah dibawa turun satu atau dua tingkat dan kemudian dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan. Saya dapat mengingat yang kenderaan tersebut bergerak untuk jangka waktu yang panjang. Ia kemudiannya berhenti dan saya mendengar sebuah pintu dibuka dan seketika kemudian penutup mata saya dibuka. Saya sedar yang saya telah berada di dalam sebuah van yang mempunyai tingkap gelap yang lebih besar daripada biasa. Mereka kemudiannya terus menggantikan penutup mata saya dengan sepasang kaca mata yang "kabur" yang tidak membenarkan mata saya memfokus.

154. Mereka kemudiannya memindahkan saya ke tempat duduk belakang sebuah kereta proton. Saya dihimpit oleh dua orang pegawai. Kereta tersebut bergerak dan selepas berjalan sebentar, seseorang secara tiba-tiba membuka kaca mata kabur saya. Saya sedar yang kami berada dekat dengan kawasan Bangunan Sultan Abdul Samad. Salah seorang pegawai di sebelah saya meletakkan satu jaket di atas gari tangan saya, saya rasakan untuk menyelindunginya. Saya perasan yang kereta tersebut dipandu dalam keadaan tidak tentu arah. Salah seorang pegawai menekan saya turun ke tempat duduk supaya saya tidak boleh dilihat.

155. Apabila kereta berhenti, saya sedar yang saya berada di Bukit Aman. Saya disuruh keluar dari kereta dan salah seorang pegawai membuka gari tangan saya. Saya kemudiannya nampak salah seorang pegawai kanan yang telah menyoal-siasat saya berjalan ke arah kereta. Dia bercakap dengan dua daripada pegawai-pegawai yang datang dengan kereta proton. Ketiga-tiga mereka membawa saya ke kafeteria di mana mereka memesan makanan. Inilah makanan pertama saya semenjak saya ditahan.

156. Ketika kami berada di kafeteria, Inspektor Mazlan, orang yang telah menangkap saya datang ke meja dan memberitahu saya bahawa dia sekarang menyerahkan saya kepada seorang pegawai lain. Ada seorang pegawai berbangsa India yang bersama dengannya pada masa itu. Pegawai India tersebut kemudiannya diperkenalkan kepada saya ketika saya sedang dirawat di Wad Pemulihan Jantung, Hospital Besar Kuala Lumpur sebagai Rajakopal. Saya sekarang ini telah diberitahu oleh para peguam saya bahawa Rajakopal ialah si pengadu di atas kertas pertuduhan terhadap saya di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur. Saya tidak pernah bertemu atau nampak Rajakopal ini sebelum hari tersebut. Rajakopal ini hanya duduk sebentar.

157. Sepanjang waktu saya berada di kafeteria, ketiga-tiga penyoal-siasat itu berada bersama saya.

158. Selepas Rajakopal pergi, pegawai kanan tersebut mula memberitahu saya bahawa keluarga saya akan berbangga dengan saya dan mereka berada di dalam keadaan selamat. Dia mengingatkan saya yang saya memberikan khidmat yang besar untuk mereka dan negara yang mana saya akan diingati. Beliau kemudiannya berkata sudah sampai masa untuk saya memberikan kenyataan untuk direkodkan seperti mana saya telah ditaklimatkan pada malam sebelumnya dan kemudian menambah, sebagai satu amaran yang jelas, bahawa masalah penahanan ISA saya akan diselesaikan selepas saya memberikan kenyataan.

159. Mereka kemudian memasukkan saya ke dalam kereta dan menyorok saya dengan menyuruh saya membongkok ke hadapan. Apabila kereta akhirnya berhenti dan saya dibawa keluar daripada kereta, saya sedar bahawa saya berada di kompleks mahkamah.

160. Di mahkamah, ketika kami berjalan, saya sentiasa diingatkan mengenai apa yang patut saya katakan di dalam kenyataan kepada majistret.

