KALAU TAK ADA ANGIN, MASAKAN POKOK BERGOYANG
Oleh Pak Ngah

Arakian seperti mana hari-hari yang berlalu, selepas asar, Pak Ngah berkain pulikat benang 8000 Chop Gaja, tersandar di kaus (Kerusi malas) di beranda melihat pokok-pokok rambutan, kopi, betik, tebu, serai, pokok bunga cina, lidah buaya, pokok bunga kerak nasi, kelapa dan tidak di lupakan pokok bakawali.

Motivasi pagi di TV pagi tadi benar-benar menambat hati Pak Ngah, Masakan pokok bergoyang tanpa angin;  Satu muka penuh Utusan Malaysia menceritakan kes rogol dan bunuh.  Surat khabar ini dengar nya di suruh oleh Perdana Menteri supaya  siarkan berita tersebut.  Kata PM supaya timbulkan kebencian dan kemarahan atas kesalahan tersebut.

Jadinya Pak Ngah terkenangkan jika tidak perbesarkan di surat khabar, maka tak perlulah dibenci dan dimarah.  Pak Ngah mengeluh teringatkan Pilihan raya yang lalu,  Pak Ngah tak malu walau miskin dan hati yang gembira  memaklumkan, nak kira apa lagi undi bukan rahsia lagi . Bukan macam dulu-dulu.  Dulunya Pak Ngah di antara pengasas parti UMNO di kampong.  Perjuangan kami ikhlas tanpa tahu ada parti lain tapi kini Pak Ngah dah ikut pangkah PAS.  Di Masjid kampong kami sentiasa ramai sepanjang waktu jemaah.  Pak Ngah suka pada orang PAS di Masjid itu, mereka orang yang tinggi pekertinya dan tak berkira kederat.  Terasa hidup ini bererti dan bermakna.

Hari ini hati  Pak Ngah tidak tenteram mengenangkan Pilihan raya yang lalu, mereka bubuh batu dan tar sampai dekat beranda Pak Ngah tetapi terus tak tenteram sebab kami yang di kampong ini sejumlah 570 pengundi sahaja tapi nama pengundi di kampong kami seramai 1,347 orang.  Jumlah pengundi hari itu, DO (Pegawai Daerah) bagitau 1247 orang.  Kami yang mengundi pun 475 orang sahaja sebab yang lain dah pun arwah.  Nak campur tolak,Pak Ngah tak reti sangat.  Tapi dok kira-kira macam dok tak betui saja.  Tak pa lah biar depa kira sajalah,   Pak Ngah tengok pokok pinang tu macam bergoyang mesti ada angin.

Malam ni ada mengaji kat Masjid, jadi Pak Ngah nak tanya Ustaz nanti apa itu Islam Hadhari sebab dari pagi tadi dok dengar radio sebut.  Mungkin Pak Ngah baca Kitab dulu-dulu mana ada bunyi macam tu tapi mana kita tau dunia akhir zaman ini ada.  Pemimpin zaman ini nampak macam hebat-hebat tapi pada perhatian Pak Ngah, dada macam kosong.  Orang dulu dulu suka kata, sekilas ikan di air ku tahu jantan betina nya dan  kalau tak ada angin macam mana pokok nak bergoyang.

Pak Ngah kayuh basikal bertenaga malam ini bagi menyelesaikan kekusutan yang tidak menenteramkan jiwa.  Teringat masa mengaji di Al Masriyah, Kubang Semang di Bukit Mertajam. Itulah tempat Pak Ngah menimba ilmu dulu kala nya.  InsyaAllah kalau ada masa lepas Pak Ngah balik motong esok Pak Ngah akan tulis lagi.

Pak Ngah - 12.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN