CABARAN MEMBINA PAYUNG DUNIA
Oleh Naspazi
Keagungan fikiran makhluk dunia yang bernama insan telah mampu menghuraikan beberapa keajaiban ruang dan waktu alam semesta menerusi disiplin pengetahuan sains yang bukan sahaja memberi manfaat tetapi juga mudharat yang bukan kepalang kepada kehidupan manusia. Hakikat ini mengingatkan kita kepada pencapaian manusia dalam bidang teknologi tinggi sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua, di samping tragedi pengguguran bom atom di Jepun. Meskipun begitu, insan Timur dan Barat semenjak ribuan tahun yang sudah, masing-masing mempunyai sumbangan yang besar yang berkaitan dengan kelahiran peradaban tinggi dunia yang memberikan kebaikan kepada kemanusiaan bersama.

Semenjak abad yang ke-17 yang lalu, insan Timur tidak boleh menafikan peranan dan sumbangan pemikir besar Barat yang telah memberikan peradaban teknologi tinggi kepada dunia yang sangat besar manfaatnya kepada insan Timur. Tetapi pada masa yang sama, semenjak ribuan tahun yang lepas, insan Barat pula jangan mencuba menafikan peranan dan sumbangan pemikir besar Timur yang telah memberikan jamak agama kepada dunia termasuklah agama Kristian yang menjadi pegangan majoriti insan Barat hari ini. Tegasnya, insan Timur dan Barat perlu memperluhur budi dengan berani mengakui saling kebergantungan peradaban untuk kebaikan bersama.

Sesungguhnya fajar menyingsing yang terbit di ufuk timur menandakan hari baru telah bermula untuk menerangi dunia. Kalau ufuk timur sentiasa memancarkan siang terangnya bagi manusia menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai makhluk yang makan dan minum untuk hidup, tetapi apakah kurangnya ufuk barat yang sentiasa menghamparkan malam gelapnya bagi manusia merehatkan fizikal dan mindanya selepas melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya pada siang harinya.

Pagi di ufuk timur dan petang di ufuk barat sentiasa silih berganti yang diperlukan oleh warga dunia demi kelangsungan hayat bersama. Lantaran itu, perjuangan insan Timur dan Barat pada darjah yang tertinggi adalah terletak kepada usaha dan keazaman mereka bergerak bersama-sama ke arah mengharmonikan peradaban Timur dan Barat agar boleh menjadi payung kepada keamanan sejagat, dan bukannya menjadi drakula yang menghirup hingga kering darah yang membanjiri sempadan Timur dan Barat sebagaimana yang disarankan oleh Samuel P. Huntington.

Saya tidak menafikan kecemerlangan akademik Samuel P. Huntington sebagai salah seorang profesor di Universiti Harvard yang telah menghasilkan buku ‘The Clash of Civilisations and The Remaking of World Order’ (Pertembungan Antara Tamadun dan Pembinaan Semula Susunan Dunia). Tetapi apabila Samuel P. Huntington mencadangkan tatacara baru dunia berasaskan pembahagian tamadun yang dianggapnya Kristian mewakili Barat, sedangkan Buddha, Confucius, Hindu dan Islam mewakili Timur, sebenarnya Samuel P. Huntington telah mengundang semangat benci yang mendalam untuk dirinya dari kalangan pemikir besar dunia yang sentiasa berjuang untuk mencapai aspirasi perdamaian dan keamanan sejagat.

Samuel P. Huntington mengigau di siang hari sekiranya dia menyangka yang agama Kristian itu lahir di Barat atau hasil tamadun Barat, sehingga menjadi hak mutlak Barat yang kemudian dijadikan alat pula untuk merempuh dan menumpahkan darah warga Timur di sempadan Timur dan Barat. Samuel P. Huntington perlu menyedari hakikat dan akur kepada hakikat bahawa Barat tidak melahirkan sebarang agama yang masih dipegang oleh umat manusia pada hari ini. Samuel P. Huntington perlu ingat bahawa semua agama besar di dunia ini adalah diasaskan di Timur atau benua Asia.

Justeru Timur memang tidak menafikan kebijaksanaan Barat yang telah memberikan teknologi tinggi kepada dunia, tetapi pada masa yang sama, Barat pula jangan menafikan kebijaksanaan Timur yang telah memberikan agama kepada dunia. Barat tidak perlu merendah diri atau berasa terhutang budi kepada Timur yang telah membekalkan agama kepada dunia, hatta agama Kristian yang menjadi pegangan majoriti masyarakat Barat hari ini. Hanya memadailah jika Barat mengakui bahawa dalam hal pencetusan Agama Timur adalah yang teragung untuk seluruh zaman.

Walaupun gelombang ‘The Clash of Civilisations and The Remaking of World Order’ karya Samuel P. Huntington tidaklah sehebat ‘Common Sense’ karya Thomas Paine, ‘Wealth of Nations’ karya Adam Smith, ‘Essay on the Principle of Population’ karya Thomas Robert Malthus, ‘Das Kapital’ karya Karl Marx, ‘Mein Kampf’ karya Adolf Hitler, ‘Principia Mathematica’ karya Sir Isaac Newton, ‘Die Traumdeutung’ karya Sigmund Freud, ‘Origin of Species’ karya Charles Robert Darwin dan ‘Relativity, the Special General Thoeries’ karya Albert Einstein, namun ‘Clash of Civilisations’ sedikit sebanyak telah membantu menyulitkan usaha pembentukan masyarakat sejagat yang bersatu dan harmoni.

‘Clash of Civilisations’ adalah satu penghinaan kepada Timur. Walaupun kita tidak menafikan bahawa Timur juga memang ada kelemahan, khususnya dalam bidang  politik dan ekonomi. Yang jelasnya ialah Timur perlu mengakui hakikat bahawa kebanyakan negara Timur masih diperintah secara ‘kuku besi’, termasuklah para pemerintah Malaysia yang secara terang-terangan mengamalkan rasuah, nepotisme dan sekongkolan di samping berselindung di sebalik demokrasi kotor untuk memperolehi kemenangan setiap kali pilihan raya diadakan. Justeru masyarakat Timur juga perlu merenung ke dalam dirinya, bahawa tidak semua kritikan Barat terhadap Timur itu tidak berasas.

Gagasan yang mendasari ‘Clash of Civilisations’ yang dihidangkan dengan begitu kasar oleh Samuel P. Huntington kepada masyarakat Timur, sewajarnya menyedarkan masyarakat Timur bahawa tradisi mereka memerlukan perubahan dan nafas baru ke arah norma peradaban sejagat yang lebih sesuai. Saat ini, cabaran terbesar yang seharusnya diperjuangkan secara bersungguh-sungguh oleh masyarakat Timur dan Barat tidak lain daripada menjayakan gagasan ‘Masyarakat Madani’ di samping membebaskan dirinya daripada cengkaman pendiktator bajingan yang tidak berperikemanusiaan.

- Naspazi - 26.12.2002
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!