161. Kami duduk di dalam salah sebuah bilik buat beberapa ketika. Saya rasa mereka sedang menghadapi masalah kerana para jurugambar sedang mengikuti mereka. Mereka mahu mengelak daripada pendedahan. Kami pergi ke sebuah pejabat di tingkat 2 atau 3. Mereka telah menolak saya melalui koridor-koridor yang berliku. Saya tidak dapat mengingat ke mana kami sedang pergi. Saya kemudiannya dibawa turun dan dipaksa berjalan ke sebuah bilik di mana saya diberitahu seorang majistret sedang menunggu.

162. ASP Mazlan bersama saya ke mahkamah seksyen. Seorang pegawai kanan ISA juga berada di situ. ASP Mazlan pergi ke bilik majistret dan membawa saya masuk. Pegawai ISA menunggu di luar.

163. Majistret tersebut bercakap dengan saya dalam bahasa melayukan. Saya berkata yang saya perlukan seorang penterjemah. Seorang penterjemah, saya rasa dia dipanggil sebagai Affendi, dibawa masuk. Pada masa itu majistret tersebut memberitahu ASP Mazlan dan pegawai polis lain yang bersama saya supaya meninggalkan bilik. Sekarang hanya tinggal saya, majistret dan Affendi di dalam bilik tersebut.

164. Majistret tersebut menulis beberapa butiran di atas beberapa kertas yang bergaris. Dia (seorang perempuan) mempunyai seperti sebuah kertas garis panduan di sebelah kirinya di mana beliau sering merujuknya. Dia menulis satu perenggan atau sepertinya,dll........berada di sini bersama ........nama saya .............Dia menulis dan membacakannya kembali kepada saya.

165. Beliau menanya saya sama ada saya bersetuju; sama ada saya ingin menukar apa-apa atau menambah apa-apa, dll.

166. Saya berkata "tidak".

167. Beliau menulis nama saya, namanya, nombor kad pengenalan saya, nombor kad pengenalannya, dll.

168. Beliau kemudian menandatanganinya dan menyuruh saya menandatanganinya.

169. Pada satu ketika beliau menanya saya sama ada saya berada di situ di atas kerelaan diri saya sendiri dan membuat kenyataan yang saya berada bersendirian di dalam biliknya. Saya tidak tahu sama ada saya mahu ketawa atau menangis kerana dia sememangnya tidak faham akan fakta bahawa saya telah dibawa ke situ oleh para penangkap dan penyoal-siasat saya, bahawa mereka sedang menunggu saya di luar dan bahawa apabila saya telah selesai, saya akan diserahkan kembali kepada mereka dan dibawa balik ke bilik kurungan saya. Hidup saya dan kebebasan saya dan juga keluarga saya berada di dalam tangan pihak polis. Mereka semestinya akan tahu kesemua yang saya lakukan atau katakan di dalam bilik tersebut dan mereka sememangnya telah memberitahu saya bahawa mereka akan mendapat satu salinan mengenai apa yang telah direkodkan di situ, jadi apakah kerelaan diri yang saya dapat lakukan.

170. Sinisnya penulisan beliau bahawa saya membuat kenyataan di atas kerelaan diri saya dan membaca kembali kenyataan tersebut kepada saya dan kemudian menyuruh saya menandatanganinya, memberikan pukulan yang hebat terhadap diri saya. Beliau membacakannya kembali kepada saya. Beliau mengingatkan bahawa hanya kami bertiga berada di bilik tersebut. Kami menandatanganinya.

171. Beliau kemudiannya menyuruh saya memberikan kenyataan.

172. Saya menyatakan kembali apa yang telah disuruh oleh para penangkap saya.

173. Selepas beliau merekodkan kenyataan saya, saya menandatanganinya seperti yang beliau minta. Apabila beliau selesai, beliau memanggil kembali ASP Mazlan. Para pegawai ISA yang lain menunggu di luar. Selepas saya diserahkan kembali kepada ASP Mazlan dan pegawai-pegawai ISA, saya digari, dimasukkan ke dalam sebuah kereta dan dibawa ke Bukit Aman. Di sana, saya disuruh duduk di dalam sebuah bilik di menara bangunan. Saya rasa saya berada di tingkat 10 di dalam pejabat ASP Mazlan.

174. Ketika saya berada di sana, sekali lagi cap jari dan gambar saya diambil.

175. Seketika kemudian ASP Mazlan datang kepada saya dan memberi komen mengenai kenyataan yang telah saya berikan kepada majistret. Beliau mengatakan yang ianya adalah lemah kerana tidak mempunyai sebarang tarikh atau masa di dalamnya atau tempat dan butiran terperinci. Saya memberitahunya bahawa para penyoal-siasat saya pada malam sebelumnya, secara spesifik seorang pegawai kanan, telah memberikan taklimat kepada saya tentang apa yang hendak dikatakan di dalam kenyataan. Tambahan lagi, pegawai kanan tersebut telah mengingatkan saya sekali lagi pada petang tersebut tentang apa yang dipertaruhkan ke atas diri saya sekiranya saya tidak mengikut apa yang diharapkan daripada saya.

176. ASP Mazlan kemudiannya menanya saya sama ada saya mempunyai seorang peguam. Saya memberitahu yang saya tidak ada. Beliau berkata kepada saya bahawa saya tidak perlu bimbang dan bahawa beliau sudah mempunyai seorang peguam untuk saya. ASP Mazlan tidak pernah pada waktu ini, atau sebelum atau selepas itu, memberitahu saya bahawa isteri saya telah pun mengambil seorang peguam untuk saya dan bahawa peguam tersebut sudah pun berhubung dengan Ibu Pejabat Polis semenjak hari penahan saya yang pertama lagi.

177. Beliau kemudian membuat satu panggilan telefon dan bercakap dengan seseorang. Saya tidak tahu dengan siapa beliau bercakap. Beliau menyatakan satu nama kepada saya - Yacob Karim - dan selepas memberitahu saya bahawa dia akan menjadi peguam saya, beliau memberikan telefon kepada saya. Yacob Karim ini mengingatkan saya bahawa kami pernah berjumpa di sebuah konferens di Sarawak. Ianya berlaku sekali, enam tahun yang lalu. Saya tidak pernah berjumpa lagi dengan Yacob Karim ini selepas itu dan tidak pun tahu di mana pejabatnya atau nombor telefonnya. Walau bagaimanapun saya berasa lega kerana di sini akhirnya ada seseorang yang pernah saya berjumpa, walaupun jika sekali enam tahun dahulu, dan bahawa kemungkinan saya akan mendapat pertolongan daripadanya. Yacob Karim mengatakan bahawa beliau akan berjumpa dengan saya secepat mungkin. Saya sangka saya bercakap dengan Yacob Karim ketika beliau berada di dalam pejabatnya.

178. Kira-kira 5 hingga 10 minit kemudian ASP Mazlan berkata kepada saya bahawa beliau akan membawa saya berjumpa dengan peguam tersebut, Yacob Karim. Kami meninggalkan pejabatnya dan ASP Mazlan membawa bersama satu salinan kenyataan yang telah direkodkan oleh majistret.

179. Di dalam fikiran saya memang telah tersedia bahawa saya akan dipandu keluar dari Bukit Aman ke sebuah pejabat di suatu tempat. Walhal lif berhenti sama ada di tingkat 3 atau 5. Saya mengagak yang ASP Mazlan singgah di situ untuk mengambil sesuatu. Beliau menyuruh saya keluar mengikutnya. Kami memasuki satu bilik di mana saya lihat sebuah meja dan dua buah kerusi. Saya disuruh duduk. Belum pun sempat saya mendudukinya, Yacob Karim berjalan masuk melalui sebuah pintu lain.

180. Apa yang dapat saya katakan ialah ianya telah pun dirancang dan apabila ASP Mazlan bercakap dengan Yacob Karim sekejap tadi, Yacob Karim ini memang telah berada di Ibu Pejabat Polis.

181. Yacob Karim duduk di meja bertentangan dengan saya. Ayat pertamanya kepada saya ialah beliau bersimpati bahawa peliwatan telah berlaku ke atas diri saya. Saya begitu terkejut mendengarnya. Ini menunjukkan yang beliau telah pun diberi taklimat oleh pihak polis dan lebih mengejutkan bahawa beliau mempercayainya. Beliau mempunyai satu salinan kenyataan tersebut bersamanya.

182. ASP Mazlan dan seorang lagi pegawai polis yang saya tidak dapat pastikan ada bersama sepanjang waktu saya bersama dengan Yacob Karim.

183. Yacob Karim kemudian memulakannya dengan memberitahu saya bahawa rancangan telah pun diatur dan bahawa saya akan dibawa ke mahkamah seksyen pada esok hari dan bahawa saya dikehendaki untuk mengaku bersalah di atas satu tuduhan dan mengaku terhadap kesalahan. Saya menanya beliau mengapa saya diminta untuk mengaku salah dan beliau menjawab sekiranya tidak, mereka tidak boleh memulakan kes terhadap Anwar. Beliau berkata yang perancangan telah diatur untuk saya mendapat hukuman yang ringan. Kepada setiap soalan yang saya berikan kepadanya selepas itu, beliau memberikan satu jawapan yang sama - "Jangan tanya saya. Tanya pihak polis."

184. Beliau kemudian mula menanyakan beberapa soalan ringkas mengenai latar belakang saya, membuat beberapa catatan nota dengan tangan dan menambah yang beliau telah pun mendapat maklumat mengenai latar belakang saya daripada pihak polis. Beliau asyik meyakinkan saya sepanjang masa bahawa hukuman yang akan diberikan adalah ringan dan bahawa ianya hanyalah untuk beberapa bulan. Saya cuba memberitahunya bahawa saya tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi beliau menjawab bahawa saya tidak perlu bimbang dan bahawa saya sedang melakukan khidmat yang baik untuk negara, bahawa negara Malaysia akan mengingati saya tentang khidmat yang saya berikan.

185. Yacob Karim keluar selepas itu.

186. Yacob Karim tidak pernah sekalipun bercakap mengenai bayaran atau diambil oleh saya atau memberitahu isteri saya mengenai keadaan diri saya. Saya sekarang ini tidak terkejut dengan cara beliau mengendalikan saya petang tersebut setelah perlakuannya yang sebegitu rupa pada waktu itu dan berikutannya menunjukkan dia dengan jelas bekerjasama dengan pihak polis untuk menafikan hak saya.

187. Selepas Yacob Karim pergi, tiga daripada penyoal-siasat saya yang lalu masuk ke dalam bilik. Seorang daripada mereka ialah pegawai Melayu yang telah berterusan menyoal-siasat saya semenjak perpindahan saya ke pusat soal-siasat. Mereka mengingatkan saya mengenai perancangan yang telah dibuat untuk hari esok dan memberi amaran mengenai akibatnya, sekiranya sesuatu yang tidak kena berlaku. Saya diingatkan yang keluarga saya berada di dalam keadaan yang lemah dan bahawa pengorbanan saya adalah kecil demi kebaikan mereka dan saya. Saya diberitahu yang agen-agen Amerika sedang menunggu perbicaraan esok hari dan akan berangkat selepas itu dan bahawa kerakyatan Amerika saya sudah pun terjamin. Saya diberitahu yang negara akan berbangga dengan saya, bahawa ianya adalah satu pertolongan kecil untuk Malaysia.

188. Saya diberikan amaran untuk tabah pada esok hari dan untuk mengaku salah seperti mana peguam telah memberitahu saya. Saya diberitahu bahawa saya mestilah mempercayai para pegawai kanan ISA dan bahawa kesemua janji-janji mereka akan dilaksanakan. Mereka memberitahu saya yang saya hendaklah memahami kesusahan mereka kerana orang-orang Anwar sekarang sudah menjadi musuh saya dan bahawa mereka cuba untuk membakar rumah saya dan mencederakan saya dan keluarga saya. Mereka berkata yang saya terpaksa pergi untuk 5 hingga 6 bulan supaya perkara tersebut menjadi reda namun selepas saya keluar dari penjara, ada pekerjaan menanti saya. Semasa 5 hingga 6 bulan itu, mereka berkata, keluarga saya akan dijaga dan bahawa mereka telah pun bercakap dengan isteri saya. Isteri saya sekarang memberitahu saya bahawa tidak ada seorang pun daripada Ibu Pejabat Polis menelefon beliau atau memberikan sebarang maklumat mengenai di mana saya berada.

189. Selepas semua amaran tersebut, saya ditahan di dalam sebuah bilik kurungan di Bukit Aman dan ditinggalkan sendirian untuk malam tersebut.

190. Pada keesokan paginya, saya adalah seorang yang begitu berkecamuk dengan kebimbangan. Saya disuruh memakai pakaian yang sama ketika saya ditangkap tempoh hari. Saya memakai selipar di kaki dan diberikan ketayap untuk dipakai untuk melindungi kepala saya yang botak.

191. Saya dibawa ke kompleks mahkamah oleh ASP Mazlan dan beberapa pegawai polis yang lain. Mereka menggunakan pelbagai taktik samaran dan muslihat yang pada mulanya untuk menyembunyikan saya daripada segerombolan jurugambar-jurugambar yang berada di situ. Saya akhirnya dibawa masuk ke sebuah mahkamah. Saya menggeletar dan degupan jantung saya menjadi semakin kuat. Saya mengalami kesusahan bernafas dan saya mengalami kesusahan untuk mengawal pundi kencing saya. Saya dapat mengingat yang pada satu ketika seseorang memberikan sesuatu untuk saya pakai untuk menghentikan kegetaran saya tetapi ianya tidak membantu. Saya dapat mengingat yang pada satu ketika, di tengah-tengah perbicaraan mahkamah, saya tidak dapat mengawal pundi kencing saya lagi dan terpaksa dibenarkan untuk pergi membuang air kecil.

192.Saya kemudiannya dibawa masuk ke dalam sebuah mahkamah oleh ASP Mazlan dan ramai lagi pegawai polis yang lain. Yacob Karim berada di dalam mahkamah. Saya nampak ASP Mazlan dan beberapa pegawai polis yang lain berpecah di kawasan mahkamah. Yacob Karim datang kepada saya dan menyerahkan dua dokumen. Beliau berkata ianya adalah pertuduhan yang saya mesti akui. Saya melihat dokumen tersebut buat pertama kalinya pagi tersebut. Walaupun di dalam keadaan sebegitu, saya terkejut dengan isi kandungannya. Yacob Karim memberitahu saya supaya jangan menyoal apa-apa, hanya mengaku bersalah dan kemudian, apabila ditanya, untuk mengiyakan yang saya tahu bahawa saya boleh dihukum di atas kesalahan tersebut. Beliau kemudian menunjukkan saya sehelai lagi kertas yang beliau katakan adalah fakta-fakta kes. Beliau berkata apabila fakta-fakta dibacakan kepada saya, saya dikehendaki untuk mengakukan mereka dan jangan berkata apa-apa lagi. Beliau memberitahu saya bahawa beliau akan menangani yang lainnya dan kesemuanya telah pun dijaga.

193. Pada satu ketika sebelum hakim masuk ke dalam mahkamah, saya nampak seorang lelaki datang kepada saya. Beliau berkata bahawa beliau adalah seorang peguam dan bahawa isteri saya telah melantik beliau untuk mewakili saya. Lelaki ini menuding kepada Yacob Karim dan menanya siapakah dia. Yacob Karim datang ke tempat saya dan berdiri di situ. Lelaki ini bercakap dengan saya secara tiba-tiba dan menanya siapa yang melantik Yacob. Saya menunjuk kepada ASP Mazlan. ASP Mazlan nampak marah dan serta merta membuat isyarat supaya saya jangan melibatkan dirinya dan menuding ke arah Yacob Karim. Saya nampak beberapa pegawai polis berpakaian biasa mula bergerak. Saya panik, memikirkan apa yang akan terjadi dan takutkan apa yang akan terjadi kepada isteri dan anak-anak saya. Yacob yang selama ini senyap tiba-tiba bersuara dan berkata bahawa beliau adalah peguam saya. Saya hilang pertimbangan diri kerana amat ketakutan. Kepala saya dipenuhi dengan ISA, ugutan yang dibuat terhadap diri saya dan keluarga saya, keperluan untuk menyimpan rahsia mengenai pihak polis seperti mana yang mereka mahukan. Saya rasakan sekiranya saya membuat satu langkah yang tidak disenangi oleh pihak polis, keluarga saya akan dicederakan, bahawa mereka akan menggunakan segala kekuatan mereka ke atas isteri saya dan kedua anak saya yang masih kecil. Saya telah pun merasai kuasa kekuatan mereka.

194. Saya menjerit kepada peguam ini perkataan-perkataan yang memberikan maksud bahawa dia tidak ada hak untuk berkomunikasi dengan isteri saya ataupun masuk campur dalam hal peribadi saya. Saya berharap dengan kemarahan tersebut untuk memujuk para penangkap saya supaya mereka tidak akan mengganggu keluarga saya. Saya kemudiannya bercakap dengan kuat untuk ASP Mazlan dan pegawai polis yang lain dengar bahawa saya tidak mempunyai apa-apa dengan peguam yang datang ke situ.

195. Pada beberapa ketika semasa saya berada di mahkamah itu saya nampak isteri saya. Dia nampak tergamam, seperti ukiran batu. Dia kelihatan seperti tidak dapat bergerak, seperti seekor haiwan yang tertangkap di dalam suluhan lampu kereta bergerak yang terang. Dia tidak mengedipkan mata pun. Dia begitu tidak bermaya. Begitu juga saya.

196. Ini merupakan kali pertama saya pernah berada di dalam sebuah mahkamah. Saya tidak pernah membuat kesalahan, sekalipun kesalahan memakir sepanjang 23 tahun kehidupan saya di Amerika.

197. Perbicaraan berjalan dengan cepat selepas itu. Saya melakukan apa yang polis harapkan daripada saya. Saya menggeletar tanpa kawalan sepanjang perbicaraan. Walaupun sepasang jaket yang diletakkan di atas badan saya tidak dapat menghentikan saya daripada menggeletar tanpa kawalan. Tidak seorang pun mengambil-berat. Segala perkataan, bunyi, pemandangan, terapung-apung di sekeliling saya seolah-olah saya sedang bermimpi. Proses rayuan Yacob sekarang berada di tahap bertulis. Saya dihukum dan kemudian digari. Yacob datang kepada saya dan memberitahu saya supaya tidak perlu bimbang. ASP Mazlan datang kepada saya dan berkata yang saya sekarang perlu menghadapi kamera. Saya dibawa keluar dan bertemu dengan segerombolan jurugambar. Saya dipindahkan ke sebuah bilik kurungan di kompleks mahkamah. Sebelum meninggalkan saya di situ, ASP Mazlan datang kepada saya sekali lagi dan berkata bahawa Ketua Polis Negara sangat gembira dengan cara saya mengendalikan diri saya di mahkamah.

198. Selepas perbicaraan mahkamah, saya dihantar ke Penjara Kajang dan dari situ, pada 23 September 1998, disebabkan oleh kesihatan saya yang semakin teruk, saya dikejarkan ke Institut Jantung Negara dan kemudian dipindahkan ke Wad Rawatan Jantung [Wad 29] di Hospital Besar Kuala Lumpur.
199. Semasa saya berada di Wad Rawatan Jantung (Wad 29) di Hospital Besar, saya telah dilawati beberapa kali oleh para pegawai polis bersama dengan Yacob Karim. Mereka adalah pelawat yang tidak diundang yang sentiasa mencuba secara bergilir-gilir mengugut, meyakinkan dan menasihati saya menentang pemfailan atau perbicaraan rayuan kesilapan penghakiman dan hukuman yang telah direkodkan terhadap saya pada 19 September 1998 oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur. Salah seorang pegawai yang datang ke Wad Rawatan Jantung (Wad 29) adalah Ketua Inspektor Rajakopal yang namanya telah direkodkan sebagai pengadu di atas kertas tuduhan yang telah difailkan di Mahkamah Seksyen di dalam kes saya.

200. Pegawai-pegawai penjara yang mengawal saya di Hospital Besar menyelaraskan sebuah buku log mengenai kesemua pergerakan dan pelawat-pelawat semasa saya berada di hospital. Ianya adalah rekod mengenai kesemua lawatan yang dibuat oleh Yacob Karim dan pegawai-pegawai polis yang datang bersama, kadang-kadang selepas waktu atau hari kebiasaan melawat.

201. Saya nyatakan dengan mutlak bahawa saya tidak pernah mempunyai sebarang hubungan homoseks dengan Anwar Ibrahim ataupun sesiapa. Saya nyatakan dengan mutlak lagi bahawa segala butiran mengenai pertuduhan hubungan homoseks yang terkandung di dalam kenyataan yang diberikan kepada majistret dan semua yang diberikan kepada mahkamah oleh pihak pendakwaraya dan Yacob Karim pada 19 September 1998 adalah tidak benar dan direka oleh pihak polis.

202. Saya telah disoal-siasat di dalam sesesi yang amat panjang dan berterusan. Saya sentiasa dipindahkan dari bilik kurungan saya sebagai No: 26, sentiasa ditutup mata dan digari. Saya telah dimalukan secara sistematik oleh para penangkap saya yang sentiasa tidak dapat dikenal pasti. Mereka melucutkan kesemua kehormatan diri saya; mereka menjatuhkan maruah saya dan membinasakan ketabahan dan daya tahan saya; mereka mengugut saya dan keluarga saya; mereka menakut-nakutkan saya; mereka "membasuh fikiran" (brainwash) saya hingga ke tahap bahawa saya dihadapkan ke mahkamah pada 19 September 1998 dalam keadaan orang yang amat menggeletar dan bersedia untuk melakukan apa saja untuk menghentikan kemusnahan diri sendiri.

203. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan saya tidak bersalah. Saya adalah seorang lelaki yang rumah tangganya amat bahagia dengan dua orang anak yang comel. Saya hanya melakukan kerja saya dan menyukainya. Para penangkap dan penyoal-siasat saya telah menghancurkan kesemua itu. Mereka telah melakukan kesalahan dengan memaksa saya menjadi seorang penjenayah dan telah mengambil kebebasan saya. Mereka telah menghancurkan keyakinan diri saya dan telah memalukan saya. Mereka telah memusnahkan kedamaian, keharmonian dan kebahagiaan keluarga saya dan kesederhanaan rumah tangga saya.

204. Saya telah mempunyai reputasi yang terkenal di seluruh dunia sebagai seorang cendiakawan yang dihormati. Ianya mengambil masa selama bertahun-tahun untuk mencapai status ini. Senarai buku (bibliografi) kerja-kerja saya dikepilkan bersama dengan pengakuan bersumpah ini adalah bukti kerja-kerja saya. Para penangkap saya untuk tujuan jenayah mereka telah menghancurkan imej saya secara tidak adil.

205. Saya tidak nelakukan apa-apa kesalahan dan saya tidak bersalah. Tuhan mengetahuinya.

Dan saya membuat pengakuan yang serius dan teliti ini mempercayai ianya adalah benar dan dengan sifat murni mengikut syarat-syarat yang terkandung di dalam Akta Undang-Undang Keterangan 1960.

- Dr. Munawar Ahmad Anees, NRIC No: 480927-71-5139

TAMAT         (Bahagian 1 (Bahagian 2 (Bahagian 3)

Terjemahan: Keris Tamingsari dipetik daripada:
http://members.tripod.com/~jufree/Html/Affidavit1.html
Sumber Asal : http://members.tripod.com/~bantahan/anees.htm
Suntingan M@RHAEN  - 11.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN